JANGAN TEGUR

#BUNGA LARANGAN
“JANGAN TEGUR”

Assalamualaikum buat semua pembaca setia Fiksyen Shasha. Aku Bunga, (nama samaran). Aku juga merupakan peminat setia Fiksyen Shasha di mana banyak kisah seram yang diceritakan oleh penulis berdasarkan pengalaman mereka yang adakalanya tidak masuk akal. Dan aku sendiri kalau berkesempatan ada banyak ‘pengalaman’ dalam ‘dunia seram’ yang nak dikongsikan walaupun aku takdelah nak percaya sangat atau obsess dengan cerita mistik dan makhluk-makhluk halus ni. Tapi kenyataannya sebagai umat Islam aku tidak boleh menidakkan kewujudan mereka di muka bumi Allah S.W.T ini. Seandainya kisah aku ini admin publishkan, aku ucapkan terima kasih kepada FS dan pembaca cerita yang aku tulis. Terlebih dahulu aku memohon maaf andai penulisan ini ada kekurangan almaklumlah pertama kali. Hehee 😀

Ceritanya bermula apabila aku nak pulang ke kampung setelah aku telah habis latihan industri di sebuah kolej swasta bertempat di Kemaman,Terengganu. Aku akan balik kampung bersama tunang aku Faiz ( bukan nama sebenar) dan kebetulan hari yang nak balik ke kampung di Kelantan tu Faiz masih bekerja. So, terpaksalah aku tunggu dia balik kerja dan menjemput aku di rumah sewa baru boleh bertolak. Huhuhu. Kami bertolak lebih kurang lepas maghrib. Sebenarnya aku risau jugaklah sebab hari dah gelap dan aku dapat melihat raut wajah Faiz yang jelas nampak penat. Aku dah pujuk dia untuk balik keesokan paginya tapi Faiz ni lah manusia yang paling susah dengar cakap orang. Dia ajelah yang betul keras kepala. Errrrr geram pulak rasanya. Bukannya apa, kalau korang nak tahu Faiz ni jenis yang cepat mengantuk kalau memandu waktu malam.

Lepas aku habis bercakap dengan mak aku di telefon, aku memandang Faiz di sebelah yang sudah 100 kali agaknya asyik menguap. Aku dah agak dah mesti battery dia dah low ni bahaya betul lah. Aku menawarkan diri drive dan akhirnya Faiz setuju. Sah memang dia tak tahan sangat dah. Jadi aku drive lah sensorang. Kenapa sorang? Yela si Faiz dah berdengkur sampai ke bulan agaknya. Sesekali aku mengerling ke arah jam di dashboard. Sudah hampir pukul 12 malam dan kami berada di tengah2 highway LPT 2. Terasa lambat gila perjalanan kerana tadi Faiz memandu perlahan yang sangat perlahan dan banyak berhenti disebabkan dia nak melepaskan hajat yang tak terlepas sembelit agaknya Hahaha.

Ok berbalik kepada cerita. Aku memandang sekeliling seperti gelap tanpa cahaya dan hanya lampu kereta kami sahaja yang menyuluh jalan. Aku hairan kenapa pelik semacam je tiba2 aku rasa tak sedap badan. Meremang bulu roma pun ada. Namun aku buat bodoh je malas layan sebab mungkin perasaan aku je kot sebab teringat yang orang selalu cerita macam-macam kejadian di LPT 2. Aku sendiri pun pernah mengalaminya setahun yang lalu mungkin aku akan ceritakan lain kali kisah itu. Tidak mahu berfikir bukan-bukan lalu aku membuka radio untuk menghilangkan rasa bosan tetapi entahlah tak berfungsi pulak.

Tiba-tiba, haa masa ni memang aku dah rasa semacam dah sebab aku seperti mengantuk sangat dan mendengar alunan muzik yang begitu indah dan tidak dapat digambarkan kerana bukan muzik kpop ke rock kapak ke takde eh. Alunan muziknya begitu tenang dan memang mengkhayalkan. Sungguh aku tak pernah dengar muzik macam ini. Nak bagi korang bayang aku rasa muzik Mayang diulik kot. Macam agak tradisional zaman dulu-dulu. Lebih kurang lah rasanya. Aku rasa diri aku macam dah tak drive dan aku ada kat suatu tempat yang aku sendiri tak tahu di mana dan aku tersedar dari khayalan aku kerana deringan telefon aku menandakan alarm berbunyi. Bila masa pulak aku kunci jam pun aku tak tahu.

Allahuakhbar, korang tahu tak aku kat tengah-tengah line jalan raya dan nasib baik hanya kereta kami sahaja yang ada kalau tak pasti aku dah langgar kereta lain atau terbabas. Berpeluh-peluh aku dibuatnya mengucap panjang. Berkali-kali aku meraup muka cuba bertenang. Faiz masih dibuai mimpinya. Aku mahu mengejutkannya tapi tak sanggup terlalu kesian aku melihat dia yang begitu penat kerana seharian bekerja. Aku lupakan sahaja janjiku dengan Faiz untuk mengejutkan di perhentian R&R kerana kononnya nak tukar driver. Humm aku kuatkan juga diri aku lagipun tak jauh dah dah keluar highway.

Aku sekali lagi dikejutkan dengan sesuatu yang seperti terjuntai bewarna putih dan berkibar ditiup angin di belakang kereta melalui cermin sisi sebelah kanan aku. Sepertinya kain kafan yang cik ponti tu pakai. Kali ni aku memang tekan pedal minyak habis habisan tapi tak laju pun dari 80 ke 110 km/j je. Huhuhu. Doa korang tak payah cakap lah sebab semua doa aku baca entah apa yang aku baca pun aku tak tahu lah yang kelakarnya takut punya pasal sampai doa makan pun bedal je weh! Lantaklah nak jadi apa pun. Aku cuba menepuk-nepuk Faiz supaya bangun. Memang aku tak tahan dah tapi hampeh.

Lepas tu korang nak tahu tak? Kali ni bau wangi macam air mawar tipulah kalau aku tak menggigil. Yes air mawar yg biasa guna kat orang mati tu lah. Seram habis. Aku terlepas cakap pulak “wanginya” seperti teruja. Bodoh bin apa tak tahulah dan aku teringat pesan mak aku supaya kalau bau ke dengar ke nampak ke makhluk halus ni jangan sesekali tegur. Ayat “jangan tegur” dari mak aku tiba-tiba terngiang-ngiang menerjah pendengaran. Tersentak aku dibuatnya. Dari suluhan lampu kereta aku, kelihatan di sisi jalan seperti ada sekumpulan orang memakai pakaian serba putih yang lelaki lengkap dengan jubah dan kopiah serta yang perempuan memakai jubah dan bertudung.

Bercahaya mereka semua dan di saat aku betul-betul lalu di sebelah mereka, (masa ni aku rasa kereta perlahan macam tak bergerak dan berat seperti bawak lembu sekor). Apa yang peliknya salah seorang daripada mereka seperti melambai kepada aku tanda isyarat seperti mahu aku mengikuti mereka. Muka dia? Dia tak toleh pun dari belakang je dan yang hairan bin ajaibnya mereka berjalan laju gila pakai kuasa apa tak tau lah sebab aku seperti tak dapat melintasi mereka. Akhirnya mereka hilang dari pandangan aku. Pada masa yang sama aku perasan ada juga kereta yang lain di belakang dan jalan tak adalah gelap seperti tadi semuanya macam normal. “Eh dah kat mana ni?” Faiz bersuara dengan bantal pink milik aku dipelukannya. Arghh menyampah pulak aku, reti bangun rupanya. Matanya digosok-gosok dan sempat pulak dia menggeliat.

“Ya Allah kenapa tak kejutkan abang? Kan janji nak kejut abang tadi awak tak berhenti pun..” Aku terdiam seribu bahasa. Faiz : Ok tak ni? Aku: ok je. Takpalah abang kan penat.. Faiz : Abg mintak maaf tadi abang penat sangat. Kat depan sana habis highway berhenti ye,abg bawak . Aku angguk je. Muka aku masa tu rasanya pucat kalau hiris pun tak berdarah. Memang aku tak pandang belakang, kiri, kanan dah. Straight kat depan je.

Tamat je jalan highway aku bertukar tempat duduk dengan faiz. Sebelum memulakan perjalanan Faiz membasuh mukanya dan sempat pulak minum-minum air. Aku cuak gila bila lah nak sampai. Faiz cukup kenal dengan aku dan dia dapat rasa ada yang tak kena sebab tu bukan kali pertama kami “diganggu” di LPT 2. Faiz tidak memaksa aku bercerita dan dia memasang alunan ayat kursi yang menenangkan dari telefonnya. Aku pejamkan mata mahu tidur kerana terasa tubuh badan sangat lemah. Aku hanya berdoa semoga kami selamat sampai.

Alhamdulillah setibanya di rumah tidak ada apa-apa yang aneh berlaku.. kesilapan yang aku selalu buat adalah “menegur” …. kisah ini berakhir di sini sehinggalah ada kisah lain yang juga disebabkan aku melanggar pantang larang kerana “menegur” sesuatu. Jadi, korang beringat lah ye jangan sesekali “menegur” yang tak sepatutnya. Jika diberi kesempatan aku akan menulis lagi kisah “jangan tegur part 2” …

Sekian terima kasih. Buat pembaca, kalau sudi komen lah ye 😀

1 thought on “JANGAN TEGUR”

Leave a Comment