JEMAUN

JEMAUN
Salam semua.
Kisah yang aku ingin kongsikan ni adalah pengalaman sebenar yang berlaku ketika aku menjalani latihan praktikal industri di syarikat kontraktor yang terletak di atas bukit, daerah sama tempat aku belajar.

Pertengahan tahun 2015, peristiwa itu masih segar dalam ingatan.
Ketika itu aku dan seorang kawan satu course, nama dia Sharizan dan aku gelar dia Din. Kenapa ‘Din’? Sebab aku suka nama Din. Kami berdua praktikal di tempat yang sama. Tempatnya tidak berapa jauh dari pusat pengajian kami. 15-20 minit perjalanan.
Elaun? Tiada. Tak kisah janji pointer nanti mantap.

Bangunan syarikat kontraktor ni terletak betul-betul di atas bukit. Dikelilingi semak samun dan pokok-pokok besar. Ia sebenarnya bersaiz rumah biasa ja tapi memanjang. Ada banyak pintu. Setiap pintu menempatkan ruang-ruang pejabat dan pintu paling hujung sebelah kiri, klinik kecil untuk staff.
Kalau malam memang gelap. Kawasan bangunan office ni memang tiada lampu laman mahupun lampu jalan. Bersenang-senang segala saka-baka yang ada. Kalaulah ada, harap-harap tiada, minta dijauhkan.
Site pula di bawah bukit sebelah barat daya. Jarak lebih kurang 100 meter ja dari office. Bahagian belakang office ni ada pagar yang berlubang saiz budak sekolah rendah. Ala pagar yang petak-petak hijau tu. Aku syak pekerja kontraktor yang buat sebab ianya kelihatan seperti laluan pintas untuk turun ke bawah menuju ke kawasan luar tepi jalan raya utama.

Hari pertama masuk kerja, kami dibriefing tentang kerja-kerja yang perlu dilakukan di office mahupun site. Di site cuma memantau pekerja ja. Senang dan santai, macam bos-bos! Haha! Kerja yang diberikan pun taklah banyak mana. Kadang-kadang dalam sehari tu langsung tiada kerja. Pantau site kejap, balik office dan tunggu masa untuk balik.
Itulah punca utama yang menyebabkan kami ponteng.
Aku dan Din ni setiap pagi jam 8, punch in kerja, petang ponteng. Ponteng ke bandar, jalan-jalan, makan dan lepak cyber café. Habis semua, kami balik semula ke office sebelum pukul 6 petang untuk punch out.
Nakal? Memang! Haha.
Begitulah rutin seharian kami.

Kami tak pernah lagi kantoi sebab line tersangatlah clear seclear clearnya. Jadi kami memutuskan untuk mengisi masa yang ada, dengan keluar dari kawasan office. Menuju ke Bandar. Enjoy!
Masuk minggu kedua, lebih kurang dalam pukul 2 petang, kami menyelusur keluar ikut jalan belakang menuju pagar yang berlubang tu. Entah kenapa hari tu aku rasa lain sangat suasana di kawasan tu. Tak sama macam hari-hari sebelumnya biarpun hari belum meninggi. Ah pedulikan.
Ketinggian bukit ni dalam 150 meter dari paras laut. Tak tinggi dan tak curam sangat tapi biasalah bukit, hutan, risiko tetap ada. Jadi kita kenalah berhati-hati, jaga adab, jaga kata dan jaga segala-segalanya. Sentiasa ingat Allah.

Sedang kami menuruni bukit, pertengahan bukit, aku rasa macam ada sesuatu di sebelah kanan dekat pokok besar. Aku matikan langkah lalu menoleh ke arah pokok tu, aku nampak seperti ada ukiran pada batangnya. Aku tak pasti ianya tulisan atau lakaran sebab aku ni rabun haha.
Dengan lafaz ”La hawla quwwata illa billahil aliyil azim” Aku memohon pada Allah moga sentiasa berada dalam lindunganNya dalam apa jua keadaan InsyaAllah. Yalah manalah tahu kan, zaman sekarang ni memang masih lagi ada manusia yang suka buat aktiviti-aktiviti pemujaan ni.
Din yang sedari tadi sudah berada di bawah, tak perasan aku berhenti. Aku panggil dia naik balik.
“Oii Din, naik sini jap. Cepat”
Dia terpinga-pinga naik.
“Kau kenapa?”
“Kau nampak pokok besar tu”? soal aku.
“Nampak. Kau jangan buat pasal, hutan ni”
Aku tak fikir apa-apa sebab siang-siang buta mana ada hantu.
Aku terus ajak Din pergi lebih dekat ke arah pokok tu. Lebih kurang jarak 3 depa, apa yang aku perasan, ukiran tu macam bentuk tulisan. Tulisan yang ditulis secara menegak. Macam bahasa siam, bahasa tamil pun ada. Bergulung-gulung. Eh entah la! Mungkin pekerja kontrak yang buat kot. Abaikan.
Din cuma berdiam.
Kami meneruskan langkah ke bawah dan terus menaiki bas menuju ke pusat bandar(masa tu belum ada kereta sendiri). Setengah jam perjalanan maka sampai la kami ke destinasi yang dituju.
.
.
.
Selepas habis berfoya-foya, kami pun balik semula ke office. Dalam perjalanan balik, tiba-tiba hujan turun renyai-renyai. Jalan pula jamm! adoiii lah!
Hampir sejam duduk dalam bas, akhirnya kami tiba di kawasan bukit tu.
Tengok jam, dah pukul 6.30 petang. Lewat setengah jam untuk punch out! Harap-harap masih ada orang kat office.
Kami pun bergegas mendaki bukit dalam keadaan tanah yang basah dan licin. Senja atau maghrib begini seeloknya kita tidak berada di kawasan luar sebab waktu-waktu begini, memang banyak makhluk alam lain berkeliaran.

Separuh pendakian tiba-tiba..
ALLAH!!
Dari hujung ekor mata kiri aku dapat melihat satu bayangan besar hitam belakang pokok besar tu. Seperti seekor mawas! Tapi lagi besar! Aku terpempan.
“Kenapa oi??” Din terkejut.
“Naik cepat sikit, pandang lurus ja ke depan” gumam aku.
Din kehairanan namun langkah kami semakin laju biarpun jalan lereng bukit ni lembab dan licin akibat hujan. Kami gagahkan juga! Bulu roma, bulu tengkuk jangan cakaplah. Semua naik!
Mulut mula terkumat-kamit baca “La illaha illah anta subhanaka inni kuntu minaz zholimin” disertai ayatul kursi dalam hati. Bukan tak nak baca kuat-kuat, takut nanti Din pecut tinggalkan aku. Aku bukannya berani sangat.

Bila aku toleh sekali lagi pokok besar tu, bayang tu hilang!
Aku yang tadi kedinginan, sekarang berpeluh-peluh, satu badan bergetar. Meremang!
Patutlah pokok tu ada tulisan pelik-pelik. Mungkin berkait. Allahualam.
Belum dapat ditafsirkan lagi apa benda yang aku nampak. Kepala otak aku jamm beberapa saat. Bayangan besar hitam tadi aku anggar sama besar dengan pokok. Lagi besar dari hantu raya. Aku tak pasti ianya makhluk jenis apa.
Kenapa mesti aku yang nampak? bukan Din?..

Keesokan pagi, selepas bangun tidur, bahu aku tiba-tiba sakit. Berdenyut-denyut. Kiri kanan sakit. Mungkin salah tidur kot.
Tapi sakitnya membawa sampai ke petang! Bapak dah tolong urutkan tapi sakitnya makin menjadi-jadi. Sakit bukan kepalang. Sampai aku rasa macam nak potong ja dua-dua tangan ni. Perit!
Bapak aku pun pelik, ini bukan sakit biasa. Aku terus dibawa ke rumah atok pagi tu juga.
.
.
Okay aku cerita sikit pasal Atok. Atok aku ni sebenarnya dulu bekas guru silat. Silat Cimande, yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia. Itu yang aku tahulah, selebihnya korang bolehlah google. Aku pernah nampak keris kecil miliknya. Panjang hanya sejengkal. Tak pasti berapa lok.
Kisah atok dalam dunia persilatan ni pun sebenarnya banyak. Atok selalu ceritakan pada cucu-cucunya. Termasuk aku yang nakal ni. Segala ilmu alam ada, ilmu ghaib pun ada. Tapi nanti aku kongsikan dilain cerita. InsyaAllah.

Sesampainya di rumah atok, selepas bagi salam, atok buka pintu.
Atok cakap.
“Biar nenek kau yang tengokkan”
Aik?? aku terkesima.
Nenek aku keluar dari bilik terus ke ruang tamu dan menyuruh aku duduk dilantai dengan kedua-dua kaki diluruskan ke hadapan.
Maka bermulah sesi penyembuhan. Dari sentuhan bahu kanan, aku dengar nenek terkumat kamit separa berbisik membaca potongan ayat suci Alquran. Belum urut lagi aku dah rasa lain macam. Pening!
Atok aku santai ja duduk tengok sambil bakar rokok daun dia tu. Hmm.

Selesai sentuhan dan bacaan, disusuli pula urutan dari bahu kanan melurut sampai ke hujung jari. Begitu juga dengan yang sebelah kiri. Rasa dia masih berdenyut-denyut tapi tidak sekuat masa di rumah tadi. Hampir 15 minit, nenek aku cakap dah siap. Benda tu dah pergi.
Benda? Benda apa? Tanyaku.
“Kau ada buat benda bukan-bukan? Ada lalu tempat yang…?”
“Iya nek”. Laju ja aku jawab!
Aku lalu ja, bukan buat apa-apa hmm. Nenek aku cakap ada benda bertenggek dibahu aku. Benda tu ikut, hitam dan kecil macam toyol.
Aku menelan liur!

Ini kali pertama aku kena sakit yang sebegitu. Peritnya tidak tertanggung. Selepas habis diurut, nenek menyuruhku baring dan berehat.
Aku terus mengelamun pasal bukit semalam. kalau ingat balik, benda yang aku nampak dekat pokok besar tu memang besar, sama besar dengan pokok. Tapi yang kat bahu ni datang dari mana? Hmm entahlah.

Mujur aku masih ada atok dan nenek. Mereka nasihatkan aku supaya lebih peka keadaan sekeliling, jaga diri, abaikan perkara-perkara yang boleh menyesatkan. Solat jangan tinggal.
Jika baik niat kita, maka akan dibalas baik. Begitu juga sebaliknya. Dan kena ingat, segala apa yang terjadi di dunia, semua atas kehendakNya. Mulai saat itu, kami jarang dah ponteng kerja. Jarang? Maknanya masih ada! Cuma sekali dua ja haha!
Salam
Cucu yang nakal.
*JEMAUN-Entiti/Lembaga

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

2 thoughts on “JEMAUN”

  1. sebuah nukilan yang sangat menarik ..
    Kisah-kisah mistik dan dunia pendekar atuk saudara pun nampak menarik untuk diketengahkan ..macam Kisah-kisah Bro Arif …
    Berhubung tulisan yang semacam siam atau Tamil itu ..rasanya adalah Tulisan Kawi atau Melayu Kuno atau Jawa Kuno dalam Skrip Pallava atau Sanskrit Brahmi tulisan dalam Kerajaan Kuno Melayu sebelum era Islam .,..
    Tulisan kawi banyak digunakan dalam amalan Dunia Mistik dan sihir Melayu purba maklumlah Dunia Melayu hebat dalam ilmu Tantrik atau kebatinan …

    Reply

Leave a Comment