JERAT KESUMAT DI BLOK CEMARA

Kisah ini membawa ingatan aku kembali ke tahun 2015. Waktu itu, aku baru sahaja memulakan kerjaya sebagai seorang pereka grafik di sebuah syarikat pengiklanan di Melaka. Setelah beberapa tahun merantau di Shah Alam, tawaran kerja di bandar sejarah ini aku terima dengan tangan terbuka selain dekat dengan kampung halaman di Muar, aku memang mendambakan suasana yang lebih tenang.

Aku menyewa sebuah bilik di Pangsapuri Blok Cemara, terletak di kawasan Bukit Baru. Rumah itu di tingkat empat, unit paling hujung bersebelahan dengan tangga kecemasan. Aku berkongsi rumah dengan dua orang rakan sekerja, Izzat dan taufiq. Sebenarnya, aku sukakan privasi rumah itu. Pemandangannya menghadap kawasan hutan kecil dan kedudukannya yang tersudut membuatkan aku rasa tenang untuk berkarya pada waktu malam.

Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama. Aku bukan jenis orang yang kerap bermimpi, apatah lagi mimpi yang menakutkan. Tetapi, sejak minggu kedua aku berpindah, tidurku mula diganggu. Setiap malam, aku akan bermimpi tentang seorang wanita berpakaian serba hitam, wajahnya terlindung oleh rambut yang kusam dan panjang. Dia hanya berdiri di penjuru bilik, memerhati aku tanpa suara.

Puncaknya berlaku pada suatu malam Jumaat. Dalam mimpi yang terasa sangat nyata, wanita itu merayap di siling bilik sebelum terjatuh tepat di atas badanku. Wajahnya yang mereput, matanya yang seputih susu tanpa anak mata, dan bau hanyir darah yang amat kuat membuatkan aku terjaga dalam keadaan tercungap-ungap. Peluh jantan membasahi dahi. Aku mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan unit tingkat empat ini.

Gangguan itu kemudiannya berpindah ke alam realiti. Suatu petang, aku pulang lewat selepas menyiapkan deadline pejabat. Suasana koridor suram kerana beberapa lampu kalimantan sudah terbakar. Ketika aku sedang mencari kunci rumah di dalam beg, telingaku menangkap bunyi hilaian halus dari arah tangga kecemasan yang gelap di sebelah rumahku. Aku memberanikan diri menoleh.

Di sebalik jeruji besi tangga itu, aku nampak sepasang tangan yang sangat kurus dan panjang sedang berpaut pada besi, dan perlahan-lahan satu kepala dengan rambut yang mengerbang muncul. Dia tidak terbang, dia hanya merenung tajam ke arahku. Aku terus memulas kunci dan melompat masuk ke dalam rumah, mengunci pintu rapat-rapat. Malam itu, aku tidur dengan semua lampu terpasang, namun bunyi cakaran pada tingkap bilik membuatkan aku tidak lena sehingga subuh.

Keadaan fizikal aku mula merosot. Aku menyangka ia hanya tekanan kerja, tetapi badan aku mula terasa berbisa. Sendi-sendi terasa seperti dicucuk jarum, dan aku sering mengalami pendarahan hidung yang teruk tanpa sebab. Tunangku, Mastura, perasan perubahan pada wajahku yang semakin cengkung dan pucat. “Abang nampak macam orang tak cukup darah,” katanya risau.

Keadaan menjadi genting apabila suatu malam, ketika aku sedang menyiapkan tugasan di laptop, aku tiba-tiba muntah darah yang pekat dan hitam di atas meja kerja. Badan aku menggigil hebat dan aku rebah. Izzat dan Taufiq yang mendengar bunyi bising segera meluru masuk dan terus menghubungi Mastura. Malam itu juga, mereka membawa aku pulang ke rumah orang tuaku di Muar.

Di kampung, keadaan aku tidak banyak berubah. Aku sering meracau dan memaki hamun sesiapa sahaja yang cuba mendekat. Ibuku yang tenang hanya mampu mengusap kepalaku sambil membaca ayat-ayat suci, walaupun aku sering menepis tangannya dengan kasar. Akhirnya, ibu menjemput seorang pengamal perubatan Islam, Ustaz Mansur, ke rumah.

Pada hari rawatan, aku merasakan satu kebencian yang amat sangat terhadap Ustaz Mansur. Aku enggan keluar dari bilik dan menjerit supaya dia pergi. Namun, bapa dan adik-beradikku terpaksa memapah aku keluar. Sepanjang proses rawatan, aku terasa seolah-olah badan aku diselar api. Ustaz Mansur hanya tenang membaca surah Al-Baqarah sambil meletakkan tangannya di atas belakang badanku.

Selepas hampir dua jam, aku terasa satu beban yang sangat berat diangkat dari bahuku. Nafasku menjadi ringan dan kepalaku yang selama ini berdenyut tiba-tiba menjadi tenang. Esoknya, ibu menceritakan apa yang berlaku. Menurut Ustaz Mansur, wanita hitam itu bukanlah hantu yang sekadar melintas, tetapi dia adalah ‘kiriman’ daripada seseorang yang tidak berpuas hati dengan kenaikan pangkatku di pejabat.

Makhluk itu bukan sahaja mengganggu fikiranku dalam mimpi, tetapi dia cuba ‘menghisap’ semangat dan kesihatanku agar aku jatuh sakit secara perlahan-lahan sehingga mati. Kerana batin aku yang degil dan tidak mudah menyerah, makhluk itu menggunakan cara fizikal dengan menyerang organ dalamanku. Mujurlah ibu tidak berkecil hati dengan makian aku sepanjang aku sakit, kerana dia tahu itu bukan suaraku, melainkan ‘penumpang’ yang sedang kepanasan.

Kini, aku sudah berpindah tempat kerja dan menetap di rumah sendiri. Pengalaman di Blok Cemara itu mengajarku bahawa dengki manusia itu lebih tajam daripada sebilah pisau, dan benteng terbaik kita hanyalah pergantungan sepenuhnya kepada Yang Maha Esa.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.