Kakak Cantik

Assalamualaikum kepada semua yang membaca coretan ku ini. Terima kasih kepada admin FS seandainya cerita ini terpilih untuk disiarkan.

Ini kali pertama saya menulis. Sekiranya terdapat salah dan silap, harap dimaafkan. Jika tidak memenuhi citarasa kalian, saya mohon maaf.

Cerita ini berlaku pada tahun 2004, ketika saya berumur 10 tahun.

===================

Kami sekeluarga dari Perak pulang ke kampung datuk di Yan, Kedah. Seingat saya, ramai saudara saya yang pulang ke kampung.

Kampung datuk terletak di Yan. Di sebelah rumah datuk ada dusun buah-buahan. Dusun itu kepunyaan datuk. Ini adalah salah satu kenapa saya suka pulang ke kampung ini.

Hari ini, rumah datuk meriah dengan kepulangan kami semua. Saya lihat senyuman tidak putus dari wajah atuk. Nenek pula menyediakan pelbagai jenis lauk, sambil dibantu oleh anak-anaknya.

“Dah besaq dah cucu tok ni,” kata nenek sambil mencium pipi kanan saya.

Saya difahamkan di bahagian utara ini, rata-rata memanggil datuk sebagai wan dan nenek sebagai tok. Ada juga yang memanggil datuk itu tokwan.

Ketika saya sedang melihat-lihat di sekitar rumah datuk, ibu memanggil saya masuk ke dalam.

Rumah datuk cukup luas. Muat untuk kami semua berkumpul. Kami disajikan dengan hidangan kampung, yang bagi saya ianya cukup menyelerakan.

Nasi putih panas, sambal belacan, gulai ikan, daging goreng kunyit, ikan pekasam, ulam-ulaman, sayur keladi, ikan keli bakar dan air sirap. Hampir kesemua kami makan bertambah.

Selepas itu kami duduk berbual-bual di atas pangkin di luar rumah. Bermacam-macam cerita yang atuk kongsikan kepada kami. Sesekali diselit dengan gelak ketawa.

“Dah nak maghrib dah ni. Esok ja la pi dusun. Kalau nak makan buah, ambik kat dapoq. Wan ada petik sikit pagi tadi, untuk hangpa.” Wan berkata sambil memandang kami yang kecil-kecil ini.

Maghrib dan Isyak kami solat berjemaah di rumah. Selepas itu kami makan beramai-ramai. Selesai makan, kami mengambil angin malam di luar. Ada yang menonton tv di dalam rumah.

Walaupun sudah malam, keriuhan masih lagi terasa. Saudara-saudara seusiaku bermain kejar-kejar di halaman rumah tetapi hanya sekejap sahaja selepas ditegur oleh pak ngah. Pak ngah berwajah serius dan garang. Jarang sekali kami melihat dia bergurau. Apatah lagi senyum.

Malam itu, kami beramai-ramai tidur di ruang tamu. Ini antara pengalaman yang paling saya suka. Sebelum tidur kami sempat bergurau-gurau dulu. Saya berpura-pura tidur apabila ibu keluar dari bilik. Dan akhirnya kami semua tidur.

Keesokannya, kami bangun awal kerana ruang kami tidur akan digunakan sebagai tempat solat. Di rumah datuk ini ada dua bilik air. Bilik air lama terletak di luar rumah. Bilik air baru di dalam rumah.

Oleh kerana bilik air baru ada orang guna, saya terpaksa menapak ke luar rumah. Ke bilik air lama untuk menggosok gigi. Dinding dan bumbungnya dibuat daripada zink. Lantainya bersimen.

Sebaik sahaja kulit saya bersentuh dengan air paip, badan saya secara automatik menggigil. Sejuknya bukan kepalang! Dalam kesejukan, saya menggosok gigi.

“Cik Nor. Mandi terus. Ibu sangkutkan tuala kat celah pintu.” Cik Nor adalah nama panggilan saya. Direka oleh ibu.

Sambil mengetap gigi, saya mencedok air kolah lalu basahkan badan. Dingin menggigit serata tubuh. Saya mandi sekejap saja sebab yang lain sedang menunggu giliran. Dengan terketar-ketar saya berlari masuk ke dalam rumah.

Pagi itu, kami bersarapan dengan nasi goreng belacan. Selain nasi goreng, ada juga bihun goreng dan kuih-muih. Dihidangkan bersama teh dan kopi.

Selepas itu datuk mengajak kami ke dusun. Dusun datuk terletak sangat hampir dengan rumah. Datuk mendahului kami di depan.

Kami disambut dengan buah-buah rambutan yang bergayutan. Warna merahnya benar-benar menggoda kami.

“Mana-mana hangpa nak ambik, hangpa ambik la. Tapi jangan masuk sampai hujung sana. Tu dusun orang, ” pesan datuk sambil menunjukkan ke arah barat. Dia berehat di dalam pondok.

Kami semua berpecah. Saya mengikut ibu dan ayah ke satu arah. Menuju ke pokok buah jentik. Ayah meletak buah-buah yang telah diambil ke dalam bekas yang di bawa sambil dibantu ibu. Saya? Saya hanya melihat sahaja. Hehe.

Kemudian saya mengikut sepupu saya mengutip buah manggis. Mulanya, kami mengutip hanya untuk perut kami. Kutip dan makan. Selepas puas makan, baru kami kutip untuk yang lain-lain.

“Ooo, ni kerja hangpa,” nenek menegur dari belakang. Kami hanya tersengih.

Setelah puas mengutip, kami berkumpul semula di depan pondok. Saya lihat bermacam jenis buah yang dikutip. Dan semuanya nampak menyelerakan.

Selepas itu, kami pergi ke air terjun sambil membawa buah-buahan. Oleh kerana jaraknya yang tidak jauh, kami hanya berjalan kaki. Beberapa orang termasuk datuk dan nenek pulang ke rumah, untuk menyediakan makan tengahari.

Bunyi air terjun yang semakin kuat kedengaran menandakan kami hampir sampai. Langkah kami semakin laju. Sambil berjalan, sambil berbual. Buah-buahan yang kami petik tadi kami makan sedikit-sedikit.

Ramai juga pengunjung yang datang ke air terjun itu. Maklumlah, cuti sekolah.

Kami memilih lokasi di bawah sekali. Sepupu-sepupu saya yang lain sudah berada di dalam air, bergelak ketawa.

Ketika saya mencelup kedua kaki di dalam air, mata saya menangkap kelibat perempuan cantik yang sedang mandi di tingkat atas air terjun.

Bukan seorang, tetapi ramai. Saya kira dalam 8 orang. Masing-masing berkemban kain hijau tua. Wajah mereka cantik sekali.

“Tengok apa Cik Nor? Mari la sini.” Syuhada, sepupu saya mengajak sekaligus mengejutkan saya.

“Saya tengok atas tu. Kakak-kakak cantik,” saya membalas sambil menunjukkan ke tempat mereka mandi.

“Mana? Takde pun.” Syuhada membalas. Sepupu saya yang lain juga kebingungan.

Saya hairan kenapa sepupu-sepupu saya yang lain tak nampak. Saya cuba tunjuk kepada ibu.

“Mana ada kakak cantik atas tu. Cik Nor salah pandang kot.”

Saya sedikit hampa.

Air yang mengalir ke tempat kami mandi menjadi wangi. Turut sama beberapa kuntuman bunga kemboja.

Saya hairan kenapa saya seorang saja yang nampak. Sesekali saya menoleh ke arah kakak-kakak cantik yang sedang mandi di atas. Saya mengeluh.

Waktu sudah menginjak ke tengahari. Kami masih berendam di dalam air. Kelihatan kereta Pak Lang datang. Mereka membawa nasi dan lauk untuk kami makan tengahari di situ. Datuk dan nenek juga ikut.

Bekalan makanan dipunggah keluar dari perut kereta dan diletak di atas sebuah meja kayu. Apabila nampak makanan, saya dan saudara-saudara terus keluar daripada air.

Ketika makan, saya menceritakan apa yang saya nampak tadi kepada datuk. Kemudian datuk memandang tajam ke tempat yang saya ceritakan.

“Dia saja ja tu. Tumpang mandi,” jelas datuk. Saya tak faham.

Selesai makan, kami mandi lagi. Kira-kira pukul 2 petang, kami mula mengemas dan pulang. Ketika hendak pulang, saya sempat menoleh ke arah kakak-kakak cantik tadi mandi.

Mereka masih di situ. Pakaian mereka sudah bertukar, memakai kain putih. Mereka duduk di atas batu. Tersenyum sambil melambai ke arah saya.

“Bye Cik Nor.”

“Bye kakak cantik.”

Malam itu, datuk mengajak ayah dan pak lang ke dusun. Melihat Furqan, sepupu saya ikut, saya pun ingin ikut. Tetapi ibu melarang.

“Takpa la dia ikut. Abang ada,” ayah memberi jaminan kepada ibu. Akhirnya ibu membenarkan saya ikut.

“Malam-malam pergi dusun buat apa atuk?” Saya bertanya semasa kami berjalan ke dusun.

“Nak cari durian. Kalau tunggu esok, nanti habis la durian kena curi. Hangpa jugak yang tak boleh merasa,” jawab atuk sambil tergelak kecil.

Suasana di kebun gelap gelita. Mujur kami membawa lampu suluh dan cahaya dari bulan yang sedikit sebanyak membantu.

“BUK!”

Kedengaran seperti sesuatu jatuh ke tanah ketika kami sedang duduk-duduk di dalam pondok. Segera datuk pergi ke arah bunyi itu.

“BUK!”

Sekali lagi kedengaran bunyi yang sama. Kali ini dari arah yang berbeza. Pak lang berjalan pantas meninggalkan pondok.

“BUK!”

Lagi sekali ia berbunyi. Ayah berpesan kepada Furqan supaya menjaga saya sebelum dia menghilangkan diri di dalam gelap malam.

Kini cuma tinggal saya dan Furqan di pondok. Tiba-tiba saya jadi meremang.

“TAP!”
“TAP!”
“TAP!”

Pondok seperti diketuk. Saya memandang Furqan dan Furqan memandang saya. Jantung saya berdegup kencang. Saya duduk sambil memeluk lutut.

Tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi. Alam seakan membisu. Tiada bunyi cengkerik. Tiada bunyi hembusan angin. Saya hendak memanggil Furqan yang duduk di depan tetapi suara saya seakan tersekat di kerongkong.

Telinga saya menangkap satu bunyi. Bunyi seperti air yang sedang mengalir. Seperti ada sebatang sungai berhampiran.

Bahu saya seperti disentuh. Saya menoleh ke belakang, melihat siapa yang sentuh, tapi tiada orang. Ketika saya memalingkan muka ke hadapan, Furqan telah hilang. Yang ada cumalah seorang perempuan sedang memandang saya.

“Kakak cantik!” Saya memanggil. Dia hanya tersenyum.

“Jom, ikut kakak,” dia menghulurkan tangan sambil tersenyum. Saya menyambut tangannya. Sejuk.

“Kita nak pergi mana ni kak?” Saya bertanya. Bau harum menusuk ke dalam hidung.

“Kita pergi ke kampung kakak,” dia membalas. Dia memakai selendang putih. Terselit sekuntum bunga kemboja di telinga kanannya.

Bagai dipukau, saya hanya mengikut dia meredah hutan gelap.

Tak lama kemudian kami tiba satu perkampungan. Saya lihat rumah-rumah di sini dibina dari buluh-buluh dan beratapkan daun rumbia. Jauh berbeza dengan rumah datuk yang binaanya dari batu dan simen.

Suasana yang tadinya malam bertukar siang. Penduduk kampung sedang berborak. Saya lihat yang wanita memakai tudung labuh dan jubah berwarna putih manakala yang lelaki memakai jubah putih. Wajah mereka manis.

Ada juga kanak-kanak sebaya saya. Mereka sedang bermain-main di halaman rumah. Apabila terlihat saya, mereka melambai tangan dan senyum. Saya membalas.

“Sini kampung kakak ke?” Saya bertanya.

“Ya. Ini kampung kakak. Nama kampung ni Kampung Kali Jernih,” balas dia sambil tersenyum.

“Nama kakak Amina,” dia menambah. Suaranya lembut. Seperti riak wajahnya.

Saya dibawa ke sebuah kawasan lapang. Kawasan tersebut ditumbuhi rumput hijau yang segar dan dihiasi dengan pokok-pokok bunga yang bermacam-macam jenis. Berwarna-warni.

Di tengah-tengah ada sebuah pondok yang dindingnya terbuka. Di dalamnya ada 7 orang perempuan cantik sedang bergelak ketawa.

Apabila terlihat saya, segera mereka memanggil. Saya dan kak Amina melangkah pantas menuju ke pondok.

Kedua pipi saya dicubit manja oleh ketujuh kakak itu. Bermacam-macam hal kami bualkan (maaf, saya tak dapat cerita apa isinya.)

Ketika agak lama kami berbual, kak Amina mengajak saya pulang.

“Sudah tiba masanya untuk Cik Nor pulang ke tempat Cik Nor.” Kak Amina bangun daripada duduk.

Saya dipeluk bergilir-gilir dan dicium pipi. Tanda perpisahan.

“Bye Cik Nor!” Mereka melambai dengan nada yang sayu.

“Bye kakak-kakak!” saya membalas sambil menampakkan gigi.

Ketika melintasi perkampungan tadi, saya lihat kanak-kanak seusia saya telah tiada. Para ibu juga hilang. Mungkin sudah masuk ke dalam rumah.

“Nanti kita boleh jumpa lagi ke kak?” saya bertanya. Entah kenapa saya selesa dengan kak Amina.

“Nak jumpa lagi? Boleh dik.” Kak Amina membalas sambil tersenyum.

Kami berjalan sehingga tiba ke pondok datuk. Saya disuruh untuk berbaring di dalam pondok sambil memejamkan mata.

Sebelum itu saya sempat memeluk kak Amina.

Ketika saya baring dan memejamkan mata, suasana berubah menjadi sunyi. Tiba-tiba saya terdengar sayup-sayup nama saya dipanggil. Semakin lama semakin kuat.

Saya membuka mata. Suasana yang tadinya siang berubah malam. Segera saya memanggil ayah di pintu pondok.

“Umar! Sini Umar! Cik Nor ada kat pondok!” Pak Lang mendapatkan saya sambil memanggil ayah. Ketika itu Pak Lang ada berhampiran pondok.

“Allah! Anak ayah! Cik Nor pi mana tadi? Ayah cari tak jumpa,” ayah memeluk saya. Saudara-saudara mengelilingi kami sambil memanjatkan rasa syukur.

Pak Ngah segera melaungkan azan. Kemudian saya dibawa pulang.

“Cik Nor pi mana tadi? Merata kami cari. Tak jumpa pun.” Pak Lang menyoal ketika kami dalam perjalanan pulang.

“Cik Nor ikut kak Amina. Dia bawak Cik Nor masuk kampung dia,” saya membalas. Sedikit keletihan.

“Dah, dah. Kita balik dulu. Bersihkan diri. Apa-apa hal, kita selesaikan kat rumah.” Datuk memotong.

Dari jauh saya ternampak kakak Amina berdiri di belakang pokok manggis.

“Bye kak Amina. Nanti kita jumpa lagi.”

–TAMAT–

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Nora Zain
Kakak Cantik
9.4 (94.25%) 80 votes

14 comments

  1. Air terjun mana tu?titi hayun?perigi?batu hampaq?kami org yan gk heheeee..mmg kawasan dusun mcm tu bnyk pnghuni yg xsmua org nmpk dgn mata kasar

  2. Anda punya karangan mmg bleh dapat A+… tapi untuk standard UPSR la… alahai… niway good try… saya baca intro ngan ending je…

  3. Saya merasa suasana dusun/bendang sampai umur 5thn ja..akibat pertikaian/tekanan,mak terpksa setuju jual bahagian dia(duit dpt saguhati je..ank prmpuan)..lepastu saya ajak p dusun mak kata mna ada dusun lg dh..dusun itu milik org(ulang byk kali dh mcm lagu dia milik org pulak)..rumah tok tiri kt tepi gua kerbau plak buat besaq2 last2 p dok rmh ank dia d peneng,rmh tu biaq mereput..kalau buat pakai duit sendiri tak kisah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.