Kampung Ibu Aku

Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera semua. Nama aku Farhan. Sebelum ni aku ada cerita kisah aku di rumah atuk nenek ku sebelah ayahku. Ini link kalau anda belum baca https://fiksyenshasha.com/kisah-di-rumah-atuk-nenek-sebelah-bapaku/?baca-penuh=ya. Jangan risau ini bukan cerita sambungan. Sekarang aku nak cerita kisah aku di rumah atuk dan nenek aku sebelah mak aku pula.

Kisah 1: Waktu Raya

Hari raya. Aku sekolah rendah. Waktu malam. Seingat aku dalam pukul 11 lebih atau 12 lebih macam tu. Aku dengan sepupu-sepupu tidur di ruang tamu tapi cuma 2 orang belum tidur. Termasuk aku, 3 orang. Nenek, makcik aku seorang, dan mak aku pula di dapur buat kuih, masak lauk. Lampu semua dah tutup kecuali beberapa sahaja.

Keadaan ruang tamu tak gelap tapi malap sebab ada sedikit cahaya lampu dari dapur. Ruang tamu ni amat luas. Anda bayangkan macam ada 2 seksyen. Satu seksyen ni ada kerusi kayu sofa dan meja. Satu lagi seksyen ada ruang lantai kosong dan TV. Kami tidur depan TV.

Sedang aku dan sepupu berborak sambil baring, pintu utama rumah diketuk. Pintu depan. Masa ni langsung tak terfikir hantu. Antara kami bertiga, sepupu aku yang paling tua bangun dan mahu buka pintu. Tiba-tiba ada suara dari arah seksyen yang ada kerusi kayu sofa berkata “Jangan buka. Biar je”. Kami tengok ke arah sofa, pakcik kami, Pak Iz (nama samaran).

Sepupu aku tanya, “Nak biar je ke?”. Pak Iz pun kata “Biar je. Nanti dia pergi la. Korang pergi tidur”. Suara dia, tempo dia bercakap, nada dia, semua sama macam Pak Iz. Kami nampak muka dan badan dia. Memang Pak Iz. Tak nampak langsung macam orang lain. Lagi sekali, kami tak terfikir pun dia hantu. Tapi sebenarnya, kemudian kami dapat tahu dia adalah jelmaan.

Beberapa detik kemudian makcik aku ke ruang tamu. Dia tanya pasal ketukan pintu. Kami cerita apa yang berlaku. Bila sampai ke bahagian cerita Pak Iz melarang kami buka pintu, kami semua pandang ke arah sofa tapi tiada siapa. Makcik aku pun pandang sekali. Tiada siapa di situ. Makcik aku pun nasihat supaya jangan buka pintu takut-takut orang jahat atau orang gila.

Selepas itu makcik aku ke bilik Pak Iz dan dia kata bilik kosong. Kami pun menjenguk dan sah memang kosong. Makcik aku mula membebel sebab Pak Iz ni memang jenis burung hantu, keluar malam melepak, kadang-kadang kerja ambil upah jenis kerja satu hari. Umur dia pun baru 20an walaupun dia pangkat pakcik. Makcik aku (lebih tua) ni selalu membebel dekat dia. Kalau raya, dia memang akan keluar senyap-senyap. Ikut pintu belakang. Ikut pintu tepi. Dia tak nak anak-anak saudara dia ikut dia sebab susah nak hispa rokok dan jaga kata-kata berbual dengan kawan-kawan dia.

Makcik aku kata mungkin Pak Iz tegur kami kemudiannya baru dia keluar. Tapi kami mula tak sedap hati. Takkan tak ada bunyi tapak kaki. Takkan kami tak perasan dia beralih tempat. Malam tu sunyi saja semua dah tidur. Paling-paling dengar tapak kaki.

Malam tu kami tidur macam biasa. Esoknya kami tanya Pak Iz pasal kejadian malam semalam. Dia kata dia keluar dari petang dan balik selepas kami tidur. Jalan melepasi kami untuk ke bilik dia tingkat atas. Sampai sekarang tak tahu apa siapa yang ketuk pintu. Dan kami yakin bukan Pak Iz tapi jelmaan yang menyerupai dia yang menegah kami dari membuka pintu.

Kisah 2: Tingkat Atas

Rumah ni 2 tingkat. Tingkat atas kecil saja. Macam 1/5 dari tingkat bawah. Ada satu laluan kecil ke beranda. Sebelah Kiri laluan ada satu bilik tidur. Kanan ada satu bilik tidur dan satu tandas. Bermula aku masuk kolej, kalau balik kampung aku suka tidur tingkat atas. Ada privasi. Boleh vape, boleh on-call berborak, boleh pasang lagu buka speaker. Bilik tingkat bawah semua tiada privasi. Bau vape dan suara boleh sampai ke ruang tamu. Bilik atas ni dah boleh kata tiada orang naik dah. Pakcik makcik aku semua dah ada rumah sendiri.

Kalau hari raya, bilik bawah semua cukup. Ada pakcik makcik aku yang kerja negeri lain dah ada rumah di sini. Mak Long yang menjaga nenek aku ni naik jarang-jarang. Hanya untuk simpan dan ambil pakaian bila rasa nak tukar pakaian. Ala-ala macam ada satu set untuk setiap bulan macam tu.

Kisah 2 ni berlaku ketika aku umur hujung 20an. Aku balik kampung pada waktu bukan hari raya jadi tiada siapa di rumah kecuali nenek dan makcik aku. Selepas dah tidur beberapa malam, aku di dapur sedang makan. Makcik aku tanya, “Semalam tidur okay ke? Lena?”. Aku jawab yang semuanya okay. Tiada apa. Dia tanya lagi, “Okay ke? Takder rasa tak selesa?”. Aku dah rasa pelik dengan soalan dia. Aku jawab, “Selesa je. Kenapa Mak Long? Lain macam tanya ada apa-apa ke?”. Aku masa ni dah mula fikir benda-benda mistik dan paranormal. Makcik aku jawab, “Eh takder apa. Bilik atas tu kan takder orang guna, berdebu, tilam lama, kipas lama, bantal lama, sarung bantal dengan cadar dah lama tak tukar, sempit, barang Mak Long pun banyak lagi dalam tu”. Makcik aku pun sambung, “Farhan tidur la bilik depan dia. Lagi luas. Dah memang bersih dah mop dan sapu, almari kosong, cadar dengan sarung bantal baru lagi”. Makcik aku ni pun offer nak bawak naik selimut dengan ubat nyamuk melingkar. Aku cakap tak nak. Tak perlu susah-susah sebab aku tak nak tidur bilik tu. Dia buat muka macam kecewa dan tak puas hati.

Dia offer lagi. Aku cakap aku tak nak. Dia mendesak jugak dan tanya kenapa aku tak nak tidur bilik yang dia cadangkan tu. Aku cerita ke makcik aku. Aku pernah nampak tikus dalam bilik tu. Bilik tu pulak ada 2 lubang, Satu lubang di dinding, satu di siling. Tikus hutan pulak. Besar oiii. Aku paling geli dengan tikus. Aku tak nak jadi Tikus Man. Makcik aku angguk setuju tapi dia kemudian kata, “Mak Long dah tutup dah lubang tu”. Aku tetap cakap aku tak nak dan kali ni dia berhenti mendesak.

Beberapa bulan macam tu bila aku lepak dengan sepupu aku. Aku teringat perbualan dengan makcik aku ni. Aku tanya sepupu aku. Dia pun gelak. Dia kata yang Mak Long aku ni kena tindih semasa tidur di bilik yang dia cadangkan tu. Tapi adik-beradik dia yang lain yang ada masa tu semua tak percaya. Mereka kata Mak Long aku ni mimpi je. Kalau mimpi, tidur mana-mana pun mimpi juga. Mereka jugak kata yang Mak Long ni mereka-reka cerita. Sepupu aku cerita semula apa yang dia dengar dari Mak Long aku.

Semasa Mak Long kena tindih, macam biasa, badan apa tak boleh gerak. Mata saja yang melilau dalam gelap pekat malam tu. Tiba-tiba lampu terbuka tapi tiada siapa di suis lampu. Di cermin tingkap dia nampak kain putih bergerak dari kiri ke kanan, kanan ke kiri.

Kemudian pintu terbuka dengan perlahan. Bila pintu terbuka dengan penuh, muncul satu lembaga hitam. Jubah lusuh dan kotor, rambut panjang sampai ke lutut, mukanya hitam kecuali mata. Nampak yang mata dia hampir keseluruhannya putih. Anak matanya sangat kecil dan warna merah. Dia masuk ke dalam bilik dan pandang makcik aku. Makcik aku sangat takut dia pandang ke arah lain tapi masih boleh nampak hantu tu dari hujung mata. Agak lama kemudian, lembaga tu kebelakang. Makcik aku perlahan-lahan semakin tak nampak dia. Pintu tertutup dengban sangat kuat dan mak cik aku pun dah boleh pejam mata. Dia terus bangun dan baca ayat-ayat Quran. Lepas tu aku tak ingat apa mak cik aku buat. Dia dah tak tidur tingkat atas sampai sekarang. Sama la juga dengan aku selepas sepupu aku cerita kejadian ni. *polish jari dengan nail polisher*

Kisah 3: Jambatan

Kisah ni berlaku bukan di rumah tapi berdekatan. Kampung aku ni ada satu jambatan melintasi sungai. Tak lebar pun muat 2 motor je. Kereta tak boleh lalu sebab tak cukup utuh. Waktu malam di jambatan ni memang gelap gelita. Gelap yang pekat sebab tiada satu lampu pun. Terlampau gelap hinggakan cahaya bulan menjadi terang. Siapa yang kampungnya di hulu akan tahu situasi ni. Keliling hutan. Rumah yang paling dekat lebih kurang 200 meter.

Ada satu malam dalam pukul 10 lebih, aku dan 2 orang sepupu aku ke jambatan ni nak melepak dan ambil angin. Naik satu kereta. Kami parking berdekatan dengan jambatan. Bila aku keluar dari kereta, badan aku menghadap pintu, aku tutup pintu, dan aku pun memusingkan badan aku ke depan untuk mula berjalan ke depan. Bila aku pusing, ada satu lembaga hitam berdiri depan aku. Badannya berbentuk gorilla. Kepala dia seakan-akan bentuk kambing bertanduk pendek. Seluruh badannya hitam walaupun tempat tu gelap. Hanya mata dia merah. Dia bukan hitam macam kulit hitam. Tapi hitam macam bayang-bayang. Warna hitam satu tone seluruh badan kecuali mata.

Aku terkejut dan badan aku pun tersentak ke belakang sedikit. 2 orang sepupu aku yang berdekatan dan sudah di luar kereta pun terkejut. Terkejut sebab bunyi dari pergerakan kaki aku. Semasa aku tersentak, kaki aku slide sedikit kebelakang dan badan aku condong senget ke belakang nak menjarakkan diri aku dari lembaga tu. 2 orang sepupu aku tu pandang aku, aku pandang mereka. Mereka pandang ke depan ke arah yang aku nampak lembaga tadi dan pandang semula ke aku. Muka mereka tiada nampak ketakutan langsung tapi muka hairan. Aku alih pandangan ke depan dan lembaga tadi dah hilang. Mereka tak sebut apa-apa, terus berjalan ke arah jambatan. Aku ikut dari belakang.

Di jambatan kami berbual macam biasa tapi tak bercerita tentang kejadian yang baru berlaku ni. Bila sampai di rumah, baru kami bercerita. Mereka tak nampak apa pun. Untuk pengetahuan pembaca, kejadian yang berlaku ni terjadi dengan amat singkat. Tak lama pun. Macam sekelip mata.

Jambatan ni banyak kisahnya dari orang kampung. Waktu malam dan siang pun ada jin yang mengacau. Pernah ada seorang penduduk kampung melintasi jambatan ni naik motor seorang diri. Ketika dia di atas jambatan dia terdengar suara kanak-kanak ketawa gembira kegirangan main air. Suara tu dari arah bawah jambatan. Bila dia sampai ke penghujung jambatan, dia berhenti untuk tengok keadaan. Tiada siapa.

Seorang lagi remaja penduduk kampung melepak di di jambatan tu. Tiba-tiba dia ditolak dari arah belakang. Dia pasti bukan angin sebab memang rasa ada objek menyentuh dia. Kemudian bila sampai ke rumah, dia mengadu rasa pedih dibahagian belakang. Mak dia tengokkan, ada kesan warna merah.

Sekian cerita dari saya. Next posting kalau kesempatan aku akan kongsi kisah yang aku lalui di rumah aku pula. Sekian Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Farhan

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.