Kisah Di Rumah Atuk Nenek Sebelah Bapaku

Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera semua. Kisah benar yang berlaku kepada diri aku sendiri di rumah atuk nenek ku sebelah bapak aku.

Kisah 1: Suatu petang

Bapa, ibu, dan nenek aku keluar sebab nak bawa nenek aku keluar jalan-jalan dan ke rumah saudara-mara dan waris. Atuk aku tak larat jadi aku pun kena duduk rumah jaga dia. Aku dengan atuk aku duduk di ruang tamu tonton TV. Dalam pukul 5 lebih petang macam tu atuk aku bangun dan bagitahu dia nak masuk bilik berehat. Dia pun berjalan perlahan dengan tongkat dia. Umur dah 70an. Aku pun baring (menghadap siling) sambil tengok TV dan main phone. Masa ni tahun 2007. Aku Tingkatan 3. Apa lah sangat boleh buat dengan phone. Lama kemudian aku pun tertidur. Bila aku buka mata, keadaan ruang tamu agak malap dan suram. Suasana pun sunyi sahaja tiada bunyi sedangkan rumah ni dikelilingi pokok-pokok.

Aku cuba gerakkan tubuh aku tapi tak boleh. Jari, lidah, kaki, langsung tak boleh. Dari sekecil-kecil hingga ke sebesar-besar anggota badan. Kelopak mata pun tak boleh bergerak nak tutup mata. Aku memerhati sekeliling sebab biji mata sahaja yang boleh gerak. Aku nampak kipas siling dan TV tertutup. Keadaan amatlah senyap seolah-olah telinga aku kena tekup. Aku sedar yang aku sekarang kena tindih. Jantung aku dah berdegup laju. Fikiran aku tak berhenti berfikir macam mana nak keluar dari keadaan ni. Tiba-tiba pintu utama rumah iaitu pintu depan terbuka.

Pintu terbuka perlahan ke arah arah dalam tapi tiada tangan atau apa-apa yang menolak seolah-olah macam kena tiup angin. Pintu ni tak jauh pun dari tempat aku baring. Sebelah kanan aku dan berdekatan dengan kaki. Dalam 4 langkah saja dah sampai. Kemudian muncul pakcik aku. Hati aku lega. Dia berpakaian macam biasa orang kampung, berkopiah, baju melayu, kain sarung. Sebelah tangan pegang mangkuk tingkat sebab pakcik makcik aku memang bergilir-gilir hantar makanan ke atuk nenek aku. Tiba-tiba aku tak sedap hati. Kenapa aku tak dengar bunyi enjin motor? Kenapa dia hantar makanan sekarang sebab sekarang petang sedangkan waktu hantar cuma pagi dan tengah hari. Muka dia pulak blur. Macam tiada perasaan. Badan dia bongkok sedangkan dia agak tegap. Kenapa dia berjalan amat perlahan? Selain dari ni, semua keadaan dia menunjukkan dia pakcik aku.

Selepas dia berjalan melepasi aku, dia berhenti. Memusingkan badan dan menghadap aku. Aku dah tak sedap hati. Bila dia pandang aku dia pun cakap “ehhhh Farhannnnn?”. Apa bendanya dia ni. Dia tahu aku ada di kampung kenapa pulak dia terkejut aku ada. Dia berjalan mendekati aku. Semakin dia dekat, 4 benda ni berlaku. Senyuman dia semakin lebar sampai lah akhir sekali ke telinga, gigi dia semakin tajam dan tajam, tangan dia semakin naik hinggalah dalam keadaan dan bentuk tangan macam nak cekik aku, dan kuku semakin memanjang. Aku cuba nak menggelupur tapi tak boleh. Nak baca ayat Quran tak boleh. Aku baca saja dalam hati tapi tajwid semua tunggang-langgang.

Bila tangan dia dah betul-betul nak sampai ke leher aku, entah macam mana aku boleh tutup mata. Aku ambil masa yang agak lama. Bila buka balik mata, dia hilang. Keadaan ruang tamu masih macam masa mula-mula aku kena tindih. Hati aku lega sekejap. Aku tengok keadaan sekeliling nak pastikan jelmaan pakcik aku tu dah betul-betul hilang. Pakcik aku hilang tapi aku perasan orang lain pula, nenek aku. Dia berdiri di sebelah kanan aku. Sebelah kanan aku ni tempat sandar sebab aku baring atas kerusi kayu sofa 3-seater. Kanan lagi ada ruang kosong yang kecil. Kemudian barulah dinding. Nenek aku ni berdiri menghadap ke arah mana kaki aku melunjur. Aku tak nampak muka dia. Kali ni aku tahu ni jelmaan. Dia berdiri tegak padahal nenek aku sedikit bongkok dan bahu sedikit jatuh.

Tiba-tiba, nenek aku ni semakin meninggi. Dia meninggi sampailah dia mencecah siling. Badan dia tembus siling tapi siling tak pecah. Lagi sekali aku takut. Aku cuba tutup mata tapi entah kenapa kali ni cubaan pertama menjadi. Mata boleh tutup. Lama kemudian aku buka mata dan aku boleh bergerak. Dah tak kena tindih. Aku terus ke keadaan duduk. Berpeluh. Jantung degup laju. Kepada pembaca yang pernah kena tindih, korang mesti tahu perasaan “tadi mimpi ke betul-betul terjadi? Benda berlaku tak logik akal tapi rasa memang bukan mimpi”. Dah puas berfikir, aku tengok keadaan sekeliling. Gelap sebab dah maghrib. Aku buka lampu tapi sekali lagi aku tertanya-tanya. Kenapa kipas tertutup? Kenapa TV tertutup? Atuk aku dengan pattern dan keadaan dia aku tahu dia tidak akan berjalan semata-mata nak jimat elektrik. Dia akan duduk dalam bilik sampai maghrib, solat, baca Quran, solat Isya’, kemdudian baru dia keluar untuk tengok TV. Rumah ni pulak besar dan memanjang. Dia pula bertongkat. Selangkah 2 atau 3 saat orang kata. Lagi, takkan dia tutup kipas kalau ada orang tangah guna. Tengok luar tingkap, tiada kereta. Masih lagi aku dengan atuk aku di rumah. Kejadian ni aku tak pernah cerita ke siapa-siapa kecuali kawan sekolah. Keluarga dan saudara-mara pun aku tak pernah cerita. Kipas dan TV tu sampai harini aku tak tahu macam mana boleh tertutup. Kalau logik akal ada satu sebab saja, blackout.

Kisah 2: Bunyi

Hari raya. Masa ni aku sekolah rendah. Darjah 4 atau 5 macam tu. Aku dengan beberapa orang sepupu aku tidur di ruang tamu. Ruang tamu ni ruang tamu yang kedua iaitu dibelakang. Bukan ruang tamu yang aku kena tindih. Ruang tamu ni bersambung dengan dapur dan tandas. Tandas ni luas, ada perigi, sekeliling perigi tu ada ruang yang agak luas, siling separuh terbuka (open-air), dan ada 2 kubikel kecil bersimen. Satu untuk mandi dan satu untuk buang air besar. Yang siling bahagian open-air ni ada pintu untuk ke luar rumah bahagian belakang tepi. Pintu ni berkunci dengan mangga. Kiranya kalau pencuri panjat dinding pun dia tak boleh bawa barang besar keluar. Dapur, tandas, dan ruang tamu dipisahkan dengan pintu kayu yang ada selak boleh dikunci.

Aku tak ingat tapi rasanya dalam pukul 12 lebih malam, semua sepupu aku dah tidur kecuali seorang dan aku. Kami berborak. Tiba-tiba ada bunyi dari dapur. Bunyi macam-macam. Sudip berlanggar dengan kuali macam ada orang masak,, pinggan-pinggan berlanggar, kerusi ditarik, paip sinki terbuka. Aku dengan sepupu aku seorang ni pandang masing-masing. Tak mungkin ada orang kat dapur sebab nak ke dapur mesti melintasi kami. Kemudian bunyi tu berhenti. Tak lama dalam beberapa saat ada bunyi dari tandas pula. Bunyi tong air dicampak ke dalam perigi, bunyi air jatuh macam ada orang mandi dengan gayung, bunyi tandas flush, paip hujan terbuka. Aku dengan sepupu aku dah takut. Kemudian bunyi tu berhenti. Tak lama lepas tu bunyi lagi sekali dari dapur. Kemudian berhenti. Kemudian bunyi dari tandas lagi. Dan kejadian ni berulang.

Semakin lama, bunyi semakin kuat dan ganas seolah-olah orang yang buat bunyi tu macam nak cepat. Walaupun berulang, semua ni berlaku dalam masa yang singkat. Dalam 10 saat saja. Amat singkat. Yang buat kami lari ialah apabila bunyi dari dapur dan tandas bunyi serentak. Aku dan sepupu aku dah tak tahan takut dan berlari menjerit ke arah bilik tidur yang paling dekat, bilik atuk nenek aku. Atuk aku luar. Kemudian orang dalam bilik lain keluar.

Kami cerita apa yang jadi, pakcik aku ambil parang dan buka pintu dapur. Gelap. Barang-barang semua elok. Keadaan macam biasa tiada apa mencurigakan. Tingkap semua okay. Dari dapur, pakcik aku buka pintu tandas. Macam biasa. Tiada apa mencurigakan. Periksa 2 kubikel tu pun tiada orang. Semua orang masuk semula ke bilik masing-masing kecuali pakcik aku ni. Dia duduk di ruang tamu, baca ayat2 Quran, dan suruh kami tidur.

Kisah 3: Sepupu

Kisah ni berlaku sebelum terjadi kisah 2. Aku dengan sepupu-sepupu aku tidur di ruang tamu. Sepupu aku di sebelah aku ni mengiring membelakangi aku. Sedang sedap baring, sepupu aku di sebelah ni buat bunyi. Bunyi macam seakan-akan orang bercakap tapi pelat. Aku gerakkan tubuh dia, dia masih tidur. Aku pun buat tak tahu. Dia pun buat bunyi lagi tapi kali ini aku tak layan. Aku tersengih seorang diri tengok dia mengigau. Tak lama kemudian dia ubah posisi ke keadaan baring. Beberapa detik kemudian, dia mengilai. Mengilai dia sangat nyaring dan tajam tapi perlahan. Aku dah cuak. Aku kejut dia goncang kuat-kuat. Dia pun buka mata, gelak-gelak, lepas tu cakap “weh wehh gurau aku gurau muahahaha”. Binawe punya sepupu.

Sekian kisah dari saya. Banyak lagi yang berlaku di rumah ni cuma kejadian sekejap saja, benda putih melintas luar tingkap, bunyi orang berjalan luar rumah, bunyi motor parking depan rumah tapi bila tengok tiada apa. Ada satu lagi kisah di rumah ni yang aku nak sangat cerita sebab kisahnya panjang dan menakutkan tapi aku tak cerita sebab banyak sangat perincian yang aku dah lupa. Aku kecil sangat masa tu. Yang aku ingat, bunyi tapak kaki atas bumbung, nenek aku mimpi ngeri dan mengigau, ada ustaz datang berubat. Semua ni dalam satu kisah dan berlaku sebab orang hantar sihir.

Kalau aku buat hantaran yang ke seterusnya, aku aku akan cerita pula kisah-kisah di rumah atuk nenek aku sebelah mak aku pula.
Sedeqahkan Al-Fatihah kepada kedua-dua arwah atuk nenek aku ye pembaca sekalian. Terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Farhan

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.