Kampung Seribu Kubur 3

Mak dan kakak sedang duduk di meja makan. Masing-masing sedang menghirup kopi, sambil menikmati cekodok pisang yang baru saja kakak siapkan. Aku sahaja yang berdiri, mundar-mandir di tangga dapur. Kejap-kejap mataku memandang ke atas, mengharapkan Intan akan muncul di situ.

“Makanlah dulu nak,” tegur mak yang resah melihat keresahanku.

Sebagai anak yang soleh (???) aku tak punya pilihan melainkan duduk di sebelah kakak.

“Kau ni pun makanlah dulu. Tak akan dilamun cinta teruk sampai tak boleh makan?” usik kakak.

Aku memancarkan jelingan tajam ke arah kakak. Mak pun berbuat benda yang sama. Kakak cuma tersengih mengangkat tangan, tanda meminta maaf. Ya, kakak memang tak tahu bila hendak berhenti berjenaka.

“Orang tak patut bawak dia balik kampung,” rungutku sendirian.

Mak mengeluh. “Tak baik kau cakap macam tu nak. Dah takdir jadi macam tu, kita tak boleh salahkan takdir. Sekarang kita cuma boleh doa je, supaya dia sedar.”

Aku mengangguk. Sekurang-kurangnya badan Intan sudahpun tak lagi menggigil. Setelah diberikan air yaasin tadi, Intan sudahpun menutup mata, tidur sehinggalah sekarang.

“Apa yang jadi kat dia mak?” soalku kembali. Mak terdiam. Cekodok yang tadinya sudahpun hampir memasuki mulut kini diletakkan kembali di atas piring. Mak mengeluh panjang, sambil menggelengkan kepala.

Entah kenapa rasa marah tiba-tiba berkumpul dalam diriku. Merebak merata melalui pembuluh d***h. Naik turun dadaku, nafasku kencang serta merta.

“Mak cakap semalam kat Intan, yang mak tahu pasal asal usul nama kampung ni. Tapi mak tak pernah pun cerita pada kami. Setiap kali saya dengan akak tanya mak mesti diam,” tuturku, dalam nada suara yang semakin tinggi.

Kakak mula menyiku lenganku, barangkali menyedari yang suara aku semakin meninggi. Tapi aku tak ambil peduli.

“Tu anak dara orang mak. Apa yang orang nak beritahu nanti kat mak bapak dia? Kalau mak tahu sesuatu pasal kampung ni, baik beritahu sekarang. Irfan rasa mak tahu apa yang sebenarnya jadi kat Intan,” tuturku yang kini sudahpun berdiri.

“Irfan! Baru kenal beberapa tahun dengan perempuan lain dah nak kurang ajar dengan mak eh?!” tutur kakak yang kini sudahpun berdiri di sebelah. Matanya terjegil marah memandangku, tapi aku tak ambil pusing. Mataku tajam memandang mak di depan.

Mak seperti terkesan dengan kata-kataku itu. Matanya terus berkaca. Bila menyedari yang aku mungkin telah melampaui batas, aku kembali duduk semula. Cuma kakak sahaja yang masih berdiri, sambil mencekak pinggang memandangku.

“Mintak maaf dengan mak sekarang!”

“Eh, dahlah, jangan gaduh-gaduh,” tutur mak, lembut sahaja suaranya. Kakak kembali duduk, tapi jelingan tajam dari matanya masih tak lekang memandangku. Aku hanya mampu menundukkan wajah.

“Lagipun, betul cakap Irfan tu. Mak tak pernah beritahu pun kat kamu semua pasal kampung ni. Mak rasa tak adil untuk kamu. Sebab kamu semua membesar di kampung ni,” tutur mak lagi.

Aku dan kakak saling berpandangan. Mata kakak sudah tak lagi menjeling tajam, tapi renungan tuduhan masih ada di mata itu. Seperti mengatakan yang ini semua salah aku. Tapi kami berdua hanya mendiamkan diri. Menunggu mak menghabiskan bicaranya.

“Kamu berdua masih ingat tak, masa kamu kecil? Apa yang kita sekeluarga selalu buat, bila menjelang 3 pagi?” soal mak.

Aku memandang kepada kakak, seperti meminta dia mendahului. Lagipun dia kakak, dia lebih tua.

“Mak panggil kami semua ke bilik mak, tidur sekali semua dengan ayah,” balas kakak.

Mak mengangguk, dengan sedikit titisan senyuman jelas di hujung bibirnya.

“Walaupun dah banyak kali mak dengar bunyi tu, walaupun telinga ni dah banyak kali menjamah bunyi tu, ia tetap rasa tak biasa. Tetap rasa ganjil. Macam…bunyi tu sendiri bukan datang dari alam ni. Tak ada binatang rasanya yang boleh buat bunyi macam tu,” tambah mak lagi.

Kami berdua mengangguk, bersetuju dengan mak.

“Tapi dulu bunyinya kerap. Masa kamu kecil, boleh kata tiap-tiap malam bunyi tu datang. Sekarang, adalah dalam 3 bulan sekali, 4 bulan sekali. Tapi ia tetap datang. Dan bila setiap kali ia datang, mak memang meremang, kadang-kadang sampai menggigil satu badan.”

Kami berdua hanya diam. Mata kami kini tertumpu pada mak. Barangkali mak sudahpun memasuki mod monolog, memainkan kembali memori yang tersimpan dalam kepala tuanya. Yang penuh dengan pengalaman dan juga pengajaran. Kami menunggu penuh minat pengajaran yang ingin disampaikan.

“Mak dengan ayah dah didik kamu berdua sejak kecil lagi. Jadi kamu dah tahu pantang larangnya, bila menjelang pukul 3. Kamu ingat tak kakak, pernah satu kali kamu nak terkencing sangat. Tapi mak tahan, ayah kau sanggup pergi ambilkan baldi, mintak kau kencing dalam tu. Dia memang akan pastikan kita sekeluarga duduk bersama, tak berpisah bila pukul 3 pagi tiba. Sebab tu kamu dah tahu, dah terdidik dengan pantang larang tu.”

Aku menjeling pada kakak, mulutku seperti ingin mengeluarkan ayat perlian tajam. Tapi aku terhenti bila melihat mata kakak yang terbeliak besar. Barangkali imbasan memori itu kini baru terlintas di ruang fikirannya.

“Jadi betul cakap kau Irfan. Kau tak patut bawak Intan ke sini. Memang kita boleh pesan dia, ingatkan dia. Tapi pesan dengan didik lain bezanya. Dia tak tahu bahaya kampung ni, bila menjelang pukul tiga pagi.”

Aku rasa tak senang duduk. Tanganku yang digenggam ke depan, kini diulit-ulit dengan rasa bersalah. “Irfan minta maaf mak,” tuturku, sambil memandang mak. Mak sekadar tersenyum.

“Tapi kau salah satu benda Irfan. Ya, mak tipu Intan semalam. Kata mak tahu pasal asal-usul kampung ni. Mak sebenarnya tak tahu apa-apa. Pasal orang tua mak tak beritahu apa-apa. Tak ada siapa pun di antara penduduk kampung ni yang tahu kenapa ada seribu kubur kat kampung ni. Kami hanya tahu pantang larang sahaja yang ada. Dan apa yang perlu dibuat bila menjelang pukul tiga.”

“Tak akan tak ada seorang pun tahu mak?” soal kakak, yang dari tadi mendiamkan diri.

Mak menggelengkan kepala. “Kubur-kubur yang ada di kampung ni dah wujud sejak beratus tahun yang dahulu. Dulu pernahlah ada ketua kampung baru nak pindahkan semua kubur-kubur ni. Dia dapat bantuan Adun. Jentolak semua dibawanya. Tapi tak berjaya. Sampai je jentolak kat kampung ni terus rosak. Berganti-ganti jentolak tu, tapi satu pun tak boleh dipakai. Duit dah banyak yang habis, tapi satu tapak kubur pun tak berjaya nak dialihkan. Akhirnya mereka buat keputusan, yang kubur tu memang tak boleh nak dialihkan,” cerita mak lagi.

Aku dengan kakak saling berpandangan. “Habis tu macam mana dengan Intan mak? Tak akanlah kita nak biarkan je macam ni?” soalku kembali.

Mak mengeluh, lalu terus menunddukkan wajah. Barangkali sedang mencari jawapan yang sesuai, sambil menyusun kata. Tapi bila mak kembali membuka bicara, kami berdua terkejut mendengar jawapannya.

“Kamu berdua tahu tak, yang kamu berdua patutnya ada mak cik?” soal mak.

Aku keliru, tak faham dengan apa yang dikatakan mak. Kakak pula menggelengkan kepala dengan mata yang masih lagi terpaku pada mak.

Dengan senyuman yang separuh siap, mak memulakan ceritanya. “Ya, mak ada adik dulu. Umur dia dengan mak beza setahun je. Kami dibesarkan di rumah ni lah. Di rumah pusaka. Tinggalan arwah datuk kamu. Tapi, kamu tak sempat jumpa dengan dia. Dia meninggal sebelum mak kahwin lagi. Dia pernah alami benda yang sama macam Intan.”

Mata aku terbeliak. Aku kini mendengar cerita mak dengan penuh minat.

“Masa tu mak baru masuk 7 tahun, baru setahun masuk sekolah. Mak cik kau umur 6 tahun. Kami berdua tidur sebilik. Sama bilik dengan kakak kau. Kami dah faham dah dengan pantang larang pukul 3 tu. Sebab arwah atuk kau garang. Kalau mana-mana peraturan dia yang kami tak ikut, memang berbirat satu badan. Cuma mak cik kau ni sahaja, dia memang nakal sikit. Yelah, mungkin sebab dia ingat dia anak bongsu, jadi atok tak akan marah kat dia. Ya, memang atok tak marah kat dia. Bukan sebab dia anak bongsu, tapi sebab lain.”

“Jadi satu malam tu, dia kejutkan mak. Katanya nak mintak mak temankan dia pergi kencing. Mak ingat lagi peristiwa tu, macam seolah-olah baru berlaku semalam. Mak jeling ke jam kat dinding. Masa tu 10 minit lagi sebelum pukul tiga. Mak gelengkan kepala. Mak cakap takut atok kau marah. Tapi mak cik kau berkeras, katanya dah tak tahan. Mak suruh dia pergi sendiri. “

Mak berhenti, menghirup kopi yang ada di atas meja. Barangkali rasa haus sudah merangkak ke tekaknya. Aku dan kakak hanya mendiamkan diri. Menunggu mak menyambung bicara. Di luar, matahari semakin meninggi, kini sudahpun masuk menembusi ke dalam rumah.

“Mak cik kau ni memang berani. Dia tak macam mak. Dia memang langgar je, tak kisah apa nak jadi. Dia tahu dia tak tahan nak kencing, dia pergi je. Tak fikir banyak. Mak dengar bunyi dia keluar dari bilik, lepastu turun ke dapur. Sampai sekarang mak menyesal, kenapa mak tak temankan dia sekali. Tapi benda dah jadi kan. Kita tak boleh buat apa-apa, melainkan jadikan ia sebagai pengajaran.”

“Mak terlelap lepas tu. Tapi tak lama. Selang beberapa minit, bunyi tu bermula,” tutur mak, perlahan.

Aku dengan kakak hanya terpaku. Masing-masing menelan air liur. Di luar, walaupun cahaya matahari sudahpun mula terik, rasa meremang tetap berjaya menguasai kami.

“Kamu tahu kan, macam mana bunyinya? Mendayu-dayu. Bersahut-sahut. Seolah-olah macam ada binatang yang menjerit kesakitan. Tapi binatang apa? Tak pernah sepanjang hidup mak dengar bunyi binatang macam tu. Tak tahulah kalau kamu berdua pernah dengar kan. Kat internet ke, kat TikTok ke,” tutur mak, menduga.

Aku dengan kakak menggeleng. “Tak pernah mak. Bunyi tu memang special kat kampung ni je ada,” tuturku, berjenaka. Cuba untuk menghidupkan suasana. Tapi tak ada siapa yang ketawa. Kakak dengan muka yang pucat bertanya,

“Lepas tu apa yang jadi mak?”

Mak mengeluh. Seperti berat untuk menghabiskan cerita. Tapi akhirnya, mulutnya terbuka jua, “Dalam bunyi yang bersahut-sahut, mak terdengar mak cik kau menjerit. Terus mak terbangun dari katil. Mak meluru keluar dari bilik. Tapi atok kau lagi laju. Dia berlari melepasi mak, sampai kat pintu dapur. Tapi atok kau tak turun ke bawah. Dia kaget. Dia berdiri je depan pintu dapur. Mak tanya kat atok kau, kenapa tak turun. Bila atok kau tahu mak ada kat belakang, terus dia tutup pintu dapur tu.”

Aku dengan kakak terkejut. “Huh?” soal kakak, tak percaya dengan apa yang disampaikan mak.

Mak mengangguk. “Mak jadi tak tentu arah. Mak cik kau tengah menjerit-jerit ni, mintak tolong. Tapi atok kau hanya berdiri di depan pintu, macam jadi penjaga. Tak bagi mak lepas. Mak merayu-rayu kat atok kau, tolong selamatkan mak cik. Sampai nenek kau datang. Tapi atok kau menggelengkan kepala. Katanya kejap lagi, kejap lagi.”

Aku dengan kakak saling berpandangan. Apa yang mak ceritakan ni menimbulkan seribu persoalan. Tapi kami hanya membiarkan mak menyambung cerita.

“Sampailah keadaan bertukar senyap sunyi. Dah tak ada lagi suara jeritan mak cik kau, dan juga bunyi binatang tu. Lepas tu barulah atok kau bukak pintu dapur. Tapi, mak cik kau dah tak ada.”

Kakak menutup mulutnya yang ternganga, dengan kedua belah tangannya. Aku pula bertanya, “Apa yang jadi mak?”

“Bila kami turun je ke dapur, kami nampak pintu dapur yang kat bawah tu terbukak. Dan mak cik kau hilang, tak nampak di mana. Nenek kau cadang nak cari kat sekeliling rumah. Tapi atok kau seolah-olah tahu apa yang jadi. Dia terus pergi ambil parang, dan suruh kamu tunggu kat rumah. Dia keluar terus ikut pintu dapur, seperti mengejar sesuatu.”

“Dapat tak?” soal kakak pula.

Mak mengangguk. “Tapi lama kami tunggu. 2 hari. Setiap hari kami berdoa solat hajat tak berhenti-henti. Orang kampung semua datang ke rumah, baca Yaasin, baca Al Mathurat, semua ayat penawar semua kami baca. Pada malam hari kedua, atok kau sampai. Mak cik kau dalam dukungan dia. Sihat, cuma nampak lemah sikit.”

Aku dan kakak melepaskan nafas lega. Terutama sekali aku, yang nampak jalan harapan yang terbentang di depan mata.

“Irfan, kau tutup lampu dapur ni. Dah siang hari dah pun. Pastu kau bukak tingkap tu,” arah mak kepadaku. Aku patuh, dan bangun mengikut apa yang disuruh. Kakak pula bertanya,

“Apa yang sebenarnya jadi pada mak cik mak? Macam mana atok selamatkan dia?”

Mak menggelengkan kepala. “Mak tak tahu. Mak cuba korek pada nenek, pada atok, malah pada mak cik kau sendiri. Tapi tak ada seorang pun yang beritahu mak apa yang sebenarnya berlaku pada mak cik malam tu. Sampailah, mak cik kau meninggal, 2 tahun sebelum mak kahwin.”

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul
Rating Pembaca
[Total: 82 Average: 4.6]

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.