Kampung seribu kubur akhir

Kampung Seribu Kubur
Bahagian Akhir

Lelaki tua itu berdiri di atas perancah, seperti penceramah yang sedang menyampaikan laungan motivasinya kepada pelajar-pelajar sekolah. Yang membezaan hanya kerut amarah yang terpampang jelas pada wajah lelaki tua itu. Dan juga Intan yang terikat di belakang.

Pada mulanya aku tak dapat mendengar apa yang dituturkan lelaki itu. Telinga aku seperti ditutupi hijab. Aku menyedari ada teriakan di kiri dan kananku. Ada sambutan sorakan. Tapi aku tak dapat mendengar lansung apa yang mereka sorakkan. Aku berjalan lagi ke depan. Mengharapkan apa yang sedang laungkan itu mampu mencecah telingaku. Kerana sejujurnya debar di jantungku sudahpun kencang. Bak pelari pecut yang bakal memenangi pingat olimpik.

Tapi sebaik sahaja aku sampai di depan perancah, lain pula jadinya. Intan yang dari tadi tak lepas dipandang mataku, yang dari tadi meronta-ronta ingin melepaskan diri, kini sudahpun berubah wajah. Aku terpaku, kerana di depanku bukan lagi Intan. Hanya seorang gadis Melayu, dengan tahi lalat di atas bibirnya, meronta minta dilepaskan.

“Kita tak boleh biarkan!!!”

Aku hampir tersungkur ke belakang. Suara yang kuat tiba-tiba sahaja menjengah telingaku. Aku menoleh pula pada lelaki tua itu yang kini berdiri tinggi betul-betul di depanku.

“Kampung kita bukannya kampung yang boleh sewenang-wenangnya dipijak! Maruah yang kita ada ni tak sepatunya dihenyak-henyak oleh sesiapa, apatah lagi oleh pendatang dari luar. Pendatang orang putih yang tak pernah nak ambil tahu pasal adat kita. Apatah lagi nak hormat budaya kita! Dan perempuan inilah dalangnya!”

Teriakan yang kuat bergema di kiri dan kananku. Aku lihat mereka yang masing-masing memegang obor penuh dengan amarah di wajah. Dan amarah mereka nampak jelas ditujukan pada perempuan yang sedang diikat.

“Perempuan ni. Yang datang dari kalangan kita. Yang kita besarkan dengan budaya kita. Dalam masyarakat kita. Kita tak pernah ambil remeh kebajikannya. Kita jaga setiap dari kalangan kita, pastikan setiap dari kalangan kita tak berlapar di waktu malam. Tak menangis kerana kesusahan. Kerana kita tahu, itu tanggungjawab. Itu fardhu kifayah kita untuk menjaga kebajikan jiran. Kalau ada yang susah kita hulurkan bantuan. Yang mana yang senang tak berat nak memberi.”

“Betul! Betul!”

Orang-orang di kiri dan kananku mula mengangguk. Bak ayam yang sedang mematuk tanah.

“Tapi perempuan ni berani, membawa masuk orang luar dalam masyarakat kita. Orang yang tak tahu cara kita. Tak hormat dengan budaya kita. Perempuan ni tanpa malu menyerahkan maruah dia pada lelaki orang putih itu. Tanpa dia sedari, pada masa sama dia telah menghenyak maruah kita semua!”

Laungan persetujuan bergema di kiri dan kananku. Membawa api amarah semakin marak menyala. Aku dapat merasakan amarah yang sama mula berjangkit padaku. Meningkatkan debar di jantung, dan membaw d***h yang panas ke seluruh badan. Aku memerhatikan perempuan itu yang kini sudahpun berpeluh meronta untuk melepaskan. Ketika itu difikiranku hanya satu perkataan, terpampang merah menyala.

“ZINA!! Perempuan ni sanggup melakukan perkata terkutuk ketika kita semua sedang beribadah! Ketika kita sedang membanting tulang untuk hidup mengikut aturan Tuhan. Tapi perempuan binasa ini sanggup melakukan dosa pada Tuhan!”

“Bukan!! Kami dah kahwin!”

Suara perempuan itu lemah, perlahan. Tapi ia mampu menghentikan orang tua itu. Seluruh kerumunan yang sedang berkumpul di kiri dan kananku kaget. Ada yang sudahpun menurunkan parang dan cangkul yang dari tadi mereka julang setinggi-tingginya.

“Kami dah kahwin. Dan dah dapat restu dari….”

“Murtad!” jerit salah seorang dari kananku. Orang tua yang dari tadi terdiam, dengan mulut yang ternganga kini tersenyum. Seolah-olah alasan yang dicari tadi kini sudahpun dicampakkan ke arahnya.

“Ya!!! Kau keluar dari agama kan perempuan celaka? Kau keluar, supaya kau dapat bersama dengan orang putih tu. Kau tinggalkan pegangan hidup kau, semata-mata nak bersama dengan orang putih tu kan? Jawablah!!”

Aku lihat perempuan itu menggelengkan kepalanya dengan pantas. Tapi tiada kata-kata yang keluar dari mulutnya. Barangkali tersekat di kerongkong.

“Kau tahu kan, ikut Islam murtad tu apa hukumannya?” soal leaki tu itu lagi.

Perempuan itu tak menjawab. Lebih kepada tak mampu menjawab. Dia hanya menggelengkan kepala sepantas yang mungkin, sambil bergenang air matanya. Kelihatan bersinar air mata perempuan itu dari tempatku. Bersinar dipantul cahaya api dan obor yang ada di sekitarnya.

Lelaki tua itu menunggu dengan sabar. Senyuman yang terukir di bibirnya makin lama makin memanjang. Dia menunggu jawapan yang sudah pasti tersedia di depan mata. Hanya menanti sesiapa untuk menuturkan jawapan itu dengan kuat. Bila masing-masing masih lagi diam, dia berpaling kembali ke belakang. Memandang penyokongnya yang sudahpun mabuk amarah. Lelaki itu melontarkan soalan itu sekali lagi.

“Apa hukuman murtad dalam Islam??!”

“B***h!!!”

Lelaki tua itu tersenyum. Terus diambil parang, dari genggaman orang yang paling dekat dengannya. Tanpa berfikir panjang, dia terus menghampiri perempuan yang terikat, yang kini sudahpun menggeleng dengan begitu pantas, sampai nak tercabut kepalanya.

Sambil berdiri di depan perempuan itu, dengan parang terhunus di tangan, lelaki itu bersuara dengan kuat. Di kiri dan kananku, aku melihat laungan dan sorakan semakin kuat. Dimarakkan api amarah yang sudahpun membakar dalam diri mereka masing-masing. Tak ada apa lagi yang mampu menghentikan apa yang bakal berlaku.

Aku yang sudah boleh mengagak apa yang akan terjadi mula bergerak ke depan. Aku menolak ke tepi, orang di kiri dan kananku. Mereka seperti tak menyedari akan kehadiranku. Dengan pantasnya, aku memanjat perancah. Membawa diriku ke atas. Kejap-kejap aku menoleh ke belakang. Memerhatikan jika ada yang menyedari gerakku. Tapi mereka masih begitu. Hanyut dalam amarah. Seperti aku tak wujud di depan mereka.

Menyedari yang aku tak akan diganggu, aku teruskan langkah. Membawa badanku ke atas perancah. Dengan pantas aku menghampiri lelaki tua itu, cuba untuk menarik tangannya. Aku tak tahu, semangat apa yang merasuk aku ketika itu, yang aku tahu, aku perlu selamatkan perempuan itu.

Tapi, tanganku terlepas. Apa yang aku tarik hanyalah angin. Terkejut, aku mencuba sekali lagi. Tapi ia masih tak berjaya. Lelaki tua itu sudahpun mengangkat parang, dan meletakkannya di leher perempuan. Cemas kini menguasai diriku. Barulah aku faham mengapa mereka tak menyedari akan kehadiranku di atas perancah.

“Aku sebagai ketua di kampung ni, jatuhkan hukuman m**i pada kau!” tutur lelaki tua itu. Parangnya mula bergerak, dalam satu gerakan sahajah. Perempuan itu yang dari tadi meronta, kini terbeliak. Tapi dia tak mampu untuk berbuat apa-apa. D***h terus mengalir dari leher perempuan itu, bak pokok getah yang baru sahaja ditoreh.

Perempuan itu yang tadinya meronta-meronta untuk melepaskan diri dari ikatan, kini meronta pula untuk menahan nyawa yang sudahpun separuh keluar. Tapi rontaannya sia-sia, dalam hanya beberapa saat sahaja, kepala perempuan itu sudahpun terjelepok ke kiri, dengan lidah yang terjulur keluar, menitik darahhnya membasahi lantai.

Aku hanya boleh memerhati sahaja apa yang berlaku. Mata aku terbeliak besar, seperti ditahan dari ditutup. Adengan ngeri itu kini terakam kemas dalam kotak fikiranku. Bersedia untuk dimainkan kembali, sebagai mimpi ngeri yang akan menganggu setiap tidur malamku.

Dan bila sahaja kepala perempuan itu terjelepok ke tepi, wajah yang menghuni kepala itu berubah kembali. Menjadi wajah Intan. Menjemput jeritan keluar dari tekakku.

***
Jeritan yang keluar dari tekakku, membawa sekali kegelapan yang kini melindungi seluruh pandangan mata. Gelap gelita kini di kiri dan kananku. Membawa sekali kesunyian. Aku yang sudahpun terduduk, kini bergenang air mata. Entah kenapa. Mungkin kerana melihat kematian di depan. Mungkin juga kerana yang aku sangkakan tercabut nyawa tadi ialah Intan.

Kerana itulah aku hanya bertafakur di situ. Dalam kegelapan. Tapi tak lama. Dalam beberapa ketika, cahaya kembali bersinar. Yang gelap, kembali terang. Cahaya matahari mula menyinari wajahku. Tapi aku tak lagi berada di atas perancah. Aku berada di tempat yang aku tak kenali.

Kepalaku berputar, ke kiri dan kanan. Cuba untuk memahami di mana aku berada. Aku tahu, tempat yang aku bertafakur ini kini bukan lagi percancah. Tapi tanah merah yang dikelilingi rumput. Di kiri dan kananku, aku diapit oleh rumah kayu yang lama. Dengan atap rembia menutup bumbungnya.

Kejutan demi kejutan menimpa diriku. Soalan demi soalan berkumpul, menggunung, sampai ingin termuntah dari dalam perutku. Aku perlahan-lahan bangun, barangkali ingin mara ke depan. Cuba untuk mencari sekelumit jawapan. Tapi belum sempat aku bergerak, sekujur tubuh terlebih dahulu mara ke depan melepasiku.

Tubuh itu berselubung, ditutup badannya dengan jubah hitam. Geraknya pantas, tapi aku sempat menangkap jelingan matanya yang seperti menyedari kehadiranku. Tapi hanya seketika. Selepas itu dia terus mara ke depan, tanpa memepedulikan aku. Aku memerhatikan tubuh itu yang kini sedang berdiri di tengah-tengah jalan. Tanpa dihiraukan oleh penduduk kampung.

Ada yang sedang berkumpul di tangga, berborak dan bergelak ketawa. Ada yang sekadar duduk di pangkin, memerhatikan gelagat yang lalu lalang. Ada juga yang sedang berkumpul beramai-ramai di padang rumput, bermain sepak takraw. Setiap seorang dari mereka sedang khayal. Lansung tak menyedari kehadiran tubuh berjubah itu.

Aku menghampiri lelaki itu dari belakang. Tapi dengan penuh berhati-hati. Hati aku ketika itu kuat mengatakan, yang lelaki berjubah itu tak akan menyedari bila aku menghampiri. Tapi sangkaanku hanya tinggal sangkaan. Bila sahaja kakiku hanya beberapa inci lagi dari lelaki itu, dia mula berpusing memandangku.

Lelaki itu tersenyum menyeringai melihatku. Membuatkan seluruh bulu romaku berdiri tegak. Mulutnya bergerak, seperti sedang terkumat-kamit membaca sesuatu. Sejurus selepas itu, langit terus bertukar gelap. Seperti ada hijab yang diturunkan terus dari langit.

Aku kini kaget, longgar lututku. Separuh dari diriku ingin berpusing, dan berlari sejauh yang mungkin. Tapi ke mana? Aku sendiri pun tak tahu. Kerana itulah separuh lagi dari diriku berdiri tegak di situ. Kaki bagai dipasak di atas tanah. Dipasak oleh paku yang bernama ketakutan.

Lelaki itu yang masih lagi tak luntur senyuman di wajahnya itu (malah semakin melebar), kini datang berjalan menghampiriku. Tangannya didepangkan, seolah-olah dia sedang menjemputku untuk melihat kemusnahan yang bakal dibawanya. Di belakang, jeritan sudah mula sahut menyahut. Setiap satunya membuatkan lututku semakin longgar.

Menggeletar teruk seluruh tubuhku. Aku menoleh pula ke kiri dan kanan. Melihat kalangan ramai yang tadi sedang berpesta bersuka ria. Tapi kini masing-masing sedang meronta. Ada yang sedang memegang seluruh tubuh mereka, seolah-olah menahan kesakitan yang entah datang dari mana (atau dari siapa). Aku pula hanya kaku, tak mampu berbuat apa-apa.

Mataku kini terpaku pula pada budak yang paling dekat denganku. Gasing yang dipegangnya tadi terlepas ke tanah. Budak itu pula kini sedang berguling-guling di atas tanah. Seperti ada sesuatu yang sedang merobek isi organ di dalam badannya. Aku ingin membantu, tak sanggup melihat budak itu meronta-ronta sebegitu. Tapi kakiku kaku. Terpaku di atas tanah. Aku masih lagi menggeletar bila lelaki itu kini hanya beberapa inci sahaja lagi dariku. Dengan senyuman yang menyeringai lebar, seperti terukir pada wajah yang bukan manusia.

Tiba-tiba erangan budak itu terhenti, seluruh tubuhnya kini kaku, tak bergerak. Sejurus selepas itu tubuhnya bagaikan terangkat dari rumput. Membengkok ke atas. Seolah-olah ada benda yang ingin keluar dari perutnya. Aku pula masih lagi kaku. Tak mampu untuk bergerak, apatah lagi memalingkan kepala. Aku seperti dipaksa untuk melihat adengan itu. Untuk merakamnya dalam kotak kepalaku. Dan bila perut budak itu terobek keluar, membawa keluar semua isinya, aku menjerit sekuat hatinya. Tapi tetap, mata aku terbuka luas.

Pada mulanya aku tak faham apa yang sedang aku lihat. Di tengah-tengah tubuh budak itu, yang kini terobek, dengan isi perutnya meleleh ke tepi, adalah sebuah batu berwarna putih. Permukaannya yang masih lagi kehitam-hitaman, perlahan-lahan bertukar cerah. Tubuh budak itu, mereput pantas, meninggalkan tulang belulang yang juga rapuh. Seperti masa dipercepatkan di depan mataku. Permukaan batu putih itu kini cerah, mendedahkan ukiran jawi yang tersemat kemas di atasnya. Terbeliak besar mataku, melihat batu nisan yang kini tersergam, di atas tubuh budak tadi yang sudahpun mereput.

Aku melihat pula ke arah tak beberapa jauh dari situ. Satu lagi batu nisan kini berdiri, di atas tubuh yang tadinya meronta-ronta di atas rumput. Seluruh pemandangan itu, mengkhayalkanku. Sehingga aku tak menyedari kehadiran lelaki itu ynag kini hanya seinci dari kepalaku. Nafasnya, membuatkan aku menoleh. Melihat senyumannya yang masih lagi menyeringai, seluruh tubuhku kini menggeletar ketakutan. Dia mula menjerit, membuatkan aku pitam. Namun, sebelum mataku tertutup, jeritan itu sempat menjengah telingaku.

“Here is your one thousand Graves!!!”

***
Keliru merupakan perkara pertama yang menjengah ruang fikiranku, sebaik sahaja aku membuka mata. Sangkaanku, yang aku kini sudahpun kembali ke bilikku sendiri. Rupanya, mimpi ngeriku masih lagi belum berakhir. Pandang mataku kini dijamu dengan siling yang usang, berbumbungkag zink besi. Dengan keadaan yang gelap mengelilingiku.

“Kau dah bangun?”

Suara itu membuatkan aku hampir saja melompat. Aku menoleh ke belakang, melihat lelaki berjubah tadi, yang kini sedang duduk bersila. Aku pantas bangun, menyedari yang aku kini terbaring hanya beberapa kaki dari lelaki yang bertanggungjawab, ke atas Kampung Seribu Kubur.

“Tak perlu takut, yang aku tunjukkan kau tadi hanyalah serpihan dari memori.”

Aku yang kini sudahpun berdiri rapat dinding, menyedari yang tempatku berbaring adalah pondok di dusun datuk. Mataku pula masih terpaku pada lelaki itu yang tetap bersila di tempat yang sama. Kejap-kejap aku menjeling pada pintu keluar, mencari peluang untuk lari dari situ. Kerana sejujurjnya, aku tak mampu lagi menanggung ketakutan yang terlalu berat. Yang mungkin sudahpun memberi kesan sepanjang hayat.

Tapi, entah kenapa mulut aku mula bersuara, bertanya pada lelaki itu.

“Kau boleh bercakap bahasa Melayu?”

Lelaki itu mengangguk. “Aku dah ada kat Tanah Melayu ni, beratus tahun dah. Tak akan aku tak boleh faham bahasa orang kat sini.”

“Jadi, kampung ni ada seribu kubur sebab kaulah kan?” soalku kembali.

Lelaki itu kini menoleh memandangku. Membuatkan aku hampir sahaja menjerit. Mujurlah, mataku kini boleh ditutup. Walaupun sekejap sahaja, tapi melihat wajah yang tanpa bebola mata cukup untuk menjadi mimpi ngeri tiap malamku.

“Ya, aku buat begitu sebab dendam. Sebab apa yang mereka lakukan pada isteriku.”

“Isteri?” soalku lagi, yang kini sudahpun perlahan-lahan menghampiri pintu hadapan. Separuh dari diriku ingin melarikan diri, tapi separuh lagi, masih inginkan jawapan.

“Ya, perempuan yang kau nampak d*****r lehernya tu isteri aku. Cinta hati aku. Kami dah berkahwin. Tapi orang kampung ni terus menghukum, tanpa usul periksa.”

Aku tidak menjawab, sebaliknya merapatkan lagi kedudukanku ke pintu. Jantungku ketika itu berdebar terlalu kencang. Seperti hendak tercabut dibuatnya.

“Kau pun sama kan? Kau buat benda ni sebab cinta. Kau sanggup merentas hutan yang gelap ni, sebab cinta?”

Aku kaget. Terus terhenti langkahku. “Apa yang kau dah buat dengan Intan?” soalku, entah dari mana aku dapat amarah yang kini terasa membuak-buak dalam diriku.

“Aku tak buat apa-apa pada dia. Apa yang terjadi pada dia adalah kerana dia sendiri melangga pantang larang. Roh yang terperangkap di kampung ini, akan keluar setiap 3 pagi. Dan pada waktu itu, dia akan mencari tubuh yang masih boleh dihuni. Kerana tubuh asalnya, sudahpun berubah menjadi tiang nisan yang berceracak,” jelas lelaki itu.

Aku mara selangkah ke hadapan. Penuh dengan berpuluh persoalan dalam kepalaku. Tapi belum sempat aku bertanya, lelaki itu telah terlebih dahulu bersuara,

“Kau baliklah dulu. Intan dah selamat sedar. Walaupun roh-roh ni semua menyimpan dendam padaku, tapi kata-kataku masih terikat pada mereka. Kau baliklah,” tutur lelaki itu lagi.

Dengan kata-kata lelaki itu, aku terus membuka langkah seribu, melarikan diri melepasi dusun atuk, membawa diriku kembali ke rumah.

***
Ya, begitulah para pembaca semua. Begitulah asal-usul nama kampung aku. Kampung Seribu Kubur. Sejak daripada malam itu aku begitu payah nak balik ke kampung. Jika mak menelefon pun aku akan memberi seribu macam alasan. Dan pada masa yang sama, aku akan cuba untuk memujuk mak berpindah jauh dari kampung tu. Tapi bila ditanya kenapa, aku mendiam seribu bahasa. Sekali pun, aku tak pernah ceritakan apa yang berlaku padaku malam tu.

Tapi kini, aku menulis pada korang semua. Tentang segalanya. Aku tak mampu untuk menyimpan lama rahsia ini. Semuanya, kerana apa yang aku lihat pagi tadi.

Alhamdulillah, pagi tadi, aku dah selamat diijabkabulkan dengan Intan. Dalam hati aku yang macho seperti ini pun, masih mampu berkembangnya taman bunga yang indah. Berbunga-bunga betul hati aku pagi tadi. Tapi, pada masa yang sama, aku rasa takut.

Kerana, sewaktu aku sedang diarak ke pelamin, satu kelibat menarik perhatianku. Lelaki berjubah itu, yang sedang berdiri di khayalak ramai. Sambil memandang aku dengan senyuman yang menyeringai. Matanya memandangku dengan penuh erti.

Aku tahu, malam itu, aku tak sepatutnya terlepas. Aku tahu, tak sepatutnya Intan diselamatkan begitu sahaja. Pasti ada harganya. Dan aku takut, lelaki berjubah itu datang untuk menuntut. Kerana aku tahu, syaitan penuh dengan tipu muslihatnya pada manusia.

Kerana itulah, aku duduk di sini. Menulis cerita ini untuk bacaan korang semua. Aku mengharapkan yang cerita aku ini akan sampai kepada korang semua. Kerana, kalau apa-apa terjadi pada aku, aku mengharapkan yang korang semua akan tahu, apa yang sebenarnya terjadi, di Kampung Seribu Kubur.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 112 Average: 4.7]

4 thoughts on “Kampung seribu kubur akhir”

  1. Hi Amyrul. Saya follow story u dari part 1. Actually soalan saya, wujud betul ke kg tersebut? Kalo wujud di mana lokasinya? Da apa benda yg dituntut oleh lelaki berjubah hitam tu?

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.