Kampung Seribu Kubur part 1

Kampung Seribu Kubur
Bahagian 1

Yep. Kau orang semua tak salah baca. Memang itulah namanya kampung aku. “Kampung Seribu Kubur”.

Tapi kalau orang yang baru nak kenal dengan aku, tanya aku asal mana, aku akan jawab dengan ringkasnya, “KSK”. Bunyi macam gempak kan, moden gila. Padahal kampung je.

Kalau mereka nak tahu apa maksud “KSK”, sampai ke sudahlah aku tak akan beritahu. Tak kisahlah kau bagi aku RM 1000 ke, kau ugut aku ke, aku tetap tak akan beritahu nama kampung sendiri. Sebab jujurnya kalau aku beritahu, ia hanya akan menimbulkan pelbagai persoalan yang aku sendiri tak tahu jawapannya. Pada awalnya lah. Sekarang, ketika aku sedang menulis nukilan ni (eceh, bahasa sastera), aku dah tahu dah asal usul nama kampung aku. Sesuatu yang aku akan ceritakan pada kau orang semua hari ni.

Dalam berpuluh kawan dan awek (seorang je eh) yang aku ada, tak ada siapa pun di antara mereka yang tahu tentang kampung aku. Jadi bila awek aku kata nak ikut aku balik kampung, aku terus jadi tak senang duduk.

“Sayang nak buat apa?” soalku kembali.

“Eh dia boleh tanya pulak. Minggu lepas B buat apa?”

Aku yang masih kurang mengerti sekadar mengangkat bahu.

“B lupa ke, B ikut sayang balik kampung?”

Kampunglah sangat. Padahal rumah mak bapak dia kat tengah kota Melaka.

“Yelah, sebab awak yang ajak,” balasku kembali.

“Saya dah bawak awak jumpa mak bapak saya. Mereka dah restu perhubungan kita. Bila awak pula nak bawak saya jumpa mak bapak awak?”

Aku terdiam. Soalan itu merupakan salah satu soalan yang tersimpan dalam “Bank Soalan Maut Bercouple” yang pernah diingatkan kawan aku satu ketika dulu. Dihentam dengan soalan itu ketika aku sedang enak menjamu chicken chop yang bersalut cheese benar-benar boleh mematikan selera makan.

“B….” panggil Intan, awekku. Tak ada kelembutan atau kemanjaan lagi dalam panggilannya. Hanya desakan bersalut amarah.

“Pertama, B dah tak bapak, B ada mak je,” balasku, yang meletakkan kedua-dua sudu dan garpu di atas pinggan.

“Ok, sayang faham. Sayang mintak maaf,” tuturnya, kembali lembut dalam nada suara.

“Kedua, kampung B memang kampung betul. Takut sayang je tak selesa nanti,” tuturku menyampaikan hujah. Ketika itu aku lihat Intan mengeluh, dan turut sama meletakkan sudu dan garpunya. Adakah ini petandanya yang aku sudahpun beroleh kemenangan pertama?

“B, B lupa ke yang sayang ni pun asal dari kampung jugak? Kampung mak sayang kan kat Kedah sana tu,”balas Intan.

Hm, dah keluar dah loghat Kedah dia. Kalau tak, sampai ke sudah cakap macam orang KL, fikirku di dalam hati.

Melihat tiada jawapan dariku, Intan bersuara sekali lagi, “B, boleh kan, bawak sayang balik kampung B, jumpa mak b?”

Aku tersenyum. Seboleh-bolehnya aku tak mahu membawa Intan ke tempat yang bukan-bukan. Walaupun kampung tu adalah tempat asal-usulku. Tapi aku tak punya pilihan lain, melainkan menuturkan ayat persetujuan. Aku tak mahu memanjangkan perbincangan.

“Macam nilah, B tanya mak b dulu, boleh ke bawak anak dara orang balik kampung,” tuturku, mengharapkan kata-kataku itu cukuplah sebagai penamat. Intan tak menjwab, sebaliknya hanya tersenyum dan menyambung kembali suapannya. Ketika itu, aku menganggap yang aku sudahpun beroleh kemenangan kedua. Tapi tanpa aku tahu, yang aku hanyalah memenangi satu dua pertarungan, Intan sudahpun memenangi peperangan.

Ditakdirkan, pada malam Ahad, dua hari kemudian, aku mendapat panggilan dari mak.

“Mak dengar citer menantu mak nak ikut sama balik sekali minggu depan?”

“Huh?” Begitulah mak aku. Selepas selesai je berjawab salam terus diterjahnya dengan soalan yang mengundang. Kalau aku tengah makan masa tu boleh jadi tercekik dengar soalan mak.

“Eh, dah jadi bisu pulak. Betul ke apa yang mak tanya ni?”

Aku mengeluh, “Mana mak tahu?” soalku kembali, walaupun jauh di sudut hati, aku dah boleh agak dari mana sumber informasi mak aku.

“Kakak yang kau cakap. Katanya ‘Menantu mak nak balik’.”

Aku mendengus geram. Pandai sungguh kakak memilih kata-kata. Tapi geram aku lebih kepada Intan. Licik dia menyampaikan hajat di belakang aku, melalui kakak yang memang sudah sedia suka padanya.

“Orang baru nak tanya mak, takut mak tak suka je,” tuturku.

“Eh, apa pulak mak tak suka. Mak dah lama tunggu kau kahwin. Mak bukan makin muda.”

Aku mengeluh lagi. Mak juga pandai memilih kata-kata. Membuatkan aku kini tersepit di celah, dengan hanya satu jalan keluar.

“Baiklah mak. Nanti orang bawakkan Intan balik ke kampung,” tuturku, menyerah kalah.

Maka, dijadikan cerita, pada tanggal 15 Januari yang lepas, aku bergeraklah ke utara semenanjung, dengan awekku duduk di sebelah. Wajahnya ceria, tersenyum sepanjang perjalanan. Aku pula bermuram durja, mengetahui yang aku sudah kalah dalam peperangan.

Perjalanan memakan masa 5 jam sahaja, dari ibu kota Kuala Lumpur. Intan sakan berborak sepanjang perjalanan, barangkali teruja. Banyak soalan yang ditanyakan padaku. Aku pula hanya menjawab sepatah-sepatah sahaja. Mataku lebih tertumpu pada jalan.

Tapi, letah Intan tak berkekalan. Raut wajahnya yang terseyum gembira bertukar terkejut serta merta sebaik sahaja keretaku memasuki simpang ke kampung. Terbeliak besar matanya. Tapi aku tak pula tersenyum melihat gelagatnya. Hati aku turut gemuruh bila melihat di kiri dan kananku.

Memang biasa, bagi sesiapa untuk melihat kubur di mana-mana kampung. Tapi yang biasanya kubur itu akan berpagar. Bersempadan dan tak memasuki kawasan rumah orang. Itu yang biasalah.

Yang luar biasanya apa? Yang luar biasanya bila kubur itu tak berpagar. Terbentang seluas mata memandang. Dengan batu-batu berdiri tegak, seolah-olah ia bangkit dari tanah. Yang luar biasanya bila rumah-rumah terletak kemas di tengah-tengah kubur yang berdiri tegak. Setiap satu dari kubur itu barangkali sudah berusia ratusan tahun. Dengan nisan yang sudahpun senget sebelah, dan ada yang sudahpun hampir tenggelam di dalam tanah.

Tapi elok je, di tengah-tengah kubur itu, terletak rumah-rumah kampung, yang menjadi tempat tinggal penduduk Kampung Seribu Kubur. Dan di antara dua tanah kubur yang terbentang seluas mata memandang itulah, aku mengemudi dengan keretaku. Membawa awekku yang kini hanya diam, dengan wajah yang suram.

Dia seperti ingin menanyakan sesuatu kepadaku, tapi bila melihatkan wajahku yang sama sugul, dia tak punya pilihan lain melainkan mendiamkan diri. Wajahnya ditundukkan ke bawah, barangkali tak berani untuk melihat tanah yang menjadi tugu kepada kematian. Ada sesuatu yang menjentik hati awekku. Mungkin tak keterlaluan jika hendak dikatakan yang awek aku sedang ketakutan.

Setelah beberapa minit merentas antara dua tanah kubur, diiringi oleh senja yang semakin gelap, aku akhirnya membelok ke kiri. Keretaku kini diparkir di depan sebuah rumah kayu, dengan 3,4 pasang batu nisan menjadi penanda masuk. Selepas memarkir dan mematikan enjin kereta, aku akhirnya memandang pada Intan sambil menarik nafas yang panjang,

“Selamat datang ke Kampung Seribu Kubur.”

***

“B cakap nama kampung B KSK,” soal Intan. Ketika itu aku sedang mengendong beg kami berdua, dan meletakkannya di depan pintu rumah. Aku terus mengetuk pintu tanpa menjawab soalan Intan.

“Assalamualaikum!” sahutku, dalam gaya sahutan kampung.

“B!! Napa tak jawab soalan sayang?” rungut Intan, yang mula menarik lengan bajuku.

Aku menoleh memandang Intan sambil tersenyum. Mulutku ingin menuturkan sesuatu, tapi tak sempat, kerana pintu kayu sudahpun terbuka.

Kakak menyambut kami berdua dengan senyuman, tapi dia terus meluru ke arah Intan. Memeluk awekku, seolah-olah seperti adiknya sendiri.

“Ya Allah Intan, lama tak jumpa kau. Rindu akak dengan kau.”

“Akak tak rindu dengan Irfan ke?” soal Intan, sengaja mengusik.

“Rindu kat dia nak buat apa. Menyusahkan hidup je,” balas kakak.

Aku mengeluh panjang, dengan bola mata yang ternaik ke atas. Malas aku nak melayan kerenah kakak yang suka berdrama. Mak pula sedang berdiri di depan pintu, dengan kedua tangannya di belakang. Gayanya bak pengetua yang sedang melakukan pemeriksaan.

Aku meletakkan beg ke bawah, dan mendapatkan tangan mak lalu menciumnya. Mak memandangku sambil mengangguk, tanda berpuas hati dengan langkah pertamaku.

“Kata nak telefon sebelum sampai?” soal mak.

“Mana sempat mak. Orang kan tengah bawak kereta,” tuturku, memberi alasan.

“Si Intan tak boleh telefon?” soal mak pula, yang kini sedang memandang pada awekku dari atas ke bawah, seolah-olah ada sinaran-x pada matanya.

“Eh mak ni, orang tu mana boleh telefon. Dia nak hafal jalan nak balik kampung nanti. Senang nak jadi tukang report si Irfan nanti,” tutur si kakak pula, menjadi tukang pembela tak bertauliah.

Aku menjeling tajam pada kakak yang menjelirkan lidahnya kepadaku. Mak pula sekadar tersenyum, barangkali berpuas hati dengan penilaiannya.

“Ha, Intan. Kau masuklah dulu. Mak tengah siapkan makanan,” ajak mak lagi. Aku mula bergerak mengikut Intan dari belakang, bersedia untuk memasuki rumah. Tapi mak terlebih dahulu mengangkat tangannya menahanku.

“Ha kau Irfan, pergi sembahyang. Mak tahu kau belum maghrib,” pesan mak kembali.

“Tapi mak, orang musafir!” tuturku, memprotes.

“Musafir apa. Ni rumah kau! Barang-barang kau tu, kau biarkan. Biar kakak kau angkat,” tutur mak lagi.

“Ha, yang tu saya setuju,” tuturku lagi, lalu terus masuk ke rumah mengambil wuduk. Aku lansung tak mengambil peduli jeritan kakak dari belakang.

“Woi! Angkat beg kau ni!”

Bersambung Bahagian 2 nanti….

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amyrul
Rating Pembaca
[Total: 86 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.