Kau…Milikku – Bahagian Akhir

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera pembaca Fiksyen Shasha. Pertama sekali,terima kasih FS kerana menyiarkan cerita saya. Dan, terima kasih kepada pembaca semua yang sudi mengikuti kisah Sofea. Kali ini saya akan menyambung cerita Sofea untuk bahagian terakhir, insyaAllah…

Untuk pengetahuan semua, penderitaan yang dilalui oleh Sofea ini berlarutan sehingga 13 tahun lamanya. Maka, saya akan cuba untuk meringkaskan cerita sebaik mungkin. Dan, untuk pengetahuan semua juga, selama 13 tahun itu juga lah pelbagai usaha telah dilakukan oleh ayah dan ibu Sofea, Pak Mail dan Mak Mah untuk memulihkan keadaan Sofea. Namun, mungkin pada masa itu, Allah masih belum izinkan untuk bertemu penawarnya.

Dipendekkan cerita, akhirnya Sofea berjaya menamatkan pengajian di universiti walau dalam keadaan beliau begitu. Disahkan mengalami depresi dan delusi oleh pakar perubatan moden juga. Namun, beliau cekal orangnya dan bersungguh-sungguh untuk melawan apa pun sakitnya. Sofea pernah juga dipulau rakan sekuliah kerana sikap pelik beliau yang kadang-kala bercakap seorang diri, suka berpakaian serba hitam dan yang paling menakutkan, Sofea boleh nampak makhluk-makhluk ghaib yang berkeliaran. Dan, dia pernah beritahu aku yang ada seorang lelaki berwajah hitam selalu mengikutinya.

Disebabkan perkara ini semakin serius, Pak Mail dan Mak Mah tidak putus-putus berusaha membawa Sofea berubat secara perubatan Islam. Pelbagai kaedah dilalui, ada yang kata Sofea didampingi saka keturunan,ada yang kata Sofea menegur makhluk ghaib dan kemudian makhluk itu mengikuti Sofea ke mana sahaja. Dan, pelbagai cara penyembuhan telah dilakukan, mandi air masjid 7 kolah, mandi air terjun, mandi air daun bidara, dan bermacam kaedah dan perawat dijumpai. Namun, keadaan Sofea masih seperti itu, kadang lebih parah bila beliau mulai sakit selepas berubat. Kadang usai menjalani rawatan, selepas Asar, Sofea akan diserang dengan kesakitan seperti jarum-jarum halus mencucuk-cucuk dari ubun-ubun rambut sehingga ke hujung kaki. Sakit ini akan berlarutan dari pukul 5 petang dan hanya akan berhenti tepat pukul 12 malam.

Setiap kali diserang, Mak Mah setia berada di sisi Sofea sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan harapan agar penderitaan Sofea segera dihilangkan. Kadang mengalir air mata seorang ibu melihat penderitaan yang terpaksa dilalui oleh anak kesayangannya ini. Sofea pula semakin kuat beribadat. Dia sedar, tiada siapa yang boleh membantunya selain Allah. Dan, dia sendiri perlu kuat untuk melawan. Satu lagi perkara yang ketara dialami Sofea ialah jodoh beliau seakan amat berat. Bukan tiada yang berkenan, tapi semuanya tidak menjadi. Sama ada yang masuk meminang hari ini, tapi esoknya maklum untuk batalkan atau Sofea sendiri yang memutuskannya.

Sehinggalah pada suatu hari, Pak Mail, ayah Sofea, bertemu dengan seorang ustaz di daerah Temerloh, Pahang. Ustaz Salleh namanya. Setelah meneliti keadaan Sofea, Ustaz Salleh kemudian berkata “Sofea ini terkena sihir pelalau…”. Mungkin ada di antara pembaca FS yang belum tahu apa Sihir Pelalau ini. Sihir pelalau ini, merupakan sihir penghalang. Bagi yang terkena sihir pelalau perkahwinan, jodoh akan menjadi berat. Kadang tiada wujud perasaan pun pada pasangan. Atau pun hubungan menjadi berantakan sehingga terputus di tengah jalan. Atau pun pasangan akan terlihat wajah kita menjadi bengis dan menakutkan atau sebaliknya.

Pendek kata, sihir ini akan menghalang jodoh dengan cara yang tidak baik (segalanya atas izin Allah jua). Dan, pesakit juga akan berkelakuan aneh disebabkan jin dari sihir tersebut. Maka, aku yakin itulah yang dialami oleh Sofea selama ini.
Tapi, persoalannya siapa yang menyihir Sofea?…

Suatu hari, aku memberanikan diri bertanya Sofea. “Kau ada syak Ray tak?”. Sofea terdiam dan memandangku tajam, lantas berkata “Kenapa pula dia nak buat aku? Dia baik-baik sahaja dengan aku selama ini”. Sambil jarinya bermain-main cincin pemberian Ray dahulu. “Kau masih pakai cincin tu?” tanyaku. “Aku sayang sangat cincin ni” sambil Sofea tersenyum dengan pandangan yang menakutkan. Untuk pengetahuan semua, Mak Mah pernah maklumkan pada aku yang semasa Sofea masih di universiti, setiap kali cuti semester, Ray pasti menghubungi Sofea. Ray sendiri akan datang ke rumah Sofea untuk berjumpa Sofea dan keluarga. Mak Mah sendiri amat menyenangi budi pekerti Ray.

Tapi, kedatangan Ray hanya dianggap sebagai sahabat lama oleh Sofea, masih tiada perasaan istimewa di hati Sofea buat Ray. Mungkin disebabkan itu, Ray semakin berdendam pada Sofea. Tapi, pada masa itu, ia hanyalah spekulasi di kalangan aku dan ahli keluarga Sofea, sebab tiada bukti kukuh yang mengatakan ini semua atas perbuatan Ray.

Sehingga suatu hari, kehadiran seorang lelaki di dalam hidup Sofea, yang bernama Zaki. Zaki, insan sederhana yang bekerja satu tempat dengan Sofea. Seorang yang pendiam dan suka memerhati. Zaki sudah lama memerhati dan cuba untuk mendekati Sofea. Suatu hari Zaki memberanikan diri menegur Sofea. “Assalamualaikum, Cik Sofea. Kenapa selalu duduk di office sehingga malam hari?” Ya, Sofea memang suka menyibukkan diri dengan kerja-kerja di pejabat, kadang-kala sehingga lewat malam.

Rupanya, selama ini, Zaki juga sengaja bekerja sehingga lewat malam semata-mata untuk menemani Sofea walaupun dari kejauhan. Pada Zaki, Sofea merupakan seorang wanita yang penuh misteri. Perkenalan itu kemudiannya membuahkan bibit-bibit cinta di hati Zaki. Namun Sofea bukan mudah untuk dimiliki. Berbagai onak dan duri dilalui oleh Zaki kerana Sofea akan berubah-ubah personaliti. Pernah Zaki dimarahi Sofea dan diberi amaran jangan cuba untuk mendekati. Tapi, Zaki..anak muda yang mahir dalam seni silat gayong makrifat, tidak pernah berputus asa.

Suatu hari, Zaki menyuarakan hasrat untuk mengubati Sofea. Melalui telefon, Zaki menghubungi Sofea, “Malam ini saya akan datang ke rumah awak. Saya nak minta izin dari mak ayah awak untuk cuba ubati sakit awak”. Kehadiran Zaki disambut baik oleh Pak Mail dan Mak Mah. Pada waktu ini Abg Long dan Kak Yati masing-masing telah berkeluarga dan tinggal di daerah lain. Atas permintaan Mak Mah, aku juga hadir pada hari itu untuk menemani Sofea. Sofea pula mula berkelakuan pelik…hanya duduk bersila di lantai di biliknya. “Sejak maghrib tadi Sofea tak keluar dari bilik. Puas kami pujuk, dia tetap duduk bersila tak berganjak pun”, ujar Mak Mah. Zaki tahu kehadirannya tidak disenangi “seseorang” atau “sesuatu”.

Setelah meminta izin dari keluarga Sofea, Zaki diiringi oleh Pak Mail, Mak Mah dan aku sendiri memasuki kamar bilik Sofea. Gelagat Sofea seakan memang menanti suatu pertarungan. Zaki, tiba-tiba membuka langkah persilatan dan berpusing mengelilingi Sofea. Sofea pula memandang Zaki dengan wajah yang sangat bengis. Tiba-tiba Zaki berhenti dan menudingkan jari telunjuknya kepada Sofea, lantas bersuara “Kau siapa?!”. Sofea yang pada masa itu sedang bersila, seolah-olah cuba bangkit untuk menerkam Zaki, namun pergerakannya seakan terikat. Kemudian, tiba-tiba Sofea bersuara..tapi, bukan suara Sofea yang sebenar. Suara garau dan bengis datang dari Sofea mengejutkan kami semua. “Sofea milik aku!”, tengking Sofea pada Zaki. Zaki masih tidak berganjak dari posisi pencak silatnya.

Sesungguhnya, inilah kali pertama kami semua melihat Sofea bertukar watak ,wajah dan suara. Keadaan amat tegang dan menyeramkan. Tangan Sofea mula bergerak seakan bersilat juga, kadang seperti tarian Jawa. Dengan jari-jemari seakan ingin mencengkam leher Zaki, sekali lagi makhluk itu bersuara dan berdengus “Sofea…milik aku! Tak ada siapa pun boleh ambil dia dari aku!”. “Aku dah lama jaga dia! Aku sayang dia! Sesiapa yang cuba rampas dia dari aku, akan aku hancurkan!”. “Dengan nama Allah yang Maha Besar, aku perintahkan kau keluar dari badan Sofea! Dia bukan milik kau atau sesiapa pun!”, Zaki cuba berlawan dengan makhluk yang sedang menakluki Sofea. “KAU…kalau kau kahwin dengan Sofea, aku akan porak-perandakan rumahtangga kau!” Sofea mendengus lagi. Mak Mah mula menangis dan merayu pada makhluk itu “Siapa kau sebenarnya? Tolonglah bebaskan anakku, Sofea”. “Aku lah, RAYYY! Kenapa Sofea tinggalkan aku?! Kenapa?!” jerit makhluk itu. Ray? SubhanAllah..betullah sangkaan kami selama ini.

Kali ini, tanpa membuang masa, Zaki mula membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Aku tak berapa pasti ayat apa yang dibaca, tapi kedengaran seperti ayat-ayat dari Kitab Manzil. Sungguh hebat aku melihat pergerakan Zaki dan hafazannya. Sofea pula seakan merangkak seperti di dalam filem Ju-On. Kadang dia akan menjerit kesakitan, kadang dia akan menangis pula. Melihat keadaan Sofea yang semakin lemah seakan “diikat” dengan bacaan ayat suci Al-Quran, lantas Zaki meminta sebiji telur ayam daripada Mak Mah. “Makcik, bantu saya. Makcik ambil sebiji telur ayam dan alinkan dari ubun kepala,sehingga ke hujung jari kaki Sofea”. Masa ini, aku dan Mak Mah memberanikan diri memegang badan Sofea. Dengan diiringi alunan bacaan Surah Yaasin oleh Zaki, perlahan-lahan Mak Mak dibantu oleh Pak Mail mengalinkan telur tersebut di badan Sofea berulang kali. Proses ini amatlah lama dan panjang sehingga Sofea semakin lemah dan pengsan.

Setelah keadaan semakin reda, kami semua melepaskan pegangan pada badan Sofea. Memang berjurai peluh kami semua. Zaki juga kelihatan keletihan dan bersandar di dinding bilik. “Hani, kau tolong buangkan cincin di jari Sofea”, tiba-tiba Zaki bersuara. Perlahan-lahan aku melurutkan cincin belah rotan pemberian Ray dari jari manis Sofea. “Sebenarnya, Ray telah menghantar sihir melalui cincin ini. Selagi Sofea memakainya, selagi itu makhluk itu akan mendampingi Sofea. Ray akan tahu segala gerak-geri Sofea melalui jin durjana itu”, ujar Zaki. Patutlah selama ini Sofea mengadu lelaki berwajah hitam sering mengikut dia ke mana sahaja. Rupanya itulah jin pendamping dari cincin Ray. “Saya akan musnahkan cincin ini esok, telur ayam itu pula perlu dibakar”, sambung Zaki lagi. Pak Mail kemudian mengiringi Zaki untuk membakar telur itu di dalam unggun api di luar rumah. Kedengaran bunyi seakan letupan kecil tatkala telur itu dicampak ke dalam unggun. Kemudian, keadaan malam itu hening tapi tenteram seolah telah diangkat batu yang besar dari bahu kami. Sesungguhnya inilah pengalaman yang aku tak akan lupakan seumur hidup.

Setelah kejadian itu, Sofea mengambil masa beberapa minggu untuk benar-benar pulih jasmani dan rohani. Namun, kami semua amat bersyukur kerana Sofea akhirnya bebas dari cengkaman jin dari sihir itu. Perhubungan Sofea dan Zaki akhirnya diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Sungguh indah rencana Allah SWT. Walaupun permulaannya, hidup Sofea penuh ujian, dihadirkan pula seorang yang menjadi perawat, penyelamat dan imam untuk Sofea. Semoga kebahagiaan ini kekal menjadi milikmu, sahabatku. Mengenai Ray, seingat aku, beliau kemudiannya berhijrah ke negeri lain dan tiada khabar berita semenjak itu. Semoga beliau juga insaf dan bertaubat.

Buat pembaca FS semua, ambillah kisah Sofea sebagai iktibar dan peringatan buat kita semua. Janganlah kita menyimpan dendam kesumat dan melakukan kezaliman terhadap insan lain melalui amalan-amalan khurafat dan syirik. Dan, sentiasalah berpegang teguh kepada Allah SWT. Usahlah kita berputus asa sekiranya ditimpa pelbagai ujian dan rintangan. Dan, percayalah ajal, maut, rezeki dan jodoh semua telah ditentukanNya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengasih lagi Penyayang.
Terima kasih semua kerana sudi membaca kisah Sofea. Semoga bertemu lagi dalam penceritaan yang lain pula, insyaAllah.
Sekian, tamat.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Hani Olivia

1 thought on “Kau…Milikku – Bahagian Akhir”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.