Kawasan Jin Bertandang

Dipermainkan si ‘dia’

Kisah kali ini berlaku di tempat kerja lama aku. Kalau search dalam Fiksyen Shasha ni, aku rasa, ada beberapa yang bercerita kisah seram di tempat kerja aku itu. Tapi, aku nak bercerita daripada pengalaman sebagai pekerja di situ.

Mula-mula aku masuk berkerja di situ, itupun setelah aku dipaksa memilih samada di sini atau di Sarawak, adalah dalam 11 tahun lepas. Oh, tidak sanggup aku berjauhan daripada keluarga. Ditambah pula, ayah aku sakit pada ketika itu. Ibu aku terpaksa berhenti kerja demi menjaga ayah aku. Maka, berkelanalah aku sendirian ke negeri yang terkenal dengan perlombongan bijih timah di suatu masa dahulu. Kini, yang tinggal hanyalah kapal korek yang dijadikan bahan pameran buat pengunjung negeri ini. Asalkan aku masih mampu sampai dengan kereta kecil aku ke kampung aku, aku dah gembira di negeri ini. Tetapi, di awalnya, ahli keluarga aku ada usaha datang menemani dan membersihkan rumah sewa yang bakal aku duduki.

Aku seronok kerja di situ. Kawasannya cantik dan hijau. Jangan kata flora aje pelbagai, faunanya juga begitu. Ada haiwan yang susah untuk dilihat selama aku hidup, tetapi di sini, banyak yang melintas di waktu pagi atau di waktu malam. Elok mereka sekeluarga berbaris melintas jalan pagi dan petang.

Negeri ini, terutamanya di daerah aku duduki, tenang dan aman. Jalannya juga tidak sesibuk kampung aku. Tidak risaulah andai terpaksa memandu ke sana sini bersendirian.

Tetapi, orang asal sini akan cakap “Dulu-dulu kawasan jin bertandang ler situ”. Menurut mereka, suatu masa dahulu kawasan sini hutan. Jalan pun kecil dan gelap di waktu malam. Rumah pun tiada. Kalau motor tetiba m**i di tengah jalan, berpeluh nak tolak sendirian. Belum kira lagi kalau ada yang menumpang. Ha ha ha. Lagi lama melayan orang-orang tua di sini bersembang, macam-macam cerita keluar. Seram ada, kelakar ada. Aku mendengar ajelah. Yang elok dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Cumanya, di awal aku bermastautin di negeri ini, aku masih bujang. Dan, apabila tinggal bersendirian dan berseorangan, aku suka pulang lewat daripada tempat kerja. Aku benci perasaan sunyi yang aku rasai setiap kali aku membuka pintu rumah, dan tiada sesiapa yang menunggu kepulangan aku. Terlalu menyedihkan. Walaupun sedari kecil aku bersekolah asrama dan terbiasa berjauhan daripada keluarga. Aku tetap benci perasaan sepi itu.

Aku senang habiskan kerja-kerja pejabat dahulu. Tetapi, aku pastikan aku selesaikan kerja sehingga pukul 6 petang sahaja. Andai ada yang belum siap, aku tinggalkan begitu sahaja. Ini kerana aku telah dipesan ramai orang, “Jangan duduk lebih daripada pukul 6 petang, ya”. Apabila ada rakan sekerja yang melintasi pintu pejabat, pasti akan meninggalkan pesan yang sama. “Wei, baliklah. Dah nak pukul 6 petang ni”. Sekiranya tinggal berdua sahaja, yang seorang lagi pasti akan singgah memaklumkan dia akan pulang. Biasanya, aku akan ikut turun sama.

Aku tidak begitu pasti kenapa mereka memesan begitu. Tetapi, andai dibaca kisah seram yang dikongsi berkenaan tempat kerja aku itu, aku rasa munasabah.

Tetapi tidak pada suatu hari. Aku hendak juga stay back di pejabat dan siapkan kerja walaupun jarum jam melangkaui pukul 6 petang. Aku lupa apa kerja aku yang begitu penting sehingga aku sanggup ditinggalkan sendirian. Jam menunjukkan pukul 6 petang. Aku tidak hiraukan. Aku kunci pintu pejabat dan teruskan kerja. Semua rakan sekerja telah pulang. Aku tahu.

Masuk sahaja waktu Maghrib, aku bergegas ke tandas dan berwuduk untuk solat Maghrib. Dalam hati, risau juga bertemu yang bukan-bukan. Tandas pula berada di luar koridor bilik-bilik pejabat. Aku cepat-cepat keluar tandas. Sempat mata aku melirik langit senja yang kemerahan sebelum kembali ke bilik. Cukup. Tidak mahu aku memandang lebih-lebih.

Kemudian, aku ralit membuat kerja sehinggalah aku terdengar seseorang memasuki pintu koridor di hujung sebelah kiri aku. Langkahnya di atur kemas. Aku dengar dia melintasi bilik aku. “Pap!” bunyi suis lampu koridor ditutup. Aku intai daripada bawah pintu. “Alamak, gelap! M**i aku, dahlah seorang”

Kemudian, tombol pintu aku bergegar dan berpusing. Aku kaget. Ada cubaan membuka pintu bilik aku. Aku pandang sahaja pintu itu. Dia berlalu. Tidak bertangguh, aku menerpa ke arah pintu dan bergegas membuka pintu untuk melihat siapa. Atau, apa.

Ha ha ha berani betul rasanya. Tetapi aku tidak mampu menanggung perasaan ingin tahu.

Aku terkejut melihatnya, dan dalam kegelapan, dia juga terkejut. Sehingga dia bergerak sedikit kebelakang. Tersentak.

Ha ha ha

Pengawal keselamatan rupanya. Lega rasanya. Tetapi, aku tetap berwaspada.

“Oh, ada orang rupanya. Maaf, saya cuba buka pintu tadi sebab saya nampak ada cahaya lampu. Saya takut pintu ditinggalkan tidak dikunci. Saya buka balik lampu koridor. Nanti awak tutup balik, ya” kata pengawal keselamatan tersebut.

Kami hanya mampu tersenyum menutup rasa malu kerana kami berdua sememangnya betul-betul terkejut. Ditambah pula pelbagai kisah seram yang sentiasa berlegar di bangunan pejabatku. Ada yang kata pernah ternampak seorang perempuan berambut panjang mengurai berbaju putih berdiri di tangga paling hujung pada waktu malam. Macam-macamlah. Siapa yang suruh mereka bersiar-siar sesuka hati di waktu malam di sekitar situ. Kan dah mendapat. Waktu siang juga ramai yang mengelak daripada menggunakan tangga tersebut. Ini yang aku perhatikanlah sepanjang bekerja di situ.

Namun, aku sudah tidak kuat untuk terus menunggu lebih lama di pejabat. Semangat aku dah hilang terbang melayang terkejutkan pengawal keselamatan tadi. Aku kemaskan barang, dan terus balik. Alhamdulillah.

Selepas kejadian itu, dan ditambah pula kejadian selepas itu, di mana rakan sekerja diusik sewaktu berada di tandas selepas pukul 6 petang. Aku ingat-ingat lupa kisahnya. Katanya, ada yang menegur daripada luar tandas semasa dia di dalam tandas sedang menukar pakaian kerana ada latihan sukan petang. Orang tu memberitahu namanya Milah. Dia mengiyakan sahaja sambil berfikir siapalah pula si Milah ini. Dan, apabila ingin keluar tandas, pintu tandas tidak dapat dibuka buat seketika. Dia panik. Setelah cuba memanggil-manggil sesiapa sahaja yang berada di luar tandas waktu itu, barulah dia tersedar, sebenarnya, tiada sesiapa pun di tandas itu. Sunyi. Dan, pintu terbuka begitu sahaja. Begitulah lebih kurang ceritanya. Sejak itu, aku pastikan sebelum pukul 6 petang, aku pun sudah keluar daripada bangunan pejabat.

Tetapi, hampir setiap hari, di dalam bilik pejabat aku sendiri, ada sahaja yang akan menyapu. Sreh, sreh, sreh bunyinya. Rajin betul. Kadang-kala, terbantut tangan aku nak terus menaip di papan kekunci komputer. Terkejut punya pasal. ‘Dia’ tak kira masa. Adakalanya, tengah-tengah sedap aku baring di lantai di waktu rehat tengahari. Mulalah ‘dia’ buat kerja. Tapi, tidak jugak bersih lantai tu. Sama aje berhabuknya. Geram juga. Kadang-kadang aku tegur juga, sapu tu biar bersih, jangan bunyi je lebih.

Tak adanya ‘dia’ nak berubah. Serupa itulah juga lantainya. Aku juga yang kena ambil penyapu dan sapu sendiri bersih-bersih.

Ha ha ha dah bertahun-tahun begitu. Hilang rasa takut bila dah terbiasa.

Bilik-bilik disebelah aku, ada masanya terbiar kosong. Cuti bersalinlah, cuti belajarlah. Lama bilik ditinggalkan tanpa manusia yang menghuni. Tetapi, aku tidak kesunyian. Setiap hari aku akan dengar seperti ada sahaja yang bekerja di bilik-bilik sebelah. Bunyi laci dibuka dan ditutup berkali-kali, dan bunyi lantai mereka disapu hampir setiap hari. Nasib baik aku tak pernah dengar mereka menyanyi atau bersuara. Andai itu berlaku, rasanya serta merta aku minta pindah ha ha ha.

Paling nakal mereka mengusik aku, sampai sekarang menjadi kenangan, semasa aku nak baring-baring di waktu rehat yang panjang di hari Jumaat. Bilik pejabat aku di tingkat dua. Tetapi, semasa aku meletakkan kepala di lantai, dengan niat untuk tidur sebentar, aku terdengar perabot di alih dengan sangat kuat di tingkat bawah. Bukan sedikit bisingnya. Di bilik bawah, terdapat banyak kerusi dan meja. Grung, grang, grung, grang. Begitulah lebih kurang bunyinya kalau kata pembaca nak dapatkan gambaran bunyi tu. Sangat memekakkan telinga. Langsung aku tak dapat nak melelapkan mata. Pada mulanya, aku ambil keputusan untuk abaikan sahaja. Tetapi, semakin lama semakin menjadi-jadi. aku ingatkan masih ada pekerja lelaki yang sedang memindahkan perabot. Kebetulan, pada minggu hadapannya, ada program akan berlangsung. Tidak hairan perabot diubah kedudukan mengikut kesesuaian program. Aku mula nak marah. Aku nak pergi tegur kononnya, kan hari Jumaat, kenapa belum pergi masjid untuk solat Jumaat. Kononnya. Aku turun tangga sambil mengcekak pinggang. Dalam hati dah marah-marah.

Semakin aku menghampiri tingkat satu, semakin senyap sunyi dan bunyi itu hilang begitu sahaja. Aku jalan terus di koridor tingkat satu. “Eh, tiada sesiapa pun di bawah ni. Perabotnya gitu juga rupanya” Dan, aku melihat sekeliling “Oh, aku tinggal seorang je ke?” Barulah terdetik di dalam hati aku, “Aduhai, aku dipermainkan rupanya. Cis!” Perlahan-lahan aku berpatah balik ke bilik pejabat aku. Sambil membayangkan mereka bergelak ketawa melihat aku termakan umpan mereka supaya marah-marah tidak tentu pasal. Habis pahala sabar. Tetapi, sejuk habis tangan kaki sewaktu melangkah kembali ke bilik pejabat aku. Menggeletar pun ada juga. Nak tidur pun tak lena dah. Cukup pukul 5 petang, terus aku angkat kaki balik.

Kenapa aku gambarkan ada yang tertawa melihat begitu? Kata ustaz, ini pun aku dengar daripada orang lain, yang pernah datang merawat salah seorang pekerja yang dirasuk di tingkat atas bilik pejabat aku, dia nampak ada banyak makhluk mendiami di sepanjang koridor tersebut. Di dalam bilik-bilik pejabat pun ada juga. Ikut ranking makhluk tersebut katanya. Ini disebabkan perkampungan mereka telah diganggu manusia. Mereka tiada tempat lain untuk dituju. Kagum aku mendengar cerita begitu. Ada juga yang bergelandangan dan ada juga yang ada rumah. Agaknya, makhluk yang berumah tangga dalam bilik pejabatlah yang rajin sangat menyapu tu. Tetapi, nasib baik setakat di pejabat sahajalah aku diusik. Tidak melebih-lebih. Ada juga yang bercerita, setiap hari dia perlu menyusun kembali folder di desktop komputer kerana setiap hari juga akan berubah. Bijak juga makhluk ini fikir aku. Pandai menggunakan komputer.

Tidak berapa lama kemudian, aku dan kawan-kawan dipindahkan ke daerah lain. Di tempat kerja baru, tiada lagi gangguan sebegitu.

Tetapi, sejak aku kembali ke tempat kerja lama aku ini, atas sebab tugas, beberapa kali juga pembentangan aku diganggu. Ada sahaja program yang dibuka sendiri tanpa aku menyentuh papan kekunci semasa pembentangan dan disaksikan ramai orang. Ini tidak berlaku apabila aku berada di tempat yang lain. Aku hanya mampu gelak sahaja setiap kali ia berlaku. Sekali sekala aku tanya juga, siapa yang tengah tekan skrin tuuuu? Mestilah tiada yang menjawab. Ha ha ha. Kalau ada yang menjawab, aku rasa, satu bilik bertempiaran lari, termasuklah aku.

Alhamdulillah, gangguan ini tidak melarat sehingga ke rumah. Aku juga tidak pernah diganggu sepanjang aku sendirian di rumah sewa sehinggalah kemudiannya aku berkahwin dan beranak pinak. Cuma, pada satu hari, selesai sahaja aku solat malam. Dalam kesunyian malam, elok aku memberi salam kanan dan kiri. Di tepi telinga aku, aku terdengar dengan sangat jelas “Assalamualaikum”. Suara lelaki. aku ingatkan suami aku menjenguk aku solat, disebabkan aku solat di bilik lain. Aku terus berpaling ke belakang. Mencari pemilik suara. Allah, tiada sesiapa. Aku hanya terpandang kegelapan malam di ruang tamu. Aku tidak menjawab salam tersebut. Aku terus lemah ketakutan, dan merangkak sahaja ke atas katil tamu. Tutup muka dan berpura-pura tidur sehinggalah benar-benar tertidur tanpa membuka telekung sembahyang. Aku kemudiannya bercerita dengan ibu apabila kembali ke kampung melawat ibu ayah. Kata ibu, nasib baik tak jawab salam tersebut, mungkin ada yang cuba-cuba menghantar sesuatu. Aduhai. Seram. Alhamdulillah tiada apa-apa berlaku selepas itu. Sehingga kini aku masih terkenangkan suara tersebut. Siapakah gerangan yang memberi salam tersebut?

Sekian.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.my/submit

WaniTua
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 4]

9 thoughts on “Kawasan Jin Bertandang”

  1. Penceritaan konon nya nak acah2 gaya seorang penulis pro siap tulis baku siap ada perenggan tu semua…kaw2 punya pjg meleret tp apa pun takde…gila sumpah aku jadi baran bila baca citer ko ni

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.