KELAM

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku Fahim. Setelah hampir 2 tahun membaca pengalaman orang ramai di dalam Fiksyen Shasha, baru kini aku berkesempatan untuk menaip kisah benar tentang makhluk ghaib dalam hidupku. Kisah aku tidak seram namun pengalaman ini masih segar dalam benakku. Jom kita start ok.

Pengalaman ini aku alami ketika berusia 17 tahun. Aku dibesarkan di Langkawi di salah satu kuarters penjawat awam yang terdapat di Kuah. Sama seperti pelajar lain, aku juga sering tidur lewat untuk menelaah bagi persediaan sebelum peperiksaan. Jenisku, aku hanya akan selesa mengulang kaji ketika keadaan sunyi dan tenang seperti jam 3 pagi.
Seperti biasa, aku akan membuka sedikit tingkap bilik rumahku bagi mengambil udara pagi. Bajet sejuk air cond. Rumahku ada tiga bilik tidur dan dua tandas. Aku dan adik bongsuku tidur berdua manakala lagi dua beradik lagi tidur di bilik hujung.

Sebelum mula menelaah, aku akan mengambil wuduk dan membuat solat sunat. Seusai solat sunat, aku merasa diriku seolah di perhatikan. Aku bergerak ke meja belajarku yang berada bertentangan dengan tingkap bilik. Mataku mula liar melihat ke luar kerana merasa seperti diperhatikan. Rumahku adalah jenis pangsa 4 tingkat dan tinggal di tingkat bawah. Bertentangan dengan tingkap bilikku adalah sebuah kebun getah milik orang awam.

Sedang lama merenung melihat jauh kedalam kebun tersebut, mataku tertangkap satu kelibat putih yang terbang dari pokok ke pokok. Buku latihan Prinsip Perakaunan yang dari tadi aku pegang makin erat aku ramas. Terkejut. Apakah itu? Aku merapatkan diriku ke tingkap bagi memastikan kelibat tersebut. Namun gagal mencari kembali kerana pekatnya kegelapan malam.

Aku teringat kembali pengalaman 2 tahun lepas ketika menolong ibu untuk membuang sampah sekitar jam 11.30 malam. Malam itu seperti biasa kami sekeluarga makan malam bersama selesai selesai solat Isyak. Ibu meminta aku untuk membuang sampah kerana terdapat sampah basah seperti perut sotong dan ikan hasil tangkapan jiran ke laut siang tadi. Jiranku sangat gemar ke laut serta memburu di hutan. Hasilnya pasti di kongsi bersama jiran. Ibu dan abahku sangat susah melepaskan kami adik beradik keluar daripada rumah. Jadi inilah kesempatannya walaupun sekadar membuang sampah di hujung blok.

Sudah menjadi kebiasaan kami adik beradik hanya keluar dari rumah ketika hendak kesekolah, kelas fardhu ain (KAFA), kelas mengaji Al-Quran serta main petang jam 6 hingga 7 petang sahaja. Tiada lebih, tiada kurang, itu pendirian ibu bapaku. Lantas aku mencapai kunci motosikal abah dan tangkas bergerak sebelum ada yang mahu mengekori aku. Mahukan ketenangan mungkin. Biasalah, anak sulung. Adakala aku mahu bersendirian.
Tong sampah besar berada tidak jauh dari blokku, cuma selang 3 blok. Oleh kerana sudah lewat jadi aku mengambil keputusan untuk menaiki motosikal sahaja.

Semasa aku menghidupkan motosikal, aku merasa motorsikal yang di naiki aku berat sekali. Sudahlah berat, sukar pula hendak dihidupkan. Lembik mungkin diri ini. Ku cuba sekali lagi. Hampa. Kali ini aku cuba sekuat kaki ku mampu. Nah, mengaum Modenas Kriss milik abahku. Terasa seperti juara. Maklumlah, susah sekali dapat menunggang motosikal. Itu pun sebab abah tidak tahu. Entah mengapa, berani hati kecilku ini untuk mengambil kunci motosikal abah sebentar tadi.

Bismillah. Masuk gear satu. Hati ku gembira. Melepasi blok ke 2, moto semakin berat. Berat sekali. Sebelah tangan kiriku memegang sampah, manakala kanan memulas grip pendikit. Makin dipulas, semakin berat pula ku rasa. Oh, lupa tukar gear rupanya, patutlah mengaum semacam motorsikal ini. Ketawaku di dalam hati. Sampai di kawasan tong sampah utama, SubhanAllah, bau wangi sekali. Ya, bau wangi. Yang teramat. Aku juga turut merasa benda pelik. Selama aku membuang sampah disitu, ini kali pertama aku rasa dapat menghidu bau sebegini wangi di kawasan tersebut.

Pelik. Aku pun pacakkan tongkat untuk motosikal berdiri sendiri. Makin dekat aku dengan tong sampah, makin wangi menusuk hidungku. Ini membuatkan aku lagi pantas mahu campak sampah di gengamanku.
Aku lontaran sampah seperti Ziyad melempar lontar peluru ke dalam tong sampah tersebut. Selesai. Aku pun pusingkan badan ku dan bergerak ke motosikal. Tiba-tiba kedengaran bunyi seperti plastic bergerak. Kucing? Bau wangi tadi hilang, yang bau hanya bangkai. Sumpah aku tak pernah bau sebusuk itu.

Hati ku tertanya-tanya, aku lantas pusing untuk melihat apa yang jadi. Terkejut bukan kepalang. Ada perempuan berbaju putih lusuh berdiri betul di atas tong sampah utama. Mengucap. Itu saja yang aku mampu. Muka perempuan tersebut aku sendiri tak mampu nak terangkan sampai sekarang. Buruk, teramat buruk. Ketinggiannya hampir 5 meter. Aku tak pernah melihat makhluk sebegitu rupa. Aku mengigil seluruh badan. Matanya tepat memandang aku. Apa dia mahu makan aku?

Allah. Aku tak mampu untuk mengingati sebarang ayat hafalanku. Aku lari terus pulang kerumah. Ku kira larianku lebih jauh lagi pantas berbanding Usin Bolt. Sampaikan selipar pun aku pakai memasuki kawasan ruang tamu rumahku. Sampai di rumah abahku terus menyoalku itu dan ini. Rupaku pucat sekali. Menangis, semput semua sebati. Masih terkenang bau dan rupa sebentar tadi. Tajamnya renungan. Merahnya mata. Sepanjang malam aku mengigau.

Keesokannya rakanku datang ke rumah untuk menghantar motosikal abah.
Aku cerita semuanya kepada abah. Abah pesan lagi selepas ini kalau mahu buang sampah lewat malam, jangan bersendirian kerana aku bukan orang pertama yang berjumpa dengan makhluk tersebut sepanjang bulan tersebut. Sudah ramai mangsa yang melihatnya. Kesudahannya, aku demam seminggu.

Sekali lagi ulang apa yang berlaku 2 tahun lepas, wangi. Ya, wangi sekali aku hidu. Angin sepoi dari luar membuat aku terhidu bau wangi. Jelas, bukan bau masakan. Tapi bau bunga. Siapa pula yang lalu dihadapan bilikku pada jam 3 pagi? Tanpa pikir panjang, aku terus menutup rapat tingkap bilik ku, buku-buku latihanku kemas secepat yang mungkin. Tangkas berdiri membatalkan niat untuk mengulangkaji. Aku terus menutup suiz lampu. Gelap, kelam bilik ku. Ku mula dengar bunyi seperti lelaki tidur berdengkur yang kuat. Jantung ku berdegup laju, sehingga aku boleh mendengar bunyi jantung tu sendiri.

Mata ku ligat melihat kiri kanan. Adik ku masih nyenyak lena, letih kerana siang tadi ada pertandingan bola sepak di tabikanya. Aku sentiasa meletakkan mini tochlight di bawah bantalku untuk kegunaan masa cemas. Aku dengar bunyi orang melompat. Tapi tiada bayangan yang aku nampak dari cahaya tingkap. Aku mengambil keputusan untuk membuka lampu kecemasan ku dan terus menguluh syiling bilikku. Terang, mata ku jelas melihat sesuatu. Sesuatu yang aku sendiri terpesona melihat.

Aku nampak bayang seorang lelaki berketinggian 150cm, bertubuh kurus, memiliki tanduk di kepala dan ekor yang panjang hampir satu meter serta di hujung ekornya ada anak panah kecil. Ini bukan rekaan atau khayalanku. Ini benar-benar berlaku pada ku 12 tahun yang lepas. Tanganku mengigil. Takut? Tipu jika aku tidak takut. Dengan sedikit kekuatan, aku membaca ayat kursi. Berulang kali aku membaca, namun semakin besar bayangannya. Ini bererti, objek semakin menghampiri. Allah, aku terdiam. Imanku rapuh. Seluruh badanku menggigil sampai aku menjerit memanggil-manggil ibu dan abahku. Kesannya masih sama, aku demam hampir seminggu. Aku mula takut pada gelap. Takut yang teramat.

Sehingga kini gelap adalah lawanku.Masih ada yang menganggu selepas itu. InsyaAllah akan aku kongsi dalam tinta seterusnya. Terima Kasih Fiksyen Shasha.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Fahim

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.