Kem Bina Insan

Assalamualaikum warga FS yang dihormati. Kali ini dibawakan pula kisah-kisah yang terjadi semasa program kem bina insan. Ramai mungkin yang pernah ikut serta dalam program sebegini.

Kisah ini saya alami dalam tahun 2001. Satu program bina insan untuk remaja belasan tahun dianjurkan oleh satu badan belia. Jadi urusetia mengambil keputusan untuk jalankan program tu di Kuala Woh di daerah Tapah, nak menghala ke Cameron Highland. Ada lebih kurang 40 orang peserta dan ada 6 jurulatih program.

Hari pertama:
Setelah malam pertama berlalu tanpa masalah, tibalah saat untuk Program Burung Hantu berjalan. Setiap sepuluh peserta dipantau oleh dua jurulatih. Peserta dibawa mengikuti laluan denai dalam hutan yang telah diikat dengan tali sepanjang denai sehingga tiba ke garisan penamat. Peserta diberi masa dua jam untuk tiba ke tempat penamat. Program bermula jam 1 pagi. Semua peserta dibawa ke denai, setelah peserta yang diletakkan berjarak 10 kaki antara satu sama lain, jurulatih memadamkan lampu suluh dan peserta ditinggalkan tanpa ada sabarang cahaya. Maka peserta akan berjalan dengan hanya memegang tali sahaja dan tidak dibenarkan membuat sebarang bunyi bising.

Dipendekkan kisah, lebih kurang jam 3 pagi, peserta tiba ke garisan penamat. Ada yang masih merambu air mata, ada yang macam nak pitam dan ada yang steady je tanpa nampak takut atau tak. Barisan dibuat dan bilangan peserta dikira… hanya ada 39 orang sahaja. Seorang hilang. Masing-masing mula buat andaian sendiri. Setelah dilakukan pencarian disekitar khemah, memang sah peserta itu tak tiba bersama yang lain.
4 jurulatih bersama 5, 6 peserta yang berani menyusuri semula denai yang kumpulan itu telah lalui. Tiba di bawah sebatang pokok yang tinggi, jurulatih yang bernama Cik Mat (bukan nama sebenar) menyuluh ke atas. Aduiii… ngerinya kami. Nampak remaja yang hilang tu bertenggek di sebatang dahan. Terfikir kami, macam mana dia naik. Dahan tu adalah dahan yang paling bawah tapi sangat tinggi. Ada peserta menyarankan untuk azan. Belum sempat peserta yang lain azan, Cik Mat dengan cepat menyergah. Jangan, katanya. Cik Mat bisik pada seorang lagi jurulatih untuk berjumpa dengan Tok Batin kawasan tu. Dalam masa lebih kurang setengah jam, Tok Batin datang dengan tiga orang yang lain. Segera mereka membuat sigai untuk naik. Sementara tu kami semua diminta menyanyi.. Menyanyi kuat-kuat. Maka berkumandanglah lagu Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia, Lagu rock dan macam-macam lagu sehinggalah sigai siap dan Tok Batin serta pembantunya bersedia untuk bawa remaja hilang tu turun.

Waktu remaja tu dipegang, barulah peserta dibawah, diminta azan dengan kuat oleh Cik Mat. Susah juga nak bawa turun sebab remaja tu meronta-ronta dan melawan. Sehinggalah remaja tu selamat dibawah barulah azan dihentikan. Setelah kami balik semula ke tapak perkhemahan, ada peserta yang tanya, kenapa nyanyi, kenapa tak azan dari awal. Cik Mat terangkan, kalau kami azan, benda yang sedang pegang remaja tu akan lepaskan dia dan bayangkan apa akan jadi jika remaja tu jatuh dari ketinggian begitu… Barulah kami faham kenapa Cik Mat buat begitu.

Hari kedua:

Pada waktu paginya, kami menyangkakan semua telah selesai dan selamat. Dah siang kan, takkan ada penunggu hutan waktu siang. Sedang peserta mendengar taklimat berkaitan program untuk hari itu, saya lihat seorang peserta perempuan seperti gelisah dan pucat. Tiba-tiba peserta tu mengilai dan meraung. Semua gempar. Bila ada kawan lain yang sentuh, dia pun akan menjerit dan meraung. Udah jangkit pulak. Sekali lagi Cik Mat turun padang. Kali ni semua peserta yang ada diminta berada jauh dari tiga peserta yang sedang meronta-ronta tu. Peserta kedua dan ketiga mudah diuruskan dan pulih. Tapi yang pertama kena tu meronta dan terus lari ke dalam hutan.

Cik Mat dan dua jurulatih mengejarnya. Seorang jurulatih lain segera ke rumah Tok Batin. Tok Batin dan kawannya juga masuk ke hutan setelah tiba. Menurut cerita Cik Mat, waktu mereka cari budak tu, mereka jumpa dia dalam rumpun mengkuang hutan. Dah jadi kerja pula nak tebas mengkuang tu untuk masuk ke dalam rumpun tu. Calar balar juga la tangan kena duri mengkuang dan duri rotan tu. Setelah budak tu dibawa ke khemah dalam keadaan pengsan, usaha untuk memulihkannya dijalankan oleh Tok Batin Terjadilah dialog antara keduanya. Rupanya budak tu sedang uzur dan pad yang digunakan tidak diuruskan dengan sempurna. Ada makhluk yang jadikan pad tu sarapan dia.

Setelah semua selamat, Tok Batin pun dah balik, Cik Mat apa lagi, berkompang la membebel. Dah diberitahu dari awal apa yang patut dilakukan tapi masih ada juga yang degil. Pagi tu membawa ke tengahari, program hanya dijalankan di kawasan khemah. Waktu petang program gotong royong diadakan untuk Kesedaran Sivik. Peserta dalam kumpulan yang sama dan akan bergerak dalam kawasan yang dtetapkan. Kutip dan kumpul sampah yang disedekahkan oleh pengunjung…

Sehinggalah hampir senja, tiba-tiba berlarian datang seorang peserta lelaki, berjumpa Cik Mat dan bagitahu.. “Saya nampak ada perempuan pakai baju buruk, dok hisap darah pada pad.. mukanya buruk dan hitam..matanya terperosok ke dalam”. Nasib baik dia ni agak berani, kalau yang lemah semangat mau pengsan kat situ juga. Cik Mat dan peserta lain yang acah-acah berani berkejar ke tempat yang dikatakan. Kami tak sempat nampak dengan jelas makhluk tu, tapi yang kami nampak, bertaburan pad-pad yang dah terkoyak dan terdengar seperti dengusan suara yang gembira. Seronok la dapat minum darah kan. Pengotoq juga makhluk ni.

Malam terakhir program, sekali lagi peserta diberikan nasihat tentang apa yang patut kita lakukan kalau ada di kawasan hutan. Cik Mat jelaskan, waktu kejadian pertama, remaja tu hilang kerana sikap takburnya sebelum program bermula. Mungkin gurau tapi tak kena tempat. Kata remaja tu, aku kalau kena kacau dengan hantu, aku nak peluk dia kuat-kuat. Kan mendapat..

Kisah budak perempuan tu sebab buang pad merata. Patutnya cuci dan bungkus sebelum buang ke tempat yang disediakan. Cik Mat juga bagitahu, kita masuk tempat baru, masuk hutan, sama macam kita masuk rumah orang lain. Bagilah salam dan hormatilah tempat tu. Jangan kotorkan tempat itu, jaga tutur kata. Sebab tu kita selalu dengar, ada anak kecil balik dari berkelah dengan keluarga akan menangis malam lah, tak boleh tidur lah.. sebab mungkin ada ahli keluarga yang dah buat sedikit kesilapan semasa berkelah. Ingat ye semua…jangan buat begitu tau.
Sekian dahulu. Jumpa lagi.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Kak Al
Kem Bina Insan
7.8 (77.78%) 18 votes

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.