Kembara Ritual

Hi geng. Ahmeng muncul lagi. Selamat bersua. Aku terjumpa gambar-gambar travel aku yang mengimbau kenangan lalu. So this round aku terasa nak share satu trip gila pernah aku buat dalam banyak-banyak trip terjah aku pergi. Trip ni sengaja dibuat bertujuan menelusuri satu budaya yang mengamalkan pendekatan mistik dalam masyarakat mereka. Apa yang aku akan kongsikan adalah senario yang berlaku di sana dan beberapa situasi yang aku saksikan. Trip aku ni mungkin akan mengundang rasa tak senang. Chill, nanti aku jelaskan kenapa aku perlu share pengalaman macam ni. Sila cakna, jalan cerita trip ni agak serabut dan sarat dengan banyak kejadian. Aku tak pandai nak lukis tapi aku akan tulis mengikut timeline. Okay here we go. Be seated and ready for take off.

Planning ni bermula masa aku keluar lepak dengan dua orang kawan kat kedai mamak. Perbualan malam tu berkenaan satu kejadian orang kena rasuk yang mana telah kantoikan kebolehan mata aku dekat diorang berdua ni. Sembang punya sembang meleret kepada satu pelawaan dari salah sorang kawan. Kita namakan dia Bob, sebab fizikal dia menggambarkan ciri-ciri seorang ‘Bob’. Sorang lagi kita namakan dia Roy, mat rempit tersohor dari negeri di bawah bayu. Tawaran dia berat. Dia ajak pergi ke satu kampung di pedalaman Indonesia yang umumnya tahu akan budaya mistik di sana. Aku berminat tapi aku takut. Roy awal-awal lagi dah tarik diri. Kali ni hati Roy tak keras. Bob berjaya merasuah aku dengan trip ni ditaja sepenuhnya oleh beliau. Aku terima dengan berat hati.

Budaya ni secara terperincinya berasal dari satu negeri di Kalimantan. Tapi memandangkan flight ke sana terlalu terhad dan perjalanannya leceh serta memakan masa yang terlalu panjang, maka kami bertukar ke destinasi lain yang lebih mudah namun mengamalkan tradisi yang hampir sama. Kami memilih satu kampung di kepulauan Jawa. Trip ni terdiri daripada tiga orang. Aku, Bob dan sorang lagi adalah Pak, rakyat tempatan selaku tour guide. Pak ni adalah tour guide yang sama dalam trip aku sebelum ni (refer Dimensi Hijab). Lepas semua persiapan dah complete. Hari ditunggu pon berkunjung tiba.

March 2019, aku dan Bob tiba di airport Jakarta lebih kurang jam 10 pagi waktu tempatan. Kami bertemu dengan Pak di terminal bas sebelah airport. Dari situ kami teruskan perjalanan ke destinasi kami dengan menaiki van sewa yang dipandu oleh Pak. Sepanjang perjalanan, kami berbincang tentative yang dah direncana, apa nak kena buat, apa pantang larang dan sewaktu dengannya. 8 jam berlalu, kami tiba di destinasi.

Environment kampung ni memberikan first impression yang sangat menarik. Suasana kat kampung waktu tu meriah dan riuh dengan aktiviti masyarakat. Masing-masing sedang membuat persiapan bagi meraikan satu pesta. Pelita warna-warni dihias dengan arca seni tenunan traditional digantung serata tempat. Kesantunan masyarakat sana cukup untuk buat kau lupa tujuan asal kau datang sini. Kat sini tak ramai yang boleh berbahasa kebangsaan, diorang lebih menggunakan bahasa jawa dan bahasa etnik mereka tersendiri. Okay, pesta ni adalah pesta kesyukuran yang disambut bagi meraikan tuaian hasil tanaman, terutama sekali padi.

Dalam masyarakat ni, mereka percaya bahawa padi yang dituai adalah satu kurniaan istimewa. Jadi setiap tahun akan berlangsungnya satu upacara kesyukuran yang diadakan selama tiga hari untuk mensyukuri nikmat yang diberikan. Dalam pesta yang sama, akan ada satu upacara khas yang berlangsung pada dua malam terakhir. Luas kampung ni tidak lah besar mana. Community lebih kurang 400-500 orang penduduk. Even seksyen 7 Shah Alam lagi besar daripada kampung ni. While the location agak jauh di pedalaman about 8 jam driving or 10 jam kalau naik bas merentasi banjaran gunung. Kitorang berjumpa ketua kampung dan nyatakan hasrat ke sini. Ketua kampung menyambut baik dan menetapkan tempat penginapan kami di satu rumah penduduk di situ. Makan dan minum pon disediakan tuan rumah.

Lebih kurang jam 8.30pm, kitorang menuju ke lokasi acara. Sebuah pentas diperbuat daripada daun nipah dan buluh tersergam di hadapan. Kat belakang pentas tu, aku nampak ada orang sedang mengasap beberapa topeng. Then topeng yang telah diasap diserahkan kepada sekumpulan penari berbaju tradisional yang tersedia di atas pentas. Sejurus topeng dipakai, kumpulan tu terus menjerit meracau dan melibas-libas jerami padi ke sekeliling dia sampai terkena pada hadirin yang datang. Yang peliknya, orang yang kena pukul ni tidak menunjukkan riaksi sakit atau pedih malah mereka seakan gembira dengan hadiah pukulan tersebut. Bila para penari dah behave sikit barulah tarian dimainkan dengan iringan music. Tarian ni persis kuda kepang. Cuma kuda dia tu tak berbentuk kuda. Aku nampak macam lebih cenderung kepada bentuk burung helang. Sambil menonton, perhatian aku teralih kepada dua orang crew yang sedang menuju ke arah kami. Topeng diorang ni nampak lebih menyeramkan daripada topeng kumpulan penari. Bertaring dan berwajah bengis. Setiap derapan perlahan dia menghampiri, semakin laju degupan jantung aku tatkala melihat fizikal mereka yang lagi tinggi dari aku. Langkah demi langkah. Kini mereka selangkah di hadapan. Jerami padi dikibas-kibas ke badan aku. Bob tergamam. Aku terdiam. Hanya mampu bersiap siaga untuk dilibas. Perlahan jerami diturunkan sambil dia bisikkan sesuatu kepada aku dalam bahasa jawa. Mujur aku faham. Aku diarahkan untuk bawa Bob dan Pak beredar dari situ dan menonton dari luar kawasan pentas. Tak boleh blah masa tu Bob boleh tanya balik dengan nada mintak simpati “apa salah aku?”. Siap nego nak bayar semata untuk menonton dari situ. Bingai. Tak kena pukul tu dah kira baik dah hahaa.

Maka kami pon menonton lah dari jauh dan cuba perhatikan sebaik mungkin dengan penglihatan yang terhad. Selepas tarian ni berakhir, sang ketua penari menjampi sesuatu kepada awak-awak sampai diorang kerasukan melalui topeng yang diasap. Then penari sekali lagi bertindak liar seorang demi seorang. Kepala terangguk-angguk kuat sampai hampir kena lantai. Ada yang melompat, ada yang berlari keliling kawasan tari, ada yang cuma duduk dan ketawa mengilai. Sekejap-sekejap diorang akan menghayun-hayun jerami yang dipegang. Setiap kali penari kerasukan, penonton akan bersorak macam tengok bola. Penari yang bertindak di luar kawalan akan dilibas dengan kain oleh si ketua sampai diorang behave. Meronta-ronta si penari macam kena siram dengan air panas. Upacara tarian berakhir setelah semua penari lemah longlai. Beberapa crew masuk untuk menenangkan para penari yang masih kerasukan. Ketika paluan gendang diperlahan, suasana kembali beransur tenang.

Seorang penari yang tidak sedarkan diri dibaringkan di tengah-tengah pentas. Seorang dukun naik ke pentas untuk bacakan jampi ke atas si penari ni. Air direnjis sambil kakinya ditahan oleh dua orang lelaki berbadan besar. Tiba-tiba penari tu bangun menjerit dan mengilai dengan kuat. Jeritan dia seolah meraung tangis. Dengan pantas geng asap tadi kemenyankan sorang ni pulak. Itu adalah petanda yang diseru sudah tiba. Dukun tadi menyambung jampinya dengan bacaan yang agak kuat dan keras sampai penari tadi lemah. Upacara menyeru berakhir. Orang kampung pon slowly beransur balik ke rumah masing-masing. Tinggal lah crew penari, beberapa penonton dan kami bertiga yang masih memerhati. Sedang kami tengok dukun tadi cuba memulihkan penonton-penonton yang dirasuk. Mata aku terpaku pada kewujudan sesuatu dalam kalangan mereka. Seorang nenek tua berambut putih, berjalan terincut dan berkulit hitam. Aku terfikir mesti ada maksud dan cerita lain di sebalik tarian ni yang berkait dengan kewujudan nenek kebayan ni. Secara tak sengaja aku tertentang mata dengan dia. Nenek ni dah mula perasan kitorang kat sini. Dia sengih sambil tunjuk ke arah aku. Then si dukun pula mengangkat kepala mendongak ke arah kitorang. Waktu ni, aku rasa macam hidup aku akan berakhir kat sini.

Pak bagi signal, perhatikan keliling. Rupanya kat tempat kitorang menonton tu ada banyak lagi makhluk lain. Ada yang bertenggek atas dahan, berambut panjang berjurai sampai ke tanah. Ada yang static kat atas bumbung rumah yang tak jauh dari kitorang. Menggigil satu badan. Aku rasa tak berdaya dah nak ‘tonton’ lagi upacara ni. Tapi nak bergerak pon rasa tak berganjak. Aku hanya mampu pejam mata dan cuba ikhtiar dalam hati untuk kuatkan diri. Sempat jugak la rasa menyesal datang sini. Sejurus si dukun beransur pulang, baru lah kami ada kudrat untuk berganjak. Baru je nak gerak, bau busuk muncul menikam hidung. Hanyir. Bau pekung. Aku dengan Pak berpandangan satu sama lain. Mata aku kalut meliar ke sekeliling risau kot ada yang dah berdiri kat sebelah. Bila kami pandang ke arah Bob. Cehhh!! dia terkencing dalam seluar rupanya. Bau petai. Haram jadah buat orang bertambah takut. Ni bukan kawan aku ni. Aku tak kenal dia. Tiberr.

Malam tu kami tidur di rumah tumpangan yang diurus oleh Pak dan ketua kampung. Bob dah tidur. Aku dengan Pak tak boleh tidur terngiang kejadian tadi. Pak bilang aku, apa yang aku nampak tadi dia dengan Bob tak nampak. Tapi Pak boleh rasa kehadiran sesuatu. Dia suruh aku perhatikan keliling untuk verify berapa banyak. Seriously, tak terkira.

Aku difahamkan upacara esok lebih dasyat. Esok malam kemuncak. Pak pesan satu pantang yang paling mustahak, cuba sebaiknya untuk tidak bertakbir dengan suara. Nak mengaji sekalipun, ngaji dalam hati. Sembang punya sembang tiba-tiba aku terpandang satu susuk melalui satu ruangan di celah dinding papan. Aku terus terdiam. Entiti persis seorang wanita. Berambut panjang menutup muka. Jari-jemarinya menggigil menyerlahkan kukunya yang panjang. Macam nenek tadi. Aku tak sure ni nenek tadi ke lain. Pak yang seakan menyedari terus suruh aku tutup mata dan tidur. Bukan senang nak lelapkan mata lepas nampak benda-benda macam ni. Lepas satu, satu lagi kena hadap.

Keesokannya kami bersarapan di satu warung bakso. Kat sini semuanya normal. Disebabkan hari ni nampak normal so aku berniat nak buat amal jariah sikit. Aku aim satu table yang ramai makcik pakcik. Aku cakap kat abang cashier kirakan sekali table orang tua sana tu. Sekali apa yang abang tu respon kat aku, “Orak eneng sopo nang kono”. Translation, “takde siapa pon kat sana”. Meremang bulu roma bila aku tengok balik memang betul takde siapa pon kat situ. Hanya kami bertiga je pelanggan kedai masa tu.

Kami teruskan pengembaraan dengan buat beberapa lawatan di sekeliling kampung. Kampung ni cantik sebenarnya. Panorama kampung terhias dengan sawah bukit. Instaworthy gila. Pernah viral suatu ketika dahulu. Masa aku tengah cari spot untuk ambik gambar, mata aku tertancap pada seorang wanita. Cantik mempesona seperti selalu. Ex-crush aku pon tak secantik dia. Cuma dia bukan manusia macam kita. Dia ni jarang muncul, tapi bila dia muncul mesti dia ada mesej untuk aku. Mesej kali ni agak sukar untuk aku rungkai. Dia menuding ke satu arah. Bahasa tangan dia membentuk sesuatu at least bagi aku signal yang aku perlu berwaspada. Although aku tak paham apa yang dia cuba sampaikan.

Malam ni akan berlangsung pula satu majlis gilang gemilang bagi menutup pesta kesyukuran. Gerai dan warung penuh dengan masyarakat setempat. Turut hadir malam tu beberapa journalist dari beberapa negara. Aku dengan Bob pon acah-acah la journalist dari Malaysia ketika disapa journalist lain haha. Dimulakan dengan nyanyian dan tarian, kemudian tetamu dihidangkan dengan makanan tradisional dan daun sirih yang diagihkan oleh para pelayan. Dalam masa yang sama artis persembahan menabur beras dan bunga ke arah orang ramai. Di satu sudut yang lain, terdapat beberapa crew pentas sedang menumbuk beras sebagai simbolik kepada manfaat dari hasil yang dituai. Menjelang tengah malam, satu tiupan dari satu alat music diperbuat daripada tulang dibunyikan. Semua orang akan berarak ke satu lokasi lain. Lokasi seterusnya merupakan sebuah rumah besar yang dipercayai dimiliki oleh tokey padi pada zaman dahulu kala. Kira ni tokey pioneer yang mula-mula tanam padi kat situ pada zaman dulu lah. Jarak rumah ni dari pentas tadi lebih kurang 500 meter. Perarakan diiringi dengan nyanyian dan tarian yang masih dimainkan oleh group penari yang sama. Kami difahamkan tujuan perarakan ni adalah untuk menyanjung budi tokey padi yang memberikan kampung ni sinar baru setelah hancur dek jajahan imperialist.

Setibanya di hadapan rumah besar, tiga orang lelaki sudah tersedia duduk dalam bentuk bulatan. Pakaian mereka seragam. Hanya berseluar panjang dan bertanjak kain membaluti kepala. Tanjak ke dastar ke lebih kurang yang nelayan selalu pakai lilit kepala. Semua hadirin mengambil tempat masing-masing. Suasana bertukar senyap. Lampu-lampu dan pelita dipadam. Gelap gelita serta merta menyelubungi suasana yang sepi. Senyap dan sunyi, hanya bunyi cicak, unggas dan nafas yang kedengaran. This time kalau kau kentut semua orang boleh dengar. Kegelapan tu buat aku blurr kejap. Rasa macam aku sedang berada di tempat aneh. Seperti sedang bermimpi. Tiba-tiba bunyi mentera dibaca sayu. Satu demi satu suara bacaan bersahutan hingga bunyi kedengaran seperti dibaca beramai-ramai. Obor dinyalakan serentak di sekeliling kami. Suasana bertukar terang dek nyalaan obor. Bunyi bacaan yang dengar macam ramai tadi rupanya hanya dibaca oleh tiga orang tadi. Pak bisik kat aku “Sekarang ia bermula, kita dah tak boleh berpatah balik. Kuatkan diri sehingga selesai”.

Upacara disambung dengan ritual oleh seorang ‘penuai’. Penuai ni bukan dalam kalangan tiga orang tadi. Aku tak tau macam mana nak describe bentuk ritual dia. Ianya sebuah tarian dengan gerakan langkah dan tangannya lembut gemalai tapi tajam. Macam bunga silat. Gendang dipalu. Kemudian seorang demi seorang lelaki bertiga tu akan ikut serta dengan gerakan yang sama. Gerakan tari semakin perlahan, paluan gendang serta merta berhenti dan disusuli bunyi seruling dimainkan. Part ni yang aku rasa paling seram. Lagu tu sangat menyeramkan menambahkan lagi ketakutan aku. Bayangkan lagu ulek mayang dimainkan di tengah hutan yang sunyi sepi dengan suram cahaya antara nampak. Lagu ni berkali ganda lebih seram berbanding lagu ulek mayang. Bunyi seruling tu sendiri dah cukup menyeramkan. Tambah pulak dengan lenggok tarian dan solekan penari.

Si penuai kini dikelilingi lelaki bertiga. Obor dipadam suram. Satu bacaan mula bergema. Bila aku amati bacaan ni, ia sebenarnya satu bentuk sumpah dan janji. Maaf aku tak berani nak huraikan maksud yang dibacakan. Even bulu roma aku meremang masa aku tengah tulis ni. More or less it was about the deal antara tokey padi dengan something yang diorang puja. Semakin kuat bacaan, semakin meraung si penuai. Bacaan yang disulam tangisan dan teriak penonton menandakan upacara dah berakhir. Lega rasanya. While diorang semua sedang menghayati ritual, kitorang cuba selit-selit keluar. Setibanya di jalan utama, kami ditarik oleh sekumpulan crew. Aku rasa diorang ni pengawal. Cuak masa ni. Bob menggelabah sambil tarik-tarik baju aku. Kami dibawa menghadap ketua penari. Masa tu Pak dan ketua kampung menjadi wakil berurusan dengan ketua penari menjelaskan siapa aku dan Bob dan apa tujuan kami. Si ketua kemudian membenarkan kami pergi. Dengan syarat kami tak dibenarkan kembali sehingga pesta ritual seterusnya.

Dalam kelam-kabut, Pak suruh pack barang-barang sekarang. Kitorang kena gerak malam tu jugak atas arahan ketua penari. So malam tu kitorang beredar dari kampung tanpa mengetahui destinasi seterusnya. Van dah jalan pon kitorang masih belum decide nak pergi mana. Akhirnya kitorang balik ke Jakarta. Disebabkan semua dah penat, kitorang singgah di satu rumah rehat tepi jalan. Pak settlekan urusan check-in. Then aku dengan Bob masuk ke rumah dan terus terlelap. Masa tengah syok tido, kitorang dikejutkan dengan pintu bilik diketuk kuat. Semua bangun terperanjat. Sedar-sedar je ramai orang sedang suluh lampu pada kitorang. Diorang tanya kitorang ni siapa, datang dari mana. Untuk kesekian kalinya kitorang jelaskan soalan yang sama.

Entah kenapa hati rasa tak sedap dengan suasana waktu ni. Bila perhatikan keliling baru aku sedar. Guess what? Kitorang rupanya tido kat atas longgokan sampah dan kain buruk. Ini bukan rumah rehat seperti yang kitorang mula-mula nampak. Rupanya ‘hotel’ ni adalah sebuah rumah terbiar yang digunakan untuk melupuskan sampah. Dinding berlubang, atap lompong. Lantai pon dah hancur. Aku terduduk tak tahu nak buat apa dah. Terkejut. M**i akal. Pak cuma mampu tercengang melihat keadaan sekeliling. Dia buntu dengan siapa dia deal check-in tadi. Lastly orang kampung yang ketuk pintu tadi bawa kitorang menumpang kat rumah dia tak jauh dari situ. Menurut orang kampung, kitorang bukan orang pertama dijumpai tido kat rumah tu. Dah banyak kali orang dijumpai tido kat situ sebelum ni. Kitorang bernasib baik ada orang kampung yang perasan kewujudan van kat depan rumah usang ni. Apa pun, malam tu kitorang bersyukur diselamatkan. Even lepas tu tak boleh tido dah, at least kitorang mampu tarik nafas lega lepas hadapi malam yang panjang. Aku dengan Bob kembali ke tanah air pada siang harinya. Ambik flight yang paling awal.

Anyway, dalam trip ni aku ada berjumpa dengan sorang solo traveller mat saleh. Dia datang buat video untuk channel youtube dia tentang pengembaraan budaya. Dia antara yang dirasuk selepas ritual menyeru. Silap aku tak tanya nama channel dia. Sampai sekarang aku cari tak jumpa. Bob agak terkesan dengan apa yang kitorang alami kat sana. Dia pergi berubat dengan rawatan Islam selama hampir sebulan sebelum dia kembali normal seperti sedia kala. Bob dan mulut lancangnya berpisah tiada. Cuma kali ni dia dah tak memandai nak buat idea pelik-pelik.

Okay geng, maybe cerita ni kedengaran tak masuk akal malah terlalu hiperbola untuk sebuah pengalaman. Terserah, aku rasa lebih tenang bila aku luahkan begini. Kalian berhak memberikan sebarang pendapat masing-masing terhadap aku dan trip ni tapi kenapa aku ceritakan pasal ni sebab aku nak korang ambik iktibar dan tolong sangat-sangat jangan ulang kesalahan kitorang ni. Firsly, jangan cari pasal meneroka sesuatu budaya tanpa persediaan secukupnya terutama berkenaan aktiviti yang akan dijalankan yang berkaitan dengan agama. Kita mungkin cuma plan nak jadi pemerhati tapi kita sangat berpotensi untuk melakukan ritual-ritual mereka. Itu dah boleh ke arah syirik. Mujur kitorang tak tertangkap sebab tak turut serta dalam ritual tu. Secondly, sekalipun korang nak belajar budaya, pastikan korang selidik dahulu budaya tersebut jika ada sebarang risiko yang tak diingini. Tanya kawan-kawan mana yang pernah pergi, minta pendapat diorang kalau taknak mendapat. Pastikan budaya tersebut selamat untuk dipelajari zahir dan batin. Last but not least, please hormati budaya orang. Just hormat. Even kau ada pendapat tentang budaya tu biarlah kau simpan sendiri. Aku hightlight point ni sebab Bob ada komen yang tak elok berkenaan upacara menyeru. Ini bukan satu bentuk penghormatan. Biarkan mereka bahagia dengan cara mereka. Malah mereka tak minta kita datang belajar budaya mereka. Berkatalah yang baik atau jangan berkata langsung. Sekian, stay safe.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Ahmeng
Rating Pembaca
[Total: 119 Average: 4.8]

3 thoughts on “Kembara Ritual”

  1. ahmeng mengigatkan sy arwah kucing kelabu.. rindu sgt dgn karya arwah.. sekarang sy follow untuk baca story ahmeng.alfatihah

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.