Kemelut Sihir, Santau Dan Gangguan Saka

Sering kali kita alpa bahawa hanya kita yang beranggapan dunia ini cuma dihuni manusia, flora and fauna, sedangkan hakikatnya kita berkongsikan alam semesta ini dengan pelbagai makhluk lain ciptaan Allah Taala. Alam semesta yang diciptakan Allah Taala juga bukan hanya Bumi dan segala isinya, sebaliknya Bumi hanya salah satu penghuni di Bima Sakti dan Bima Sakti pula cuma salah satu alam semesta yang kita ketahui. Belum lagi kita sentuh tentang tujuh lapisan langit yang dikunjungi Rasullah SAW semasa Israk dan Mikraj.

Kita berkongsi alam semesta dengan jin, syaitan, iblis, bunian, malaikat, qarin, roh-roh yang belum dilahirkan tetapi sudah menghuni rahim ibu masing-masing, roh-roh orang berhutang yang tergantung di antara langit dan bumi, roh-roh mereka yang tidak diterima kerana menyekutukan Allah Taala, roh-roh bergentayangan kerana masih berdendam dan kerana membunuh diri. Juga hidup bersama kita ketika ini Yakjuj dan Makjuj yang masih terkurung di sebalik dinding raksasa, yang belum lagi dibenarkan keluar tetapi sudah wujud dalam perut bumi sejak ribuan tahun lalu dan banyak lagi makhluk wujud tanpa nama yang tidak kita ketahui.

Adakah mungkin untuk kita mempercayai bulat-bulat hanya manusia dan haiwan yang diciptakan Allah Taala untuk menduduki Bumi? Sedangkan seperti yang kita sedia maklum, banyak sekali ayat suci al-Quran dan hadis nabi yang mendedahkan tentang kewujudan makhluk lain selain manusia dan haiwan.

Kisah yang ingin kuceritakan ini mungkin sukar untuk dipercayai tetapi hakikatnya setiap kali mengingatinya, bagaikan baru semalam aku melaluinya. Mana mungkin aku dapat melupakan apa yang aku telah lihat, rasa dan dengari, sejelas kamu melihat pantulan wajahmu di hadapan cermin setiap hari.

Malam itu terasa dingin sekali.

Aku yang sudah seminggu terlantar bagaikan zombie menerima kunjungan 13 orang ustaz muda dari daerah sebelah. Itu antara ikhtiar suamiku untuk memulihkanku yang setiap hari meracau, termenung, enggan makan dan minum, enggan solat malah membuat permintaan yang pelik-pelik.

Manakan dia tidak terkejut beberapa hari sebelum itu aku meminta dibelikan ayam panggang 25 ekor untuk dimakan dan keesokan harinya meminta pula kepada adikku anak-anak kucing yang baru diberanakkan ibunya di beranda tepi rumah, juga untuk dimakan.

Seperti yang diceritakannya semula kepadaku setelah hampir setahun kemudian aku mulai sembuh.

“Sayang nak makan apa?” Suamiku bertanya menjelang waktu makan tengah hari.

“Aku nak 25 ekor ayam panggang!” Balasku dengan suara tajam dan renungan kosong ke arah siling rumah.

Dia ketawa gementar lantas memaut tubuhku dan berkata: “Sayang nak ayam ya?”

“Ya, 25 ekor!!” Balasku membentaknya dengan mata mencerlung.

Menurut suami, mataku ketika itu seperti hendak terjojol keluar manakala suaraku berubah garau dan kasar.

Enggan mempedulikan permintaanku, suami membelikanku nasi ayam namun langsung tidakku sentuh. Apabila disuapkan, aku muntah teruk sehingga longlai sambil mengatakan ayam itu sudah busuk berulat.

Begitu juga cerita adikku yang mengatakan pada suatu petang aku tiba-tiba meminta anak kucing di tepi rumah untuk dimakan.

“Aku lapar, masakkan aku mi dengan anak kucing tu!” Kataku kasar sambil merenungnya yang sedang menyapu lantai.

“Anak kucing? Anak kucing mana kak?” Soalnya lantas duduk di sampingku.

“Ahhh aku tahu ada empat ekor anak kucing kat luar tu! Aku lapar, aku nak makanlah!” Bentakku keras.

Adik mengakui ketika itu bulu romanya merinding kerana sebenarnya aku sudah lama tidak keluar dari bilik, apatah lagi duduk di ruang tamu bersama ahli keluarga yang lain. Lebih-lebih lagi hendak keluar rumah mengambil angin sejak dua minggu itu. Jadi bagaimana aku boleh tahu ada empat ekor anak kucing itu.

Sekali lagi adikku bertanya di mana anak kucing yang kumaksudkan itu.

“Kat luar tu la, kat beranda tepi tu, lekas ambik, aku lapar!!!” Jeritku.

Adik merenungku sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Tak semena-mena aku yang asyik terbaring lemah sepanjang hari tiba-tiba cuba mencakarnya tetapi dengan pantas dia mengelaknya membuatkan aku tersungkur di atas sofa. Sambil menutup telinga aku terpekik-pekik meminta dia menghentikan bacaannya.

“Panas bodoh, panaslah!!! Panas!!!!” Jeritku bertalu-talu.

Ayah yang berada di biliknya bergegas keluar lalu merukyahku sambil meletakkan tangannya di atas ubun-ubunku. Seperti biasa sejak aku sakit, apabila diperlakukan begitu aku akan menjerit melolong panjang dengan suara yang amat nyaring dan kedengaran seperti bergema-gema. Selepas itu aku akan memuntahkan buih-buih berlendir sehingga lembik dan terdampar tidak sedarkan diri.

Pernah suatu hari aku bertanya dengan adik, adakah aku ini sudah gila? Hantarkan saja aku ke hospital gila, tolonglah aku sudah letih begini. Tak tertanggung rasanya.

Kenapa aku selalu berada di tempat itu, di bawah pokok ara berjuntai mencecah pusaran lubuk di tengah sungai berpaya berhutan tebal itu. Apakah makhluk-makhluk dahsyat yang sering kulihat? Kenapa aku selalu mendengar benda-benda pelik seperti lolongan anjing di waktu tengah hari dan tengah malam, dentingan loceng, hentakan kaki berat di atas siling, bunyi kanak-kanak berlari seolah-olah memijak lantai kayu sedangkan rumah kami rumah berkembar setingkat? Tangisan wanita mendayu-dayu saban dinihari, terkadang bunyi wanita ketawa mengilai tak henti-henti, juga bunyi lelaki membaca mantera dalam bahasa yang tidak kufahami?

Tapi jawab adik, kak, kau tak gila kak, kau sakit tak nampak. Ada benda mengganggu kau kak, kau juga disihir kak, makhluk-makhluk itulah yang mengacau kau kak. Makhluk-makhluk kufur bertuankan manusia penyembah syaitan. Sabar ya, kak, kata adikku memujuk.

Tidak, aku tak percaya. Benda-benda itu hanya kisah dongeng dalam buku. Kau ni, macam mana kau tahu hah?

Adik memegang tanganku dan terdiam. Agak lama dia terdiam sedangkan aku mulai berasa di awang-awangan, melayang bagai layang-layang putus talinya. Rasa panas mula berbahang, aku berasa bagai dibakar hidup-hidup dalam nyalaan api yang sangat panas. Tak tertanggung lagi sakitnya dibakar api putih tapi maha panas itu, aku mula menjerit terlolong-lolong dan meronta cuba melepaskan diri daripada pegangan adik.

“Hoi bodoh, sudahlah bodoh, sakitlah bodoh, kau buat apa kat aku, kau baca apa tu hah, hei bodoh kau ni kenapa hah?!!” Makiku sambil meronta-ronta cuba menarik tanganku lalu perlahan-lahan bumi berputar dan aku pun pengsan.

Sedar dari pengsan, aku mendapati aku sudah terbaring di atas tilam. Mata adik basah ketika mengelap mukaku dengan tuala dan memberiku segelas air.

“Macam mana rasa kau kak?” Tanyanya dengan air mata bergenangan.

“Sakit…” jawabku sepatah lalu menutup mata. Rasa letih yang tidak terkata membalut sekujur tubuhku yang kesakitan, kulitku rasa pedih seolah-olah selepas disebat.

Adikku memintaku membaca Bismillah sebelum meneguk air, tapi aku tidak berdaya menyebutnya. Hanya setakat “Bis” sahaja, itu pun amat berat sekali pada lidahku.

“Tak apalah kak, tak apa, minum saja. Rehat ya.

“Kakak nak tahu bagaimana saya tahu kak tak gila? Tadi saya baca ayat Qursi, al-Fatihah dan tiga Qul dalam hati. Kalau kakak gila, kakak takkan tahu saya merukyah kakak.

“Kalau kau gila kak, kau juga takkan merasa panasnya seksaan dibacakan ayat-ayat tu. Sekarang kakak percaya tak kata saya?” Jelasnya sambil terus mengusap lengan dan kepalaku dengan penuh kasih sayang.

Aku terdiam mendengar kata-kata adik. Dengan lemah ku anggukkan kepala lalu tertidur. Menurut adik, begitulah keadaanku selepas dirukyah, pasti tertidur pulas berjam-jam lamanya. Apabila bangun kelak, sikapku seperti orang mamai, merenung siling, merenung orang tanpa berkata apa-apa.

Pernah sekali kucing kesayanganku menghampiri dan tanpa berkata apa-apa aku memeluknya kuat-kuat sehingga ia mengiau kesakitan. Kebetulan adikku berada tidak jauh lantas dia cuba mengambil kucing itu dari pelukanku. Ternyata kudrat dia seorang tidak mampu melepaskan kucing itu sehingga suami dan ayah pun turut membantu. Mereka bertiga termengah-mengah setelah berjaya melonggarkan tanganku yang memeluk erat si kucing, manakala aku terus ketawa mengilai-ngilai di situ.

Begitu juga kejadiannya apabila anak bongsuku menghampiriku yang duduk di atas sofa. Dia yang baru berusia enam tahun ketika itu kucekik dalam pelukanku. Kecoh seisi rumah dengan bunyi jeritan si kecil, sedangkan aku menyeringai dengan tatapan mata kosong. Suamiku, ayahku, adikku dan anak sulungku berusaha melepaskan cekikanku, manakala anak-anakku yang lain menangis ketakutan. Hanya apabila ayah melaungkan azan barulah aku pula yang menjerit kuat meminta dilepaskan.

Tahun-tahun yang berlalu dalam kemelut sihir dan santau serta gangguan saka belum lagi berakhir bagiku. Mohon doa kawan-kawan semua agar akhirnya kelak aku dapat hidup normal semula. Terima kasih kerana sudi membaca nukilan hidupku. Semoga Allah Taala merahmati kita semua.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.