Kepulangan Yang Dinanti

“Tingkap dapur dah tutup?” tanya Muhaimin sebaik saja Nadia melabuhkan punggung pada tempat duduk hadapan.

“Sudah,” jawab isterinya pendek.

“Dah kunci? Pintu depan?” sekali lagi Muhaimin bertanya.

“Semua dah,” balas Nadia sambil memakai tali pinggang keledar.

“Okay,” dengan lafaz Bismillah dalam hati, Muhaimin menukar gear lalu menekan pedal minyak.

Nadia memeriksa anak mereka di tempat duduk belakang. Haikal sedang bermain-main dengan alat permainannya.

“Kenapa kita pulang malam bang? Esok siang kan boleh?” tanya Nadia sekali lagi.

“Saja abang pilih waktu malam. Sunyi sikit. Tak banyak kereta,” jawab suaminya sambil senyum.

“Tapi abang kan baru balik dari kerja. Rehat pun tak sempat,” tergambar kerisauan di wajah isterinya.

“Tak apa. Kalau mengantuk, abang rehat kat RnR,”

Kereta Perodua Bezza berwarna putih itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan perkarangan Suria Residence, menuju ke Utara tanah air.

“Yay! Balik kampung! Tak sabar nak jumpa atuk dengan nenek.” Haikal girang di tempat duduk belakang.

“Nanti kat kampung, Haikal jaga perangai tau. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap atuk dengan nenek. Hormat mereka,” pesan Nadia. Haikal sekadar mengangguk.

“Awak ni. Pesan macam kita nak tinggal dia kat sana,” celah Muhaimin.

“Takde la bang. Saya saja je pesan. Mana la tau nanti sampai kat kampung, dia buat yang bukan-bukan. Buatnya dia kejar ayam dengan itik yang mak bela tu haa.” Nadia memandang suaminya.

“Alahh. Biasa la tu. Nama pun budak-budak. Lain lah awak. Dah tua pun kena kejar dengan angsa,” balas suaminya sambil tergelak. Nadia mencubit manja lengan Muhaimin.

Terbayang 6 tahun yang lalu ketika Muhaimin membawa dia pulang ke kampung, untuk kenalkan kepada ibu dan ayahnya. Ketika sedang melihat-lihat sekeliling rumah, dia ternampak sepasang angsa sedang berjalan tidak jauh darinya.

Dengan rasa ingin tahu, Nadia mendekati kedua ekor angsa itu. Apabila melihat manusia asing itu mendekat, angsa belaan ibu Muhaimin terus meluru ke arah Nadia. Dengan teriakan separa terkejut, bakal menantu Mak Khadijah dan Pak Mokhtar itu membuka langkah seribu. Muhaimin hanya ketawa sambil menonton dari atas rumah.

Tersenyum Nadia apabila kenangan itu melintas di minda.

—————————————–
SEMINGGU SEBELUMNYA
—————————————–

“Abang, tadi Muhaimin telefon. Dia kata minggu depan dia nak balik,” kegembiraan terpancar pada wajah Khadijah apabila memberitahu berita itu kepada suaminya.

“Bagus la. Dah lama dia tak balik sini. Dia ada cakap berapa lama dia nak balik?” Mokhtar menggulung rokok daun. Nadanya bersahaja. Tetapi dia bijak menyembunyikan perasaan seronoknya daripada isterinya.

“Takda pulak dia cakap berapa lama. Ijah rasa, lama la kot. Dia cakap nak tenangkan fikiran dia.” Khadijah mengambil tempat di sebelah suaminya lalu mengacip buah pinang.

Setelah beberapa kali asap dihembus ke udara, Mohktar bangkit dari duduk lalu menyarung kemeja lusuh.

“Eh, abang nak pi mana pulak tu?” tanya Khadijah sambil mulutnya mengunyah daun sirih yang dilipat bersama dua kacip pinang.

“Abang nak pi kebun sat. Tebas-tebas lalang. Bersihkan semak. Sambil-sambil tu boleh la tengok kalau-kalau ada pisang,” balas Mokhtar sambil perlahan-lahan menuruni anak tangga kayu.

Khadijah hanya memerhati dari atas rumah. Kelibat suaminya menunggang motosikal buruk diperhati sehingga hilang dari pandangan.

Tiba-tiba dia berasa tidak selesa. Hatinya merasakan akan ada sesuatu hal yang tidak baik akan terjadi.

“Ya Allah. Kau jauhkan segala hal dan benda yang tak elok dari suami aku. Permudahkan segala urusan dia. Hanya kepada Engkau saja aku berharap.”

—————————————-

Jam menunjukkan pukul 2:15 pagi. Muhaimin memandu dengan berhati-hati. Walaupun sudah diserang mengantuk, dia tetap meneruskan pemanduannya.

Lagu-lagu di radio menjadi peneman di saat isterinya hanyut dibuai mimpi. Sesekali dia ikut menyanyi untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Dia ingin segera sampai ke kampung. 2 hari lepas, dia dikejutkan dengan berita tentang ribut yang melanda negeri kelahirannya. Serta merta dia teringat akan ibu dan ayahnya.

BAMM!

Muhaimin dikejutkan dengan satu dentuman kuat di hadapan. Dia ternampak sebuah kereta berwarna putih melanggar penghadang jalan yang diperbuat dengan simen tebal. Asap berkepul-kepul naik ke udara.

Dia memberhentikan keretanya di bahu jalan. Sebuah lori treler dan beberapa buah kereta turut berhenti untuk memberi bantuan.

“Tu dah ada orang tolong. Baik aku teruskan perjalanan,” bisik dia sendirian.

Muhaimin memeriksa anaknya di belakang. Masih terbaring. Begitu juga dengan isterinya. Kedua anak beranak itu tidak sedarkan diri. Hanyut dibuai mimpi mungkin. Muhaimin memandu dengan berhati-hati. Mengantuknya telah hilang. Dadanya berombak akibat kejadian yang dilihat di depan matanya tadi.

——————————————–

“Bangun sayang. Kita dah sampai.” Muhaimin mengejutkan isterinya dari tidur.

“Dah sampai?” Nadia separa mamai. Matanya digosok beberapa kali. Dia cuba mengejutkan Haikal tapi dilarang oleh suaminya.

“Biar dia lena dulu.”

“Assalamualaikum. Mak! Ayah! Min dah balik ni. Bukak la pintu,” pintu kayu diketuk Muhaimin beberapa kali sebelum dia terdengar kunci dibuka dari dalam.

“Waalaikumussalam. Min, Nadia. Dah sampai pun hangpa. Mana cucu mak?” Khadijah meninjau ke luar rumah selepas menyambut salam daripada anak dan menantunya. Dingin subuh menampar-nampar wajahnya.

“Haikal ada dalam kereta. Lena lagi. Mak, mana ayah?” Muhaimin menyoal. Tersentuh hatinya apabila melihat emaknya yang semakin dimamah usia.

“Ayah hang ada dalam bilik. Lena. Orang tua tu demam. Masuk la dulu. Mak pi kemas bilik hangpa sat.” Khadijah berjalan terhincut-hincut ke bilik lama Muhaimin.

“Sayang angkat Haikal. Beg-beg baju tu abang bawak masuk bilik.”

————————————————

“Dah 5 hari kami kat sini. Tapi ayah asyik duk diam. Tak cakap langsung dengan Min. Min ada salah dengan ayah ke mak?” soal Muhaimin ketika mereka duduk di pangkin kayu di bawah pokok sambil menikmati angin petang.

“Entah la Min. Mak pun tak paham dengan ayah hang tu. Dia ada masalah lain kot.”

“Tapi takkan tak bercakap langsung dengan Min?” Muhaimin terus menyoal walaupun dia tahu yang dia tidak akan mendapat jawapan.

“Jemput minum bang, mak.” Nadia meletakkan dulang yang berisi teh panas bersama 3 biji cawan jernih.

“Haikal! Jangan kejar ayam tu!” Nadia segera mendapatkan anaknya yang berumur 5 tahun itu.

“Alah. Takpa. Biaq kat dia. Nak main dengan ayam.” Khadijah tersenyum.

Muhaimin mencecap sedikit teh panas buatan isterinya. Matanya tertumpu kepada isteri dan anaknya.

“Bila hangpa nak balik KL?” soal Khadijah.

“Tengok la. Dalam 3-4 hari lagi kot,” balas anaknya pendek.

Kalau boleh, dia mahu terus tinggal di kampung. Rindu kepada emak dan ayahnya sangat kuat. Apakan daya. Dia mesti pulang ke bandar kerana tuntutan kerja.

Dari jauh kedengaran bunyi enjin motosikal buruk kepunyaan Mokhtar. Baru pulang dari surau kampung.

“Ijah, hang dah solat?” tanya Mokhtar sebaik sahaja memarkir motosikalnya di bawah rumah.

“Dah bang. Min jadi imam tadi,” jawab Khadijah sambil tersenyum. Mokhtar mendiamkan diri lalu menghilang di dalam rumah.

—————————————-

“Mak, satgi tengahari kami nak balik. Esok ada bacaan Yassin kat rumah ibu,” ujar Nadia ketika mereka berempat sedang bersarapan.

Riak wajah Khadijah berubah apabila mendengar perkataan ‘balik’. Belum puas lagi dia melepaskan rindu kepada anak tunggalnya.

“Sedap betul cucu tok ni makan peknga ya.” Khadijah mengusik cucunya.

“Peknga?” Haikal hairan.

“Peknga tu lempeng.” Muhaimin menjelaskan. Dia juga begitu berselera dengan menu pada pagi itu. Masakan tidak. Peknga atau lempeng itu adalah kegemaran dia sejak dari kecil lagi.

“Bang. Mai la makan sekali. Min dah nak balik dah tengahari satgi,” pelawa Khadijah apabila suaminya turun ke dapur.

“Ya ayah. Min nak balik dah satgi. Taktau bila pulak nak balik sini. Kalau diizinkan…”

“Abang nak pi kebun ni. Tengok la satgi kalau ada jantung pisang, abang bawak balik,” percakapan Muhaimin dipotong ayahnya.

“Hm ya la. Kalau ya pun. Salam la Min dengan Nadia dulu. Kalau takmau, salam dengan cucu kita tu.” Khadijah bangun mencuci tangan.

“Tak payah la. Aku dah lambat ni. Nanti panas pulak kat kebun tu kalau pi lambat.” Mokhtar berlalu tanpa mempedulikan Muhaimin yang menghulurkan tangan.

“Hang jangan ambik hati dengan ayah hang tu. Nanti mak sembang dengan dia.” Khadijah memujuk sambil menggosok-gosok bahu anaknya itu.

“Takpa la mak. Min nak pi kemas pakaian sat.” Muhaimin naik ke bilik.

“Sedap la peknga ni. Pandai tok masak,” puji Haikal.

“Sedap ka? Tok tak la pandai masak pun. Nanti suruh mama masak.” Khadijah mencuit bahu menantunya.

———————————————

“Min dah tinggai sikit duit untuk mak dengan ayah buat belanja. Ada atas meja kat ruang tamu,” ujar Muhaimin selepas bersalam dengan emaknya.

“Laa. Buat susah-susah ja.” Khadijah kelihatan serba salah untuk menerima wang itu.

“Mak jaga diri ya. Jangan buat kerja-kerja berat sangat. Nanti kami balik jenguk mak dengan ayah lagi,” giliran Nadia bersalam dan mencium pipi mertuanya.

“Ya lah. Nadia pun jaga diri elok-elok. Jaga Min baik-baik. Lagi satu, jaga yang dalam perut tu,” jawab Khadijah sambil tersenyum.

“Maksud mak?” Muhaimin hairan. Begitu juga Nadia.

“Eleh hangpa ni. Buat-buat tak paham pulak. Tak lama lagi hangpa akan dapat orang baru.”

“Mana mak tau?” Muhaimin terkejut.

“Mak tau la. Mak ni orang lama.” Khadijah tertawa. Serentak pasangan suami isteri itu menadah tangan memanjat kesyukuran.

“Mak. Nanti ayah balik, kirim salam kat ayah,” bisik Muhaimin. Khadijah mengangguk.

“Kami balik dulu. Nanti kami jenguk mak ayah kalau diizinkan. Assalamualaikum.”

“Bawak kereta elok-elok. Kirim salam kat ibu dengan ayah Nadia. Waalaikumussalam.” Khadijah melambai.

Entah kenapa dia merasa sedih melihat pemergian anak dan menantunya itu. Air matanya mengalir perlahan apabila kelibat kereta putih anaknya itu hilang dari pandangan.

“Depa dah balik?” tegur Mokhtar dari bawah rumah.

“Eh abang. Kata nak pi kebun?” cepat-cepat Khadijah mengelap air matanya dengan lengan baju.

“Saja ja abang kata macam tu,” balasnya pendek.

“Bang. Anak kita kirim salam tadi.” Khadijah menatap suaminya.

“Ijah. Jom naik atas sat. Ada benda yang aku nak tunjuk.” Mokhtar pantas mendaki anak tangga.

“Tunjuk apa bang?” soal isterinya dari belakang. Suaminya menghilang diri seketika di dalam bilik, kemudian keluar dengan memegang keratan akhbar di tangan.

“Nah. Baca ni.” Mokhtar menghulurkan keratan akhbar itu kepada isterinya.

====================

KEMALANGAN MAUT. 3 BERANAK MENINGGAL.

PERAK : Satu kemalangan telah terjadi di lebuh raya di sini dan mengakibatkan sepasang suami isteri dan anak mereka maut di tempat kejadian. Saksi berkata kereta Perodua Bezza berwarna putih yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar penghadang jalan.

Mangsa bernama Mohd Muhaimin bin Mokhtar , 31 tahun, Nadia Humairah , 29 tahun, dan anak mereka, Mohd Haikal , 5 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.

=======================

Khadijah melempar keratan akhbar itu ke lantai. Sukar untuk dia percaya.

“Bukan. Tu bukan anak kita. Tu orang lain. Tu orang lain,” air mata Khadijah sekali lagi mengalir.

“Ijah masuk bilik, pakai tudung. Abang nak bawak Ijah pi satu tempat.” Mokhtar bergerak turun.

Ijah memandang ke arah meja, tempat di mana anaknya meletakkan duit. Di situ tiada langsung duit. Yang ada hanyalah 6 helai daun kering.

Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke bilik, memakai tudung. Entah ke mana suaminya mahu bawa dia.

Mokhtar menunggu di atas motosikalnya. Dia harap kali ini dia berjaya. Cuma dengan cara ini sajalah dia dapat sedarkan isterinya.

“Bang. Ijah dah siap. Kita nak pi mana?” tanya Khadijah seraya melabuhkan punggung di tempat duduk belakang.

“Ikut saja la,” jawab Mokhtar pendek. Motosikal buruknya bergerak dengan kelajuan sederhana.

Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya isterinya sedar akan perbuatan yang dilakukannya selama ini. Mokhtar berdoa isteri sedar sebelum terlambat.

“Awat abang bawak Ijah mai kat kuboq ni?” Khadijah kehairanan sebaik sahaja suaminya menghentikan motosikal di luar pagar tanah perkuburan Islam.

“Abang nak tunjuk sesuatu kat Ijah.” Mokhtar berjalan pantas melewati kubur-kubur yang ada, diikuti Khadijah dari belakang.

Mereka tiba di sebuah kubur yang paling hujung. Kubur di mana tanahnya masih merah. Beberapa kuntum bunga segar kesan jirusan air kelihatan di atas tanah kubur itu.

“Ijah. Baca nama kat batu nisan ni,” suara Mokhtar sayu memanggil isterinya.

MOHD MUHAIMIN BIN MOKHTAR

5.7.1987 – 21.9.2018

“Ni bukan kuboq anak kita. Bukan. Bukan. Bukan anak kita,” airmata Khadijah mengalir deras. Mokhtar segera memeluk isterinya. Air matanya turut mengalir.

“Ijah. Anak kita dah takda. Sedaq la Ijah,” pujuk Mokhtar.

“Tapi yang balik tu sapa? Tu anak kita bang. Anak kita hidup lagi. Ni kuboq orang lain.” Ijah sukar menerima hakikat bahawa anak tunggalnya telah tiada.

“Sudah la Ijah. Lepaskan dia. Biaq dia aman di sana,” pelukan Mokhtar bertambah erat.

“Tapi bang.” Khadijah tidak dapat meneruskan kata-kata. Dia menangis semahu-mahunya. Melihat keadaan isterinya begitu, Mokhtar turut menangis.

“Tapi Min cakap nanti dia akan balik jenguk kita,” nada suara Khadijah bergetar.

“Dah la tu Ijah. Lepaskan dia,” tubuh Khadijah dirangkul kemas oleh Mokhtar.

Dari jauh, kelihatan sepasang mata sedang memerhati.

“Pulanglah nak. Sini bukan tempat hang lagi. Pulanglah ke sana,” air mata Mokhtar meluncur laju di kedua pipinya.

 —-TAMAT—- ———————

Nota; Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terputus segala urusannya di dunia ini. Yang tinggal hanyalah jasad. Rohnya diangkat ke langit. Jika ternampak roh seseorang yang telah meninggal dunia, ketahuilah bahawa itu adalah jin Qarin yang menyamar untuk mengacau kita. Bukan roh si mati.

Hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

11 thoughts on “Kepulangan Yang Dinanti”

    • citer yg dia naik motor blk kampung lps tu eksiden tgh jln & mati? lps tu dia blk rmh takde sape nampak dia & dgr apa dia ckp. ms dia mndi air jd merah mcm darah. citer tu ke?

      Reply
  1. SRizal & pakcik, kan… drama tu saya pun ingat saya tengok tahun 1989 kot masa saya dalam darjah 4. Sedih cite tu. Dia ada sorang adik pompuan. Sekali tu je tengok pastu xde ulang tayang seingat saya la. Best kan drama tu?

    Reply

Leave a Comment