Kerana Dendam- Ini Tempat Aku

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum wbt semua…Hai..Aku Ilma Irdina. Terima kasih admin approved Kerana Dendam-Di sini Bermula.

Baik, aku sambung pengalaman aku di kuarters Putrajaya yang menjadi bibit-bibit mula gangguan mistik kepada diri aku.

Aku tak tinggal di sana, cuma datang hujung minggu time cuti sekolah sebab aku menyewa bilik di Kepong. Jadi bila aku datang selalu sangat dengar bunyi pasir di siram ke tingkap rumah. Rumah suami aku ni aras 18 dari 19. Tak ada balkoni.

Kejadian bunyi pasir ni tak kira siang atau malam. Aku buka tingkap, tak nampak pulak pasir berkumpul tepi tingkap tu. Suami aku pun dengar tapi macam biasa, dia malas ambil pot.

Aku pernah cerita kat mak abah, abah cakap selalu baling- baling pasir kat tingkap ni hantu raya. Aku macam….what??! Aku ni dahla penakut, dapat pulak kuarters tepi bukit besar.. Bukan aku tak bersyukur.. Tapi aku ni jenis cepat rasa tak best kalau sesuatu kawasan tu ada something yang……

Setakat bunyi guli..alih- alih perabot dah biasa. Tapi aku tetap waspasa.

Pernah masa tu siang..Kami baru lepas zuhur, tengok tv di ruang tamu. Suami baring di lantai. Aku duduk sebelah dia. Bunyi guli 2-3 biji tapi kuat. Suami aku alihkan kaki, tengok kat kaki dia. Tindakan refleks dia tu buat aku terkejut sama.

” Abang, kenapa??”

” Guli. Ada nampak guli tak? Macam bunyi main dekat sangat dengan kaki ni.”

“Ahh sudah..Biar betul abang?”

” Betul la. Rasa sangat benda melantun kat lantai kat kaki abang ni.”
Suami aku tunjuk sudut tepi dinding tempat dia berlunjur.

Berpeluh seram sejuk aku macam dah makin dekat dia main.

Kalau setakat kelibat hitam tu dah selalu sangat. Selalu aku nampak dari ekor mata. Memang bukan suami aku sebab aku panggil senyap.

Aku perhatikan, kalau tidur rumah Putrajaya tu selalu mimpi bukan- bukan.

Pernah satu malam aku mengantuk sangat, aku minta izin suami masuk tidur dulu. Dia masih menonton tv. Macam biasa aku on rukyah. Time nak tidur tu aku peluk bantal panjang warna putih.

Entah macam mana separuh sedar dalam samar-samar aku perasan ada seorang perempuan baju putih lusuh berlumpur berdiri tepi katil. Rambut dia bukan main panjang tutup muka. Mengeletarnya aku, nak jerit panggil suami tak mampu. Aku pelik, rukyah aku pasang tadi bila masa pulak senyap. Tak kan stop tiba-tiba sebab aku buat auto repeat.

Dalam keadaan menggigil kaki tangan yang sejuk aku baca ayat kursi berulang- ulang..Seingat aku sampai 7 kali aku baca tak berhenti. Perempuan baju putih tu tak buat apa-apa, bersuara pun tidak, tapi beransur- ansur menghala ke tingkap bilik aku…Aku teruskan bacaan. Yang terkejutnya boleh pulak aku nampak dia terapung- apung bolos keluar tingkap, perlahan- lahan terawang- awang menuju ke bukit sebelah blok bangunan rumah ni. Lagi aku pelik, langsir tingkap ni tutup tadi.Bila pulak luas terselak ni? Pelik tapi benar. Nak tak nak hadap je la…

Tingkap bilik aku tu setentang dengan bukit besar tu. Memang ruang tamu dan ketiga-tiga bilik rumah ni selari dan view dia memang menghala ke bukit tu. Korang duduk la bilik mana pun, permandangan bukit dan hutan je la yang korang nampak. Boring dan menyeramkan.

Jadi perempuan tadi aku boleh nampak dengan jelas walaupun gelap malam pekat terawang-awang ke bukit itu walaupun dia masih mengadap aku. Aku teruskan bacaan ayat kursi sampai dia hilang dari pandangan. Masa tu lah aku boleh gerakkan badan aku yang tadi seolah terkunci, berlari nangis- nangis kat suami aku kat luar. Aku cerita kat dia, dia tak banyak cakap, tutup tv ambil wuduk baca yasiin kat tepi katil aku.

Macam- macam lagi cerita kat rumah ni sampai aku decide nak bawa ustaz datang.

Seorang ustaz ni, kami ambil dia di Gombak dan kami bawa ke rumah. Dia pagarkan rumah dan minta izin untuk explore setiap bilik.

“Kawasan sini tempat yang baru diteroka. Buat bangunan kawasan dia, kalau ternampak tu perkara biasa. Dan tapak rumah kamu ni panas”. Kata ustaz tu sambil tengok view kat bilik belakang masa tu.

“Bilik belakang ni( masterbedroom) paling suram. Kalau boleh jangan bagi kosong. Selalu solat dalam bilik ni. Ataupun, kalau suami duduk sorang, ajak kawan- kawan/ adik beradik tinggal supaya rumah ni tak sunyi sangat.”

Memang aku dah agak.

” Masa kali pertama saya masuk rumah ni ustaz, rasa hati memang dah tak sedap. Suram sangat rasa rumah ni”. Suami aku pandang aku.

“Isteri saya ni lemah semangat. Mungkin benda- benda tu suka mengusik kot ust”.

“Betulla tu”. Kata ustaz sambil tengok aku.

“Isteri kamu ni ada gangguan. Bila datang pula tempat macam ni semua benda minat kat dia”.

Aduh, lemah lutut aku dengar.

Long to short, kami buat rawatan dengan ustaz tu selepas pagar rumah. Memang dia nampak aku terkena gangguan di tempat itu dan sihir. Terkejut aku.

Selepas dari itu ada beberapa kali lagi kami dapatkan khidmat ustaz untuk pagar rumah sebab benda tu tak bertahan lama. Seminggu paling lama, berbunyi balik pasir..guli..nampak balik kelibat- kelibat.

Ada satu tempat ni di tempat lain, ustaz tu bagi garam kasar, lada hitam yang dicampurkan dan dah dibacakan ayat untuk pagar rumah. Kami disuruh menghabiskan garam tu untuk ditabur sebelum maghrib sekeliling rumah, sambil biarkan tingkap terbuka dan sambil baca ayat kursi.

Aku dan suami buat, baca tak berhenti ayat Qursi sambil keliling rumah 3 kali lawan arah jam. Lepastu kami tutup balik semua pintu dan tingkap.

Selepas memagar tu badan ni tak tahu la kenapa letih sangat. Kami sempat solat Maghrib lepastu tak sedar apa dah terus tertidur sampai pagi. Letih dia macam lepas buat kerja berat non stop. Badan kami sakit- sakit. Habis Isya’ malam tu terlepas macam tu je.Lemah lesu habis satu badan.

2-3 hari selepas tu suami aku bersiap nak mandi nak pergi kerja. Aku dah balik ke Kepong masa tu. Tengah mandi subuh tu dia terdengar suara orang tua terbatuk- batuk dalam jarak yang dekat sangat. Nak kata jiran sebelah/atas jauh juga jarak. Bilik air tu sebelah dia ruang kosong. Memang dari basement tu kosong. Seberang sana tangga bangunan.

Selama seminggu juga dia dengar, seolah- olah suara orang lelaki tua yang semput, tak sihat.Terbatuk-batuk. Macamtu lah. Mungkin bahang garam dan lada hitam tu buat benda tu sakit sikit. Mungkin. Tapi gangguan tu ada balik selepas beberapa minggu dan pandai alih- alihkan barang juga. Rukyah on boleh ter off sendiri/pause.

Bukan kami tak mengaji, kami tahajud..solat berjemaah bila aku balik sana, pasang alquran non stop. Tapi kebanyakan perawat yang kami jumpa bagitahu kawasan tapak rumah kami tu keras. Maksudnya dari aras 1 hingga aras 19 tapak rumah tu panas sebab itu tempat dia. Kalau kita pagar macam mana pun, dia akan datang balik.

Pernah suami aku ajak kawan dia solat bilik master tu dan buat bacaan yasiin.. Tengah baca yasiin ada angin kuat berhembus kat diorang. Buat tak tahu. Teruskan bacaan.

Majlis doa selamat dan Bcaan yasiin dan kenduri masuk rumah pun kami dah buat. Tapi tula. Bertahan sekejap.

Benda ni buatkan aku tak pernah stop cari perawat. Tapi yang paling aku terkejut bila aku dapatkan rawatan dari pakcik aku. Dia cakap rumah suami aku ni dulu pernah ada kematian dalamnya. Tak pasti kes b***h diri atau m**i mengejut. Itu sebab rumah tu kalau masuk je rasa suram sebab aura tak ada. Ketar aku dengar.

“Rumah ni dulu suami saya masuk dulu. Orang pertama yang duduk sebab baru buka kuarters ni. Ni kuarters baru. Masa dia masuk cuma beberapa unit rumah je yang berlampu dari aras 1 hingga 19. Dari blok A hingga blok D. Tak lama lepastu baru ramai yang pindah masuk. Dalam beberapa bulan juga baru beransur-ansur orang ramai. Parking pun dah penuh. Kalau ada yang pernah m**i dalam rumah tu siapa pula?Sebab kami orang pertama duduk.” Aku tak puas hati.

” Yang m**i tu mungkin pekerja binaan kat situ. Mungkin buruh Indonesia.Rumah kamu tu mungkin jadi tempat diorang tinggal sementara tunggu kerja pembinaan disiapkan.”
Kata pakcik aku terangkan kat kami.

“Rumah tu tapak dia pulak panas. Kamu pagar lah macam mana pun, tapak dia tak sesuai. Dia lari sekejap, datang balik. Rumah dia, tak kan dia nak pindah senang-senang. Kalau kamu duduk lama rumah tu boleh bercakar antara satu sama lain.(Bergaduh sampai pukul-pukul)Pindahlah.cari rumah lain… “

Baru aku teringat, aku perasan masa bersihkan rumah masa baru pindah masuk tu kipas hitam penuh habuk. Dalam kabinet(dah dipasang siap) penuh dengan rambut- rambut halus.. Botol-botol air mineral bersusun-susun dalam tu. Terdetik juga hati, ” eh, macam orang dah duduk rumah ni. Toilet pun ada kesan- kesan orang dah guna.” Jadi betulla tekaan aku. Sedih betul, dapat rumah yang tak bersih. Dah pernah orang duduk..Ada orang pernah m**i pulak dalam tu.. Dan setahu aku kebanyakan pendatang dari seberang ni datang sini bukan dengan tangan kosong. Ada yang guna untuk jaga diri di tempat orang..Ada juga yang nak test ilmu..Dan kadang- kadang ada yang tinggalkan barang diorang di kawasan- kawasan tertentu. Hish..Meremang aku teringatkan rumah aku tu. Nasiblah aku datang hujung minggu je. Bukan duduk menetap situ.

Dalam masa sama timbul juga cerita- cerita di kuarters lain seperti nampak bayang- bayang hitam, rupa bentuk macam mawas besar, perempuan baju putih dan macam- macam lagi.

Putrajaya ni kita sedia maklum kawasan yang baru di buka, dari hutan tebal ditarah habis buat penempatan dan bangunan pentadbiran. Tempat dia kita ganggu, faham- faham sajalah.

Suami aku teruskan duduk kuarters tu sebab dekat dengan tempat kerjanya. Aku akur dalam pasrah juga la..huhu..

Dipendekkan cerita aku teruskan berubat untuk pulihkan rumah tu dan teruskan rawatan sakit aku(masalah dalaman wanita/gangguan mimpi-mimpi buruk dan rumahtangga panas).

Akhirnya pecah lubang..ni angkara keluarga sebelah suami aku.Dihantar sebab tak nak aku ada anak. Dia hantar dah lama. Lepas baru bertunang lagi dengan cara bagi kami makan.Tapi jodoh panjang, kami tetap berkahwin. Tapi tula, rumahtangga tak pernah aman sebab tiap kali aku berubat dia hantar balik. Tak jadi yang ni, dia buat macam ni.. Ada je helah nak bagi kami bercerai berai. Tapi jenis aku tak duduk diam. Aku non stop berubat. Tu sebab dia marah sangat.

Aku terpaksa stop dulu. Nanti aku sambung kronologi aku disihir secara detail oleh 7 orang yang berbeza, dari bomoh asli hingga ke bomoh Siam. Sehingga benda ni akhirnya berjaya meruntuhkan rumahtangga aku.
Terima kasih kerana membaca.

Yang baik semua dari Allah Swt.

Husnudzon..Sabar,Redha dan Bersyukur.

#AllahJagaKita

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Ilma Irdina

3 thoughts on “Kerana Dendam- Ini Tempat Aku”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.