KERANA MULUT TIADA INSURAN

Kerana Mulut Takde Insuran..

Kejadian ini berlaku pada tahun 2013 di sebuah kawasan estet sawit berhampiran jambatan Teluk Intan. Ketika itu aku membawa sekumpulan pelatih melaksanakan latihan selama hampir 2 minggu. Kawasan itu taklah jauh dari jalan utama bahkan tidak sampai 1 km pun ke dalam… Kami juga dalam kumpulan yang agak ramai walaupun dipisahkan dalam jarak yang tertentu antara satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain. Kira dalam kumpulan aku, sebagai Jurulatih aku lah yang in charge dan pantau latihan mereka dari A hingga Z termasuk memastikan pematuhan SOP dan keselamatan mereka. Kumpulan aku terdiri dari lelaki dan wanita dan mereka terdiri dari pelbagai peringkat umur dan pangkat. Terdapat 3 sindiket yang bergilir melaksanakan latihan tapi aku berada di situ dari awal sampai habis…

Hari pertama kami sampai dan mendirikan pengkalan tiada apa-apa yang berlaku. Setelah pembahagian kawasan dilakukan, kedudukan kumpulan aku adalah yang paling hadapan dan mengawal pintu masuk ke kawasan latihan… Atas tujuan keselamatan, aku himpunkan pelatih wanita di dalam 1 khemah dan berhampiran dengan khemah aku. Malam pertama dilalui dengan tenang dan latihan berjalan lancar tanpa gangguan.

Hari kedua segalanya bermula apabila seorang pelatih wanita memberitahu aku yang semasa beliau melakukan tugas sentri beliau ada nampak seorang wanita berambut panjang berpakaian putih di bawah pohon sawit berdekatan khemah kami..

Entah mengapa cabul betul mulut aku boleh tercakap begini “Perempuan? Ah takpe. Beritahu dia malam ni saya nak jumpa. Suruh dia datang khemah.” Memang niat aku bergurau tetapi tak ku sangka ia bakal mendatangkan malapetaka kepada kami semua….

Malam itu aku dipanggil untuk Pawau (Briefing) di khemah urusetia yang jaraknya 1 km dari khemah aku. Pada mulanya aku bercadang berjalan sendirian dalam gelap malam tapi setelah tiba2 bulu roma meremang maka aku bawa sekali escort menemani ku. Di dalam taklimat, urusetia telah memaklumkan bahawa di beberapa khemah kumpulan lain telah ada insiden gangguan dan histeria oleh pelatih wanita. Aku tak menyedarinya kerana jarak kami agak jauh. Jadi aku dinasihatkan untuk menyampaikan maklumat agar semua pelatih lebih berhati-hati. Tamat taklimat, aku pulang semula ke khemah untuk debrief pelatih di bawah jagaan ku. Aku pun membariskan semua pelatih dan menyampaikan taklimat latihan termasuk ingatan berkaitan perkara2 mistik.

Dalam jam 1130 malam semasa debrief inilah keanehan timbul kerana seorang anggota ku yang merupakan seorang Jurulatih lelaki berpengalaman bahkan sado secara tiba-tiba meminta izin kepada ku untuk pulang ke khemah kerana dia kata tiba2 rasa seram sejuk rasa nak demam. Siap mengigil-gigil. Aku pun meringkaskan taklimat dan menyuraikan yang lain. Yang mana bertugas meneruskan tugas mereka dan yang mana berehat masuk ke khemah masing2. Aku pun masuk ke khemah dan cuba berbaring di katil medan….

Semasa hampir-hampir memasuki alam mimpi aku terdengar kekecohan di katil hadapan ku. Aku bangun dan lihat beberapa orang sedang mengerumuni katil milik jurulatih ku tadi. Aku pun bertanya, apa kah halnya ramai-ramai mengadap anggota ku itu. Jawab mereka, “Tuan. Sarjan M mengigau bercakap dalam tidur tuan”….

Aku pun bangun dan lihat memang benar matanya tertutup tapi mulut bercakap bahasa yang aku tak faham. Aku pun meminta air segelas dan membacakan beberapa Surah dan Kalimah Al Quran yang aku hafaz seterusnya merenjiskan air kepada Sjn M. Bila terkena sahaja air itu, Sjn M tadi tiba-tiba bingkas bangun macam Undertaker dalam WWF dan terpinga-pinga bertanya apa yang terjadi. Aku pun cakap takde apa-apa dah sambunglah tidur dan arahkan yang lain pun masuk tidur.

Ku fikirkan gangguan dah tamat … rupa-rupanya ia baru bermula.

Selepas keadaan Sjn M pulih aku pun balik ke katil dan berbaring untuk menyambung tidur. Entah mengapa mata jadi sukar terlelap walau badan memang letih. Sambil mengelamun memujuk mata terdengar pulak suara seorang anggota Semboyan iaitu Kpl Ir yang tidur sekhemah dengan ku bangun dan keluar dari khemah. Rupa-rupanya beliau membetulkan lampu di luar khemah yang terpadam sendiri tiba-tiba. Setelah lampu menyala, Kpl Ir masuk semula ke dalam khemah.

Lampu terpadam dan menyala semula selepas dibetulkan dan ia berlaku beberapa kali. Agaknya kerana tak tahan kena buat benda yang sama banyak kali Kpl Ir akhirnya menjerit.

“Oi. Korang jangan le langgar lampu tu. Penat aku keluar masuk betulkan”.

Tidak lama kemudian Kpl Ir merapati ku dan berbisik.

“Tuan. Cuba tengok lampu tu. Saya dah tak larat” sambil menuding jari ke arah lampu di luar.

Apa yang ku lihat ialah lampu yang tergantung sedang beralun-alun seolah-olah sedang dibuaikan seseorang. Malangnya, tiada siapa pun berada di situ.

Aku pun bangun dan berdiri sambil mata melilau melihat keadaan sekeliling. Benar, lampu itu bergoyang kuat seolah-olah ada tangan yang membuaikannya. Tiada angin pada malam itu menandakan ada sesuatu yang ghaib yang menggoncangnya.

Aku berjalan ke arah pintu khemah lalu bercekak pinggang dan terus menjerit.

“Kau jangan kacau aku dan anak buah aku. Kalau kau kacau, aku bakar kau!”

Selepas jeritan itu aku terus berpusing ke arah katil dan pada ketika inilah seluruh bulu roma aku berdiri secara tiba-tiba seolah-olah ada sesuatu yang berdekatan atau berada di belakang ku atau sedang bertenggek di atas khemah.

Tanpa cakap banyak, aku pun terus ke katil semula, ambil lap top dan buka ayat-ayat Al Quran. Seterusnya, aku sambung tidur dan nyenyak sampai ke pagi. Tak kuasa aku nak berlawan-lawan tengah malam dengan badan yang penat. Tidur lagi baik. Ha ha ha ha

Malam itu berlalu dengan aman … tapi kami masih ada 10 hari lagi berbaki. Gangguan masih belum tamat bahkan lebih hebat.

Malam itu aku tidur nyenyak sampai ke pagi mungkin sebab terlalu keletihan. Peduli apa ada gangguan ke tak kan kan? Kih kih

Namun rupa-rupanya, pada malam yang sama, ada seorang penuntut wanita telah terbangun dalam jam 3 pagi. Apabila dia melihat rakan-rakannya yang lain yang sedang nyenyak tidur di bawah khemah, beliau terkejut besar kerana melihat semua wajah-wajah tersebut sungguh mengerikan seperti wajah mayat dan bukan wajah rakan-rakannya. Apa lagi beliau terus berlari keluar dari khemah dan terus pergi ke pondok pengawal. Sampai ke pagi beliau berada di situ menggigil sambil ditenangkan oleh pengawal bertugas termasuk suaminya yang berada di situ. Mujur juga beliau tak lemah semangat atau demam. Kalau tak susah jugak dibuatnya.

Begitu jugak di kawasan kumpulan yang lain yang jaraknya lebih 1 km dari kami beberapa anggota wanita telah mengalami histeria. Mereka melihat beberapa lembaga yang berada di luar kawasan khemah dalam pelbagai bentuk. Ada yang kata nampak lembaga hitam, ada pula wanita berpakaian putih … ada jumpa di luar khemah, ada pula di bilik mandi medan dan tandas, ada yang dicelahan sawit. Jenuh juga ustaz KAGAT diaturgerak untuk memulihkan keadaan. Mujur juga di khemah kumpulan aku keadaan tidak seteruk itu.

Pagi esoknya, penuntut tadi menceritakan apa yang berlaku kepada aku. Bahkan maklumat dari pasukan lain juga telah sampai. Maka aku pun berikhtiar untuk memagar kawasan khemah kami dengan ilmu yang tak berapa ada. Di samping mengingatkan anggota agar kekal tenang dan melakukan rutin latihan seperti dirancang. Namun tipulah kalau kata aku tak risau sebab jumlah anggota wanita dalam kumpulan aku agak ramai juga.

Maka aku pun mewajibkan ada kumpulan yang solat berjemaah di surau sementara yang kami bina dengan aku sendiri menjadi imam dan dilanjutkan dengan zikir-zikir ringkas.

Dapat ku lihat wajah-wajah stress penuntut, mana nak kisahkan hal latihan, ni kena kacau pulak dengan benda yang tak nampak. Kalau nampak, senang kami tangkap dan campak je dalam parit besar depan khemah.

Malam kedua menjelma dan walaupun aku suruh anggota buat tak tahu dan lupakan apa yang berlaku sebelum ini, tetapi gangguan tetap cuba menghampiri kami…

Mujur jugak mungkin kerana aku telah memagar kawasan khemah kami, maka kami hanya mendengar bunyian-bunyian pelik seolah-olah ada lembaga melompat dari satu pokok ke satu pokok sawit sekitar kawasan khemah kami. Aku melarang anggota untuk menyuluh ke atas dan buat seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku teringat ada seorang anggota penuntut jemputan dari Brunei pucat lesi mukanya mendengar bunyi-bunyian itu. Dalam seram macam tu pun aku boleh melawak-lawak lagi dengan si Brunei tu. Ha ha ha ha

Anggota wanita ku semakin stress dan masing-masing duduk rapat-rapat di bawah khemah. Keadaan memang tegang tetapi aku mengingatkan tiada apa perlu ditakutkan (walau pun sebenarnya aku pun risau). Kira malam itu boleh dikatakan aku tidur-tidur ayam sahaja. Dan sebagai Jurulatih, gangguan ke apa ke, aku tetap memastikan latihan berjalan dan kadang-kala menyemak anggota yang bertugas tak kira jam 3 ke 4 pagi. Spot check tetap buat agar sentri tak tidur dan kalau tidur, aku pulak le naik hantu. Seram tak seram, amanah perlu ditunaikan.

Malam kedua kami tempuhi dengan selamat walaupun ada pergerakan dan bunyi pelik di sekitar kami. Mujur jugak tiada yang memunculkan diri kalau tak memang aku ketuk dengan The Hammer (tukul yang diukir dari kayu oleh anggota ku bertujuan untuk memudahkan download ilmu ke dalam otak mereka).

Hari ketiga, aku lihat anggota-anggota ku semakin stress. Si Brunei pun dah tanya bila pergerakan balik kumpulan pertama dan penggantian kumpulan kedua. Aku rasa perkara ini tak boleh dibiarkan kerana aku masih berbaki 9 malam menginap di situ dan masih ada 2 sindiket akan melapor.

Tepat jam 1200 tengahari, aku di dalam khemah secara bersendirian selepas mengarahkan kesemua anggota keluar dan meninggalkan aku seorang sahaja. Di dalam khemah itu, aku melafazkan ayat ini.

“Bismillahir Rahmanir Rahim. Aku, Kap… …. dari ….. adalah Ketua kepada ….. ini. Mereka semua ini di bawah jagaan aku. Kami datang ke sini untuk berlatih atas arahan baginda YDP Agong pemerintah negeri ini. Kalau aku ada buat salah, aku minta maaf. Kalau anak buah aku ada buat salah, aku minta maaf. Tolong jangan lagi ganggu kami untuk berlatih. Tolong beri isyarat kalau terima permohonan maaf aku. Innahu …. “

3 kali aku melafazkan ayat itu kuat2 dan membayangkan menghembuskan ke penjuru2 kawasan latihan secara makrifat.

Subhanallah, malam-malam kami tidak ada lagi gangguan selepas itu. Kumpulan ke 2 dan ke 3 yang lapor kemudian menjalani latihan tanpa ada masalah sehingga latihan selesai.

Jelas lah, ianya berpunca dari mulut aku yang lancang bergurau tak tentu hala menjemput ‘dia’ datang ke khemah. Dah datang, tahu pulak takut. Ha ha ha ha

Latihan kami berjalan dengan lancar sehingga kami pulang. Walaupun kumpulan lain masih ada lagi gangguan, tetapi ia tak sampai ke kumpulan kami.

Cuma misterinya, sehelai kain pelikat yang aku jadikan alas kepala atau selimut bila sejuk, hilang … dan dijumpai pada hari akhir di dalam parit lebih kurang 10 meter dari khemah ku. Siapa yang membuangnya? Wallahu’alam

Mungkin, itulah isyarat tanda permohonan maaf ku diterima. Mungkin jugak ada penuntut yang buang kerana marahkan hantu kepala hitam. Ha ha ha

Selepas 7 tahun latihan berlalu, kebetulan aku melawat sahabat di Teluk Intan yang bekerja di rumah sembelihan letaknya 1 km dari kawasan latihan kami. Dari mulut beliau, kawasan tempat kami tinggal itu merupakan perkampungan orang halus aka bunian. Mungkin mereka marah buat latihan di kawasan mereka tanpa minta izin. Seperti mana ada 3 orang puteri yang duduk di surau rumah sembelihannya. Bukan semua orang boleh berjumpa. Kira beruntunglah aku … katanya lah … ha ha ha. Apa untungnya … Wallahu’alam

Tapi jujurnya, kisah di Teluk Intan ni tak le seteruk di Beranang. Ada yang minat nak tahu?

#KisahJLProvos

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Amirul

5 thoughts on “KERANA MULUT TIADA INSURAN”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.