Aku mengeluh panjang melihat timbunan kayu di satu sudut di luar kawasan rumahku ini. Kayu tersebut, berasal daripada dinding-dinding dan tiang surau lama hadapan rumahku. Maklumlah, dah renovate, daripada kayu ke batu, di tambah pula dengan aircond dan pintu sliding door bercermin gelap ala-ala gaya moden.
Sewaktu pembinaan dan renovation surau tersebut, memang abang aku ambil beberapa batang kayu dan beruti daripada situ, dengan kebenaran daripada kontraktor di situ yang sememangnya pening kepala dek tak tahu nak letak mana kayu-kayan lama tu.
Abang aku memang kononnya berhasrat nak membina pondok menggunakan kayu tersebut. Ala, kau tahu sajalah orang lelaki, semuanya nak “DIY” kalau boleh. Semua benda tak nak dibuang, kononnya nak buat itu ini, namun terbengkalai dan naik dek semak samun dan pelbagai haiwan daripada sekecil-kecil lipan dan cicak sehinggalah tikus.
Masuk bulan keenam kayu tersebut di situ, aku makin runsing tengok. Mana taknya, aku memang tak suka kawasan rumah aku serabut macam tu. Dengan zink buruknya, plywood, dan beberapa batang beruti setinggi 2.5 meter. Dalam hati aku memang aku rasa, ya aku perlu lakukan sesuatu.
Beberapa hari selepas tu, aku bawa wheel-barrow yang aku pinjam daripada jiran. Memang bertekad untuk mengemas, dan mungkin membuat pondok atau apa-apa sajalah otak kreatif aku ni boleh fikirkan. Aku mula mengemas, sampai ke maghrib dan isya, aku behenti, maklumlah surau ni aktif dan penuh dengan aktiviti setiap malam. Jam 9.30 malam aku sambung mengemas
Malam kedua, aku ambil “angle-grinder” yang baru aku beli. Aku potong-potong kayu tersebut mengikut spesifikasi pondok yang aku ingin bina. Memang memekaklah, taktala orang dah start nak membuta, aku pula sibuk menghidupkan mesin tersebut yang bisingnya, hanya Allah yang tahu.
Hari ketiga, aku membawa kayu-kayu yang dah dpotong ke sebelah kiri rumah aku pula. Satu- satu sendi kayu aku pasang guna skru, almaklumlah cordless screwdriver pun dah memang ada, memang mudahlah kerja aku. Tak perlu menahan kemarahan untuk memaku. Mana taknya, tersalah ketuk, bengkok paku. bengkak jari dan kemik kayu. Nak mudah, guna skru sajalah. Habis kerja, terbongkang aku tidur dek terlalu penat.
Namun, malam tu, selepas hari ketiga aku alih dan memulakan projek “pondok” tu, aku rasa lain macam. Maksud aku bukan macam malam-malam yang biasa. Aku pula, tinggal berseorangan di rumah. Mata memang terkulai layu, namun ada perasaan seolah-olah ada mata yang memerhatikan.
Di telinga terdengar bunyi ketukan cermin tingkap di sebelah. Aku tak sedar, sama ada aku masih tidur atau masih belum tertidur.
“Li….Li… aku lapar”
Aku bingkas bangkit daripada katil, terkejut. Aku cuba mendiamkan diri, memerhati sekeliling bilik tidur yang gelap dan cuma di sinari oleh lampu daripada rumah jiranku. Mungkin mainan tidur aku rasa.
Aku kembali meletakkan kepala di bantal. Fikiran aku menerawang, namun badan aku terlalu letih. Aku tak sedar aku terlena
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan cermin tingkap memang kuat menyebabkan aku terus bangkit. Aku mendiamkan diri, perasaan aku, seolah-olah memang ada benda berdekatan dengan aku. Aku diam, masih keliru, bunyi yang aku dengar itu daripada mimpi atau memang realiti.
Tok! Tok!
Aku terkejut lagi. Kali ini memang aku pasti, memang ada sesuatu atau seseorang mengetuk tingkap bilikku. Segera aku petik suis luar bilikku, di balkoni dan membuka tingkap. Aku pelik bagaimana aku boleh jadi begitu berani, mungkin deruan adrenalin yang memenuhi darah menyebabkan aku berkelakuan sebegitu.
Terus aku perhati di luar rumah. Tiada apa-apa. Hanya deruan angin sepoi-sepoi bahasa. Aku berkata dengan kuat “Siapa di sana? Hoi!!” tidak berjawab. Bunyi cengkerik kedengaran di selang seli dengan deruan angin sepoi-spoi bahasa.
Pokok-pokok di sekeliling rumah aku terbuai-buai ditiup angin. Tiada tanda-tanda bunyi tapak kaki berlari mahupun bunyi-bunyi lain.
Aku ni seorang yang sangat skeptik, lebih-lebih lagi mengenai isu-isu hantu, jin, rasukan sihir dan lain-lain. Memang bila aku dapat pesakit yang meracau-racau, ibarat terkena rasukan syaitan, terus aku berpendapat pesakit demikian sedang berhalusinasi, atau mungkin mengambil dadah terlarang yang menyebabkan dia berkelakuan sebegitu.
Tapi malam tu, memang aku dengar dengan telinga aku sendiri. Selepas beristighfar beberapa kali, serta membaca ayat kursi, aku rasa tiada apa-apa pun. Mungkin aku berkhayal, dan mula skeptik dengan diri aku sendiri.
Aku memetik suis lampu bilik, maklumlah aku ni memang spesis yang tak boleh tidur bila lampu terpasang. Saat lampu terpadam sahaja, aku terlihat bayangan di luar bilik. Macam satu lembaga, setinggi melebihi 3 meter, berdiri betul-betul di luar tingkap bilik tidur aku. Memang aku nampak outline bayang-bayangnya yang menunjukkan panjang tangannya dan kakinya yang tidak simetri macam bentuk badan manusia.
Aku menjerit, “Hoi, siapa tu!” sambil menghidupkan semula suis lampu dan membuka pintu. Tiada apa-apa kelihatan, sama seperti tadi. Senyap sunyi sahaja…
Aku cuak, namun masih terkawal. Aku mula membaca ayat-ayat suci yang aku hafal. Aku baring semula dan membiarkan lampu bilik tidurku terpasang sahaja malam itu. Akibat keletihan, aku terlena
“Li, aku lapar, aku nak nasi, lepas kau alih rumah aku, aku takde tempat nak tidur, aku tak ada tempat nak masak dan nak makan, aku lapar, bagi aku masuk”…
Itulah ayat terakhir dalam mimpi aku yang aku ingat sebelum aku dikejutkan oleh bunyi satu dengusan yang sungguh kuat di telinga aku. Memang aku terjaga, dan akhirnya aku membatalkan sahaja hasrat untuk tidur kembali.
Aku menghubungi rakan sekolahku, Ustaz Aziz pada jam 4.30 pagi tu juga. Dia salah seorang ustaz yang bekerja di pejabat agama Muar. Aku inginkan nasihat, dan penjelasan namun kenalah jumpa dia jam 10 pagi esok.. Memang apa yang aku pelajari, daripada segi common sense, daripada segi logik dan saintifik, tak tercapai fikiran aku tentang perkara yang berlaku malam tu.
Ternyata perbuatan aku mengalihkan timbunan kayu-kayan di belakang rumah ku mengundang gangguan daripada makhluk halus. Masakan tidak, mengikut Ustaz Aziz, ada kemungkinan makhluk tersebut dah menetap di situ buat satu masa yang agak lama. Aku pula, sesuka hati mengalihkan “rumah”nya, dah tentulah dia membalas semula.
Ustaz mengajar aku untuk memagar rumah aku, azan sebanyak 7 kali, selawat dan baca ayat kursi 7 kali di setiap sudut rumahku dan selawat. Memang banyak, masakan tidak, rumah aku bukan berbentuk petak, dan ada 8 sudut kalau diikutkan. Tapi aku tak sanggup diganggu lagi, dan aku membuat perancangan nak buat terus setibanya aku di rumah nanti.
Namun, aku ni pemalas, dan suka menangguh. Balik daripada berjumpa ustaz, aku pergi ke kedai mamak pula, kemudian ke kedai runcit, dan jam 10.00 malam baru aku tiba di rumah. Aku meletakkan beg di atas kerusi, dan duduk. Terlena pula
Saat itu, tiba-tiba terasa telinga aku dihembus nafas. Cukup kuat menyebabkan aku tersentak. Aku cepat-cepat buat apa yang ustaz Aziz sarankan. Azan, bacaan ayat Kursi dan lain-lain.
Memang daripada saat itu, aku mula percaya. Tidak lagi skeptik, bahawa makhluk tersebut memang wujud. Memang boleh memberi kesan fizikal terhadap manusia. Namun aku bersyukur. Benarlah apa yang ibu aku selalu kata, dulu, zaman arwah ayah hidup lagi, beliau dah pun “memagar” rumahku. Itulah sebabnya gangguan demi gangguan berlaku di luar rumah, dan paling-paling pun, hembusan nafas daripada luar cukup untuk tiba di telinga ku malam itu.
Mungkin “pemagaran” rumah harus dilakukan dengan lebih kerap. Manakan tidak, kalaulah kata makhluk tu bertindak untuk masuk ke dalam rumah, memang sikit sahaja perkara yang boleh dilakukan untuk menghalaunya. Ini kisah benar, dan baru sahaja berlaku 3 minggu lepas. Harap kalian dapat mempelajari sesuatu dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada aku. Inilah yang apa orang melayu panggil, “Ketegur” atau “Keteguran”
HANTAR KISAH ANDA: fiksyenshasha.com/submit
Bila ”PAGAR” cam mana nak pastikan makhluk tu tak terperangkap kat dalam.
Yg saya tahu, sblm proses pagar akan azan di dalam rumah dahulu, setiap penjuru, maaf klo silap
Ya betul tu. Perlu azan dalam rumah terlebih dahulu. Alhamdulillah, selepas kejadian itu, dah tiada lagi gangguan di rumah kami
Teringin nak tahu dah settle ke masalah ni
Dah settle, Alhamdulillah
Dah baca. Rasa kasihan pula pada makhluk tu sebab tiada tempat tinggal tapi satu pengalaman yg menarik, sebelum ni cuma tahu pagar diri je, nanti boleh cuba pagar rumah sendiri. Terima kasih
Gaya penulisan seperti seorang penulis. Sangat kemas, tersusun dan mudah difahami. Turut disertakan dengan bahasa-bahasa sains, Inggeris dan kosa kata. Rindu hendak menulis. Saya kini berusia 22 tahun dalam jurusan Business. Masa zaman SPM saya sangat suka menulis karangan 😄. Terima kasih untuk perkongsian kisah yang menarik.
terima kasih atas feedbacknya. Boleh follow fb saya @onnazli untuk banyak lagi cerita dan artikel yang lebih menarik
Owh thank u kongsi pengalaman. Gayanya mcm doktor bercerita. At least lepasni pembaca boleh berjaga² bila nak pindahkan barang.
Dalam Al Qur’an Surah (QS) Annas 114:6; Hud 11:119 ada memperkatakan tentang Jin
Jin tu kan sesuatu yang ghaib
Takde apa nak skeptik lagi kalau dah tercatit dalam kitab suci