Ketukan Yang Menyeramkan

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di sini aku ingin berkongsi pengalaman seramku semasa menetap di hostel di sebuah universiti di Malaysia.

Semasa kejadian ini berlaku, aku pada waktu itu berada di semester 2 dan tidak pernah aku menjangka yang hal-hal mistik sebegini akan berlaku ke atas diriku buat julung kalinya. Ceritanya bermula begini. Pada malam itu, aku duduk menghabiskan masa berseorangan di dalam bilik. Tidak pula aku mengetahui apa yang rakan-rakan serumah aku lakukan di dalam bilik mereka kerana kami membawa diri masing-masing. Rakan sebilikku pula keluar entah ke mana. Aku seperti biasa mendengar lagu di mp3 pemberian ayahku. Disebabkan keasyikan mendengar lagu, aku akhirnya terlena di atas katil. Kemudian…

‘Tok, tok, tok ! Kecek kecek ! Tok, tok tok ! Degung, degung !’

Pintu bilikku diketuk dengan kuat sekali. Aku terjaga daripada tidur disebabkan oleh ketukan pintu yang padu itu. Apa yang menghairankan, aku tidak terus membuka pintu, bahkan hatiku tergerak untuk melihat masa di komputer ribaku. Jam pada waktu itu tepat menunjukkan pukul 3 pagi. Hatiku berasa tidak senang. Seperti yang ‘mengetuk’ sebentar tadi bukan manusia yang normal kerana manusia yang waras tidak mengetuk seperti orang gila pagi-pagi begini ! Hatiku menafikan hal-hal mistik. Aku tidur kembali setelah bunyi ketukan tadi reda.

Tidak lama kemudian…
‘Tok, tok, tok ! Kecek kecek ! Tok, tok tok ! Degung, degung !’

Daun pintuku diketuk kali kedua. Kali ini aku tersentak dari tidurku.

“Eh, siapa pula yang mengetuk pintu sebegini pagi-pagi begini ?” Keluh aku di dalam hati.
Tidak timbul lagi syak wasangka yang bukan-bukan pada waktu itu. Aku terfikir kalau itu rakan sebilik aku yang ‘mengetuk’. Tetapi mengapa tidak dia membuka pintu menggunakan kunci yang dibawa bersamanya ? Boleh sahaja dia membuka pintu menggunakan kunci biliknya itu.

‘Boleh jadi dia terlupa membawa kunci bilik.’ Aku cuba menyedapkan hatiku tanpa berfikir yang bukan-bukan. Tetapi ketukan jenis ini seperti bukan ketukan ‘manusia’ yang biasa. Kalaupun ini manusia, manusia ini pasti luar biasa dan pasti ada niat yang tidak baik. Pintu masih lagi diketuk dan ada usaha untuk cuba memulas tombol pintu untuk menceroboh masuk ke dalam bilikku.

‘Luar biasa ketukan ni. Kalau rakan sebilikku lupa untuk membawa kunci dan ingin masuk ke dalam bilik, mengapa perlu mengetuk daun pintu dengan kuat sampai begitu sekali ? Seperti ingin memecah masuk, dan yang peliknya, mengapa tidak bersuara memanggil namaku untuk membuka pintu ? Senyap saja.’ Yang kedengaran cuma bunyi ketukan pintu dan usaha yang ‘luar biasa’ untuk cuba masuk ke dalam bilik ini !

Ya Allah. Kali ini aku yakin aku tidak mamai lagi. Ini bukan mimpi. Kalaupun yang ‘mengetuk’ itu rakan sebilik atau rakan serumahku atau orang luar sekalipun, kalaupun dia terdesak sangat mahu masuk ke dalam bilik ini, mengapa perlu ‘mengetuk-ngetuk’ seperti orang tidak siuman ? Kenapa tidak sahaja ‘kenalanku’ itu menelefonku, atau paling tidak kurang, bersuaralah supaya aku tahu kamu itu manusia yang waras dan normal ! Lantas aku terus mencapai telefon bimbit di atas meja dan menelefon rakan serumahku yang berada di mana aku pun tidak tahu ketika itu. Sampai hati dia tinggalkan aku seorang diri di dalam bilik ini. Tiga empat kali juga aku cuba menelefonnya tetapi tidak berangkat. Iyalah, siapa mahu mengangkat telefon pada pagi-pagi begini. Semua orang tidur ! Jadi siapa yang ‘mengetuk’ itu ? Ya Allah. Aku takut !

Kemudian dengan sekelip mata, pintu tidak diketuk lagi. Aku cuba untuk tidur dan tidak mengendahkan ketukan misteri sebentar tadi. Aku cuba untuk melupakan segala-galanya dengan harapan bila aku bangun esok pagi, aku anggap semuanya mimpi belaka. Aku berjaya tidur dan terlena tetapi selang beberapa minit kemudian…

‘Tok, tok, tok ! Kecek kecek ! Tok, tok tok ! Degung, degung !’

Iya, betul ya pembaca semua. Untuk kali ke-3 pintuku diketuk dengan rakus sekali. Kali ini aku yakin itu bukan manusia normal. Boleh jadi penceroboh atau ‘makhluk halus’ ! Sebagai seorang muslim, aku percaya dengan jin dan syaitan ini. Sebab utama aku membuat konklusi sedemikian adalah kerana yang ‘mengetuk’ itu tidak bersuara walau sepatah pun ! Rakan-rakanku atau manusia yang normal dan berfikiran waras yang mahu masuk ke dalam bilik seseorang pasti akan memanggil nama atau paling tidak kurang memberi salam untuk dibenarkan masuk tetapi yang ‘mengetuk’ ini senyap sahaja. Hanya bunyi ketukan yang maha kuat sahaja kedengaran. Tombol pintu dipulas-pulas. Apa ini ? Aku terpaku di atas katil. Aku fikir apalah dosaku sehingga terjadinya perkara sebegini. Bagaimana kalau ‘dia’ berjaya masuk ke dalam bilikku? Apa yang akan terjadi seterusnya ? Sebelum ini aku hanya mendengar cerita orang sahaja tetapi kali ini ianya berlaku betul-betul ke atas diriku. Kemudian, pintu berhenti diketuk.

Seperti manusia yang lain, aku juga mempunyai sifat ingin tahu. Aku ingin tahu ‘siapa’ yang mengetuk pintuku dengan ganas sekali, tiga kali berturut-turut pula tu ! Hatiku tidak tenteram jika tidak menjejaki siapakah gerangan yang ‘mengetuk’ tadi. Tanpa berlengah, aku dengan rasa takut yang amat dan ingin tahu terus menguak daun pintu bilikku untuk melihat ‘siapa’ yang mengetuk tadi.

Tiada siapa ! Tiada susuk tubuh atau bayang-bayang manusia pun terlihat walaupun sekilas.

Iya, tiada siapa pun di hadapan, kiri atau kananku. Tidak mungkinlah penceroboh itu cepat benar melarikan dirinya tanpa meninggalkan jejak. Pintu depan tertutup rapat dan tiada tanda-tanda ianya diceroboh. Kemudian, aku merasakan ada angin kasar, sejuk sekali menghembus pipi kananku. Ya Allah, sliding door terbuka luas ! Bertuah betul siapa yang tidak tutup malam tadi ! Tiba-tiba aku terfikir yang aku duduk di tingkat 8. Pintu yang terbuka luas itu adalah sliding door balkoni, bukan pintu utama ! Jadi tidak mungkin sama sekali yang ‘mengetuk’ itu ‘manusia’ kerana mana mungkin manusia yang lemah ini boleh ‘merangkak’, ‘mengengsot’ atau ‘terbang’ sehingga ke tingkat 8 tanpa menggunakan tangga, lif atau eskalator sekalipun !

Tanpa membuang masa, aku terus meredah masuk ke dalam bilik air mengambil wuduk untuk mengerjakan solat Isyak yang tertangguh. Aku masih takut tetapi aku beranikan diri juga ke bilik air. Mungkin ini pengajaran bagi diriku supaya sentiasa mengutamakan solat dari segalanya kerana jika tidak, benda-benda sebegini akan suka berdamping dengan kita.

Pada keesokan paginya, aku bertanya kepada rakan sebilikku sejurus dia pulang ke bilik. Aku bertanya adakah dia yang mengetuk pintu bilik pada malam tadi dan dia kata,

“Tidak. Semalam saya tumpang tidur di bilik kawan dan tidak pulang pun ke bilik. Mengapa ?”

Lantas aku menceritakan segala-galanya dari awal sampai akhir kepada dia dan dia pun jadi takut.

Inilah pengalaman seram yang aku alami iaitu ‘ketukan menyeramkan’ yang merenggut waktu lenaku kerana setiap kali aku tertidur, pintuku diketuk lagi dan lagi dengan cara yang menyeramkan.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

Anne
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

14 comments

  1. agak seram jg klu d bayangkan, tp ceta awk ni agak longgar LA, tiada ceta lain selain ketukan.. anyway thanks SBB sudi share pengalaman awk

  2. pernah jadi kat diri sendiri dekat rumah sendiri. jam 3 pagi jugak. kenapa ya hal berkaitan benda-benda macam ni mesti terjadi pukul 3. aku ni jenis tidur pasang reality show korea dekat laptop. tengah sedap tidur tetiba ha bunyi ketukan pintu sebiji seperti digambarkan dalam cerita diatas. tak tengok jam lagi masa tu. saya pun menyahut lah ingatkan mama dah datang kejut subuh dan siap-siap untuk pergi kerja (tengah practical). sekali tengok jam dekat phone baru jam 3:07am, wtfishh ~ sebelum benda ni jadi once pernah terbangun dari tidur tengok pintu bilik luas terbuka. tak fikir apa lagi masa tu, lepas tu terus cerita dekat mak saudara dan dia nasihatkan kunci pintu bilik sebelum tidur. agaknya benda tu marah lah kot sebab kunci pintu so dia dah tak boleh nak masuk macam sebelum ni.

  3. Utk adik adik comel..lebih baik sebelum tido tu pasang surah al baqarah atau rukyah sampai pagi di radio atau laptop adik2..lagu2 atau cite hiburan ni memanggil jin setan datang adik2..tu yg makhluk suka kacau tu..dah terjaga 3 pagi tu baik solat tahajud dan mengaji sekali..biar setan x kacau lagi

  4. pernah jadi masa semester 2 dekat ipta di perlis.. masa tu dapat roommate course lain dan dia pulak tak rajin tidur bilik sebab kami tidak mengenali antara satu sama lain.. 1 bilik 2 orang.. “orang” tu ketuk sampai la roommate aku balik waktu subuh.. tanya dia, ade sapa-sapa tak kt luar? die cakap xde sapa-sapa pun. dari jam 12 tengah malam sampai subuh kena kacau dengan ketukan tu..aku berani, masa awal-awal “orang” tu ketuk aku bangun bukak lampu dan tengok takda bayangan kaki pun. so aku yakin bukan manusia huhuhu..sejak tu aku dan roommate jd bestfriend sbb takut kena kacau lagi.

  5. *Pada malam itu, aku duduk menghabiskan masa berseorangan di dalam bilik.

    *Pintu bilikku diketuk dengan kuat sekali.

    *Tiada siapa ! Tiada susuk tubuh atau bayang-bayang manusia pun terlihat walaupun sekilas.

    *“Tidak. Semalam saya tumpang tidur di bilik kawan dan tidak pulang pun ke bilik. Mengapa ?”

    Dah selalu baca jalan cerita mcm ni. Nasib baik takde mengaku ada ‘sixth sense’…

    3/10

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.