Khazanah Bah. 2

September 2020

“ … kerjasama antara polis dengan angkatan tentera Malaysia, ATM akan diperketatkan.. di Tawau dan Lahad Datu yang juga melibatkan di kawasan-kawasan sempa… “

TAAPP. Televisyen dimatikan.

Aahh.. dah naik jemu aku dengan sesi sidang media hampir setiap hari. Dah nak dekat PRN negeri Sabah ni, makin sibuk aku tengok Menteri Kanan Pertahanan. Kes Covid walaupun dah semakin menurun, tapi itu bukan la tiket nak buat pilihan raya. Makin pening aku tengok politik negara ni.

Empat hari lepas, Rais ada telefon. Fuhh.. ingatkan dah lupakan aku bila dah jumpa harta karun tu. Katanya nak minta tolong lagi. Ada benda yang perlu aku lihat. Mungkin ada kaitan dengan nenek moyang aku. Ya, modal yang macam ni la yang dia guna masa pujuk aku dulu. Sampai tiga hari aku pengsan. Dah tak pasal-pasal aku terpaksa buat swab test sebab nak ikut dia.

“Bos kau dah tahu minggu lepas lagi, macam biasa la.. dia ok je, asalkan ada bahagian untuk dia dan syarikat”. Rais tersengih sambil mengelap cermin matanya dengan baju.

Aku berkerut kening mendengar cerita Rais. Sel-sel otak mula berhubung. Patut la masa lockdown, banyak syarikat lain yang tak mampu nak bertahan, tapi syarikat aku masih dapat job. Rupanya sudah ada perjanjian sebelum ni antara Syukri dengan bos.

“ Syukri dah tunggu kat kem ke..?” tanya aku kepada Rais. Masa ni kami dalam perjalanan menuju ke kem dengan sebuah pacuan empat roda dan melalui entah berapa banyak sekatan jalan raya. Tak sabar aku nak lihat apa yang ada dalam perpustakaan tu.

“ Tak, dia kat Sabah sekarang. Lepas mengundi baru dia datang.. buat masa sekarang aku yang uruskan.” Jawab Rais.

“ Aik.. dia orang Sabah ke.. PRU korang semua tak mengundi. Wakilkan aku, yang PRN ni laju pulak ye..” sindir aku, geram pula rasanya bila teringat kena kencing dengan mereka sebelum ni.

“ Hahaha.. pedih.. bukan la. Dia ke sana sebab nak pujuk Tengku X. Dia ni antara penggerak bagi kumpulan kami. Banyak sumbangkan dana dan menjadi orang tengah dengan pihak berkuasa.”

“ Syukri nak gerakkan balik projek kami di Melaka yang tertangguh sebelum ni.” terang Rais tersenyum dengan mata redup. Aku tahu, dia saja nak pancing aku supaya lagi teruja.

“ Kau cerita jela Rais.. aku nak dengar. Kita kan satu kumpulan sekarang. Betul tak? hehe..” Malas nak melayan, aku mintak terus je.

“ Emm.. gini, sebelum kami jumpa dengan kau. Aku ada dapat satu kes. Melibatkan saka. Sebenarnya kawan aku di Temerloh, seorang perawat.. dia ada dapat seorang pesakit wanita yang didampingi saka keturunan. Umur jin ni lebih kurang 1700 tahun.”

“ Tapi apa yang menarik dalam kes ni.. wanita ni berketurunan Serani. Berdarah Portugis dari belah ayahnya.” Rais bercerita dengan serius. Walaupun macam menarik, tapi aku masih samar-samar lagi, belum dapat menyambung maklumat.

“ Saka yang ada dalam tubuh pesakit tu datang dari nenek moyang dia, orang Portugis. Kira jin belaan orang sana la. Tujuannya. Untuk mendapat kekuatan semasa menakluk kerajaan Melaka.”

“ Jadi bila dapat saja kes ni, aku terus dihubungi. Sebaik perjanjian saka diputuskan. Aku ambil jin saka tu.. untuk disoal siasat. Kau bayangkan, suatu makhluk yang berumur hampir 2000 tahun, terlibat secara langsung semasa menakluk Kesultanan Melaka. Kau rasa, apa maklumat yang dia simpan?”. Tanya Rais.

“Jap.. aku tak faham.. maksud kau, mat saleh pun ada bela saka juga ke..?” Tanya aku dengan penuh minat. Memang banyak filem-filem Hollywood pasal sihir. Tapi aku ingatkan itu filem semata-mata. Aku tak boleh bayangkan Harry Potter atau Gandalf sakit susah nak m**i, selagi saka tidak diwariskan macam kisah-kisah angker orang Melayu konon sampai perlu buka bumbung.

“Eehh.. ada, kau jangan tak tahu Kamal.. kadang-kadang ilmu sihir dan saka mereka ni lagi dahsyat. Termasuklah yang aku hadap ni. Cukup liat dan agak kebal dengan ilmu-ilmu yang aku ada.”

“Guru aku terpaksa dipanggil untuk tolong tundukkan jin ni.. dari jenis ifrit, katanya tinggal di gunung Pico. Gunung tertinggi di Portugis. Kata guru aku tentera yang buat perjanjian ni berpangkat tinggi. Sebab tu jin pun jenis kuat juga. Ehh.. tak lama dah kita ni, setengah jam lagi sampai kem.” Terang Rais panjang lebar.

“Lagi-lagi.. apa yang kau dapat dari jin tu..?” aku dah tak sabar nak tahu lebih lanjut. Seekor jin ifrit yang menjadi saka kepada tentera Portugis yang berpangkat tinggi dan terlibat untuk menakluk kesultanan Melaka. Fuhh. Aku dah mula terbayang filem Dracula Untold, tentera Janissari Uthmaniah terpaksa melawan vampire sehingga beribu tentera meninggal dunia.

“Daripada maklumat yang diperolehi.. akhirnya membawa kumpulan kami ke suatu lokasi beberapa puluh meter dari daratan bekas kota Melaka. Dalam laut. Hasil scanning geofizik nampak seperti runtuhan bangunan. Mula-mula kami ingatkan itu sebuah menara untuk memantau kapal-kapal dagang. Kau pun tahu macam mana sibuknya pelabuhan Melaka pada masa tu.”

“Tapi bila aku guna kaedah meraga sukma. Runtuhan itu makin jelas.. bukan menara, tapi sebuah bangunan yang digunakan untuk bersembunyi atau pun mungkin untuk melarikan diri dan yang hebatnya apa kau nak tahu Mal..?”

“Bangunan di dalam laut tu.. ada ruang bawah tanah dan mempunyai terowong yang bersambung dengan sebuah bukit di darat. Kira ni laluan kecemasan la. Tapi aku tak tahu binaan tu dibina oleh kesultanan Melaka atau Portugis.”

“Boleh jadi juga dibina jauh lebih lama.. semasa kawasan tu masih lagi daratan. Mungkin, siapa tahu. Maklumat sangat sedikit. Sebab bangunan dan terowong tu pun dah hancur, habis runtuh. Jadi tak banyak maklumat yang kita dapat.” Rais mengeluh perlahan sambil bersandar, sedikit mendongak.

“Kalau semua dah hancur.. buat apa lagi Syukri nak pujuk Tengku X tu sambung projek kat situ?” tanya aku, memecah kesunyian.

“Oohh.. hahaha.. pandai kau.. bila kami sudah gabungkan maklumat yang ada.. sekumpulan penyelam dihantar. Banyak bulan juga la proses selaman dibuat. Ada beberapa artifak yang kami jumpa. Tapi yang paling menarik kau nak tahu apa?” tanya Rais seolah-olah memacu lagi rasa ingin tahu aku.

“Satu objek yang dibuat daripada campuran perak dan tembaga. Satu meter lebih panjangnya. Berbentuk seakan-akan salib, tapi ada pertambahan huruf ‘V’ ditengah-tengah. Kalau perhati dengan teliti, bentuk objek tu seperti gabungan beberapa huruf Runes.. huruf yang orang Eropah dulu guna untuk menulis. Syukri panggil benda ni Relik Runes Purba.”

“Bila aku scan.. aura yang ada pada objek tu agak kuat dan bersifat negatif. Rujukan dalam semua rekod yang kami ada hampir tidak jumpa maklumat pasal objek ni.. jadi aku rujuk la jin saka tu. Rupa-rupanya benda tu menjadi azimat kepada tentera Portugis. Relik tu dipuja dengan harapan membawa tuah, kekuatan, dan menjadi suatu simbolik perjanjian antara bangsa jin dengan mereka.”

“Kiranya bangunan yang runtuh tu dijadikan lokasi simpanan tentera, sebelum mereka melarikan diri. Tapi telah runtuh akibat serangan demi serangan oleh pihak Acheh, Johor Riau dan Belanda.. tapi aku hairan juga, tiada rekod bertulis pun pasal binaan ni dalam mana-mana catatan. Jadi aku sekadar take note je la cerita ifrit tu. Tak nak terima bulat-bulat.” Sambung Rais.

“Tapi Mal.. yang tak sedapnya. Dua minggu selepas kami jumpa relik purba tu. Syukri dihubungi oleh dua pihak. Kau rasa-rasa siapa..?” Rais cuba berteka-teki.

“Entah.. CIA ke..?” Jawab aku sambil mengangkat kening.

“Bukannn.. Muzium British dan Smithsonian.” Jawab Rais. Kalau muzium tu aku tahu la tempat simpan barang bersejarah. Tapi yang satu lagi ni aku tak pernah dengar.

“Smithsonian Institution.. ni kira macam muzium juga la. Ada di US.. koleksi kat sana antara yang paling banyak dan unik. Bukan setakat barang sejarah. Tapi serangga, burung-burung, tumbuhan.. aahh nanti kau Google la sendiri. Tapi yang penting mereka berminat dengan relik purba yang kami jumpa tu.”

“Kami tak tahu macam mana mereka boleh dapat maklumat pasal benda ni. Tapi aku syak ada dalam kalangan ahli kumpulan yang jadi pengkhianat atau pun mereka memang memantau aktiviti kami dari dulu. Kau bayangkan lapan angka harga yang mereka tawarkan.”

“Untungnya Tengku X dan Syukri ni pandai. Mereka tak berminat jual. Tapi nak tukarkan dengan koleksi yang ada dalam simpanan masing-masing. Sama ada Muzium British atau Smithsonian, siapa yang setuju akan dapat la relik ni. Lagipun benda tu bukannya ada kaitan sangat dengan sejarah tanah air kita.”

“Tapi apa yang tersimpan dalam arkib mereka. Sangat berharga. Khazanah purba tanah ini yang kita sendiri tak pernah tahu .” Berkerut-kerut kening Rais masa terangkan cerita tu, nampak sedikit emosi.

“Eerr.. jadi apa yang Syukri dan Tengku X tu minta tukar.. siapa yang setuju..?” Aku bertanya tak sabar hendak tahu. Malangnya saat itu kami sudah tiba di kem. Rais menolak untuk bercerita dan arahkan aku turun dan masuk ke bilik masing-masing dalam kontena. Ya, kontena yang dulu masih ada. Tapi cuma tinggal sebuah.

“Kau rehat dulu.. makan.. setelkan apa patut. Lepas Maghrib nanti ada taklimat ringkas. Mmm.. kalau sempat aku sambung cerita tadi.” Aku tersenyum kambing mendengar kata-kata Rais. Terus aku baring, Hajatnya nak rehatkan badan sekejap.

“ Nehsi.. Nehsi..”

Seorang lelaki hampir separuh abad. Berkulit agak gelap tapi tegap. Merenung tajam sambil menunding ibu jari kanan ke arah aku. Sambil mengucap perkataan di atas. Entah kenapa aku rasa tidak selesa dan dada agak perit. Seperti ditindih. Tiba-tiba lelaki itu menghampiri, semakin dekat semakin sesak rasa dada aku.

“Kun kata Allah.. fayakun kata Muhammad.. rabbukum kata Jibril. Bukan aku punya kuasa, Allah punya kuasa dengan berkat Lailahaillallah Muhammadarrasulullah.”

Suatu suara lain kedengaran seperti bergema. Jasad lelaki tadi terus hilang. Dada yang sempit terus lega. Aku rasa seperti bahu ditepuk beberapa kali. Rais mengejutkan aku. Mimpi. Ya, penangan tidur lepas Asar lain macam perginya. Aku diminta untuk bersihkan badan.

“Yang tadi tu aku tak pasti.. sama ada petunjuk atau gangguan. Tapi berhubung dengan alam sebelah melalui mimpi tanpa persediaan rapi amat tidak digalakkan. Aku risau kau kerasukan je Mal. Nanti lari habis rancangan kita. Sebab tu aku kejut.. tengok kau dah mengigau.”

“Macam mana penampilan dia.. apa lagi yang kau nampak selain lelaki tu..?” Rais bertanya sambil mencatat dalam buku nota dia. Nampaknya dia sangat ambil berat dengan mimpi aku tadi.

“Err.. aku tak berapa ingat. Nak kata macam orang Afrika tak sangat. Tapi yang pasti bukan belah-belah Asia. Pakaian dia.. seperti berkain pelikat. Tapi lebih singkat. Ada selempang yang agak lebar kat dada dia. Macam pakai kain ihram tu..” Aku cuba imbas semula apa yang teringat.

“Sama tak dengan pakaian yang kau nampak dalam gambaran dulu. Masa kita meraga sukma dekat kawasan kubah tu. Cuba kau ingat balik.” Rais cuba ingatkan aku peristiwa dua tahun lepas. Ya. Hampir sama. Pakaian orang zaman dulu. Macam mana pula mamat ni boleh tahu. Rais mengangguk beberapa kali sambil menatap telefon dan tersenyum nipis.

“Tengok ni.. sama tak dengan yang kau nampak dalam mimpi tadi.” Rais menghulurkan telefonnya. Tertera suatu gambar. Ada beberapa orang lelaki dan seorang seperti wanita. Pakaian salah seorang lelaki itu hampir sama seperti dalam mimpi aku, bezanya tiada selempang.

Aku pernah lihat gambar ni di Google. Aku tahu pasal tempat tu. Tapi apa kaitan dengan mimpi aku. Aku mengerutkan kening sambil merenung ke arah Rais untuk penjelasan. Dia hanya tersenyum kambing.

“Sebab tu aku perlukan kau di sini.” Jawabnya ringkas sambil berdiri. Kami bergerak ke luar kontena. Sebuah meja kayu yang telah tersedia beberapa menu bersama dua orang staff yang menjaga kem ini. Sesi taklimat akan dimulakan.

Ringkasnya esok pagi helikopter akan bawa aku dan Rais ke lokasi. Tak perlu lagi berjalan kaki selama dua hari. Tugasan aku akan diselesaikan secepat mungkin. Aku hanya perlu berhubung dengan artifak yang ada di dalam perpustakaan purba itu untuk mendapatkan pengesahan maklumat yang sedia ada. Mereka sedang menjimatkan kos. Covid ternyata memberi kesan ketara dalam pengurusan semua pihak.

Walaupun badan aku sangat penat. Tapi aku tak dapat melelapkan mata apabila teringatkan mimpi dan penerangan Rais semasa taklimat tadi.

“Kami tak pasti lagi, sebab segala maklumat yang sedia ada hanya sekadar teori. Tiada bukti fizikal yang menyokong. Aku memang jenis skeptikal. Aku tak akan telan dan terima bulat-bulat tanpa pembuktian. Bagi aku metafizik, mimpi.. sebagai sampingan, tak boleh jadikan hujah utama. Biar pun ni memang bidang aku.”

“Setakat ni, daripada rekod yang ada masih menyokong lokasi di timur Afrika. Walau pun ada yang dakwa di Sumatera la, Borneo la.. Tapi tiada bukti. Kalaulah kita dapat pecahkan misteri ni. Memang kecoh dunia sejarah dan arkeologi. Confirm la.” Beria-ria Rais memberi penerangan.

……….

Tanah yang disinari pancaran matahari sepanjang tahun. Kaya dengan emas. Subur dengan pepohon hijau yang berharga dan berbau harum. Tempat asal nenek moyang. Tanah para dewa.

……….

Esoknya, setelah lebih kurang sejam penerbangan, kami selamat tiba di lokasi. Mengikut Rais sepatutnya boleh sampai lebih cepat. Tapi selepas perpustakaan purba itu digali. Medan elektromagnet dan cuaca kawasan sekitar seolah-oleh terganggu. Bukan disebabkan aktivti paranormal seperti sebelumnya.

Suasana di lokasi perpustakaan agak lengang. Tidak semeriah dulu seingat aku. Alatan pun sudah berkurangan. Hanya ada sebuah rumah kontena dan dua buah khemah yang agak besar. Tapi ada satu perubahan yang sangat ketara yang aku perasan. Rupa perpustakaan itu semakin jelas. Mereka sudah gali tanah di sekelilingnya. Pintu masuk juga sudah kelihatan. Sebuah gerbang, aku anggar selebar dua meter.

Sekali imbas rupa perpustakaan purba ni seperti masjid Aya Sophia tanpa binaan bulan sabit dan menara. Bangunan berkubah yang ringkas. Tapi, lebih hampir seperti binaan pantheon Rom. Cuma kelihatan lebih ringkas dan kukuh. Menggunakan batu bata yang bersaiz besar. Jadi tak hairan la bangunan ni mampu bertahan di dalam tanah sejak sekian lama.

Untuk masuk ke perpustakaan itu masih perlu turun ke dalam tanah. Beberapa meter dalamnya menggunakan tangga khas. Aku sempat mengelilingi kawasan sekitar. Ada tiga paip sederhana yang dibina oleh pasukan penggali. Tujuannya untuk menyedut mengalirkan air hujan ke anak sungai berdekatan supaya tidak bertakung dan masuk ke dalam perpustakaan. Semasa aku sampai pun hujan sedikit gerimis.

“Mal.. jom masuk ke dalam, ada benda aku nak tunjuk.” Rais sedikit menjerit memanggil aku. Bersamanya di sebelah kanan ada salah seorang ahli kumpulan kami, antara yang sudah lama di situ. Berstatus doktor falsafah dalam bidangnya. Aku selesa memanggilnya Doktor Haji, mungkin sebab penampilannya. Kami pernah berjumpa di sini sebelum ni.

Saat aku masuk ke dalam perpustakaan tersebut. Suasana di dalamnya sangat berbeza dengan di luar. Seolah-olah kita berjemur di tengah panas. Kemudian masuk ke dalam bilik yang berhawa dingin. Memang lain macam auranya, sungguh selesa. Walaupun di luar bunyi agak kuat dengan suara generator. Tapi ruangan dalam perpustakaan seperti kedap bunyi, tenang.

Pencahayaan pula datang datang daripada lampu yang dipasang oleh ahli kumpulan pada dinding. Menggunakan mode motion detector, mungkin untuk penjimatan bateri. Bahagian siling pula kelihatan tompokan kecil cahaya, seolah-olah bintang di langit malam. Ada kesan tampalan sedikit di bahagian timur siling, akibat penggalian sebelum ni.

Apa yang dapat aku perhatikan, binaan di bahagian dalam seperti agak padat. Bukan perpustakaan seperti yang biasa kita lihat. Lebih kepada tempat simpanan, tiada ruang untuk kita duduk dan menelaah. Pernah masuk tandas R&R..? lebih kurang begitulah rupa dalamnya. Ada banyak ruang yang sederhana besar di bahagian kiri kanan.

“Arkib.. saya lebih suka menyebut tempat ni sebagai arkib”. Doktor Haji bersuara sambil menghulurkan tangan untuk bersalam, beliau seolah-olah mengerti apa yang bermain dalam fikiran aku.

“Jadi awak dah tahu la ye pasal kisah di Melaka tu..?” Soalnya tanpa ada bunga-bunga.

“Eerr.. ye, Rais ada cerita. Tapi ceritanya tak habis doktor.” Jawabku ringkas.

“Oohh.. sebenarnya kita ada jumpa terowong dan binaan yang kedua. Beberapa ratus meter dari tapak sebelumnya. Yang ni kita dah tengok dengan scan geofizik dan paranormal.. lebih 80 peratus masih dalam keadaan baik.. tinggal nak gali je.”

“Kita harap dapat jumpa item yang lebih waow dari sebelumnya. Tapi tu lah, nak tunggu respon dari Tengku macam mana.” Tanpa berkias seperti Rais dan Syukri, Doktor Haji bagi info kepada aku tegak dan padat.

“Eerr.. jadi doktor, apa kisahnya relik runes tu..?” Aku cuba menggunakan peluang yang ada untuk menggali cerita.

“Tengku dan Syukri setuju serahkan kepada pihak Muzium British, kita tukar dengan tiang asas tembok kota Melaka yang mereka bedil dulu.”

Melihat aku seperti blur dan berkerut kening, Doktor Haji terus sambung dengan semangat.

“Ikut catatan dari Munsyi, selepas British dapat Melaka daripada Belanda. Mereka telah meruntuhkan tembok kota. Tapi, kita dapat maklumat tambahan dari sumber lain. Semasa proses meruntuh tu British jumpa 11 batang besi yang dipercayai menjadi asas kepada pembinaan tembok tu. Sebab tu kukuhnya lain macam. Setiap batang besi tu tertulis beberapa tulisan Jawi tanpa baris.”

“Malangnya kita hanya dapat 4 batang saja, selebihnya sudah dileburkan lama dulu.. ni apa yang mereka beritahu la dan saya pun tak pernah lihat depan-depan lagi hanya melalui gambar saja. Sekitar 4 meter tinggi.. diameternya, ada la dalam besar ni.” Doktor Haji membuat gabungan bentuk ‘C’ dengan dua belah tapak tangan. Aku anggar saiz, kurang lebih besar mangkuk nasi orang Cina makan.

“Ehh.. biar betul, doktor pun tak tengok lagi tiang tu.. kenapa ye?” aku cuba mendapatkan penjelasan.

“Politik Mal.. semua haru biru dalam gerak kerja sejarah di negara ni sebab benda ni la.. politik pah ceroh. Tiang tu masih disimpan oleh pihak berkenaan. Kononnya untuk kajian lanjut, tapi saya rasa mereka tunggu masa nak ambil kredit je. Sekarang ni Syukri dan Tengku tengah usaha untuk dapatkan kawalan sepenuhnya.”

“Dan kalau boleh saya berharap lokasi kedua ni.. tak ada campur tangan orang politik. Jadi kami bercadang akan buat projek penyamaran di sana. Cukuplah. Arkib ni pun kalau bukan sebab Tengku X guna rangkaiannya dengan istana, saya ingat selamat dah kena jual kat pasaran gelap.” Panjang lebar penjelasan Doktor Haji sambil mengusap sebuah buku tembaga dari rak terhampir.

“Kamal.. doktor.. sini, jom!” Rais melaung sambil menjengah kepala dari sebuah ruang beberapa meter di hadapan. Aku dan Doktor Haji masuk ke dalam ruang tersebut. Bersaiz bilik bujang dan tiada apa-apa buku. Hanya tiga buah kotak dan sehampar tikar. Aku rasa isi dalamnya dah dipindahkan untuk aktiviti hari ini.

“Sebab benda ni lah aku panggil kau balik Kamal.. ingat lagi tak pisau yang aku pernah cerita dulu..? Yang menjadi petunjuk dari penunggu kat sini.. sampai kami boleh jumpa dengan kau.” Rais membuka sebuah kotak kayu lalu ditunjukkan kepada aku isinya. Sebilah pisau tanpa sarung, berhulukan kayu merah dan matanya seakan-akan berlekuk, hampir sejengkal panjang.

“Eerr.. pisau apa ni Rais, comel sangat ni. Buat p****g buah ke..?” aku cuba melawak.

“Kami percaya mungkin ini reka bentuk terawal keris. Berfungsi lebih kepada alat kebesaran. Kalau kau perhatikan betul-betul, hulunya ada rupa seperti mata dan mulut.” Rais cuba menunjukkan hulu pisau tadi dengan lebih dekat. Ya, ada nampak juga. Cuma tidak berapa jelas. Menurut Doktor Haji, hulu itu diperbuat daripada marjan.

“Jadi apa kaitan semua ni dengan aku. Doktor, Rais.. cuba terangkan. Banyak benda yang saya rasa masih dirahsiakan. Walau pun dah dibawa saya masuk dalam kumpulan ni, tapi rasanya bukan semua maklumat saya dapat.”

“Sebelum ni pun aku ada jumpa beberapa orang, cuba buat meraga sukma ke tempat ni macam yang kau pernah buat untuk aku. Tapi masih tak dapat jawapan.” Entah kenapa aku tiba-tiba jadi sedikit emosi dan cuba mencari jawapan.

“Mal.. biar aku cerita, sebenarnya aku dah pasang kunci kat dalam badan kau. Supaya apa saja usaha untuk kau datang ke tempat ni secara batin tidak berjaya. Besar risikonya kalau tempat ni terdedah. Lagi pun bukan kumpulan kita saja yang buat cari gali artifak ni. Banyak lagi di luar sana.”

“Tapi terus terang.. aku memang minta maaf sangat la, itu saja jalan yang aku ada. Tambah pula lepas kerja di Melaka sebelum ni dah terganggu. Kena pula jumpaan kali ni paling dahsyat, jadi nak tak nak. Aku terpaksa sekat akses kau ke tempat ni. Kau faham kan, tak faham pun kena faham juga la.” Rais menepuk-nepuk bahu. Aku menarik nafas panjang sebelum menghembus lembut.

“Yela, nak cakap apa lagi. Terima aja lah, surat pun aku dah sign semua. Jadi… apa yang aku kena buat ni.?” Soal aku lepas rasa sedikit tenang.

“Wudhuk kau ada lagi kan. Cepat bersila kat sini.” Rais memberi arahan sambil menyerahkan dua buah kristal seperti sebelum ini. Untuk booster tenaga dalaman aku bagi memudahkan proses meraga sukma.

“Kita masih buat meraga sukma, tapi kali ini berbeza sikit. Selain kristal, kita juga akan guna pisau ni untuk memandu semangat kat alam sana nanti.” Rais mula bersila di belakang aku. Tangan kanannya di bahu kanan aku. Manakala tangan kirinya menyentuh pisau yang sudah dibalut dengan kain.

Rancangannya, aku akan memasuki badan subjek yang telah dipilih khusus. Tujuannya untuk aku dapatkan apa saja maklumat berkaitan arkib ini. Terutamanya memahami sistem tulisan hieroglif yang digunakan sepenuhnya dalam catatan di sini.

“Kamal.. genggam kristal tu.. tenangkan diri, tarik nafas slow-slow.. sedia.”

Zuuuuusss…

Terasa lembut dan tenang. Aku seperti diangkat ke atas. Baru beberapa meter aku terasa di awang-awangan.. tiba-tiba tubuh batin aku bagai bergerak ke depan. Seperti cerita Star Wars atau Star Trek apabila kapal angkasa sedang memecut kelajuan cahaya. Gitu la gayanya.

Sebaik berhenti, sedar-sedar aku sedang terapung di udara sekitar kawasan pinggir laut. Ada beberapa bangunan diperbuat daripada batu-bata dan kayu. Berbelas kapal dan berpuluh perahu. Aku seperti di sebuah pelabuhan. Saat ini semangat Rais mula muncul dan kami terbang merendah.

Baru semakin jelas keadaan sekeliling. Seperti suasana zaman dahulu kala. Aku tak tahu pula kalau di alam jin ni, hidup mereka seperti manusia zaman purba.

“Kita bukan di alam jin sekarang ni Kamal. Kalau perkiraan aku betul, sekarang kita sedang melihat rakaman suasana 3500 tahun dahulu.” Rais sedang berkomunikasi secara batin dengan aku.

“Waow.. jadi kita dah merentas masa la ye..?” aku bertanya.

“Bukan.. kita hanya melihat dan merasai suasana lalu yang sudah terakam saja. Memori alam. Rakaman alam. Jadi apa saja yang berlaku sekarang, tidak akan mengubah masa depan. Kerana.. masa depan telah tercipta dan masa lalu tidak binasa. Kita ke mari untuk akses maklumat, bukan mengubah sejarah.” Panjang Rias menerang, walau aku tak faham apa benda pun.

Saat ini semangat kami berlegar-legar di atas pelabuhan purba tersebut. Ada lima buah kapal yang duduk dalam kelompok, mungkin dari pihak yang sama. Seperti sedang bersiap untuk bertolak. Setiap kapal sedang dimasukkan beberapa item yang berbeza oleh para pekerja. Ada haiwan, anak-anak pokok, kayu kayan dan beberapa buah kotak sederhana besar.

Penampilan mereka memang ringkas, hanya bersampin dan ada pengikat kepala. Tipikal muka Asia Tenggara, ini mengingatkan aku kpeada para pekerja yang membina arkib dalam gambaran tidak lama dulu.

“Jom kita ke sana. Aku yakin dia ada dalam tu.” Rais bersuara secara batin, kami terawang-awang menuju ke sebuah bangunan kayu yang terletak dalam kawasan pelabuhan. Sebaik masuk ke dalamnya. Aku lihat seperti sebuah ruang rehat yang agak besar. Ada seorang lelaki sedang duduk bersila menikmati minuman.

“Mal, sama tak lelaki ni dalam mimpi kau semalam?” Rais bertanya. Ya, baru aku perasan. Orang yang sama. Tapi siapa dia, kenapa dia ada di sini.

“Kali ni kita buat kerja gila sikit. Aku nak kau sentuh bahu lelaki tu. Jangan risau, aku ada sekali.” Rais memberi arahan. Aku lihat dia cukup serius kali ni. Kami mula terbang ke arah lelaki tersebut. Masih leka dengan air di hadapannya.

Tiba-tiba belum sempat aku sentuh bahunya, lelaki tersebut berpaling ke arah kami dan berdiri. Matanya melilau, seperti mencari sesuatu. Mana mungkin dia boleh melihat semangat kami. Sebaik kembali bersila, dia kemudian meletakkan kedua belah tangan di atas lutut dengan tapak terbuka ke atas.

Aku bagai tidak tidak percaya dengan apa yang berlaku. Semangat lelaki terbabit perlahan-lahan keluar dari jasadnya. Sebelum ni aku hanya alami, tapi kali ni aku dapat lihat depan mata. Tapi aku berasa sedikit seram apabila semangat lelaki tadi boleh melihat kami dengan senyuman sinis dan tenang.

“Nehsi..?” Rais cuba berkomunikasi.

Lelaki tersebut mengangguk perlahan. Rais kemudian cuba bergerak ke depan seperti ingin bertanya lagi. Nehsi kemudian mengeluarkan sesuatu seperti loket dari celah bajunya. Bintang berbucu enam. Suatu pancaran cahaya biru memancar dari loket tersebut dan terkena Rais.

Saat ini semangat Rais tercampak keluar menembusi bangunan. Nehsi kemudian menghalakan tangan kirinya ke arah aku dan membuat gaya seperti arahan duduk. Semangat aku terus terbenam ke dalam tanah separas lutut. Badan terus menjadi kaku. Dia kemudian cuba menghampiri aku. Segalanya berlaku dengan pantas.

PPAANNGG..!!

Suatu pancaran cahaya putih memancar dan terkena Nehsi. Namun loket berbucu enam tu seperti melindungi dirinya dan seolah-olah menyerap pancaran tersebut. Sah, Rais yang cuba menyerang. Tapi sekali lagi Nehsi menghalakan tangan dan kemudian menggenggam tangannya. Aku lihat semangat Rais seperti diikat dan agak struggle nak lepaskan diri.

Pada aku, Rais dah cukup mahir dan ahli dalam bidang metafizik. Selain minat, dia juga seorang perawat alternatif. Tapi apa yang berlaku sekarang ni sungguh di luar jangka. Lelaki yang dipanggil Nehsi ni seperti sangat berkuasa dan tenang dengan setiap tindakannya. Seolah-olah sudah bersedia dengan kehadiran kami.

Sedang kami berdua kalut untuk melepaskan diri, muncul suatu bayangan lelaki di suatu sudut. Aku kenal figure tersebut. Doktor Haji.! Sebaik Nehsi berpaling ke arahnya. Doktor membuat gerakan tangan seperti memotong.

“Bisirri Lam Jalalah.”

Aku dapat rasakan tubuh batinku semakin ringan dan terlepas dari penguasaan Nehsi, begitu juga Rais. Doktor Haji kemudian menepuk lantai bangunan dengan kedua-dua belah tangannya. Suatu bunyi yang nyaring kedengaran dan sangat mengganggu telinga aku. Aku lihat badan fizikal Nehsi yang sedang bersila tumbang, semangatnya pula tercampak beberapa meter. Buku bertemu ruas.

Pandangan aku semakin kabur dan bunyi nyaring masih kedengaran. Aahh.. aku belum bersedia nak pengsan seperti sebelum ni.

Sebaik membuka mata aku berada di dalam arkib, terbaring. Tapi keadaan agak kelam kabut. Nama aku dipanggil beberapa kali. Ada beberapa orang di dalam ruang tersebut. Aku sempat menjeling Doktor Haji berada di bahagian kanan. Sedang berdiri tegak dan kiam, sebaik menghentak kakinya kali ketiga. Aku terasa gegaran kecil dan tubuhku bergetar. Untuk kesekian kalinya aku pengsan lagi.

“Kau kerasukan.. semangat Nehsi meresap masuk dalam badan kau. Nasib baik aku dengan doktor boleh kawal keadaan. Kalau tak, aku tak tahu la boleh dapat balik atau tak semangat kau ni.”

“Lain yang dirancang, lain yang jadi. Aku tak sangka semangat dia sekuat itu. Walau pun empat jam tu terlalu singkat untuk tanya semua benda, tapi dah memadai dari langsung tak dapat.” Rais menunjukkan gambar dari telefonnya, ada beberapa objek di atas meja. Dua buat skrol daripada perak dan beberapa buah buku.

Daripada apa yang aku tahu, skrol tersebut merupakan daftar barangan yang telah diterima dan dibawa ke Mesir 3500 tahun dahulu. Terdapat juga catatan apa yang berlaku semasa ekspedisi tersebut. Apabila semangat Nehsi merasuki aku, Rais dan Doktor Haji berjaya mengawal. Hasilnya, tulisan hieroglif berjaya didekodkan.

Jasad aku menjadi medium untuk memahami tulisan purba tersebut. Cuma ada kerumitan sebab tulisannya sudah diubah ikut gaya tempatan, sedangkan Nehsi orang luar. Walau pun kesuntukan masa kerana badan aku sangat lemah, tapi sudah memadai daripada terbiar saja khazanah di dalam arkib ini tanpa terjemahan.

“Kalau diikutkan, tugas kau dah selesai Mal, kau rehat dulu. Ambil tenaga. Nanti aku uruskan helikopter.”
Rais meninggalkan aku di dalam khemah. Selepas menghabiskan segelas air. Aku sambung tidur, dari kejauhan sosok itu kembali di dalam mimpi.. tapi hanya memerhati.

“Sebelum balik, apa kata awak pusing-pusing dulu dalam arkib. Ambil mood, kita pun tak tahu sampai bila boleh ada kat sini. Mana tahu tiba-tiba pihak atasan nak ambil alih. Jom, saya temankan.” Doktor Haji mencuit aku sebaik selesai makan tengahari. Aku hanya mengangguk perlahan.

Sedang melihat dari bilik ke bilik di dalam arkib, baru aku perasan. Bukan hanya ada buku dan skrol. Tapi juga beberapa item seperti patung, baju besi dan mahkota. Dah macam muzium tempat ni. Sehingga la aku melintas suatu ruangan ni. Badan aku seolah-olah mengigil sejuk. Aku memandang Doktor Haji, dia hanya tersenyum. Bagai mengerti, kami masuk ke ruangan tersebut.

Seekor patung anak lembu yang diperbuat daripada emas. Saiznya seperti sebuah basikal dewasa. Berdiri di atas sebuah altar kayu. Waow. Sama seperti gambar dalam Google, patung anak lembu yang disembah oleh Bani Israel semasa ketiadaan Nabi Musa.

“Anak kerbau. Lihat tanduk tu, sedikit panjang dan badanya agak besar. Kalau anak lembu tanduknya lebih pendek dan saiz badan agak kecil.” Doktor Haji bersuara sambil menunjuk lokasi perbezaan. Ya. Ada beza, baru aku perasan.

“Lagi pun, patung anak lembu yang kita tahu tu. Kalau ikut kisahnya, dah dimusnahkan apabila baginda turun dari gunung. Jadi yang ni kami fikir, rekaan versi tempatan. Cuma tak tahu dibina sebelum atau selepas kejadian tersebut.” Doktor Haji dengan tenang memberi penerangan. Aku masih diam, teruja.

Doktor Haji kemudian menghampiri sebuah meja lipat yang sedia ada di dalam bilik, mengambil suatu besi bercabang dua. Garpu tala. Sebaik mengetuk lembut pada dinding, dia mendekatkan garpu tala tersebut dengan patung anak kerbau emas.

“Ngguueekkkkkk”

Suatu suara kedengaran, datang daripada anak patung kerbau tersebut. Aku sekali lagi ternganga. Ini betul-betul gila. Kalau Bani Israel ada sekarang ni mahunya mereka sujud menyambung kesesatan yang tidak berkesudahan.

“Kami masih mencari frekuensi yang sesuai, tapi ini la yang paling hampir dan mampu memberi tindak balas dengan patung ni. Cuba awak lihat ni Kamal.” Aku dihulur suatu fail nipis oleh Doktor Haji.

Jadual rumusan laporan ujikaji oleh Agensi Nuklear Malaysia dan Pusat Maklumat Mineral Kebangsaan, Amerika Syarikat.

Dalam jadual tersebut menunjukkan bahan yang terdapat di dalam patung anak kerbau emas. Peratusan emas dan perak sangat tinggi. Tapi ada satu persamaan kedua-dua laporan tersebut. sembilan peratus tertulis “Unknown”.

Aku menunjukkan senarai tersebut kepada Doktor Haji. Dia hanya tersenyum dan mengangguk.

“Jangan-jangan batu meteor tak doktor..?” aku bersuara memecah kesunyian.

“Oohh.. bukan, kita ada daftar rekod hampir semua batu meteor di dalam dunia ni. Lagi pun kandungan mineral batu meteor ni tak jauh sangat beza antara setiap jenis, hampir sama. Peratusannya saja yang berbeza. Tapi yang ni lain macam sikit.”

“Kita dah buat scan terhadap patung ni. Dalam badannya padat. Tiada ruang. Jadi mustahil suara yang awak dengar tadi tu datang dari dalam patung.”

“Saya yakin, sembilan peratus tu lah bahan istimewa yang telah ‘menghidupkan’ anak patung ni. Awak kena ingat Kamal, baginda tidak hanya menjelma sekali. Bagi yang berilmu, tidak sukar untuk mengesan baginda. Mungkin kaedah yang sama digunakan untuk membina anak patung kerbau ni.” Doktor Haji seperti memberi aku petunjuk.

“Bahan yang bukan berasal dari alam kita.”

“Asari rasul… bekas jejak Jibril.”

TAMAT.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Rating Pembaca
[Total: 34 Average: 4.9]
Gagoh Muso

6 thoughts on “Khazanah Bah. 2”

  1. Assalamualaikum wbt..

    “Politik pah ceroh”.. itu dialek Terengganu.. Doktor Haji org Terengganu ke? Apa pun kisah ni nmpknya akn m’bawa kpd sejarah kedatangan awal British, tujuan asal mereka ke Tanah Melayu, itulah asbab ulama’ di Tanah Melayu m’jadi pahlawan kita lalu menentang British.. sy yakin ia akn bw kpd sejarah freemason, firaun & Mesir Purba krn cerita tuan dah melibatkan pihak sana, mungkin juga akn merungkai lg sejarah keturunan Keturah, wallahualam.. cerita yg menarik, besar kemungkinan ada hubungkaitnya dgn tujuan British yg ingin menakluki Tanah Melayu.. apa pun 2023 & seterusnya tahun yg m’cabar.. semoga dpt merungkai sejarah kita..

    Reply
  2. Sy sangat seronok membaca cerita yang panjang dan tolong sambung secepat mungkin sebab sy amat tertarik pada benda2 mistik sebegini dan sy sanggup belajar sekiranya diberi peluang…apa2 pun penulisan yg sangat baik💪🏻

    Reply
  3. jalan cerita menarik. ada kaitan sejarah. Tapi yg paling menarik part awal cerita dan hujung macam ada masuk bab Ilmuan Islam. Wujudkan sambungan ke 3

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.