Kisah Abang Zul 5

Hai nama aku Arif dan cerita ni hanya secebis dari pengalaman hidup aku, sebelum aku jadi pelupa, baik aku kongsikan….

Kisah kelima dari Abang Zul yang aku bawakan ni, merupakan kisah terakhir Abang Zul sepanjang beliau menjadi anggota Bomba dan Penyelamat. Ada lagi beberapa kisah, tapi pada aku dah terlalu ‘common’ untuk dicoretkan. Contohnya bertemu atau terserempak dengan Pontianak, ramai dah melalui kisah begini. Bacaan yang berulang, walaupun dalam dimensi dan waktu berlainan, akan menimbulkan rasa boring. So, lets start with the story!

Tanggal April 1997, satu insiden kebakaran telah berlaku menjelang Isyak, bersamaan pada hari ketiga Syawal. Laporan awal yang diterima mengatakan ada kejadian budak-budak bermain mercun didepan rumah, sebelum percikan api melarat ke rumah kosong yang pemiliknya jadikan stor dengan meletakkan kotak-kotak kosong didepan rumah.

Api membakar menjulang hingga ke bumbung. Semasa team Abang Zul sampai. Modus Operandi yang di’set’, bukanlah untuk memadamkan kebakaran rumah yang dah hampir hangus, tapi lebih kepada mencegah kebakaran dari merebak ke teres sebelah. Agak bernasib baik juga, kerana rumah yang terbakar hangus ni rumah bahagian tepi ‘terrace corner lot’, kalau rumah yang berada ditengah-tengah, potensi merebak lebih mengerunkan. Dan kehilangan harta benda pasti sukar ditafsirkan.

Dua jentera dengan kekuatan lapan anggota digerakkan untuk memadamkan kebakaran. Abang Zul sebagai seorang incharge, dengan pantas memberi taklimat pendek semasa dalam perjalanan, tugas dibahagi-bahagikan dan kertas kerja laporan mula dibuka semasa perjalanan.

Sesampai dilokasi, ramai penduduk setempat dan jiran sebelah menyebelah kepada rumah kosong yang dijadikan stor sedang berusaha memadamkan kebakaran. Bagus usaha sama dan kesepakatan penduduk disini, fikir Abang Zul.

Maka bermulalah tugas Abang Zul dan team untuk memadamkan kebakaran. 45 minit masa yang diambil keseluruhannya untuk api betul-betul berjaya dipadamkan. Kepulan asap mula memenuhi ruang rumah selepas kebakaran berjaya dipadamkan. Hanya tinggal dinding batu yang hitam, apa-apa perkakasan menggunakan kayu seperti bingkai cermin, hangus semuanya.

Tugas seterusnya adalah dengan masuk kedalam mencari kesan dan mungkin mencari jika ada haiwan terperangkap atau mungkin kejadian yang lebih buruk, ada manusia atau nyawa yang terperangkap semasa berlaku kebakaran yang perlu diselamatkan.

Abang Zul sendiri masuk dalam rumah yang masih berasap-asap. Melihat-lihat keadaan didalam rumah, bilik demi bilik. Keberanian yang dah diajar dengan teknik yang betul dan kepimpinan sebagai seorang ketua perlu digalas dengan hati yang cekal.

Bilik pertama CLEAR! Hanya ada lantai hangus dan kesan mozek rentung yang pecah kerana terlalu panas dengan bahang api.

Bilik kedua CLEAR! Juga sama seperti bilik pertama, tetapi terdapat beberapa karung plastik hangus, terdapat tin-tin minuman ringan berterabur dilantai yang di kumpulkan tuan rumah berujuan untuk ditimbang dan dijual.

Bilik ketiga juga CLEAR! Tiada apa yang tersisa disini. Semuanya selamat dijilat api.

Abang Zul bergerak ke ruang diantara bilik dan dapur, ‘dining hall’ utama dalam rumah tersebut. Aneh.. Ada sebiji meja kayu makan tanpa kerusi dan sebiji almari bercermin lama, jenis tempat meletakkan perhiasan pinggan mangkuk, masih tetap utuh dan tak terluak walaupun rumah dah hampir rebah!

Ada kesan terbakar, tapi cuma menghitamkan kayu. Kayu meja makan dan almari hiasan tidak dijamah api keseluruhannya. Mungkin dari kayu meranti, jenis yang baik, sukar dimusnahkan api.

Aku tanya Abang Zul, “Ada ke kayu jenis macam tu bang?”

“Ehhh… Adaaa… Pintu keselamatan di pejabat-pejabat banyak dah mengunakan kayu yang macam ni, pintu rintangan api namanya.. Dari jenis kayu yang berat, baik dan berkualiti.. Susah dimusnahkan api.. Sebaiknya jika berlaku kebakaran, kita tutup dan berlindung dari kemaraan api..”

Kata Abang Zul, dari arah dapur yang menanti didepan mata. Dia mula mendengar suara halus meminta tolong, lebih kepada bunyi berbisik.

Tolonggggggg…..

Tolonggggggggggg…..

Abang Zul pun tercangak-cangak mencari dari mana suara ni datang, habis semua ruang makan yang masih berasap nipis dia geledah. Atas bawah, kiri kanan, hampir semua tempat Abang Zul periksa.

Gagal menemui apa-apa tanda, Abang Zul mula bergerak ke dapur, bantuan cahaya hanya dari lampu suluh yang digunakan sahaja, ada bantuan cahaya bulan, tapi bulan malam ni tak terang, lampu jalan pulak jauh..

Didapur ada kabinet para-para lantai jenis batu yang dibina, pintu kabinet hangus, periuk belanga diatas dapur habis legam dijilat api.

Tolonggggggggg….

Tolongggggggggg….

Suara tu berbunyi lagi, haish.. Aku pulak yang meremang masa bercerita! Abang Zul suluh bawah kabinet, masih gagal menemui apa-apa, berpatah balik untuk keluar dan melalui ruang makan ditengah.

Meja makan dah beralih posisi!

Tadi masa ditinggalkan, meja ditengah dan almari ditepi! Sekarang meja ditepi dinding dan almari ditengah-tengah! Pintu almari dalam keadaan terbuka! Terbuka dan menghadap ke dapur, seolah-olah menanti Abang Zul menjengah ke dalam!

Ahhhhhh…. Sudahhh…..

Aku berhalusinasi ke tadi? Abang Zul dah mula berfikir-fikir. Perlu ke aku jenguk dalam almari ni?

Memikirkan mungkin bunyi kucing mengerang yang meminta tolong, atau mungkin gangguan bunyi dari luar, maka Abang Zul nekad untuk menjengah ke dalam almari.

Tiga rak yang paling atas, terdapat pinggan, mangkuk dan cawan hiasan. Masih utuh berwarna putih macam jenama pyrex. Tak terbakar atau pun musnah dengan api yang marak tadi.

Terdapat tiga laci berukuran sama panjang dengan almari. Laci pertama dibuka, ada beberapa kertas, mungkin dokumen disimpan tuan rumah, tapi tak dimusnahkan api.

Laci kedua berkunci. Dipecahkan menggunakan kapak bomba yang kecil. Juga ada kertas-kertas berselerak didalamnya, tiada apa-apa yang istimewa.

Laci ketiga juga berkunci, Abang Zul pecahkan menggunakan teknik yang sama. Ada sebuah kotak kayu berwarna merah berukuran sebesar tapak tangan, diantara kertas yang berselerak. Abang Zul ambil dan buka kotak.

Eh!

Aku tau benda ni!

Jenglot!

Satu mahluk seperti boneka yang hanya bertulang, sebesar tapak tangan dengan rambut panjang menutupi tubuh, dan taring putih panjang terjulur keluar dari sesuatu yang menyerupai seperti mulutnya!

Nyaris kotak terpelanting!

Abang Zul tutup kotak dan letak balik didalam laci! Cepat-cepat Abang Zul berlalu untuk keluar.

Tolong aku tuannnnnnnn…..

Tolonggggggg…..

Jangan tinggalkan akuuuuuuuuuu…..

“Kau ambil tak, kotak tu bang?” Aku tanya pada Abang Zul

“Kalau aku ambil, dia ikut aku balik.. Macam mana?” Ada betul juga ayat yang dikatakan Abang Zul ni.

Asyik dengan kotak didalam laci, periuk belanga yang hangus didapur ber kelentung kelentang. Sepontan Abang Zul menyuluh ke dapur. Nampak periuk bergolek-golek dilantai.

“Masa aku berpusing balik, kedudukan meja dan almari dah menghalang jalan utama keluar dari dining hall..” Abang Zul bercerita, sesekali tangannya diusap-usap dilengan, macam menghentikan meremang.

“Aku toleh semula, kotak yang dah diletakkan tu, masih dalam tangan aku.. Aku pun apa lagi, buang je lah ikut mana yang sempat.. Dan lari!” Naik runsing aku dengar cerita Abang Zul ni, makin dramatik.

“Habis macam mana kau keluar, bang?”

“Ikut pintu belakang! Pintu dah hangus, tinggal grill dengan mangga yang dah hitam rentung, aku tendang je sampai terbukak.. Kemudian aku keluar dari belakang..” Balas Abang Zul

Memikirkan gangguan Abang Zul habis disitu. Maka selepas tamat shift, Abang Zul pun pulang ke rumah. Kepulangan yang disambut oleh isteri Abang Zul dan anak yang paling kecil, dua lagi yang lebih dewasa dah lama tidur.

Semasa bersantap, Abang Zul mendengar celoteh sikecil yang dah petah bercakap.

“Bah tadikan… Masa adik main bacikal, ada orang bagi adik mainan tauuuu..”

“Siapa bagi adik mainan..” Abang Zul masih tenang melayan kepetahan sikecil sambil menyuap makanan.

“Orang lalu lalu depan umah.. Jap ehh… Adik amek mainannya..” Anak Abang Zul berlalu mengambil mainan.

Kembali semula membawa kotak berisi jenglot yang Abang Zul dah buang dirumah terbakar tadi didalam genggamannya. Hampir sahaja Abang Zul melompat.

“Adik dah bukak ke?” Abang Zul mula bertanya panik, seolah-olah masih terngiang-ngiang bisikan meminta tolong dirumah yang terbakar tadi..

“Belummmm…. Adik tunggu abah baliklaaa….” Anaknya yang polos masih tersenyum-senyum.

Tak boleh jadi! Malam tu jugak, Abang Zul keluar membawa kotak dan anak isterinya ke rumah Ustaz terdekat.

Kotak berisi jenglot yang tak sempat dibuka anak kecil Abang Zul, bertukar tangan menjadi milik ustaz, anak kecil Abang Zul menangis-nangis tak mengerti, hadiah miliknya diberi kepada orang lain.

“Aku dengar, ustaz tu hanyutkan kotak tu ke laut, malam tu juga.. Aku sendiri anak beranak diberikan air penawar untuk memulihkan semangat.. Alhamdulillah, semuanya selesai dengan baik..” Kata Abang Zul mengakhiri perbualan.

Kata Abang Zul, rumah tersebut dimiliki oleh saudagar dari Indonesia. Rumah yang dijadikan stor menyimpan barang-barang kitar semula, sebelum dibawa untuk ditimbang di kilang kitar semula. Dengar khabar, saudagar tersebut ada juga mencari jenglot yang dah hilang dari rumahnya yang terbakar, mungkin dia pelihara untuk meningkatkan jualan atau urusan lain. Tidak pula diketahui.

Begitulah cerita yang aku terima dari Abang Zul. Pengajaran yang aku kutip dari cerita ni, kita mungkin cukup dewasa untuk memahami supaya tidak mudah percaya dan mengambil sesuatu yang diberikan oleh orang yang tak dikenali. Tapi adakah mesej tersebut sampai kepada anak-anak kita?

Sebaiknya ibu bapa memantau anak-anak yang bermain mercun, kisah Abang Zul kali ni, rumah kosong. Bayangkan kalau rumah tu dihuni, penghuninya terperangkap dan m**i dalam kebakaran.. Susah nak menjawab nanti..

Dan yang terakhir, sebaik-baiknya jika mengalami insiden yang lebih kurang serupa seperti insiden Abang Zul, elakkan dari terus balik ke rumah. Abang Zul bernasib baik, kerana sudah lali dalam bidang ni, dan begitu banyak kenalan yang sudi membantu, maklumlah.. Orang yang berbakti dengan ikhlas ni, ramai peminat. hihi.

Sekian cerita aku kali ni.. Semoga terhibur.. Salam Aidil Adha

xoxo!

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Arif Yahya

1 thought on “Kisah Abang Zul 5”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.