“Awak tahu tak awak dah panggil benda-benda tu semua?” Ustaz Zaid menyoal garang.
“Ustaz dah cek ke aspuri? Memang ada?” Pengetua bersuara.
“Ada, banyak dekat dalam tu,” jawab Ustaz Zaid.
Gulp! Aku pandang Ustazah Zanariah, kalau betullah apa yang Ustaz Zaid kata, itu bermakna masalah besar untuk kami semua.
“Sekarang ni nak buat apa? Bagitahu saya, awak semua nak buat apa?” Ustaz Zaid menyoal lagi. Masing-masing hanya mampu menjatuhkan wajah, memandang ke lantai.
“Boleh dibuang tak benda-benda tu ustaz?” Ustazah Zanariah pula bertanya.
“Saya tak pasti, ustazah.”
Petang tu juga kami diminta untuk menulis surat pengkuan salah laku dan surat tersebut akan diberi kepada guru disiplin. Waktu tu, semua orang pandang aku macam aku ni musuh dia orang. Yalah, dia orang fikir aku yang kantoikan pada warden. Antara dia orang bertujuh, tak ada siapa pun yang tegur aku.
“Maira, saya kena bagitahu guru mentor awak pasal ni.”
Allah, matilah.
“Ustazah, tolong jangan bagitahu Ustaz Fakhrul. Tolong ustazah.”
“Kenapa? Takut? Awak tahu Ustaz Fakhrul macam mana kan?”
Ya, aku memnag tahu dah Ustaz Fakhrul yang merangkap guru mentor aku tu jenis yang bagaimana. Dia paling pantang jika ada salah laku yang berkaitan dengan akidah. Silap-silap, mahu kena tempeleng aku ni.
“Awak pilih, Ustaz Fakhrul atau parents awak. Apa awak buat ni bukan hal kecil tau.”
Sememangnya aku tak ada pilihan. “Ustazah, saya tak salah. Saya tak main pun benda tu. Saya cuma buka cerita pasal tu je. Saya ajak-ajak ayam, saya tak serius pun.”
“Awak yang mulakan walaupun awak tak main benda tu.”
“Ya, saya tahu saya salah. Tapi ustazah, tolong jangna bagitahu mak saya. Saya janji, saya terima apa je denda.”
Ustazah Zanariah diam. Berfikir mungkin. Aku berdoa je yang rayuan aku tu diterima asalkan mak aku tak dipanggil ke sekolah.
“Dah, pergi balik aspuri.”
Malam tu, kami diminta mengadakan bacaan Quran berjemaah dalam dorm masing-masing sebelum waktu tutup lampu. Menurut kata Ustaz Zaid, lindungi diri. Jangan ada yang buat perangai yang bukan-bukan. Kebersihan pun kena jaga. Kalau dah namanya aspuri tu, macam biasalah, masalah pembuangan tuala wanita. Ya, sampai sekarang aku tak berapa faham jenis yang malas sangat nak cuci tuala wanita masing-masing. Bukannya kau tolong cuci orang lain punya.
Adat dekat aspuri aku, kalau ada tuala wanita yang tak dicuci, pengawas akan ambil dan bakar. Kalau zaman senior aku dulu, dia orang perah limau atas tuala wanita tu kemudian bakar. Baunya, naudzubillah. Alah, orang perempuan tahulah bau d***h masing-masing, tambah pula kalau ianya dibuang pukul 8.00 pagi dan dijumpai dua belas jam kemudian dan dibakar pula. Haa, bayangkanlah. Loya!
Keesokkan harinya, selepas waktu pertama sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) berakhir, datang salah seorang dari tujuh pelajar yang terlibat ke kelas aku. Masa tu, aku dah kecut perut.
“Maira! Cikgu Nizam panggil.” Dengar je nama Cikgu Nizam, aku dah rasa tulang-tulang badan aku reput. Aku dah boleh bayang dah rotan panjang dia. Tapi, takut atau tak, aku kena pergi mengadap juga. Dah buat salahkan?
Melangkah je masuk bilik disiplin, tujuh pasang mata menjeling aku dengan pandangan sakit hati. Alah, macamlah dia orang tu buat benda betul. Geram pula aku masa tu.
“Hah! Ni dia mastermind. Masuk sini!!!” Suara Cikgu Nizam boleh aku ibaratkan macam halilintar membelah bumi. Nasib tak terkencing je aku masa tu. Rasa nak terkentut pun boleh hilang tiba-tiba. Agaknya kalau aku terlepas kentut dalam tak sedar, manalah aku tahu, aku dah takut sangat.
“Apa awak buat?”
Dalam bilik kaunseling tu, ada guru disiplin, Ustazah Zanariah, GPK HEM dan guru kaunseling. Aku terkebil-kebil sebelum bercerita dari mula. Cerita yang sama yang aku bagitahu Ustazah Zanariah dan warden.
“Apa nak jadi awak ni? Saya ingatkan saya boleh harapkan awak, tapi awak pun sama je.” Cikgu Nizam geleng kepala. Dia capai rotan panjang, lepas tu mula berjalan untuk memberi hukuman.
Tamat je sesi persekolahan pagi tu, aku terserempak dengan Cikgu Nizam.
“Maira, awak okay?”
“Okay cikgu.”
“Tengok tangan awak? Cikgu Hanis kata, tangan awak bengkak.”
Aku hulur tapak tangan aku.
“Saya terpaksa hukum awak sebab awak jadi penyumbang kepada hal ni.”
“Tak apa cikgu. Memang saya salah. Cikgu tak panggil mak saya dan tak bagitahu Ustaz Fakhrul pun saya dah bersyukur dah.”
“Siapa kata saya tak bagitahu Ustaz Fakhrul? Ustaz Fakhrul nak jumpa awak sebelum kelas petang nanti.”
Kaunseling. Lebar juga telinga aku kena kaunseling dengan Ustaz Fakhrul petang tu. Tengah-tengah sesi kaunseling tu, tiba-tiba terdengar satu jeritan dari tingkat satu aspuri. Pejabat guru memang bersebelahan dengan aspuri, jadi apa-apa kejadian dalam aspuri memang mudah untuk para guru dapat tahu.
“Ustaz, saya kena balik hostel. Macam ada orang menjerit je tu.” Setelah mendapat izin, berlari terkedek-kedek macam itik pulang petang aku balik ke aspuri.
Telahan aku betul, memang ada pelajar yang menjerit di tingkat satu. Pelajar junior yang tidak ke kelas petang akibat demam. Kejadian berlaku sebelum masuk waktu Asar. Dia menjerit meronta-ronta sambil menunjuk ke arah pintu utama bilik air dihujung dorm lima.
“Pergi tengok apa dekat bilik air tu!!!” Cikgu Hanis memberi arahan. Tapi disebabkan aku ni sememangnya kurang keberanian, jadinya aku tolak orang lain.
“Izati! Izati awak dengar tak ni? Izati!” Cikgu Hanis menggoncang bahu Izati kuat. Tapi keadaan dia sama je, menjerit sambil meronta sambil menunjuk ke arah pintu bilik air dengan mata yang terbeliak besar.
Tak lama lepas tu Ustaz Zaid tiba. Izati ditenangkan dengan cara ruqyah. Beberapa orang diminta untuk memegang Izati. Dua orang memegang bahagian bahu dan lengan di sebelah kanan, dua orang lagi di sebelah kiri. Seorang memegang bahagian lutut dan betis kanan, seorang lagi di sebelah kiri. Tak ada siapa yang dibenarkan berada di bahagian pergelangan kaki kerana menurut Ustaz Zaid, bahagian tersebut merupakan jalan keluar bagi jin yang menghuni badan. Sama ada keluar melalui kepala ataupun kaki, hanya dua bahahian tu yang sering ditawarkan Ustaz Zaid, aku tak tahu kalau perawat yang lain bagaimana.
Ustaz Zaid meletakkan telapak tangan di atas kepala Izati, tidak bersentuhan. Beberapa p****g ayat ruqyah dibaca sebelum mula berinteraksi.
“Aku takkan keluar! Aku suka di sini!!!” Mencerlung mata Izati, seperti sedang memarahi kami.
“Keluar kalau kau tak nak sakit.” Ustaz Zaid masih berdiplomasi.
“Aku takkan keluar!!!” Jerkah Izati. Urat-urat di lehernya timbul seperti orang yang sedang menahan marah.
Ustaz Zaid mengembangkan telapak tangan yang berlapik kain lalu dilekap rapat menyentuh kepala Izati. Dia mengulang beberapa p****g bacaan ruqyah lalu telapak tangan dihentak sedikit tepat ke atas kepala Izati. Aku yang melihat situasi tu spontan tersentak dengan kepala tertekan ke leher macam kura-kura masuk dalam cengkerang. Dalam hati aku masa tu, mesti bergegar otak Izati kena hentak macam tu.
Izati tiba-tiba meronta kuat. Kaki dan tangannya bersilang di udara menepis kami yang memegangnya. Hampir-hampir saja ada yang tergolek dek tepisan serta rontaan Izati. Ustaz Zaid masih memegang kepala Izati sambil mulutnya masih belum berhenti membaca ayat ruqyah serta ayat suci Al Quran.
Hee~ Hee~ Hee~
Izati tiba-tiba mengilai kuat. Kemudiannya dia ketawa lepas, ketawa yang bukan mengilai. Aku tak pasti, dia sengaja ketawa atau dia sedang mengejek kami. Sebab masa dia ketawa tu, dia pandang kami seorang demi seorang. Ustaz Zaid semakin menguatkan suaranya, bertingkah dengan suara Izati. Beberapa minit kemudian, rontaan Izati mulai reda. Dia tiba-tiba menundukkan kepala. Menundukkan kepala yang aku maksudkan ni, kepala dia tunduk sampai nak mencecah ke dada.
Huu~ Huu~ Huu~
Tiba-tiba saja dia menangis. Menangis teresak-esak. Disebabkan itu bukanlah pengalaman pertama kami berdepan dengan pelajar histeria, jadi kami memang dah maklum dengan muslihat makhluk yang menghuni tubuh manusia. Ada waktunya ketawa, ada masanya marah, ada ketikanya menangis. Semua tu merupakan helah mereka.
“Ambil lada hitam, tekan pada ibu jari kaki dia. Cepat!” Ustaz Zaid memberi arahan. Aku terkocoh-kocoh mencapai bekas yang dibawa Ustaz Zaid, beberapa biji lada hitan aku ambil dan aku tekan pada ibu jari kaki Izati. Serentak dengan tu juga dia meraung.
“Sakit!!!”
“Sakit!!!”
Raungannya bersulam tangis dan marah. Pada telahan aku masa tu, mungkin dia marah tapi dalam masa yang sama dia rasa sakit. Sebab tu keadaannya teruk. Menangis, menderam, meronta, menjerit.
“Kalau kau sakit, kau keluar!” Ustaz Zaid bersuara tegas. Pegangan pada kepala Izati semakin dikuatkan hingga menyebabkan kepala Izati seolah-olah tidak boleh bergerak, hanya tubuh badannya saja yang berfungsi.
“Arghhh!!!”
“Aku keluar.” Akhirnya makhluk tersebut mengalah. Mungkin dia sudah tidak mampu untuk terus bertahan dan melawan. Mungkin juga dia sudah cedera parah.
“Baik. Ikut mana? Kepala atau kaki?”
“Kaki. Arghh!” Itu pilihannya.
“Dah, awak tepi Maira. Dia nak keluar.” Sekali lagi aku terkocoh-kocoh mengesot ke tepi, memberi laluan pada makhluk tersebut. Dahlah masuk tak diundang, bila nak keluar, demand bukan main. Dasar hantu!
Badan Izati waktu tu tiba-tiba mengeras dan lepas tu terus lembik dan rebah. Ustaz Zaid terus lepaskan kepala Izati dan membiarkan kami menguruskan dia. Izati diberi air zam-zam untuk minum bagi memulihkan semangat. Dia kemudiannya ditempatkan di bilik rawatan sementara pelajar lain meneruskan rutin asrama seperti biasa.
Keadaan malam tu tidak menyebelahi kami apabila ada pelajar lain juga diserang histeria. Keadaan jadi huru hara semula. Mujur Ustaz Zaid dapat mengawal keadaan. Malam tu, kami diarahkan untuk tidak tidur di tingkat satu. Sekali lagi para penghuni aspuri terpaksa tidur berhimpit-himpit di dorm bawah.
“Cikgu, kesian budak-budak ni tak cukup bantal.” Sakinah bersuara. Cikgu Hanis yang meninjau keadaan para pelajar mengangguk.
“Pergilah naik atas sekejap, ambil seberapa yang awak boleh.” Cikgu Hanis memberi arahan. Aku dan Puteri serentak menggeleng. Kami dah serik.
“Takpelah, biar Naz pergi ambil.” Nazira mencelah.
“Naz! Aku ikut.” Hidayu pula menawar diri.
“Akak ikutlah.” Sakinah juga sama. Aku dan Puteri hanya menunggu di bawah.
Setibanya di tingkat atas, Nazira mengepalai mereka bertiga. Berjalan dari dorm ke dorm mengutip bantal-bantal untuk dibawa turun. Mujur juga setiap bantal sudah ditanda dengan nama masing-masing. Jadi tak ada istilah tertukar.
Selepas pengagihan bantal selesai, kami bertiga juga Hidayu dan Nazira menumpang sebuah lagi bilik warden yang kosong. Jam dah menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi tapi masing-masing di antara kami masih belum dapat melelapkan mata.
Krekkkk. Gedegang!
“Dengar tak?” Hidayu tiba-tiba menyoal.
“Syhh, diamlah Ayu. Kau ni, nanti Cikgu Hanis dengar kita tak tidur lagi.” Nazira berbisik rendah. Cukup untuk kami berlima dengar.
Krekkk. Gedegang!
Kami berpandangan sesama sendiri. Bunyi tersebut sememangnya datang dari tingkat satu. Bunyi katil ditarik dan pintu almari dihempas. Bunyi yang berulang hampir lima kali.
“Tak ada orang kan dekat atas?” Puteri menyoal.
“Ni kau la tadi Naz, kau tarik katil kan dekat atas.” Hidayu bersuara lagi.
“Tu tadi. Sekarang ni, siapa yang buat?” Nazira menyoal kembali.
“Mana aku tahu.”
Aku, Puteri dan Sakinah hanya menjadi penonton pada perbalahan Hidayu dan Nazira.
“Jom naik atas. Kita tengok.” Nazira bangun dari duduknya.
“Eii, budak ni gila agaknya. Naz, cuba kau mengucap.” Hidayu menarik lengan Nazira agar duduk kembali. Tanpa dipaksa Nazira melafazkan syahadah.
“Baca Fatihah, Naz.” Aku pula menyuruhnya. Masih belum yakin dengan Nazira.
Bacaan Alfatihah dihabiskan dengan lancar.
“Baca ayat Qursi.” Puteri pula menyuruh. Kami menanti hingga bacaan tersebut selesai.
“Dah, jom kita tidur.” Hidayu terus merebahkan diri.
Grrr…Gedegang!
Bunyi pagar besi yang memisahkan antara tingkat bawah dan tingkat satu kedengaran seperti digoncang kuat. Aku terus menarik bantal menutup muka. Malam tu, kami berlima tidur berpelukan hingga ke subuh.
Keesokkan harinya, kami menceritakan apa yang kami alami. Rupanya bukan kami sahaja, Cikgu Hanis dan Ibu Seri juga turut mendengar bunyi-bunyi tersebut.
“Benda tu mengamuk saya rasa.” Cikgu Hanis meluah rasa.
“Saya pun rasa macam tu.” Aku meyokong.
“Lain kali panggil lagi benda-benda tu. Puteri, Hidayu, awak kan yang main benda bukan-bukan dekat tingkat atas.” Ibu Seri menyoal. Puteri dan Hidayu menunduk, aku pun sama.
“Cikgu, malam nanti macam mana?” Sakinah pula menyoal.
“Macam mana apa? Tidurlah dekat bawah selagi Ustaz Zaid tak bersihkan dekat atas tu.”
Kami hanya dibenarkan naik ke tingkat atas pada waktu siang sahaja. Malah, bilik air di tingkat atas tidak dibenarkan sesiapa pun masuk. Semua pelajar harus menggunakan bilik air di tingkat bawah.
Dan menurut cerita Cikgu Hanis, kawasan tingkat atas sudah pun dipagar, sementara menunggu Ustaz Zaid membersihkan keseluruhan tingkat satu tu. Jadi, apa yang kami dengar malam tu memang betul terjadi, sebab bila lepas waktu subuh, waktu para pelajar balik ke dorm masing-masing, keadaan dorm berselerak. Katil-katil yang bersusun menjadi senget-benget seperti ditarik tolak. Pintu-pintu almari juga banyak yang terbuka.
Dan petang tu juga, Syahira kembali semula ke aspuri setelah balik bercuti. Keadaannya sewaktu tiba di aspuri agak ceria. Dia banyak ketawa dan bergurau sesama rakan sekelas. Hinggalah tiba masuk waktu maghrib. Dia tiba-tiba berubah, ketawa sendiri dan seterusnya mengilai kuat. Kali ni berserta tarian. Dia menari di belakang serambi. Menari dengan gerakan tarian ulik mayang. Tersenyum dan bergurindam.
Tak ada siapa yang berani dekat, aku yang penakut ni lagilah. Tak usahkan dekat, nak bersuara pun rasa tak mampu dah. Mujur Cikgu Hanis cepat bertindak. Ustaz Zaid sekali lagi dipanggil. Para pelajar yang lain dikerah untuk meneruskan bacaan AlQuran. Para pelajar yang datang bulan juga diarahkan untuk berada di dalam serambi bersama-sama dengan pelajar lain.
Kali ni Ustaz Zaid dibantu oleh seorang pelajar lelaki. Pelajar yang dikatakan mempunyai hijab terbuka. Menurut kata pelajar tersebut, terlalu banyak yang berada di dalam aspuri. Tapi yang berniat menganggu cuma satu. Yang lain hanya mahu menumpang. Aku masa tu spontan menoleh ke arah koridor tingkat satu. Terasa macam sedang diperhatikan dari atas.
Ustaz Zaid seperti baisa, menjalankan upacara ruqyah. Syahira merangkak dan kemudian menangis.
“Kak Maira, tolong kita…”rayunya.
“Maira, awak jangan dekat,” ujar Ustaz Zaid.
Aku mengangguk. Kalau tak dihalang pun, belum tentu aku nak dekat. Menempa nahas namanya tu.
“Jangan sesiapa pandang mata dia.” Sekali lagi Ustaz Zaid bersuara. Kami akur. Waktu tu, aku pernah dengar, kata orang, melalui mata benda tu boleh berpindah.
“Siapa kau!”
“Aku kawan dia.”
“Dari mana asal kau!”
“Kampung.”
Apa yang kami dengar tu adalah apa yang pernah Syahira ceritakan pada aku. Dan setiap cerita Syahira ada tertulis dalam diarinya. Dia pernah bagi aku untuk baca diari dia, tapi aku tak nak. Sebab aku dah tahu, kebanyakkan isi diari tu berkisarkan cerita tentang Ayu. Setelah dirawat, Ayu akhirnya keluar meninggalkan tubuh Syahira. Dan atas nasihat Ustaz Zaid juga, Syahira sekali lagi dihantar pulang ke rumah keluarganya dengan alasan dia harus berubat.
Dan selepas kejadian malam tu, kami semua dibenarkan pulang ke rumah masing-masing awal sehari. Selalunya waktu pulang jatuh pada hari Jumaat, selepas solat Jumaat. Tapi disebabkan perihal histeria dan aspuri perlu dibersihkan, maka pengetua dengan baik hatinya memberi pelepasan awal.
Selepas tamat cuti sekolah, kami pulang ke aspuri seperti biasa. Walaupun rasa takut serta berat hati tu masih sarat tapi suka ataupun tidak, kami tetap kena pulang juga ke aspuri. Rutin pembelajaran harus diteruskan. Dan mujur, tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku selepas tu sehinggalah pada minggu peperiksaan SPM dijalankan.
Disebabkan pelajar perempuan yang menduduki SPM cuma tiga orang sahaja, iaitu aku, Sakinah dan Puteri. Maka dengan rasminya hanya kami bertiga, bersama penyelia aspuri dan mak cik kantin sahaja yang tinggal di situ. Jangan katakan malam, siang hari pun kami tak berenggang. Ke mana-mana bertiga, hingga ke bilik air pun sama.
Selama hampir dua minggu tinggal di aspuri sewaktu peperiksaan tu, sekali je kami diganggu. Bermula dari pukul 1.00 pagi hingga menjelang waktu subuh.
Awalnya, kami terdengar bunyi pagar tingkat satu digegar. Dek kerana takut, kami pasang radio IKIM, selepas pukul 12.00 malam kan siaran tersebut cuma menghidangkan alunan bacaan Al-Quran.
Dan sebelum masuk waktu subuh, kami bertiga bersama Ibu Seri bangun dan menujuk ke bilik air. Dalam perjalanan tu, tiba-tiba tingkap di dorm lapan bergegar. Lintang pukang kami berlari semula masuk ke dalam bilik warden. Hanya Ibu Seri sahaja yang kelihatan tenang.
Selepas tamat peperiksaan maka tamatlah juga kisah kami di aspuri.
TAMAT
Berapa pelajar yang ambil SPM semuanya? Memang sekolahnya tak ramai ke?
memang tak ramai. satu kelas je yg ambil SPM.
Gitu… Best!
Seram hamat. Camane la gamaknya keadaan syahira skg ni kn ..
Kesian kau dik dpt sekolah camtu.. Nk belajar pun tk senang. Shahira tu cmner skg?
Boleh laa
ok cikgu hanis memang tak bertanggungjawab bagi aku sebab dia boleh kot ikot bdk2 ni amik bantal. ni tak dia suruh student yg amik bantal. dai lebih rela student dia kena serang dulu dpd dia sendiri. selfish. kau dengan puteri pon sama. pengecut. kau tu ketua tapi macam bukan ketua. aduhaiii. sakit hati baca.
Tiap kali part seram aku stop baca kejap pandang sekeliling..haha takut mehh
uwahhh…. Akak baca dari 1st eps kut… Best ahhh.. Lagi best kalau ko boleh selidik lagi cerita pasal junior ko tuhh dik… Cer try tanya si naz dngn si hidayu tu….