KISAH DI SEREMBAN 2

Assalamualaikum,

Lama saya tidak menyumbang kisah di sini. Saya sibuk dengan novel saya yang insya Allah akan terbit tidak lama lagi. Sebagai penghargaan kepada page Fiksyen Shasha yang memperkenalkan saya kepada khalayak, saya kongsi kisah ini yang agak sudah lama terjadi.

Kisah ini sudah begitu lama berlaku. Ia terjadi ketika Lot masih lagi bersama seganding denganku, bekerja di syarikat kecilku. Waktu itu, salah satu dari kawasan lot-lot perniagaan di Seremban 2 baharu saja diduki oleh pembeli dan penyewa. Kebanyakannya bangunan berderet dua tingkat itu masih kosong waktu itu. Orang yang lama di situ, pasti tahu tempatnya.

Kawanku, seorang India yang berasal dari Seremban telah membeli lot kedai di situ dan menjadikan tingkat atas pejabatnya. Perniagaannya sama dengan apa yang kami lakukan, iaitu syarikat perundingan dan latihan. Semasa Lot belum lagi menyertai pasukan kami, rakan aku inilah, Ramesh namanya yang menjadi tangan kiriku. Dengannya, beberapa projek yang kami dapat dan agak menguntungkan kami.

Ramesh yang nyata bangga menjemput kami ke pejabatnya barunya. Aku bersama dengan Lot dan Shah, salah seorang kakitanganku bercadang pergi ke pejabat Ramesh. Waktu itu, pembangunan masih rancak dijalankan. Sekarang, Seremban 2 gah dan masyhur.

Lot yang dibeli Ramesh agak ke belakang. Katanya, tempat letak kenderaan banyak di situ. Menyenangkan pelanggannya yang datang berkunjung. Kerana ia agak di hujung, waktu itu, sederet bangunan itu hanya dua atau tiga syarikat yang membuka perniagaan mereka. Tangga naiknya nampak lebih kurang sama. Kerana salah naik tanggalah, kejadian ada hubung kaitnya.

Semasa kami sampai, Ramesh sedang lapang. Namun, dia ada beritahu yang dia akan menerima kunjungan dari salah seorang pelanggan tetapnya dan meminta maaf kerana pelanggan itu baru menghubunginya. Kami yang sampai selepas jam dua belas tengah hari, masing-masing kelaparan. Rameshlah yang menunjukkan jalan ke sebuah kedai mamak, dan pulang ke pejabatnya seorang diri.

Selesai makan, kami menunggu di kedai mamak itu kerana maklum, perbincangan tentang sesuatu kegiatan perundingan bukanlah sekejap. Mujur kedai mamak itu ada surau kecil dan kami menumpang solat di situ. Bila kami bertiga balik ke deret bangunan di lot yang dibeli Ramesh, kereta pelanggannya masih ada. Kami tidak terus naik dan menyangka Ramesh masih lagi berbincang dengan pelanggannya. Lot bercadang hendak melihat kawasan di situ. Bagi aku, tiada apa yang hendak dilihat kerana rekabentuk bangunannya semuanya sama.

Kami pun berjalan tanpa arah, dari satu deretan bangunan ke satu deretan bangunan.
“Kita ni dah macam orang tak dak tujuan dah bang” kataku kepada Lot. Shah hanya ketawa kecil dan mengiyakan apa yang aku kata.

“Nanti lah sat. Lama dah tak tengok “depa” (mereka)” kata Lot acuh tak acuh sambil berjalan. Matanya meliar seperti sedang menyaksikan perlawan bola sepak.

“Depa tu siapa, bang?’ tanya Shah yang belum lagi menangkap maksud kata-kata Lot.

“Alah… yang pakai baju putih, mata merah, rambut panjang, kuku sedepa tu” kata Lot yang membuat aksi hantu.

“Hishh abang ni. Takkanlah ada hantu siang-siang ni. Hantu keluar malam je bang” kata Shah yang agak naif.

Shah orangnya tidak begitu percayakan hantu. Namun, dia bukan menolak kehadiran makhluk halus. Cuma katanya, seumur hidup, dia belum pernah bertemu dengan hantu atau polong.

“Ada tu. Tu kat belakang tu. Cari apa tak tau!” kata Lot sambil jarinya menunding ke arah belakang bangunan yang masih kosong.

“Cari awek” kata Shah berseloroh. Belum bertemu buku dengan ruas kata pepatah lama. Hari itu, nasib Shah malang. Berhati-hati dengan apa yang keluar dari mulut, kata orang.

Shah nampak terganggu. Mungkin kerana merasa apa yang sedang kami buat adalah sia-sia, dia berkata yang dia akan kami menunggu di depan pejabat Ramesh. Dia juga mahu menghubungi buah hatinya melalui telefon bimbit NEC Primero barunya itu.

Shah berpatah balik tanpa memberitahu aku dan Lot yang telah berada di deretan kedai seterusnya. Aku dan Lot berbual, sudah tentu perbualan kami berkisar tentang kampung di Pulau Pinang, di Kedah dan di Jerantut. Dan tentang sosok yang sangat kami rindui. Yunus yang sudah jauh di mata. Tahu-tahu sahaja, hanya kami berdua berjalan di deretan lot-lot kedai yang masih belum berpenghuni itu.

“Hish jantan ni (kami orang kampung akan memanggil orang lelaki “jantan”. Satu lagi contoh – budak India, kami panggil anak Hindu). Hilang dah. Jom ku, kita patah balik. Cepat sikit” kata Lot yang sedikit berubah air mukanya.

Aku tergamam. Kenapa pula dengan Shah? Kenapa Lot tiba-tiba mengajak aku berpatah balik? Tadi bukan main Lot berkata yang dia mahu “tawaf” di kawasan itu.

“Pasai apa bang?” tanyaku resah sambil pantas berjalan. Aku benar ingin tahu kenapa Lot nampak sedikit cemas.

“Tadi masa abang cakap tu, Shah menyampuk. Dia cakap cari awek. Bukan cari awek. Dia nak cari tempat bergantung. Nak cari tuan” kata Lot sambil melajukan langkahnya.

Aku lagilah tidak faham. Tempat bergantung? Siapa yang cari tempat bergantung? Apa kena mengena dengan Shah? Berputar-putar, soalan yang bertemu soalan di benakku. Aku cuba mencantumkan warasku yang rasanya sudah terkoyak waktu itu dek kerana terlalu banyak soalan yang bermain di kepala.

“Makhluk tu cari Shah ke bang?” tanyaku.

“Susah nak habaq. Jomlah cepat. Dia dah dapat Shah” kata Lot, kali ini berlari-lari anak.

Derapan kaki kami berlari terasa bingit di kawasan yang kosong itu. Entah kenapa, mungkin kerana sedikit cemas, Lot terus ke kanan dan memanjat tangga ke atas. Seingat aku, pintu hendak ke pejabat Ramesh di depan, lagi sepintu. Bukan tangga ini.

Jika Tuhan hendak kita melihat, apapun jadi, kita akan dilihatkan, walaupun kita dalam keadaan salah atau betul. Aku tahu, Lot menyangka pintu yang kami masuki itu ialah pintu ke pejabat Ramesh.

Sampai sahaja di muka pintu, telingaku sudah mula berdesing. Benar, pintu itu bukan pintu ke pejabat Ramesh. Pintunya terbuka, jadi kami terus masuk. Keadaan gelap gelita. Lot hanya berlari setapak dan kemudian berhenti. Aku terlanggar Lot dari belakang. Lot mengadang tangannya, menyentuh kedua dinding ruang tangga itu.

Di atas tangga itu, tercongok satu sosok yang sedang duduk bertinggung. Sekali imbas, pakaiannya mirip pekerja buruh Indonesia yang menjadi kuli bangunan. Topi jerami petani yang besar, baju kemeja lusuh dan seluar yang berpalit simen. Sarung tangan melekat di tangannya. Kasut but kuning juga, jelas aku nampak di kakinya. Dan, kakinya sekali imbas aku nampak seolah melekat di atas simen tangga.

“Eh minta maaf. Salah pintu. Jangan marah no….” kata Lot. Bergaung bunyi suara Lot di ruang sempit itu. Cahaya datang dari pintu yang terbuka, tetapi samar sahaja kerana di atas, tiada lubang atau pun tingkap.

“Apa? Baik, terima kasih noh” kata Lot dan segera hendak berpaling ke belakang. Aku jika dengan Lot, rasa takut atau gerunnya kurang jika dibandingkan dengan bersama Yunus.

Sosok yang bertinggung itu nampak bergerak sedikit ke kiri. Aku ini degilnya , aku sendiri pun tidak tahu hendak cakap apa. Degil yang tidak bertempat. Keluar sahaja kami dari pintu, aku sempat memandang ke atas. Apa yang aku nampak hanya dua mata merah menyala memandangku. Kecut perut dibuatnya. Itulah, siapa suruh langar pesan Yunus?

Lot berlari pantas dan aku mengikut rapat dari belakang. Kami pergi ke deretan kedai di mana Lot ada menegur sosok yang dia nampak tadi. Hanya Lot sahaja yang nampak, aku dan Shah tidak nampak apa-apa. Lot berlari masuk ke lorong antara dua deretan bangunan. Semuanya kosong. Lorong belakang itu berturap dan tarnya masih hitam dan berbau kuat.

Sampai di tengah bangunan, Lot berhenti dan mendongak ke atas. Lot nampak seperti berkira-kira.
“Ku, tulong kira tingkap kecik tu. Peninglah, pasai semua seragam (sama) saja” kat Lot dengan jarinya seperti mencucuk-cucuk udara mengira tingkap kecil, yang aku kira tingkap tandas. Ada ruang kecil untuk alat pendingin hawa akan diletakkan oleh pemiliknya nanti. Semuanya sama, cat bangunan pun serata warnanya. Manalah Lot tidak pening.

Aku mengira seperti disuruh. Kerana sederet bangunan hanya ada enam unit, mudah kerjaku. Bangunan yang dimaksudkan Lot ialah bangunan ke tiga dari hujung dan lotnya nombor empat. Kami berlari keluar dari Lorong belakang banguan itu kerana tong-tong keluli menghalang laluan terus. Setiap lorong, kalau tidak ada tong, ada sahaja perkakas pembinaan yang diletakkan yang akan diangkut kemudian.

Kami berlari keluar dan membelok ke kanan. Satu, dua tiga. Lot hanya berlari semberono sehingga aku menarik bajunya.

“Sini bang!’ kataku sambil tanganku menunding ke arah pintu yang tertutup.

Lot berhenti dan mencuba membuka daun pintu kayu, pintu rintangan api mungkin. Pintunya berkunci. Namun, Lot tidak cemas. Entah apa yang dibacakan Lot, dengan sekali tendang, daun pintu itu terkuak sedikit. Tidak berlengah, Lot membuka pintu itu dan berlari ke atas tangga.
Derapan kaki Lot yang memanjat tangga itu bergaung dan bergema. Aku tidak jauh di belakang Lot.
Suram dan gelap apabila kami semakin naik ke atas. Mujurlah daun pintu itu jenis berat dan tidak mudah tertutup jika ditolak angin. Sampai sahaja di atas, di dalam gelap itu, kami berjumpa dengan sebuah lagi pintu. Keadaannya sama. Ia berkunci. Seperti tadi, Lot membaca sesuatu dan menendang daun pintu itu. Namun, daun pintu itu tidak terkuak. Lot mencuba lagi, tetapi hasilnya tetap sama.

“Aamboi hang pa… main kasaq noh!” kata Lot seperti sedang menegur daun pintu yang nampak samar-samar dalam gelap.

“Bukak la… kami minta elok-elok. Hang pa ketegaq (degil), hang pa pun tau apa kami buat sat lagi” kata Lot yang tidak habis-habis dengan peragainya.

Lot cuba memulas tombol pintu itu. Namun ia masih terkunci.

“Buka sayang… abang dah balik ni..” kata Lot.

Hampir tergelak aku dengan telatah Lot. Dalam keadaan getir pun, dia masih boleh berseloroh.

“Kalau sayang tak bukak juga, abang minta cerai!” kata Lot sambil menepuk-nepuk daun pintu itu dengan kedua tapak tangannya.

Di dalam gelap samar itu, anak mataku terasa mengembang.

“Depa tak mau buka, Ku. Ramai dok tunggu depan pintu. Kepala dia ada dalam jamban” kata Lot. Kata-kata itu sahaja sudah membuatkan aku kecut perut.

“Tak pa, kami usaha cara lain. Ku belakang sikit” perintah Lot. Ku berundur dengan berhati-hati kerana gelap.

Belum sempat aku mengukuhkan diriku, terdengar seperti kunci pintu itu dibuka. Bunyinya bergaung. Seperti kita membuka pintu di saat marah.

Lot membuka pintu itu. Keadaan terang kerana tingkapnya dari kaca. Lot bangunan itu kosong dengan dua tiang di tengah-tengah. Di hujung, ada dinding dan ruang antara bilik. Tandasnya sudah tentu di tepi.

Lot berlari ke arah hujung, sebelah kiri. Bila sampai, pintu tandas itu terbuka sedikit. Shah terjelepuk di atas lantai. Telefon bimbitnya di atas mangkuk tandas yang tertutup. Kaca matanya terlungkup di atas singki. Tingkap kaca kecil dan pintu yang terbuka menerangkan keadaan di dalam tandas itu. Ada bau yang busuk di situ, seperti bau bangkai siput b**i (tersangat busuk) terbau di hidung. Lot bertinggung dan menepuk-nepuk pipi Shah. Namun, Shah seperti pengsan. Wajah Shah pucat dan matanya tertutup rapat.

“Ku, kita angkat dia keluaq” kata Lot dan mula memangku kepala Shah.

Keadaan berdebu tidak kami endahkan. Shah mesti diselamatkan dulu. Dengan susah payah kami mengangkat Shah yang boleh tahan juga badannya itu. Kami segera mengangkat dan memindahkan Shah ke arah tingkap yang besar dan benderang. Shah kaku. Sukar hendak dihurai keadaannya waktu itu. Kaku dan kejang.

Setelah Shah dibaringkan, Lot mengeluarkan sapu tangan dari poket bajunya.

“Ku, jangan takut na. Kalau tak mau tengok, pejam mata atau perati (tengok”) tempat lain” ujar Lot. Kata-kata Lot itu sudah cukup menyeramkan aku. Tapi, aku tersangat ingin melihat apa yang akan Lot lakukan.

Lot duduk bersila di tepi Shah yang terbaring. Lot duduk dengan tangannya diqiam. Kemudian, Lot menadah tangan berdoa. Selepas itu, Lot menutup muka Shah dengan sapu tangannya. Dengan mulut terkmat kamit, Lot menarik hujung saputangan yang beada di dagu Shah. Saputangan putih jenis “Key” itu cukup besar untuk menutup seluruh wajah Shah (aku masih menyimpan sapu tangan itu).

Terlorot sedikit sapu tangan itu, alangkah takutnya aku apabila aku nampak tanduk terjulur dari kepala Shah. Tanduknya seperti tanduk kerbau berwarna hitam legam. Tidak sanggup aku melihat. Aku berasa seperti sudah m**i, semangat sudah terbang dari diriku. Dalam takut, aku masih berdegil hendak melihat. Degil yang memakan diri.

Lot melorot lagi sapu tangan itu dengan perlahan. Kali ini ternampak dahi Shah. Dahinya berkerut seperti orang tua yang seribu tahun umurnya. Tidak sanggup hendak melihat, aku mengalihkan pandangan ke arah luar. Mujurlah Lot yang berada denganku, rasa takut itu kurang.

“Agak dah. Jembalang” kata Lot. Aku terkaku dan tergamam walaupun tidak melihat keseluruhan wajah Shah yang sapu tangannya aku dengar dikibas-kibas Lot. Kemudian, Lot meletakkan semula sapu tangan itu ke atas muka Shah. Doa yang panjang dibaca. Entah apa yang Lot lakukan, aku tidak sanggup hendak melihat.

Setelah beberapa ketika, aku dengan Lot berkata “Alhamdulillah”. Barulah aku berani memandang Shah. Shah masih terpejam matanya, tetapi riak kejang di badannya nampak sudah tiada. Lot menadah tangan sekali lagi, membaca doa dan menghembuskannya ke wajah Shah. Kemudian, terdengarlah Shah bersin dengan kuat. Aku terkejut kerana bersinnya terlalu kuat dan bergema di seluruh ruang kosong itu.

Shah membuka mata dan terpinga-pinga. Dia cuba bangun tetapi mengerutkan mukanya.
‘Sendi-sendi saya semuanya sakit bang. Aduhh” rintih Shah.

“Sat lagi hilanglah sakitnya tu” kata Lot sambil menepuk bahu Shah yang masih terpinga-pinga.
“Macam mana kitab oleh ada di sini bang?” kata Shah yang masih berkerut wajahnya menyapu habuk yang banyak melekat di badannya.

“Balik nanti kami cerita” kata Lot pendek. “Hang buleh jalan dak?” tanya Lot kepada Shah.
Shah mengangguk dan cuba bangun. Walaupun nampak seksa, Shah gagahkan juga bangun. Shah tidak tetap dirinya, seperti orang mabuk dan kami terpaksa memapahnya turun.
Sampai di bawah, aku disuruh memapah Shah ke depan.

“Pi dulu, sat lagi kami sampai” kata Lot memandangku dengan penuh makna. Aku maklum isyarat itu dan perlahan-lahan memapah Shah ke arah pejabat Ramesh.

Bila kami sampai di pintu pejabat Ramesh, kami nampak dia mengiringi pelanggannya ke kereta. Bila pelanggannya balik, dia meluru ke arah kami dengan wajah yang risau.

“Apa sudah jadi. You jatuh ke?” tanya Ramesh, risau.

“Tak adalah, Ram. Kami ada kecemasan sedikit. Kena minta diri dulu” kataku kepada Ramesh.

Kami berjalan ke arah kereta. Lot menyuruh aku duduk di tempat duduk belakang. Dia dan Shah di depan.

Kami pun bergerak meninggalkan Seremban 2. Di lebuhraya, Shah hanya diam berteleku. Dia tidak memahami bagaimana dia boleh berada di dalam ruang yang berkunci dan segala sendi-sendinya sakit-sakit.

“Nak cerita dak kat dia?” tanya Lot padaku.

“Elok lah bang, pasai dia yang kena” kataku sambil menepuk bahu Shah yang masih kebingungan.

“Apa yang ingat, Shah” tanya Lot.

“Saya nampak abang melambai memanggil saya. Saya pun pergilah. Lepas tu, saya dah inga tapa-apa” kata Shah yang membelek tapak tangannya.

“Yang usik kat tadi tu jembalang. Lama dah dia duduk situ. Tak ada tuan” kata Lot ringkas.

“Uih takutnya. Tak maulah” kata Shah.

“Habih bang, yang kita nampak ataih tangga tu apa?” tanya mulut celoparku.

“Tak taulah abang. Tapi mungkin dia pun jadi mangsa menatang tu la. Bukan tak tau, depa masuk sini, dada bukan kosong. Silap bawak la kot. Kawan kita ni kan dia tak berapa percaya. Depa tu lagi suka kalau orang yang tak percaya. Nak gelincirkan iman” kata Lot.

“Hang pi la jumpa ustaz mana ka, Shah. Kami sampai situ saja. Tak mau bergaduh teruk-teruk dengan depa. Bukan takut, tapi buang masalah” kata Lot yang menamatkan perbualan tentang perihal kejadian tadi.

Selepas itu, kami seperti melupakan apa yang telah berlaku. Perihal kerjalah yang kami bualkan di dalam kereta sehingga kami selamat sampai ke Kuala Lumpur..

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 102 Average: 4.4]

One comment

  1. Kisah oleh Pak Engku sentiasa menarik untuk dibaca..teruskan berkarya kerana kami sangat meminati olahan cerita Pak Engku…ada pengajaran dan ilmu berguna secara tidak langsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.