Kisah Histeria Yang Histeris

Salam sejahtera semuanya. Terima kasih untuk komen-komen membangun daripada pembaca Kisah Watok yang lepas. Aku sangat menghargainya. Jadinya kali ini aku nak bercerita pula pengalaman pertama aku dalam situasi histeria. Histeria bermaksud suatu keadaan minda yang tidak terkawal dan ketakutan, namun seringkali dikaitkan dengan kejadian possessed atau kerasukan dalam alam Melayu.

Kisahnya bermula selepas aku dan rakan-rakan baru pulang dari sebuah kem rekreasi di daerah Yan, Kedah. Kem ini diwajibkan untuk semua pelajar tingkatan 1 makanya semua pelajar, tanpa pengecualian diarahkan untuk menghadiri kem tersebut. Tiada kenangan penting yang dapat aku recall dari kem berkenaan, kecuali kem itu adalah penyebab aku berada dalam situasi histeria yang pertama aku sepanjang kewujudan aku di dunia.

Rutin kami semua berjalan seperti biasa setelah kami pulang dari kem pada hari Sabtu bersejarah itu. Aku dan rakan-rakan bergerak menuju ke sebuah pondok di tepi surau sementara menunggu solat Maghrib berjemaah. Pondok itu terbuka dan ditepinya ada sebatang pokok kelapa gading yang tidak terlalu besar. Kami riuh menceritakan pengalaman kami disana. Sampai giliran T, semua terus terdiam.

T bercerita, sebagai buah tangan, dia telah membawa pulang 1 batu kecil yang dia temui semasa aktiviti ‘Jungle Trekking’. Batu itu berwarna coklat cerah dan nampak bersih sahaja. Kami semua jadi kalut dan memarahi T kerana pada awal kem berkenaan, kami semua telah dinasihatkan untuk tidak menyentuh atau mengambil apa-apa barang di sana. T akur dan membuang batu berkenaan di pangkal pokok kelapa berhampiran pondok kami bersembang.

Habis saja kuliah Maghrib, kami semua solat Isyak berjemaah dan langsung pergi ke kelas prep. T duduk bersebelahan aku dalam kelas, jadi kami bergerak bersama-sama dalam kumpulan. Aku sudah nampak kerisauan di muka T dalam kelas, tapi aku tidak endahkan kerana masih banyak kerja sekolah yang aku harus siapkan. Namun aku nasihatkan T untuk pulang sedikit awal jika rasa tidak sihat. T terus bergerak pulang ke asrama berseorangan.

Aku mengambil makanan lebih di DM (dewan makan) untuk T kerana aku yakin yang dia mesti kelaparan. Namun apabila aku naik ke dorm, aku nampak T hanya terbaring di katilnya. Aku assume yang dia mungkin telah terlelap kerana keletihan, jadi aku biarkan saja. Namun, rakan aku kejutkan T tepat jam 10:30 malam untuk bacaan surah Al Mulk dan Al Kahfi. Kami buat 1 halaqah (bulatan) di lantai bilik dan mengikuti bacaan yang didengari di pembesar suara.

T masih lesu, tersengguk-sengguk. Tetapi apabila dengar sahaja lafaz Bismillah, T terbuntang matanya sambil meletakkan tangannya yang dikepal di atas paha rakan aku. Mimik mukanya seperti sedang tersenyum mengejek. Rakan aku itu, Z mula pelik namun hanya membiarkan sahaja. Habis sahaja doa, kami semua bergegas bangun untuk menutup lampu dan kembali ke katil untuk tidur kecuali T. Dia masih bersila di atas lantai bilik selama beberapa minit dan akhirnya, dia ketawa.

T tidaklah mengilai cumanya dia ketawa terhenti-henti seperti ada yang lucu dalam kalangan kami. Ahh sudah, inilah histeria seperti dalam movie atau tidak? Aku masih cuba memproses kejadian aneh depan mata aku ini. Tipu jika aku katakan aku tidak takut. Ketakutan aku bersulam dengan rasa teruja. This is it! OH MY GOD! Ya Allah! Apa nak kena buat ni? Apa nak kena baca ni? Baca surah Yaasin? Panggil kakak-kakak BADAR? Boleh pegang ka? Nanti berjangkit tak? Banyak persoalan yang akhirnya aku zahirkan dengan beberapa arahan kepada budak-budak dorm aku yang lain.

Pintu bilik telah tertutup, tetapi lampu masih terpasang. Jiran katil T cuba untuk memanggil nama penuh T tetapi tidak bersahut. Ada 2-3 orang yang mengelilingi T, makanya ada baki lagi 16 orang dalam bilik tu. 4 orang mula membaca surah Yaasin, 2 orang lain keluar mencari senior untuk membantu, aku telah mula mencapai penyapu. Kenapa? Aku pun tak pasti. Mungkin reflex aku untuk mempertahankan diri dan juga untuk mengelakkan T menyerang sesiapa. Boleh aku bantai dengan batang penyapu. A juga telah mencapai sekaki payung, makanya kami menjadi guard bilik.

Suara T mulai garau dan telah bangun sambil merenung aku dan A di pintu. Dia lari menuju keluar tetapi terhenti di sebelah katil rakan-rakan aku yang membaca surah Yaasin. T terangguk-angguk dan melepaskan ketawa besar. “HAHAHAHHA, nak lawan aku tapi baca pon salah! Aku hidup lagi lama dari hang la HAHAHA”. Dia kemudian mengejek-ngejek bacaan mereka dengan riak muka yang menyampah. Rakan aku terdiam dan terus menangis ketakutan. T kemudian cuba membuka pintu sambil memprovok aku dan A. Oleh kerana rasa tercabar, aku mula menolak T dari depan pintu. T berjaya menolak jatuh aku dan A, seterusnya membuka pintu.

T cuba untuk terjun dari koridor tingkat 3 hadapan bilik kami. Cepat-cepat kami tarik turun walaupun kekuatan kami terbatas. Tenaga T, mashaAllah! Sangat kuat. Suasana panik itu di sertai oleh semua penghuni asrama terutamanya rakan-rakan bilik sebelah. Ada yang mula menjerit ketakutan apabila ternampak T di koridor. Jeritan nyaring ditenggelami oleh tawa garau T yang aku masih paut tangannya. Kami akhirnya berjaya membawa dia masuk kembali ke tengah bilik.

Kami matikan pergerakkan T dengan memegang kuat tiap pergelangan kaki dan tangan. Ada juga adegan kena sepak dengan T dalam proses itu, tapi kami yang clueless ni tetap kuat melawan sampai Ustaz M sampai. Kami cuba sarungkan tudung pada T namun diludah. Ustaz M pon dah naik menyampah sebab apabila ditanya sebab merasuk T, hantu itu ketawa dan meratap kesedihan bersilih ganti. Ustaz M dah malas nak berlembut agaknya, dia arahkan T diangkat ke salah 1 katil. Mangsanya, katil aku. T diikat kaki dan tangannya di besi katil dan Ustaz M mulakan proses exorcism ke atas T.

T mulai mengalah apabila Ustaz M mula membaca ayat-ayat Al Quran dengan kuat. Aku masih kagum dan teruja dengan kejadian depan mata aku. Keterujaan aku tak lama apabila d***h T mulai membasahi selimut dan cadar aku. Rupanya T mengepal tangannya terlalu kuat cuba untuk menutup telinganya. Kuku T yang tajam terus menikam tapak tangan dan menyebabkan bleeding yang agak banyak. Kami semua sudah kepenatan dan hanya menyaksikan dialog Ustaz M dengan T sambil terduduk.

Pendek cerita, ‘benda’ itu marahkan T kerana telah mengambil sesuatu miliknya yang aku syak adalah batu coklat yang telah T lemparkan di tepi surau pada awal Maghrib tadi. Jadinya kami khabarkan pada Ustaz M keberadaan batu tersebut. Lepas Ustaz M berleter pada ‘benda’ dalam badan T, Ustaz M kemudian berleter pula pada kami semua kerana tidak mengambil berat pada nasihat awal yang diberikan di kem. Akhirnya proses exorcism berkenaan selesai apabila Ustaz M berjaya mengeluarkan ‘benda’ tersebut dari ibu jari kaki T.

T dibenarkan pulang ke kampung untuk berehat. Batu coklat itu Ustaz M dan bawa pulang. Proses selanjutnya tidak ketahui oleh kami semua. Kami ditinggalkan dengan adrenalin yang masih kuat, ketakutan tetapi kepenatan. Selepas T dijemput pulang oleh ayahnya, aku hanya berdiri di tepi katil, berfikir apa yang aku perlu buat dengan d***h tersebut. Jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi dan aku terlalu letih untuk itu semua. Aku berjalan kosong ke bilik sebelah dan tidur di atas lantai bilik mereka sehingga subuh. Esoknya, kami riuh bertukar point of view masing-masing dalam kejadian malam semalam.

Mujur kakak aku juga turut menghuni asrama yang sama, jadi aku serahkan selimut dan cadar aku pada beliau untuk dibasuh. Terima kasih diucapkan. Sejak kejadian itu, kami yang dulunya butir jagung bertukar menjadi pop corn caramel dek kerana kekerapan histeria berlaku di asrama. Terlalu masak. Ada juga situasi yang boleh hint akan ada kejadian histeria akan berlaku dalam beberapa minit, jadi kami cukup bersedia untuk hadap semua tu.

Pengajaran yang kami semua ambil daripada pengalaman ini ialah teliti bacaan dan hafalan ayat-ayat al-Quran. Tiada yang lebih memalukan dan menakutkan selain daripada diketawakan oleh makhluk ghaib. Plus, jangan ambil barangan yang bukan milik diri sendiri. Takut ada yang akan datang tuntut.

Sekian cerita kali ini. Harap bertemu lagi di cerita akan datang.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Luta

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 23 Average: 4.9]

2 thoughts on “Kisah Histeria Yang Histeris”

  1. Orang ada cakap, jin ii tu gelakkan kita masa baca Al-Quran sebab nak kacau/ganggu fokus kita.. wallahualam (◡ ω ◡)

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.