Kisah Pak Engku – Insan Terpilih

Assalamualaikum.

Setelah lama berfikir, berbolak balik fikiran Pak Engku, Pak Engku persembahkan kisah ini. Bukan kisah seram, tapi kisah benar yang tidak ditokok tambah untuk menyedapkan cerita. Pemergian seorang artis yang Allah angkat darjatnya membuatkan hati Pak Engku bagai digaru untuk berkongsi kisah ini. Insya Allah, kisah ini juga akan diselitkan dalam buku nanti. Tentang buku, tunggulah ya. Banyak kerja dan kos yang terlibat. Tapi, menjadi impian Pak Engku untuk mengeluarkan beberapa novel kisah Yunus dan kisah Pak Engku sendiri.

———————————————————————————————————–

Seorang rakan ada menyebut, dengan adanya makhluk dari dunia lain, nyata membuktikan Allah itu Maha Pencipta. Kisah ini adalah salah satu bukti bahawa kuasa Allah itu tiada sempadannya. Kisah menyayat hati ini akan menjadi kenanganku sepanjang hayat.

Kalau ada rezeki lebih, arwah ayahku akan membawa kami bercuti ke kampung moyangnya, yang juga berasal dari Kedah. Lama menabung, tiga atau empat tahun sekali, dapatlah kami merasa balik ke tanah air. Mujur keluarga aku kecil, jika tidak, memang tidak merasalah balik kampung. Cuti musim panas selalunya lama, selalunya sehingga 10 minggu. Kami tinggal rumah kampung yang sampai sekarang, aku masih terpesona dengan keindahannya.

Di kampung itu, ada seorang pemuda lembam dan lurus bendul, yang kami panggil Chik. Chik dan ibunya yang nyanyuk dan lumpuh, Tok Munah, menumpang di satu rumah orang terkaya di kampung itu. Rumahnya kecil sahaja, maklumlah mereka dua beranak sahaja. Ayahnya sudah lama meninggal dunia. Chik orangnya kaya dengan senyuman, dan akan buat apa saja kerja asal mendapat upah. Suruhlah apa pun, Chik akan lakukannya sedaya dan sehabis baik. Orang kampung memang sayangkan Chik.

Masa itu, Chik sudah berumur 30-an. Kerana seumur hidup bekerja kampung, Chik nampak lebih tua dari usianya. Tinggi lampai orangnya, kulitnya sedikit gelap kerana selalu dipanah matahari. Garis-garis dan kedutan di mukanya sudah kelihatan. Giginya sedikit jongang, tapi sangat manis bila tersenyum. Hidungnya mancung. Misai dan jambangnya tidak terurus dan rambutnya sudah jarang, tanda akan botak di tengah kepala. Matanya sayu dengan alis yang sedikit tebal. Sudah pasti, orang seperti Chik tidak tahu apa itu menjaga penampilan.

Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Mengikut kata orang kampung, tidak pernah seharipun Chik sakit. Demam dan pening apatah lagi.

Apa yang mengharukan semua orang, ialah santunnya Chik pada ibunya yang sudah nyanyuk. Walaupun tidak begitu bijak, santunnya pada Tok Minah tidak berkurang. Berak kencing, makan pakai dan sakit pening syurganya itu, diuruskan Chik seorang diri. Masak makan pun begitu dengan dapur kayunya, Chiklah yang buat segalanya. Selalu aku lihat, putih muka Tok Munah dibedak Chik selepas dimandikan. Chik akan berbaring di sebelah emaknya dan berbual sesudah emaknya dibersihkan dan disuap makannya. Sebenarnya, kami tidak faham apa yang Chik katakan. Sebutannya tidak jelas dan Chik juga teruk gagapnya. Hanya Tok Munah sahaja yang faham pertuturan buah hatinya itu.

Mujur, orang kaya itu tiada sifat kedekut dan selalu menjaga kebajikan Chik dan Tok Munah. Di belakang kampung itu ialah Terusan Wan Mat Saman yang sangat terkenal di Kedah. Kami panggil ban, dan di ban itulah tempat kami bermain. Sawah padi di belakangnya terbentang umpama lautan hijau, saujana mata memandang. Selain ada sawah yang beratus relungnya, orang kaya itu juga mengusahakan perniagaan ayam daging dan telur, dan Chiklah yang ditugaskan untuk menjaga ayam-ayam itu. Bila tiba musim padi, Chik juga akan bekerja di sawah. Rezeki Chik sentiasa murah. Tidak pernah sekali pun dia perlu membeli beras.

Kesihatan Tok Munah semakin lama semakin buruk. Gundahnya Chik bukan kepalang. Mana lagi dengan nyanyuk ibunya, semuanya Chik hadap dengan sabar dan redha. Aku dan kawan-kawan kampung (sampai sekarang masih berkawan) selalu mengikut Chik ke ke mana sahaja, jika dia tidak bekerja. Perangai Chik juga sedikit keanak-anakan, membuatkan dia disukai kanak-kanak sebaya aku. Chik juga akan bermain dengan kami. Apa saja permainan yang kami, mesti ada Chik. Bila kesihatan ibunya tidak mengizinkan, kami akan menunggu di bawah rumahnya. Chik lebih pentingkan ibunya dari dirinya sendiri.

Sakit Tok Munah ada pasang surutnya. Kerana sudah terlalu tua, akal manusia akan menyangka yang Tok Munah akan meninggal dalam masa terdekat. Allah itu Maha Merancang.

Sebulan sebelum kematian Tok Munah, aku yang sangat rapat dengan Chik mengesan perubahan yang ketara. Chik sentiasa berbau wangi walau peluhnya mencurah seperti empangan pecah. Mukanya nampak tenang bercahaya. Dia sudah tidak seperti keanak-anakan seperti dulu dan selalu menolak untuk bermain. Dia selalu duduk di tepi ibunya, enggan meninggalkan Tok Munah. Dipandangnya ibunya itu dengan penuh kasih sayang. Orang kaya itu pun tidak menyuruh Chik bekerja. Kamilah yang seronok memberi ayam makan dan mengutip telur dan membuang najis ayam. Diberi upah, akan habis di kedai mainan di hujung kampung.

Rumah kampung yang kami huni itu ialah rumah pusaka moyangku. Letaknya di seberang jalan, betul-betul berhadapan rumah Chik dan rumah orang kaya itu. Beranda besarnya ialah tempat kegemaran aku. Selain nyaman berangin, aku boleh lihat apa yang Chik lakukan. Chik akan menghadiahkan senyuman setiap kali mata kami bertentang. Jadi. Aku tahu apa yang Chik buat sepanjang lebih sebulan sebelum kematian Tok Munah. Atau lebih tepat, kematian Chik.

Emakku juga rajin menyediakan juadah petang seperti serawa ubi kayu dan bubur kacang. Akulah yang ditugaskan untuk menghantar makanan itu ke rumah Chik, Mata inilah yang menyaksikan semuanya. Entah kenapa, minatku untuk bermain bersama kawan-kawan semakin luntur. Aku lebih berminat untuk dekat dengan Chik, yang telah banyak berubah. Tarikannya memang aku juga tidak faham. Bila sudah dewasa, pada Yunus juga aku ceritakan kisah ini. Kata Yunus, Chik sangat bertuah. Cemburu Yunus dengan Chik.

Suatu petang, ibuku memasak bubur jagung. Aku yang sudah tahu tugasku, tidak sabar untuk ke rumah Chik seperti kebiasaannya. Bila makanan siap dibungkus, aku dengan gembira menghantarnya ke rumah Chik. Masa itu, Chik di dapur sedang menanak nasi. “Chik, ni mak kami suruh bagi kat Chik” kataku menghulurkan periuk kecil berisi bubur. “Terima kasih” ucap Chik. Aku masih tidak perasan. Setelah menuang bubur ke dalam mangkuk, Chik naik ke ibu rumah dan duduk di tepi ibunya, untuk menyuap bbubur jagung yang masih panas. Cara Chik menyentuh ibunya, membangunkan ibunya yang terbaring, menyuapkan ibunya, sangat lemah lembut. Cinta sungguh Chik pada ibunya.

Chik meniup-niup bubur yang masih panas itu sebelum menyuap ibunya. Tok Minah makan dengan berselera. “Sedap dak, mak? Mak Ara bagi” kata Chik. Baru aku perasan, aku dengar sebutan Chik jelas, tidak gagap dan tidak berbunyi seperti lidahnya tebal sebelum ini. Walau tidak diajak, aku duduk di pintu ibu rumah. Macam-macam Chik bercerita kepada ibunya. Aku semakin tidak percayakan telingaku, mengorek-ngorek dan menampar cuping telinga sendiri. Ternganga aku mendengar Chik bercakap. “Berita panas” yang akan aku kongsi bersama kawan-kawanku.

Tapi, entah kenapa bila kawan-kawanku menyebut tentang Chik, aku langsung lupa tentang “berita panas” itu. Entah kenapa, aku sendiri tidak mengerti, seolah aku lupa. Kelibat Chik juga jarang kelihatan di luar. Dia lebih banyak bersama ibunya. Sudah menjadi resmi, setiap petang, akulah yang menghantar juadah ke rumah Chik. Emak aku yang selalunya akan memasak untuk Chik dan ibunya, dan akulah yang menjadi tukang hantar. Sebenarnya, setiap hari Chik akan menerima makanan dari orang kampung setelah tahu keadaan ibunya. Mesti ada rezeki dua beranak itu, titipan dari orang kampung.
Pada suatu petang, aku nampak Chik keluar, menaiki basikal dengan parang tersisip di pinggangnya. Aku tahu, Chik akan mencari kayu getah sebagai bahan api untuk dapurnya. Lupa aku beritahu, rumah Chik tidak ada bekalan elektrik. Bukan tidak mahu disambung oleh orang kaya itu, tapi Tok Munah sangat takut dengan lampu yang terang. Orang sudah nyanyuk, begitulah. Jadi, Chik hanya menggunakan pelita. Aku tahu di mana Chik selalu mencari ranting dan dahan yang tumbang. Aku juga tahu jalan pintasnya. Aku terus berlari menuju ke tempat Chik selalu mencari kayu api.

Kebun getah yang luas itu berpagar kawat besi, tapi pintunya tiada. Selain ban, kebun getah yang bersih itu juga menjadi medan kami bermain. Chik sampai dulu dan membawa basikalnya masuk ke dalam kebun getah. Aku pun sampai, dan Chik menghadiahkan senyuman padaku. “Nak cari banyak, nanti Chik dah tak boleh cari dah” kata Chik. Haruman di badannya terbau. “Chik nak pi mana?” tanyaku, naïf. “Chik nak pi jauh. Nak pi tempat cantik, Chik nak kawin” katanya tenang. “Chik nak kawin ngan sapa?” tanyaku lagi. Chik tidak menjawab, hanya memberi aku senyuman.

Demi Allah, muka Chik juga semakin berubah. Giginya yang dulu berkarat, sudah tidak nampak karatnya. Jongangnya juga sudah surut, tidak tertonjol seperti dulu. Garis-garis halus di muka juga, seakan lenyap. Aku juga perasan, janggutnya dulu tidak terurus dan sedikit beruban, kita rata cantiknya. Uban-uban diganti dengan janggut yang hitam. Suatu tentang Chik, dari dulu kukunya pendek dan bersih. “Chik tak duduk sini dah la nanti? Tak syok la” kataku. “Chik akan selalu mai” kata Chik sambil tangannya sudah mengikat seberkas ranting getah tua yang gugur.

Kami mencari lagi ranting dan dahan gugur. Selalunya, di kebun getah itu, masya Allah nyamuknya, jenuh bertampar. Tapi, hari itu, dengungan nyamuk langsung tidak terdengar. Bau wangi yang terapung-apung di udara mengingatkan aku pada minyak wangi nenekku. Lembut, harum dan mengasyikkan. Bauan bunga hutan yang ramai tidak tahu namanya, tersangat harum. Kami bersembang dan ketawa. Aku, walaupun masih terlalu muda waktu itu, rasa kami ditemani “seseorang”. Tidak nampak kelibatnya, tapi kehadirannya memang terasa. Terasa damai, bukan menakutkan. Banyak juga ranting dan dahan yang dapat Chik kumpul. Semua diletakan di atas pelantar basikalnya dan diikat kemas.

“Dah cukup ni, Chik nak balik. Chik nak bagi mak mandi” kata Chik. “Kita tengok sapa sampai dulu” kataku berlari pulang ke rumah. Aku berlari selajunya, sedaya kakiku berlari, hanya kerana untuk sampai dulu. Budak-budaklah katakan. Tidak lama pun, jalan pintas itu memang dekat kalau dibandingkan dengan jalan kampung yang akan Chik lalu. Aku yakin, aku akan sampai dulu kerana aku berlari sangat laju. Sampai di rumah, aku meluru ke beranda. Aku nampak Chik sudah pun menjerang air untuk mandian Tok Munah. Berkas ranting dan kayu diikat tadi sudah elok tersusun di bawah para rumahnya.

Aku menjadi hairan. Kalau diikutkan, Chik belum lagi sampai walau selaju mana dia mengayuh basikalnya. Aku pelik, dan duduk berteleku membilang waras. Chik terbangkah tadi? Cepatnya dia sampai, berkepul asap naik dari dapur rumahnya. Perkara ini menjadi sebab yang kuat kenapa aku sangat tertarik dengan Chik, kerana aku tidak dapat merungkaikan soalan demi soalan di benak. Kenapa Chik berubah, bercakap tanpa gagap dan jelas butir bicara? Kenapa Chik berbau wangi? Adalah aku seorang sahaja yang perasan?

Tiba malam hari. Malam itu bulan penuh di langit. Selepas makan dan solat Isyak, aku dan kakakku suka duduk di beranda yang luas itu membaca buku. Dahulu, kerana tiada pencemaran, tambahan pula di kampung, suasananya sangat jelas walau tidak dilimpahi lampu seperti sekarang. Bulan yang tergantung di langit juga boleh dilihat dengan jelas. Rumah Chik yang disimbah cahaya bulan, nampak indah. Cantiknya tidak sama dengan rumah-rumah kampung yang lain. Sedang aku duduk menyangga tangan di atas pagar beranda, aku nampak Chik keluar dan menutup pintu dapur rumahnya.

Chik berjalan ke belakang rumahnya, kemudian naik ke atas ban. Suasana sangat terang, aku boleh nampak semuanya. Hatiku bagai digaru-garu, hendak tahu apa yang Chik buat. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku benar-benar taksub dengan Chik nan seorang ini. Aku katakan pada kakak aku, aku ingin menyusun kasut. Aku buka pintu beranda dan menutupnya. Kakak aku sangat asyik dengan bukunya, tidak sedar aku sudah berlari ke rumah Chik. Aku pergi ke ban, dan aku lihat Chik sedang duduk di atas pelantar di gigi air, tempatnya mencuci baju.

Chik duduk dengan tangannya di lutut, memandang ke lautan anak padi yang sedang menghijau. Aku tidak terus pergi kepadanya. Jaraknya aku dan Chik lebih kurang tiga puluh hasta orang dewasa. Di satu tempat, terusan itu melebar sedikit dan ada kunci air kecil yang di depannya penuh dengan pokok rumbia. Pokok rumbia itu tumbuh berjajar dan panjangnya sesayup mata memandang. Tempat pokok rumbia itu bersambung hutan seperti pulau di tengah bendang. Aku tahu, kerana aku pernah ke situ bersama kawan-kawan, walau dilarang keras oleh orang dewasa di situ yang sedang menyemai padi.

Pulau rumbia, nama yang diberi oleh orang kampung. Pulau itu mungkin kepunyaan orang, tapi tidak diteroka. Maka, pulau itu subur dengan rumbia, pokok kelapa dan semak samun pelbagai jenis tumbuhan. Kami pergi dulu kerana ingin melihat burung, tapi seekor burung waima jenis apa pun tidak kami temui. Pulau itu sunyi dan redup, sedikit menyeramkan. Semasa kami di situ, kami terbau aroma gulai yang mengecurkan liur. Kerana naïf, kami sangka mungkin itu datang dari rumah orang kampung yang tinggal di seberang ban.

Tiba-tiba, ada satu cahaya yang menegak keluar dari hutan rumbia itu. Cahaya itu seolah menari-nari di atas pucuk padi yang meliuk-liuk disaput angin. Aku melihat dengan penuh kehairanan. Sinaran bulan yang terang, takkan aku salah pandang. Cahaya itu bergerak perlahan-lahan sehingga sampai ke kunci air. Cahaya itu, pegun sebentar, kemudian melayang menyeberangi terusan, dan mendarat betul-betul depan Chik. Kerana aku menyorok di balik semak, aku tidak dapat melihat wajah Chik. Tapi, aku dengar Chik bersembang dan selalu tertawa terkekeh-kekeh. Aku tidak tahu apa yang dikatakan Chik kerana jaraknya, dan aku juga tidak berniat untuk pasang telinga.

Setengah jam juga, aku nampak Chik seperti hendak bangun. Apa lagi, aku berlari pulang. Bila sampai ke beranda, lampu dan pintu sudah ditutup. Bila pintu dibuka, memang aku dimarahi ibu dan moyangku. Mereka bertanya ke mana aku pergi. Aku mengunci mulut, biarlah kena lepuk sedas dua, aku tidak akan beritahu di mana aku tadi dan apa yang aku lihat. Malam itu, aku tidur nyenyak. Aku bermimpi Chik memakai pakaian putih yang cantik berkilau.

Esoknya, aku lihat ramai orang kampung berkerumun depan rumah Chik. Sudah tentu aku fikir, Tok Munah sudah dijemput Ilahi. Ibu bapa dan moyang aku juga sudah berada di dalam rumah Chik. Aku bersama kawan-kawan juga sangat ingin tahu dan kami menghampiri kumpulan orang di depan rumah Chik. Orang kaya itu juga ada dan bersembang dengan orang kampung yang lain. Dari perbualan orang, kami dapat tahu yang kesihatan Tok Munah menjadi sangat baik, seperti sebuah keajaiban telah berlaku. Tok Minah sudah kenal dengan jiran-jirannya, dan makan pun tidak perlu disuap Chik.

Chik diberi pakaian baru dan kenduri doa selamat telah dijalankan, semuanya ditanggung oleh orang kaya itu yang tidak pernah kedekut dengan Chik. Lauk kampung yang dimasak menjadi teramat sedap. Sirap yang dibancuh juga sangat enak dan tidak puas rasa meneguknya. Tok Munah pun sudah dimandikan dan siap dibedak Chik. Semasa makan, barulah aku teringat bertanya kawan-kawanku, sama ada mereka perasan perubahan wajah Chik. Semuanya menggeleng kepala. Adakah aku ini berkhayal, fikirku.

Seminggu berlalu, kami dapat tahu Chik jatuh sakit, tapi Tok Munah segar bugar. Keputusan telah diambil, Tok Munah dan Chik akan tinggal dengan orang kaya itu. Mudah untuk memantau kebajikan dua beranak itu. Ramailah yang datang berziarah. Chik langsung tidak membuka mata, hanya terbaring di atas katil. Tok Munah pula, asyik mengusap kepala buah hatinya itu, dan sentiasa mencium dahinya. Terlalu banyak jasa Chik padanya. Aku pula berasa sangat terharu, rasa seperti ingin menangis melihat Tok Munah yang selalu mencium dahi Chik.

Tujuh hari kemudian, selepas azan Subuh, Chik menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jantungku bagai digenggam, hendak bernafas juga payah dek kerana sedih. Mendengar berita yang meluluhkan hati itu, aku tidak mahu keluar dari rumah seperti biasanya. Kerana dileter ibuku, aku mandi dan pergi juga ke rumah orang kaya itu. Ramai sungguh yang datang berziarah. Tok Munah tersangat rawan, dahan bergantungnya telah patah. Mastuli hatinya telah putus. Gundah hatinya, hanya dia sahaja yang tahu. Suasana sayu menyelubungi rumah besar itu. Chik telah tiada. Pergi untuk selamanya. Hilanglah Chik dari dunia fana ini.

Semasa jenazahnya diuruskan, bau wangi yang sama bergembak-gembak di seluruh rumah orang kaya itu. Semua yang hadir juga terbau harumannya. Orang suci dari dosa, ahli syurga, kata mereka. Sudah tentu yang baik-baik juga datang akhirnya. Dulu, keranda dibawa oleh orang kampung, diangkat di atas bahu. Masjid juga tidaklah terlalu jauh. Keranda Chik berbau sangat wangi. Urusan pengkebumiannya juga mudah dan pantas. Berbondong-bondong orang kampung mengiringi Chik ke tempat semadiannya.

Semua orang melihat, liang lahad Chik molek seolah dikorek dengan jentera. Pagi yang selalunya terik, hari itu mendung berangin. Semasa liang lahad dikambus dan talqin dibacakan, wangian itu semakin kuat baunya. Ada terpinga-pinga dengan haruman itu, tapi banyak yang seolah menikmatinya. Sebelum jemaah meninggalkan kubur Chik, aku nampak ramai yang menyentuh batu nisannya. Meninggalkan kawasan perkuburan selepas semuanya selesai, aku menangis. Kalau Tok Munah hilang dahan bergantung, aku hilang sahabat yang sangat mulia pekertinya.

Ketiadaan Chik membuatkan aku jadi murung dan tidak bersemangat. Sehari-hari, aku lebih suka duduk di beranda. Dipanggil bermain pun aku menolak. Sudah tentu ibu bapaku risau. Lagipun, lebih kurang 2 minggu lagi, kami akan berangkat pulang. Sudah tentu, aku tentu akan merindui Chik. Di sana, orang seperti Chik selalu terabai dan dipinggirkan, terutama jika mereka sudah tua. Aku duduk mengimbau kenangan bersama Chik, bermain, mengail di ban, memberi ayam makan. Chik sangat tekun dengan kerjanya. Padanlah hari kematiannya, orang yang datang memberi penghormatan terakhir ramai, bak kelekatu selepas hujan. Tanah perkuburan penuh dengan orang yang datang.

Selepas tiga hari kematian Chik, seperti biasa, aku dan kakak di beranda bercerita dan membaca buku. Ibu, ayah serta moyangku pergi menziarahi Tok Munah yang seperti sudah kembali kepada penyakit nyanyuknya. Duka Tok Munah, hanya dia dan Tuhan yang tahu. Sedang aku berkhayal dan termenung, aku terpandang seolah cahaya pelita terpasang di rumah Chik. Segera segala kenangan tentang Chik membanjiri benak, membuatkan aku sugul. Cahaya pelita itu bermula dari dapur, dan naik ke ibu rumah, seperti yang selalu Chik lakukan ketika hari sudah samar-samar senja.

Sebentar sahaja cahaya pelita itu kelihatan, kemudian gelap. Masa itu juga, bulan sedang penuh, hampir cukup sebulan aku menyaksikan Chik duduk di pelantar. Tiba-tiba, satu cahaya samar keluar dari dapur rumah Chik dan kemudian terus masuk ke dalam rumah orang kaya itu melalui dapur. Aku ternganga, dan mencari alasan bagaimana hendak keluar. Aku bertanya kakak, dia takutkah tinggal seorang di rumah. Katanya tidak. Aku beritahu kakak, aku mahu pergi ke rumah orang kaya itu. Hairan kakakku, selama ini aku lebih banyak berkurung. “Pi lah, tapi cepat balik tau” katanya, masih membaca buku.

Aku turun, menyarung selipar dan melintasi halaman rumah moyangku. Entah kenapa, aku langsung tidak merasa takut. Tapi kalau pulang dari sembahyang Isyak di masjid, aku dan kawan-kawan akan berlari pulang kerana takut, konon hantu mengejar di belakang. Aku berjalan perlahan-lahan dan berdiri antara dua rumah itu. Rumah Chik gelap gelita, tapi aku terbau wangi yang sama. Aku tidak berasa seram atau gentar dengan bau harum itu, kerana aku tahu, itu bau Chik.

Apa yang merasuk aku, aku juga tidak tahu. Aku melangkah ke ban, dan sampailah aku pada pelantar tempat Chik mengail dan membasuh baju. Aku duduk tanpa rasa takut. Rasa sedih mula terasa, banyak kenangan aku dengan Chik di kampung itu. Tiba-tiba, aku melihat seseorang sedang meniti ban. Aku tumpukan betul-betul melihatnya. Chik! Tapi Chik tidak memandang aku. Rupa Chik sangat cantik bercahaya, memakai baju seperti dalam mimpiku. Aku tidak salah pandang, bulan juga seolah membantu aku melihat dengan jelas. Chik sedang berjalan di atas ban, cara berjalannya aku sangat kenal.

Perlahan-lahan, Chik turun ke dalam terusan, berjalan dengan tenang di atas air terusan dan sampai ke seberang sana. Kemudian, Chik berjalan ke batas bendang, dan seolah mahu masuk ke bendang. Kaki Chik hanya menyentuh pucuk-pucuk padi yang sedang menghijau. Tenang sahaja Chik berjalan. Tapi kenapa Chik bercahaya? Aku memandang, terharu, tidak sangka akan bertemu Chik, walau Chik tidak menegur aku. Aku terpana memandang kejadian yang tidak pernah aku alami, tanpa rasa gentar di hati.
Chik berjalan di atas pucuk-pucuk padi dan aku lihat, masuk ke pulau rumbia dan menghilang, di tempat cahaya itu keluar dulu. Aneh, aku langsung tidak berasa takut, padahal terusan itu sangat keras dan selalu meragut nyawa. Di jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan kampung sebelah, ada ketika apabila tiada mangsa lemas aku kemalangan, akan terdengar suara yang aneh dari dalam ban, meminta d***h. Menjadi ketakutan semua penduduk kampung. Suara itu kedengaran dari bawah jambatan hanya pada tengah malam. Di tepi jambatan itu, kanak-kanak kampung selalu mandi manda di situ.

Aku berjalan pulang. Kakakku masih di beranda. Keluargaku masih belum pulang dari berziarah. Aku duduk di sudut beranda, cuba merungkai apa yang aku lihat tadi, tanpa rasa takut. Mungkin aku terlalu rindu pada Chik, mata dan akalku juga mempermainkan aku. Kakakku tidak mengendahkan aku, kerana aku berkelakuan pelik setelah perginya Chik. Kalau hanya sekadar igauan, kenapa ada bau Chik yang wangi itu? Hantukah yang aku lihat tadi? Kalau hantu, kenapa aku tidak berasa gerun?

Malam itu, lebih kurang pukul 10.00, kami mendapat perkhabaran Tok Munah telah dijemput Sang Pencipta. Lagilah aku tidak percaya. Terang benderang rumah orang kaya itu, khemah didirikan dan ramailah orang kampung yang datang membantu. Berduyunlah orang kampung datang menziarahi jenazah. Aku terkaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Baru tadi aku melihat Chik, kini, syurganya pula dijemput Tuhan hanya berselang sebulan. Utuh benar kasih sayang mereka. Tidak perlu menunggu lama untuk bersama di alam sana. Kuasa Allah yang Maha Mengatur.

Kerana aku masih kanak-kanak waktu itu, malamnya aku dan kawan-kawan bermain sorok-sorok. Itupun selepas puas diajak. Kami bermain dikandang ayam yang terang benderang itu. Apa yang hendak ditakutkan, selain dari lampu yang banyak terpasang, di setiap barisan kandang ayamnya juga, lampunya berderet terpasang. Hanya di kandang itu yang berpagar. Kawasan rumah orang kaya itu tidak berpagar, sengaja dibiarkan begitu. Ada kepok di tepinya, tempat kami berehat selepas membuang najis ayam. Giliran aku “jadi” pun sampai, aku harus mencari kawan-kawanku yang sangat pandai bersembunyi.

Semasa aku sedang mencari kawan-kawanku yang sedang menyorok, aku terbau haruman sama. Bau Chik! Berpusing-pusing aku mencari dari mana datangnya bau harum itu. Merata aku berjalan, mencari di segenap kandang-kandang ayam itu. Sampailah aku ke kandang paling hujung. Nun di hujung kandang, aku nampak Chik sedang berdiri dan tersenyum kepadaku. Chik! Sungguh, aku nampak Chik dan di belakang Chik, cahaya menegak yang aku pernah lihat sebelum ini. Aku tersenyum, kolam hatiku sudah banjir dengan perasaan rindu padanya. Chik masih di situ, berdiri tersenyum padaku. Tidak sedar, air mataku menitis. Aku selak hujung baju Melayuku untuk menyeka air mata yang gugur, dan bila aku pandang semula, Chik sudah tiada di situ.

Aku berlari ke tempat aku nampak Chik berdiri. Bau harum itu sangat kuat di situ. Air mataku tumpah lagi. Chik, aku rindu Chik. Lama juga aku di situ berdiri di situ, menantikan kalau-kalau Chik akan datang bertemu aku, tapi aku hampa. Entah berapa lama aku berdiri, sehingga kawan-kawanku keluar dari tempat persembunyian mereka. Mungkin bosan, lama menanti aku mengesan mereka. “Ooiii Mat, hang buat apa situ. Awat hang tak mai cari kami?” kata salah seorang kawanku. Cepat-cepat aku mengesat air mata, berbohong pada kawan aku ulat masuk ke mata. Kami pun bersurai kerana hari telah larut malam. Takut dimarahi pun menyebabkan kami berhenti bermain.

Malam itu, aku bermimpi bertemu Chik di tempat yang sangat cantik. Ada sungai, pokok buah-buahan yang bermacam jenis dan rumah-rumah besar bagai mahligai. Aku nampak ada kuda putih yang banyak dan ayam-ayam yang berwarna-warni, dengan ekor yang melayut panjang. Di dalam sungai, ada pelbagai jenis ikan besar-besar, seperti menyerah diri untuk ditangkap. Aku dan Chik seperti sedang berada di dusun yang redup. Chik sangat elok rupa parasnya, memakai jubah dan berserban putih. Kami tidak bercakap, saling berpandangan dan Chik sentiasa tersenyum. Kemudian, Chik meninggalkan aku, berjalan ke arah kabus dan lenyap. Hilang rinduku pada Chik, segak sungguh dia dengan jubah putihnya.

Selepas itu, boleh dikatakan setiap hari aku bermimpi bertemu Chik. Chik semakin berisi, semakin segak dan kami selalu bertemu di dusun yang redup itu. Tidak sepatah pun keluar perkataan dari mulut Chik, dan mulut aku juga seperti digam. Selalunya mimpi itu tidak lama, tapi cukup bagi aku untuk melepas rindu pada Chik. Hidupku menjadi kanak-kanak kembali. Tapi seingat aku, setiap senja, aku akan menanti kalau-kalau aku ternampak lampu pelita bernyala di rumah Chik.

Semasa hendak pulang ke negara orang, aku pergi menziarahi pusara Chik. Aku bercakap seolah Chik ada di depanku. “Chik, kami dah nak balik. Tak tau bila kami buleh mai tengok kuboq Chik lagi. Kami rindu kat Chik”. Bauan harum pun datang bersama angin. Aku tahu, Chik sudah datang, mengkin mengucapkan selamat tinggal padaku. Itu bau Chik. Bau yang sama, yang menenangkan lembut membelai hidung.

Sehingga sekarang, jika ada kelapangan dan izin dari Tuhan, aku akan menjenguk kampung itu dan singgah ke kubur Chik. Sampai sekarang, wajah Chik tetap aku ingati. Cuma bauan itu aku sudah tidak ingat lagi. Bila hatiku resah, aku akan ingat pada Chik yang menghadapi ujian Allah dengan sejujurya. Yunus kata, dia tidak mahu mengulas panjang. Tidak berani dia, takut salah telahan. Kuasa Allah, siapalah yang dapat menduga, kata Yunus. Apa yang Allah hendak terjadi, akan terjadi. Orang seperti Chik ialah insan yang terpilih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.