Kisah Seram di IPD

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca FS dan penulis FS. Kisah kali ini aku nak ceritakan pengalaman aku semasa tinggal di IPD Polis (daerah Utara). Kejadian sejak aku 12 tahun sehingga aku berusia 16 tahun (sebenarnya aku menetap di sana semenjak berusia 8 tahun). Jadi kisah kali ini aku nak cerita kan 3 jenis kisah berlainan daripada, Along (Kakak Sulung), Angah (Kakak ke-2) dan aku sendiri.

Kisah pertama ini mengisahkan tentang kakak sulung aku (lebih mesra panggilan keluarga, Along). Waktu itu Along sudah mula bekerja di Jusco (bahagian cashier) umurnya sekitar 20+ (kalau tidak silap). Along ni jenis yang boleh nampak makhluk-makhluk ghaib, sejak dari kecil lagi. Tambah-tambah semasa beliau kecil beliau dan Mak Abah serta Angah (masih kecil) pernah tinggal di Balai Gombak lama (banyak kejadian yang seram dan aneh-aneh berlaku, tapi sekarang aku nak fokus dengan kisah di IPD dulu, kalau ada masa nanti aku cerita kisah beliau semasa di Balai Gombak).

Jadi suatu hari, Along ada cerita dekat aku yang beliau nampak 2 ekor ‘benda’ mengikut di belakang aku. Waktu itu, beliau sedang kusyuk solat dan membaca doa dan beliau ternampak aku melintasi di sebelahnya.

Alangkah terkejutnya beliau ternampak dihujung lirikan mata, 2 ekor berambut panjang, pakaian serba putih tetapi kotor dan berbau bangkai. Paling mengejutkan beliau adalah, benda itu turut berpaling dan memandang ke arahnya.Serta merta beliau menutup mata dan berdoa untuk perlindungan daripada Allah s.w.t.

Pada suatu ketika lagi, (masa ni beliau telah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan) beliau menginap di rumah mertuanya (di tingkat atas haha kahwin sesama jiran) sedang asyik beliau tidur, hendak dijadikan cerita beliau terbangun untuk ke tandas tetapi ternampak di hujung bucu katil, ada Pocong yang berdiri sangat tinggi.

Beliau nampak dengan jelas wajah hitam melegam bak punggung belanga hangus, sangat seram yang membuatkan beliau tergamam. Tidak sempat mengejutkan suaminya, malah si Pocong menoleh dan memandang ke arahnya.

Dengan sepantas kilat, beliau menyelimuti tubuh dan menutup mata, segala ayat suci dibacanya tunggang langgang. Sedar tak sedar, hari sudah pagi. Bersyukur pada Allah, tiada apa-apa berlaku kepada beliau sekeluarga. (sampai sini sahaja kisah Along)

Kisah kedua ini berlaku kepada kakak kedua aku (iaitu Angah), kejadian berlaku semasa kedatangan saudara-mara daripada KL yang datang untuk bercuti. Biasalah kalau sudah lama tidak berjumpa dengan saudara jauh, mesti sangat gembira dan keseronokkan yang terasa itu tidak dapat digambarkan hingga terleka dengan suasana.

Suatu malam, elok saja Angah, Along, Eyna, Payin berborak bergelak ketawa di bilik (waktu ni aku selalu tidur dengan mak abah sebab sekolah rendah haha) sangat seronok sampai tiada seorang pun dari mereka yang perasan jam berdetik menandakan pukul 2 pagi. Waktu itu masing-masing sudah mula rasa mengantuk, Along sudah tidur terlebih dahulu daripada yang lain.

Tak lama kemudian barulah mereka semua tertidur. Namun, Angah belum boleh melelapkan matanya kerana beliau ternampak banyangan sesusuk tubuh besar, seperti berambut panjang , bergigi panjang di tingkap bilik.

Tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara mereka ketawa sebentar tadi, seolah-olah merekalah yang sedang ketawa dan berborak. Dikira cuma beliau sahaja yang terdengar namun, beliau berpaling ke arah sepupu kami iaitu Eyna yang terdengar dan belum dapat tidur lagi. Mereka hanya berpandangan dan berasa seram sejuk.

Tiba-tiba tingkap bilik itu diketuk bertalu-talu, hinggalah Along terjaga dari tidur dan terus memandang ke arah tingkap. Tiada apa-apa disitu mahupun bayang sesusuk tubuh tadi, siapa yang main-main mengganggu ni.. Angah dan Eyna hanya terdiam, kerana mereka ternampak dan terdengar sendiri.

Tak lama kemudian, kedengaran tangisan seperti di tepi telinga, ah sudah.. Sekali lagi Angah membuka matanya, kali ini ‘benda’ itu berada di sudut belakang pintu bilik. Angah ternampak sesusuk wanita sedang menangis kedengaran sangat menyedihkan membuatkan beliau mengalirkan air mata. Beliau berasa takut namun sedih, tidak tahu kenapa dan apa puncanya. Akhirnya beliau membaca ayat suci Al-Quran dan wanita itu turut menghilang dan beliau kembali untuk tidur. (Sampai di sini saja kisah Angah)

Kisah ketiga ini kejadian yang aku sendiri alami, nak diceritakan ke semuanya sekali memang banyak lah tapi aku akan cerita kan sedikit sebanyak pengalaman yang aku rasa memang amat menyeramkan.

Suatu malam, mak aku sedang mandi di bilik air dan abang aku bermain komputernya di bilik, along dan abang ipar aku keluar ke pasar malam manakala anak perempuannya aku jaga. Tidak eloklah bayi keluar malam ke pasar dengan suasana crowded beserta asap jualan makanan.

Tinggalah aku sendirian bersama anak saudaraku (Ania), kami bermain bersama hinggalah Ania menegur sesuatu di kawasan dapur. Aku menoleh untuk melihat apakah yang cuba Ania beritahu, aku sangat terkejut tergamam rasa sangat takut tapi dalam masa yang sama sangat Aku tidak dapat mengekuarkan sepatah kata-kata, benda itu tahu aku nampaknya dan ia merangkak ke bawah meja.

Aku dapat melihat dengan jelas, wajah berdarah dan berbau busuk, bola mata yang terkeluar, lidah dan gigi yang tajam dan panjang. Aku takut, ia semakin menghampiri aku, aku memeluk Ania dengan erat. Di waktu itu, Ania menangis teresak-esak, meraung seperti tidak suka dengan sesuatu. Aku takut dan menangis, diketika itu benda itu hampir menghampiri aku dan tiba-tiba Along pulang membawa bungkusan makanan dari Pasar Malam, memasuki rumah dengan cara membelakangi, dan membaca 3 Kul dan Al-Fatihah.

Benda itu tidak suka dan menjerit sangat kuat, menyebabkan telinga aku sakit dan mengalir darah (sikit saja tapi sangat sakit). Aku memberikan Ania yang menangis ke ibunya dan aku terus melangkah masuk ke bilik dan terus rebah. Aku tidak sedarkan diri, yang aku tahu semasa aku sedar ada mak dan mak mertua Along.

Begitu lah kisah-kisah sedikit sebanyak yang aku boleh kongsikan kali ini, maaflah jika tidak seram seperti yang semua jangkakan. Insyaallah ada masa lagi, aku akan teruskan kisah yang mak dan abah aku ceritakan, tentang rumah lamanya di Balai Gombak. Sampai jumpa lagi, sekian.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

izzayoi
FOLLOW FB KAMI.

6 comments

  1. tiba-tiba Along pulang membawa bungkusan makanan dari Pasar Malam, memasuki rumah dengan cara membelakangi, dan membaca 3 Kul dan Al-Fatihah.

    masuk umah jalan mengundur ke tu maksudnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.