KISAH UYAD 2.0

“Lama dah ke jadi benda ni?” tanya ayah sambil memandang abang ipar aku.

Pagi tadi, lepas sarapan aku terus masuk hutan. Aku dah janji dengan Mamat, Tapik dan Zaki nak tahan burung pagi ni. Baru je aku masuk, aku dah dengar suara ayah laung dari jauh. Panggil nama aku. Jarang ayah datang kutip aku suruh balik. Ni betul-betul mustahak agaknya.

“Adik, jom kita pergi rumah Kak Long” aku dengar ayah aku laung. Adoi la. Rosak rancangan aku hari ni.

“Rasanya ada dah dalam sebulan” jawab Kak Long sambil letak pinggan berisi cucur bilis yang masih panas ke atas meja makan, kemudian melabuhkan p******g di sebelah Abang Ram.

Ada dah dia. Tadi bau je. Ni ada depan mata. Aku geram tengok cucur Kak Long. Dah lama tak melantak cucur yang Kak Long masak. Kak Long kalau buat cucur macam ada sijil. Rangup di luar, lembut di dalam. Bulat-bulat je rupanya macam perut Tapik. Aku sampai sekarang kalau bab cucur ni fail. Sekejap lembut, sekejap kau baling dinding pun retak dinding tu. Ikut dah resepi Kak Long. Tapi macam tu juga, mana silapnya aku tak tahu.

“Kenapa tak bagi tahu kami awal-awal?” mak mengerutkan dahi bimbang. Berkalih ke arah aku yang baru je nak ngap cucur. Makan cucur panas-panas nikmat woi. Mak geleng kepala pandang aku macam.. “kenapa la aku ada anak macam ni”.

Aik? Aku makan cekodok pun salah ke?

“Tak boleh tunggu orang tua makan dulu ke?” ni kena jawab ke tak soalan mak ni?

Mak kalau bab adab macam ni memang dia cukup pantang. Makan kena tunggu orang tua mula dulu. Kalau makan tu kena ingat orang belakang. Kalau orang tua berborak jangan masuk campur sibuk sekali. Kalau kau langgar alamatnya, dia kapit kecil peha kau sambil tersenyum mesra.

“Tak apa, adik makan dulu” ayah ketawa bila tengok aku muncungkan bibir dan letak semula cucur atas pinggan.

Dengar je ayah bagi green light aku capai semula cucur. Buat-buat tak nampak mata mak bulat jengil macam Sundel Bolong.

“Tak nak bagi mak dengan ayah risau” ujar abang ipar aku lalu berpaling pada dua orang anak buah aku.

“Macam mana boleh mulanya” soal mak ingin tahu.

**************************************NAURAH*************************************
Lepas siap aku sidai baju, aku turun ke bawah. Aku tengok Dina masih lagi tercongok depan TV seperti mana aku tinggalkan dia semasa naik ke tingkat atas tadi. Tengok la TV tu puas-puas. Dah masuk sekolah nanti, tengok TV pun ada jadualnya.

“Dina duduk sini diam-diam ye, ibu naik atas sidai kain kejap” aku pesan pada Medina sebelum aku naik sidai kain di atas tadi. Terhangguk-hangguk kepala bulat Dina faham arahan aku. Rumah aku ni dua tingkat. Rumah batu, kawasan bandar. Rutin aku macam ni la setiap hari. Mujur dapat anak yang tak banyak kerenah, tenang sikit buat kerja rumah.

“Nak masak apa ye hari ni?“

Aku bab masak memang handal. Umur 7 tahun aku dah mula pandai masak. Bukan apa, dulu mak pernah jatuh dalam lubang tempat orang bakar jerami padi. Mak melecur dari paras lutut hingga ke bawah. 4 bulan juga aku tolong mak uruskan rumah, dah mak tak boleh nak berjalan.

Aku termenung depan peti ais. Fikir menu pun dah rumit apa lagi nak memasak.

“Masaknya tak susah, fikir nak masak apa tu yang susah”

Aku teringat kata-kata mak. Betul lah apa yang mak kata. Padan la setiap hari mak tanya kami nak makan apa, dah m**i kutu fikir menu.

“Kring..Kringg…Kringggg…”

Bunyi telefon rumah aku berbunyi lantang. Aku letakkan ikan yang baru aku keluarkan dari peti ais ke dalam sinki. Goreng ikan je la kejap lagi.

“La…dah tertidur si Dina ni”.

Anak aku dah terlentok tidur. Tadi dia tengok kartun, ni kartun tengok dia. Aku bergegas angkat telefon, bimbang Dina tersedar dek bunyinya.

“Hello, ini Puan Naurah ya?. Saya Miss Pang, puan boleh tak datang ke sekolah sekarang? Anak puan, Melissa tak berapa sihat” suara perempuan kedengaran di telefon.

Aku kenal suara dan nama tu. Tu guru kelas anak sulung aku. Kakak tak sihat?. Kenapa pulak Kakak ni. Rasanya pagi tadi sebelum dia pergi sekolah elok je. Dada aku berdebar, terasa gelisah.

“Baik, sekejap lagi saya sampai” balas aku ringkas.

Aku capai kunci motor. Dina aku tinggalkan sendirian di rumah selepas aku pesan pada jiran aku supaya tolong tengok-tengokkan dia. Dina kalau tidur lama, tu senang jaga dia. Tak banyak masalah.

Rumah aku dengan sekolah Kakak tak jauh, hanya dalam 10 minit sahaja. Dada aku makin berdebar. Tak berkurang tapi makin bertambah. Otak mula ligat fikir segala kemungkinan. Kakak baru je masuk sekolah rendah awal tahun ni. Tiada pula dia mengadu sakit. Sakit apa pulak anak aku ni?.

Sampai sahaja di sekolah aku terus naik ke pejabat seperti yang di arahkan Miss Pang dalam telefon tadi. Aku tengok Kakak duduk termangu di sofa menunggu aku.

“Tadi Melissa pengsan dalam kelas, saya baru sahaja nak telefon ambulans dia dah sedar. Dia minta saya panggil puan. Dia nak balik katanya” terang Miss Pang pada aku.

Aku berkalih pada Kakak. Muka Kakak sedikit pucat.

“Kakak, kita pergi hospital ya?” ujar aku pada Kakak.

Aku bimbang juga, dari dia kecil tak pernah dia sakit teruk. Kalau demam pun sekejap je. Demam pun macam tak gaya demam. Aktif berlari sana sini. Ini pertama kali aku tengok Kakak lesu macam ni.

“Kakak ok je ibu, tadi Kakak pening je. Jom balik ibu, Kakak nak baring dekat rumah” ujar Kakak perlahan, masih tertunduk.

Aku pegang dahinya. Normal. Tak panas. Tak demam.

“Ok, kita balik ya” aku balas memujuk.

Mungkin tak sedap badan sungguh Kakak ni.

“Kakak sakit kepala ke?” soal aku dengan suara sedikit kuat, melawan bunyi enjin motorsikal.

Hajatnya nak bawak balik Kakak ke rumah dulu. Petang sikit bila ayahnya dah balik dari kerja, aku akan bawa Kakak pergi ke hospital. Mulanya tadi terasa bimbang tapi bila aku dah jamah dahi Kakak, aku jadi lega sikit. Mungkin Kakak pening biasa.

“Kakak pun tak tahu ibu, tiba-tiba je Kakak rasa mengantuk” Kakak membalas.

Eh? Takkan la kau mengantuk sampai terjelepok pengsan?.

“Ibu rasa Kakak tidur awal dah semalam” aku balas. Kejap-kejap berkalih pandang wajah Kakak melalui cermin sisi motorsikal.

Aku sengaja ajak berborak. Buatnya dia tertidur atas motor ni, nahas nanti.

“Lepas Kakak nampak dia Kakak terus jadi mengantuk” Kakak bersuara perlahan.

“Nampak dia? Kakak nampak apa?” soal aku. Senyap. Tak berjawab.

“Kakak, Kakak nampak apa?” soal aku kali kedua apabila masih tiada respon dari Kakak.

Aku cuba tengok Kakak menerusi cermin sisi belah kiri. Kakak hanya senyap. Membalas pandangan aku. Tapi Kakak nampak lain. Muka Kakak macam tengah tahan marah. Matanya dibulatkan. Memandang tajam. Nampak dadanya turun naik menahan nafas. Hilang muka manis Kakak. Dah kenapa tiba-tiba naik angin anak aku ni?

“Kakak?” panggil aku kemudian mengalihkan pandangan ke jalan. Risau fokus pemanduan aku terganggu.

“DUUMMMM!!!!”

Benda ni berlaku sepantas kilat. Tiba-tiba aku dengar ada bunyi benda terjatuh di belakang motor aku. Bunyi macam benda padat. Macam bunyi badan manusia bila jatuh. Motor aku serta merta terasa ringan. Aku baru perasan tangan Kakak dah tak rangkul pinggang aku.

“Kakak!!”aku terjerit bila tengok cermin sisi. Sah. Kakak yang jatuh!!!.

Aku berhentikan motor. Aku rasa macam nak pitam bila tengok Kakak terlentang di tengah jalan raya. Belakang motor aku tadi ada sebuah van. Mujur van tu sempat berhenti. Kalau tak, dah kena lenyek Kakak ni.

“Kakak!!!!” aku menjerit dan berlari ke arah Kakak. Keadaan jalan raya masa tu jadi hingar tidak semena-mena. Mana taknya ada budak jatuh terlentang di tengah jalan raya.

Kakak terbaring kaku, mata terbeliak ke atas. Macam kena sawan. Kakak menderam. Aku panik sebab Kakak tak pernah jadi macam ni. Sawan ke anak aku ni? Kepala aku mula terasa berat. Aku cuba sedarkan Kakak dengan menampar perlahan pipi Kakak, memanggil nama Kakak berulang kali. Aku angkat Kakak ke bahu jalan.

Masa aku angkat Kakak ke bahu jalan aku nampak mata Kakak mulai kuyu, tidak terbeliak macam tadi. Kakak juga dah berhenti menderam. Dah elok ke Kakak ni. Sawan ni sekejap je ke?.

“Anak akak macam kekejangan tadi, mujur saya bawak van slow. Kalau tak…” ujar budak lelaki tu tidak menghabiskan ayat. Dia tolong menolak motor aku ke bahu jalan. Nampak air mukanya yang terkejut.

Memang mujur budak tu bawa perlahan vannya, kalau tak memang Kakak dah terbaring bawah van.

“Ibu, Kakak mengantuk. Kakak nak tidur” ujar Kakak perlahan lalu memejamkan mata.

Kakak sedar dalam tak sedar. Macam Mat Gian tengah lalok. Mengantuk dia macam kau tak tidur semalaman. Kot ye pun kau mengantuk, tunggu la sampai rumah. Ni boleh kau nak lena atas jalan raya ni. Aku masih kebingungan, duduk merangkul Kakak yang sedang tidur. Tidur la kot.

“Mari kak, saya hantar ke hospital, bahaya jugak akak naik motor dengan keadaan akak macam ni”. cadang budak lelaki tu.

Aku sekadar angguk tanda setuju. Aku masih bingung sebenarnya. Mengantuk apa bendanya sampai dua kali terlentang macam ni. Motor aku tinggalkan di tepi jalan. Rancangan asal nak bawa Kakak balik rumah, tak jadi. Aku hala ke hospital dengan budak bawa van tu.

Sampai je hospital, pihak hospital buat pemeriksaan. Syukur tiada kecederaan serius. Hanya luka kecil di belakang sebab jatuh tadi. Doktor kata, Kakak ni kurang rehat. Kemungkinan juga Kakak kena sawan masa atas motor tadi. Setakat ni kesihatan Kakak tidak membimbangkan. Hari tu juga Kakak dibenarkan pulang ke rumah.

“Takkanlah Kakak penat sangat sampai jatuh macam tu sekali” soal suami aku sambil matanya tertacap di televisyen. Macam tak puas hati.

“Abang kan dengar, doktor cakap mungkin Kakak kurang rehat” balas aku kemudian berkalih pada Kakak yang sedang bermain dengan Dina.

Normal je Kakak. Macam selalu. Galak bermain dengan adiknya. Tak lesu macam petang tadi. Elok je melompat sana sini.

Aku pun sebenarnya rasa tak puas hati dengan apa yang Doktor terangkan tu. Tapi mesti dia lagi mahir hal sakit manusia ni. Jauh di sudut hati aku, aku rasa ada benda lain yang tak kena dengan Kakak. Cuma aku tak pasti apa. Aku teringat apa yang Kakak cakap atas motor tadi. “Lepas Kakak nampak dia Kakak terus jadi mengantuk”. Siapa dia yang Kakak maksudkan?. Tak sempat aku nak tahu, Kakak dah terjatuh.

“Nanti kita pergi hospital lain pula. Dalam 2, 3 hari ni Kakak duduk rumah je, tak payah pergi sekolah”

Bagus juga cadangan tu. Biar Kakak rehat. Mungkin Kakak penat sangat.

“Kakak, nak tidur dengan ibu ke malam ni?” aku soal sambil berkalih pada Kakak yang sedang leka bermain. Budak, malam-malam macam ni pun ada tenaga lagi. Kalau tak ajak tidur, ada sampai ke pagi ni main.

Kami memang ajar anak-anak tidur asing. Mula umur 5 tahun Melissa dan Medina akan tidur bilik berasingan dari kami laki bini. Tingkat atas rumah aku ni ada 3 bilik. Satu master bedroom iaitu bilik aku, bilik tengah dijadikan ruang pakaian dan bilik hadapan bersambung dengan koridor tu aku jadikan bilik Kakak dan Dina.

“Takpe la ibu, Kakak tidur dengan Dina je malam ni” jawap Kakak mengah, main berlari-lari dengan adiknya. Gamat suaranya. Dua orang je pun, bising mengalahkan ada 10 orang.

Malam tu tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah aku tiba-tiba tersedar dari tidur. Tekak terasa perit, panas betul malam ni. Bahang rasanya. Dalam keadaan mata terpejam aku meraba-raba meja sisi katil. Selalunya laki aku ni bawa naik botol air masak ke atas. Puas aku gagau, tak jumpa. Aku buka mata. Terpisat-pisat cari botol air dalam bilik yang gelap. Cerah pun sikit je, itu pun sebab lampu jalan di belakang rumah ni.

Meja sisi katil kosong. Dia lupa la ni bawa botol air naik atas. Aku berkalih tengok suami aku lena berdengkur di sebelah. Berselimut sampai ke kepala. Tak panas ke dia ni? Aku ni berpeluh macam mandi, dia boleh berselubung.

“Alaa..malasnya nak turun. Tapi dahaga sangat ni”. Aku membebel sendiri.

Sengaja kuatkan sedikit suara masa membebel tu. Nak suruh laki aku dengar. Kalau dia sedar boleh dia tolong ambilkan. Tapi dengar dia tarik dengkur tu macam tak ada gaya nak sedar.

Aku bangun melangkah malas keluar dari bilik. Aku lintas bilik pakaian kemudian membuka perlahan pintu bilik Dina dan Kakak. Nampak dua beradik tidur lena berpelukkan dalam samar-samar. Perlahan-lahan aku turun tangga kayu. Melintasi ruang tamu dan ke arah dapur.

“Nikmat betul minum air sejuk masa panas macam ni” getus hati aku. Masih nikmat teguk air sejuk di meja makan. Tak baik minum sambil berdiri.

Aku berkalih tengok jam di dinding. Pukul 3.14 pagi. Sedang elok dah ni bangun Tahajjud. Dulu kerap juga bangun Tahajjud. Lepas ada anak, makin kurang amalan tu. Konon penat. Bab buat pahala manusia memang selalu penat. Cuba kau nak buat dosa? Tak pernah letih badan. Tu lah mainan setan. Setan yang ada dalam diri tu.

“Dum Dum Dum Dummm..”

“Kreeekkkkk…..BAMMMM!!!!”

Aku dengar bunyi orang berlari naik tangga, membuka lalu menutup kuat pintu. Nak tersembur aku yang tengah minum air. Mujur tak tersedak.

“Abang? Kakak? Kakak ke?” panggil aku sedikit kuat suaranya.

Aku sekadar panjangkan leher jenguk ke arah tangga. Tak nampak kelibat sesiapa pun. Aku malas nak bangun tengok. Tak puas lagi minum air. Selalunya Kakak yang bangun tengah malam turun buang air kecil di tandas bawah. Kadang-kadang dia kejut aku suruh temankan. Waktu datang berani dia, boleh je turun sorang.

Aku tunggu orang sahut panggilan aku. Senyap, tiada bunyi apa-apa.

Siapa pulak yang berlari naik tangga tadi? Kalau dia turun mesti aku dengar. Tangga tu kalau kau pijak sikit pun akan berkeriut berbunyi. Dan takkanlah aku tak nampak sesiapa turun. Kalau dia turun mesti aku nampak sebab lampu ruang tamu terpasang. Dan kalau dia berlari naik, bila masa pula dia turun ke bawah. Ah, sudah!!!

Semakin aku fikir, semakin aku berdebar. Dah la aku sorang je dekat bawah ni. Baik aku naik, seram sejuk rasanya. Bulu tengkuk aku pun dah naik. Teringat cerita Kak Nah, jiran aku yang selalu kena ganggu. Rumah dia selang 3 buah dengan rumah aku. Jangan benda tu datang rumah aku sudah.

Cepat-cepat aku naik tangga. Masa aku naik tangga tu aku dengar suara orang bercakap. Siapa pulak yang bercakap dekat atas. Semua tidur lena tadi. Tapi tak jelas bunyinya. Macam suara budak.

Eh?, macam suara Kakak. Borak apa pulak pagi-pagi buta ni?

Aku buka pintu bilik Kakak. Hanya Dina di atas katil. Mana perginya budak ni? Dengar suara macam dekat je.

“Kakak?” panggil aku perlahan.

Aku tinjau bilik Kakak, cari bawah katil. Mana la tahu dia nak main sorok-sorok. Tak ada pula budak ni. Aku periksa pintu yang menghubungkan bilik dengan koridor. Risau Kakak dekat koridor. Berkunci pintunya. Aku memang sengaja kunci, risau Kakak dan Dina bermain di koridor. Kalau jatuh dari koridor tu, patah tu pasti. Sebab tinggi juga.

“Kakak dalam bilik aku kot, bercakap dengan ayahnya” getus hati aku.

Suara Kakak memang macam dekat je, cuma tuannya tak nampak. Apa kejadahnya berborak pukul 3 pagi. Tak boleh tunggu waktu siang ke?. Tapi hanya suara Kakak yang aku dengar, yang pasti Kakak tengah berbual dengan seseorang.

“Tak nak, aku tak nak kawan dengan kau. Dah kacau aku. Aku nak masuk bilik aku” aku dengar suara Kakak. Kali ni sedikit kuat suaranya. Bunyinya macam di bilik aku.

Aku cepat-cepat menapak ke bilik aku. Melalui bilik pakaian. Bilik pakaian ni ada tingkap nako yang menghadap laluan ke bilik aku. Suara Kakak makin jelas. Semasa melintas bilik pakaian ekor mata aku terpandang sesuatu.

“Kakak?” aku panggil sambil memerhati di celah cermin nako.

Dah kenapa duduk dalam bilik pakaian ni? Kakak senyap. Tak menjawab panggilan aku. Tegak menghadap dinding. Membelakangkan aku. Sedikit mendongak. Mengigau nyanyi lagu Negaraku ke apa anak aku ni? Kot gian sangat nak berhimpun waktu pagi di sekolah.

“Kakak?” aku panggil sekali lagi. Masih tiada respon. Kakak berdiri kaku. Tadinya aku dengar dia bercakap jelas, kini dah berhenti. Aku masuk ke bilik pakaian, berjalan ke arah kakak.

“Kakak? Kakak buat apa kat sini?” soal aku sambil goncang bahu Kakak.

Mata Kakak terpejam rapat. Masih mendongak. Seolah-olah menatap dinding. Sleepwalking ke anak aku ni? Tak pernah hayat dia sleepwalking.

“Kakak? Kakak mengigau ni. Jom kita masuk bilik tidur” aku angkat dukung Kakak. Mujur badan Kakak kecil kalau tak aku heret je macam tarik upih.

Masa aku berpaling keluar dari bilik pakaian, aku terdengar satu suara. Tak jelas sangat bunyinya. Suara perempuan.

“Aku dah datang” suara macam separuh berbisik.

Sebenarnya masa aku dengar suara tu kaki aku dah mula terasa lembik. Terketar-ketar aku dukung Kakak masuk ke bilik. D***h macam naik dari kaki berhimpun dekat kepala. Berat terasa kepala aku. Aku ni takde la berani sangat. Tapi tak nak fikir bukan-bukan. Dah la laki aku ni selalu tinggal aku dengan anak-anak je dekat rumah, layan gian mancing dia.

Mungkin bunyi radio barangkali. Aku sengaja sedapkan hati. Dalam bilik pakaian, aku ada letak radio kecil. Sambil lipat baju boleh juga layan telinga. Mungkin Kakak hidupkan radio masa dia sleepwalking. Dah kalau radio pergi la tutup la kan? Memang tak la aku nak masuk bilik pakaian tu. Aku positif bukannya bodoh. Biar la radio tu berbunyi sampai pagi. Kalau bunyi tadi memang bunyi radio la kan?

Lepas aku baringkan Kakak, aku terus ke bilik aku. Tak berkalih langsung ke bilik pakaian. Laki aku masih lagi dibuai mimpi. Nak kejut dia kesian. Lena sangat tidurnya. Sekejap lagi bangun la tu. Nak dekat subuh dah. Malam tu masa bila aku tertidur semula aku pun tak tahu. Sedar-sedar laki aku tepuk bahu suruh bangun solat subuh. Tak jadi solat Tahajjud aku malam tadi.

Kakak dan Dina masih belum bangun. Suami aku dah pergi kerja, awal lagi. Banyak kereta kena baiki katanya. Suami aku ni mekanik, ada rezeki lebih sikit dia dapat buka bengkel sendiri. Tak ada la mewah sangat hidup kami, lepas la nak makan aku anak beranak.

Hal malam tadi aku lupa dah, sengaja buat-buat lupa sebenarnya. Risau dilayan makin aku takut. Aku dekat dapur tengah nak masak bekal makanan tengah hari untuk suami aku. Kejap lagi pekerja dia datang ambik.

Terasa sunyi pula pagi ni. Selalunya dengar suara Dina. Ni dia tak bangun lagi. Lambat betul bangunnya. Kakak tu biasa dah, awal lagi kena pergi sekolah. Tinggal aku dengan Dina je la. Hari ni dua-dua ada.

“Kakak!!! Dina!!! Bangun. Tak elok bangun lewat!!!” jerit aku dari bawah. Ni kalau zaman aku dulu. Tak ada maknanya kau nak bangun lambat. Kalau kau nak rasa getah paip hinggap atas badan berserta dengan buletin pagi kau buat la hal.

“Awal mak baca berita pagi ni” kata adik aku, Nazilah bila dengar mak tengah tabur peluru bingit dekat dapur. Adik aku ni perangai macam jantan. Sama la macam adik bongsu aku tu. Zaman anak dara dulu bab kerja rumah liat. Bila aku suruh tolong jemur kain boleh dia kata panas sangat dekat luar, tunggu teduh dulu. Tak, dia tak bodoh, dia tahu kalau dah teduh tiada guna jemur pakaian. Cuma dia malas. Banyak alasan. Dulu padang bola dekat kampung tu dia lah raja, sampai orang tak panggil dia Nazilah, orang panggil dia Salleh. Dah perangai macam bapak jantan. Selagi mak tak hambat balik selagi tu la tak balik. Kulit dia pun dah kebal dengan bedalan mak. Sekarang ni Uyad pula jadi penganti. Molek la dua beradik.

“Ha!! Mana aku tak bising pagi-pagi. Nama je anak dara, bangunnya nak tunggu ayam tu terkeluar anak tekak berkokok baru bangun” balas mak dari dapur. Ha tu la kau, sengaja jolok sarang tebuan.

Tertawa sendiri aku teringat zaman anak dara. Sekarang Uyad la jadi mangsa. Nasib la dik. Tadah je la telinga.

“Ibu, ayah dah pergi kerja ke?” tanya Kakak sambil duduk di depan televisyen bersama Dina.

“Dah, awal lagi. Kakak ni ambik ikan ni kejap letak bawah saji depan tu”

Aku baru saja angkat ikan kerisi yang aku goreng tadi sebelum jauh mengelamun. Panas lagi ikan nya. Nampak lagi gelembung minyak melepuh di permukaan ikan. Aku nampak Kakak bangun menapak ke dapur. Aku sambung cuci pinggan mangkuk baki guna makan pagi tadi.

“Hmmmm..Hmmm..Hmm…” bunyi menderam, kuat juga suaranya.

Aku dengar suara menderam dari belakang. Kasar bunyinya macam lembu jantan tengah target nak rempuh orang. Aku berkalih ke belakang, aku tengok Kakak tengah ramas ikan yang panas-panas tu. Habis hancur ikan goreng aku. Nak tolong ibu upgrade menu pun agak-agakla. Orang tak makan ikan hancur macam tu.

“Kakak!!” jerit aku. Bukan jerit marah sebab ikan tu hancur, aku jerit sebab aku gerun tengok tangan kakak. Ikan tu panas lagi. Sakit la tangan tu.

Aku rampas pinggan yang berisi sisa ikan dari tangan Kakak. Aku tengok ada saki baki tulang ikan yang tercucuk dan melekat di tapak tangan Kakak. Ada sedikit d***h di sini sana. Kakak memandang aku bengis. Menahan-nahan nafasnya. Menderam. Macam nak terkam aku.. Aku panggil nama Kakak. Digoncangkan sedikit badannya.

“Kakak??” berpeluh dahi aku tengok Kakak macam ni.

Tiba-tiba Kakak berhenti menderam. Seolah-olah tersedar lepas aku goncang badan dia tadi.

“Ibu, Kakak mengantuk la. Kakak nak tidur” kata Kakak ringkas dengan mata kuyu. Eh? Tadi kau pandang ibu macam nak terkam, ni kau boleh nak tidur pulak?

Kakak berjalan ke ruang tamu lalu tertidur sebelah Dina. Aku masih berdiri kaku di dapur. Aku kaget. Terkejut tengok perubahan Kakak sekelip mata. Dah dua kali benda ni jadi. Sakit apa anak aku ni.

“Abang, Kakak ni pelik la. Saya risau dia terkena apa-apa dekat sekolah. Tengah hari tadi boleh dia ramas ikan yang saya baru siap goreng. Tangan dia habis luka kena tulang ikan. Kita bawak balik Kakak jumpa ayah dekat kampung la” cadang aku bimbang.

“Tak ada apa la Kakak tu, masa tu terkena sawan kot. Jadi tak sedar apa yang dia buat. Kenapa awak tak bawa ke hospital terus?”

“Sawan apa bendanya macam tu, tengok saya macam nak terkam” balas aku tak puas hati. Nak je sekeh kepala. Orang cakap tak nak dengar. Kalau bukan laki aku ni lama dah aku sekeh.

“Dah la, tak payah fikir bukan-bukan. Nanti kita bawak pergi hospital check semula” ujar suami aku mematikan perbualan.

**********************************************************************************
“Dah tu, hospital cakap apa Ram?” soal ayah kepada abang ipar aku.

“Dalam sebulan ni, dah berpuluh kali ulang alik hospital. Sekejap kata ada jangkitan kuman dalam kepala. Sekejap tak ada apa. Dah bagi makan ubat yang hospital bagi tapi macam tu juga. Lepas dia kejang buat perangai terus jadi lalok mengantuk. Bila tanya dia, dia kata dia tak ingat dia buat apa” ujar abang ipar aku serius sambil urut dahi.

Aku setia je mendengar. Ye la, perbualan orang tua. Menyampuk kang benjol kepala. Silap-silap dahi ada cucur seketul.

“Naurah selalu cerita. Yang dia selalu kena benda pelik-pelik tapi saya tak nak layan sangat. Hari tu, tiba-tiba Dina bermain di luar rumah pukul 4 pagi. Mujur jiran sebelah nampak. Padahal pintu pagar semua berkunci. Nak kata dia buka, dia tak pandai. Saya fikir saya tak kunci pintu pagar la kot malam tu. Tak nak difikirkan sangat, risau semua bertambah takut kalau saya layan. Saya tak percaya sebab saya memang tak pernah kena. Tapi lepas malam kelmarin tu rasanya memang sahih dah apa yang Naurah cerita” balas abang aku lalu memandang Kak Long aku.

Kak Long buat muka macam “padan muka kau, aku cerita tak nak percaya”.

**************************************RAM*************************************
“Teeettttttttttttttt……”

Bunyi bingit televisyen membuatkan aku tersedar. Berpisat-pisat mata aku pedih. Kenapa cerah sangat bilik ni. La..aku tertidur dekat ruang tamu ke? Aku baru teringat yang tadi aku sedap layan cerita. Esok cuti, boleh la layan tv. Kalau tak awal lagi aku masuk tidur.

Anak bini aku awal lagi naik atas. Tidur dah la kot. Aku berkalih tengok jam. Dah pukul 12 rupanya. Patut la TV dah keluar gambar belang-belang warna warni tiada siaran. Aku bingkas bangun matikan TV dan lampu ruang tamu lalu naik atas.

“Adoi la, tertinggal pulak botol air” aku mengomel sendiri. Separuh naik anak tangga baru teringat.

Aku pusing semula turun semula ke bawah. Tak bawa air naik nanti kena bebel dengan bini aku. Aku lintas ruang tamu yang sedikit terang kerana lampu dapur yang masih menyala. Tengah khusyuk isi air dalam botol, aku dengar pintu bilik air di belakang aku tertutup kemudian bunyi air mencurah.

“Naurah?” aku panggil. Bini aku kot. Turun buang air barang kali.

“Hmmmm” Naurah jawab ringkas.

Mungkin dia turun lepas tu masuk bilik air masa aku tengah leka isi air dalam botol tadi. Alang-alang isi air aku perabis semua botol kosong yang ada. Boleh simpan dalam peti sejuk.

“Naurah, abang naik dulu ya. Nanti tutup lampu dapur ni ha” ujarku aku sambil pandang ke arah pintu bilik air yang masih terkatup.

“Hmmmm..” dengar suara Naurah di sebalik bunyi curahan air.

Kot ye pun khusyuk membuang, jawab la banyak sikit. Aku mengomel sendiri lalu menapak naik tangga.

Aku buka pintu bilik. Mengantuk sangat dah ni. Tak boleh berjaga lewat macam zaman bujang dulu. Dulu 3 pagi segar lagi mata, berborak dekat mamak. Sekarang pukul 11 paling lewat aku boleh berjaga, lebih daripada tu tak boleh dah.

“Lambat abang naik. Habis dah ke tengok cerita?” aku dengar suara Naurah menegur dalam bilik aku yang gelap.

Botol air yang aku pegang terlepas dari tangan aku.

“Dup..Duppp..Duppp” nak terkeluar jantung aku berdegup. Macam nak terloncat keluar.

Kalau bini aku dekat bawah, dalam tandas. Yang ni siapa pula dalam bilik ni?. Tak pun kalau yang dalam bilik ni bini aku, yang aku pesan suruh tutup lampu tu siapa?.

Terketar-ketar tangan aku cari suis lampu. Nak tak nak buka lampu ni. Buatnya muka tak macam orang. Pengsan juga nanti aku dekat sini. Pundi kencing aku tiba-tiba terasa penuh. Jangan terkencing dekat sini sudah. Aku tekan suis lampu.

“Dah kenapa pulak botol air jatuh” tanya Naurah yang sedang berbaring di atas katil. Mengangkat sedikit kepala memandang aku yang masih berdiri kaku. Berpisat-pisat mencelik mata pedih cuba lawan cerah lampu bilik.

“Tangan abang licin sebab minyak urut. Sapu dekat betis tadi. Abang turun kejap nak basuh tangan” kata aku memberi alasan. Cuba sembunyi rasa takut.

Sah yang dalam bilik ni bini aku berdasarkan baju tidur, dengan bau bilik yang penuh dengan minyak angin. Bini aku ni ketagih minyak angin. Orang kalau tidur, nak hidu bantal busuk tapi dia tidur nak hidu minyak angin. Kalau aku hilang tak apa, jangan minyak angin dia hilang.

Aku matikan suis lampu. Naurah dah kembali tidur. Aku dalam dua. Nak tengok ke tak siapa dekat bawah. Selama ni Naurah cerita aku tak percaya, konon khayalan Naurah je. Ni nak tahu jugak, khayalan aku atau benda tu betul-betul berlaku. Nak kenal jugak Naurah nombor 2. Kot-kot lawa boleh buat bini. Cehh!! Berlagak.

Lama aku berdiri hujung tangga depan bilik aku. Nak turun ke tak. Selama ni aku cakap bini aku buat cerita sebab terpengaruh dengan cerita hantu yang Kak Nah cerita. Malam ni aku yang kena. Aku kena juga turun. Kata anak jantan, mana boleh penakut.

Aku turun perlahan-lahan. Bunyi air dalam bilik air masih kedengaran. Sah ada orang dalam bilik air tu. Aku berhenti di tengah anak tangga. Berpeluh macam baru lepas lari pecut 100 meter. Aku intai ke bawah. Nak turun rapat macam tak berapa berani. Kalau aku intai dari bahagian tengah ni aku hanya akan nampak sebahagian ruang tamu aku je, ruang dapur aku tak nampak.

Sedang elok aku tengah intai, bunyi air tiba-tiba berhenti kemudian aku dengar bunyi pintu bilik air terbuka. Aku telan air liur kelat. Habis aku kali ni.

Aku nampak bayang-bayang orang berjalan di ruangan dapur. Biasan pergerakkannya aku nampak dekat ruang tamu. Aku nampak bayangnya menghampiri suis lampu dapur. Aku dengar bunyi suis lampu tertutup. Serta merta ruangan bawah jadi gelap. Namun sedikit cerah kerana lampu halaman rumah masih menyala. Aku nampak bayang benda tu semakin menghampiri ruang tamu. Menghampiri tangga. Aku masih perhatikan dari tengah tangga.

Sedikit demi sedikit aku nampak tubuh dia.

Semakin dia mendekati, bentuknya semakin jelas aku nampak.

“Tap..tapp..tap..” dia berjalan mendekati ruang tamu.

Aku nampak kaki. Tu kaki Naurah, aku kenal la kaki bini aku. Dah 8 tahun kahwin, takkan tak kenal kaki bini sendiri”

“Tap..tapp..tap..” dia berjalan semakin mendekati.

Aku nampak dari lutut hingga kaki. Baju kelawar. Tu baju kelawar yang Naurah pakai malam ni. Naurah ke? Ah sudah…

Dah tu, aku bercakap dengan siapa pula dalam bilik tidur tadi.

“Tap..tapp..tap..” dia menghampiri lagi.

Kali ni aku nampak dari pinggang ke kaki. Naurah dah ni.

“Tap..tapp..tap..” semakin dekat lagi

Aku nampak dari dada ke kaki. Berjuntai rantai emas yang aku bagi masa majlis batal air sembahyang, masa nikah dulu. Sah Naurah ni.

Aku baru gerakkan kaki nak turun setapak anak tangga.

“Tap..tapp..tap..” Dia datang dekat capai pemegang tangga. Aku masa ni daripada nak turun setapak anak tangga, aku terus loncat naik 10 anak tangga sekali gus. Sah tu bukan Naurah. Sahih dah, dalam bilik tu bini aku.

Macam mana aku pasti yang dekat bawah tu bukan Naurah? Sebab dia tiada kepala. Batang leher je yang ada. Hebat dia tunjuk pada aku. Aku jatuh terduduk dekat hujung tangga. Aku nampak Naurah yang tak ada kepala tu naik perlahan-lahan anak tangga. Aku kaku terduduk. Nak angkat p******g lari macam terasa tak ada kaki. Hilang habis deria badan aku. Semua longlai. Bukan aku tak pernah kena sakat. Masa mengail banyak kali kena. Tapi tak pernah kena yang tak ada kepala macam ni.

“Kan aku dah kata, aku dah datang” aku dengar suara dia. Sebiji suara bini aku. Tiba-tiba aku rasa kepala aku berpusing. Persekitaran aku nampak kelam. Lepas tu aku tak ingat apa. Sedar-sedar je dah subuh.

“Dah abang kenapa tidur dekat tangga?” tanya Naurah pelik tengok aku terbaring dekat hujung tangga.

“Kenapa bau hancing ni?” soal Naurah, memandang aku sangsi.

Sampai terkencing aku kena. Masa bila aku terkencing pun aku tak ingat.

“Telefon ayah suruh datang rumah kita” aku minta Naurah telefon ayah masa tu juga. Baru sekali kena dah mengelabah. Anak bini aku kena dalam sebulan dah aku tak buat apa. Aku telan air liur pahit teringatkan sikap acuh tak acuh aku.

Bersambung…

*Ada yang bertanya, semua yang aku cerita ni cerita betul ke. Ya semua cerita ni kisah benar, bukan rekaan. Yang aku ubah hanya nama watak dan beberapa perkara untuk privasi. Kalau ikutkan banyak je kisah aku nak ceritakan, tapi tu la tak ada masa menulis. Layan dulu kisah ni ya.
Ps/-Tulis komen banyak-banyak ye, terhibur aku baca komen kamu semua- UYAD

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

UYAD

10 thoughts on “KISAH UYAD 2.0”

  1. Cuba kamu bubuh title tu ikut cerita kamu Uyad. Contoh macam..Kisah Uyad: Mak Tapik, Kisah Uyad: Siapa ganggu Kakak..haa gituu..takde la aku konpius nak baca sebab cerita kamu lain-lain berdasarkan pengalaman kamu ye dak..tapi apa-apapun cerita kamu ni memang best..jangan kata 700 like, 1700 like pun aku sanggup bagi kat kamu 😆

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.