Kolong

Nama aku Neli. Kisah ini berlaku waktu aku berumur belasan tahun. Ketika itu orang kampung sibuk bersiap menyambut kedatangan bulan puasa. Maka seperti kebiasaannya bila datangnya hampir waktu bulan puasa, keluarga aku pun sibuk membuat persiapan-persiapan. Mak akan selalu suruh aku pasang langsir, kemas rumah dan kemas apa-apa yang patut terutamanya di bangsal dapur luar rumah kerana adat kami orang jawa memang masak-memasak guna dapur arang dan kawah besar. Lagipun keluarga aku boleh dikatakan serba kekurangan, jadi mak senang kalau memasak guna kawah besar untuk aku sekeluarga. Bapak aku pula menggalas tugas sebagai imam di masjid. Selalunya waktu pagi dalam pukul 9 atau 10 pagi, anak-anak murid bapak aku yang dewasa datang mengulang bacaan quran dengan bapak aku. Jadi bapak aku sibuk dengan rutin hariannya sebagai kiyai.

Bila bapak sibuk, selalunya mak akan suruh aku buat itu ini terutamanya yang memerlukan kederat orang muda. Satu hari mak sedang menyiapkan bahan memasak untuk makan malam. Tengah-tengah mak potong bawang, mak panggil aku, “Neli, kau pegi ke rumah Mbah Kismun mintakkan tukul. Nak dipakukan buat gantung langsirnya tu.” Aku lantas menjawab “..Baik mak..lagi ada apa nak dipesan?”, “…Itu aja, kalau Mbah Kismun ada, kau sampaikan salam mak..”. “Baik mak.”

Aku pun keluar menuju ke jalan. Terbentang lorong tanah merah sayup hinggap ke jalan besar. Kak Zanah ada tengah memetik buah asam belimbing yang tumbuh bertaut dengan pokok duit-duit di halaman. “Nak kemana Neli? Petang2 terik macam ni?”, “..ke rumah Mbah Kismun..marilah kalau nak ikut”, ujarku sambil menyeret selipar. Cepat pergi cepat balik. Lagipun malam-malam askar berjaga maklum lah tengah darurat zaman jepun. Bahaya kalau balik lewat malam. Jarak rumahku dengan rumah Mbah Kismun adalah lebih kurang setengah batu. Dalam 20 minit berjalan jugalah.

“Yuk (jom)!”, sahut kak Zanah sambil mengibas baju kurung lusuhnya. Kami pun berjalan menyusur jalan besar yang dipenuhi dengan barisan pokok kelapa. Bahang terik petang sedikit meredup dilimbai oleh bayang-bayang pelepah yang menari-nari. Tak berapa lama, kami pun sampai depan simpang rumah Mbah Kismun. Kami pun masuk lorong yang membawa ke rumahnya. Terasa muka perit disimbah cahaya garang mentari petang arah terbenam. Dari kejauhan kami nampak halaman rumah Mbah Kismun yang lapang. Belakang rumahnya sebarisan deretan pohon kelapa tua yang tinggi melampai. Ruang depan rumah Mbah Kismun tampak redup kerana membelakang cahaya mentari yang membenam. Cuma sebahagian cahaya petang yang menyengat itu menyimbah di sebelah kanan rumah Mbah Kismun. Kerana tapak rumah Mbah Kismun, bahagian belakang rumahnya agak sedikit mengarah ke arah barat daya. Jadi cahaya petang pun memantul dan menembusi sisi jendela kanan rumahnya menampakkan sedikit cahaya di dalam ruang tamu rumahnya.

Langkahku dan Kak Zanah menggelengser di atas jalan berbatu merah bertanah laterit itu. Kiri dan kanan jalan dibarisi pokok kelapa dan pokok pisang. Sesekali kelibat tupai bermain dan mengkarung berpeleser laju di celah pelepah-pelepah kelapa yang jatuh terkelempap berhimpap. “Dah nak sampai”, kata Kak Zanah. Akhirnya kami pun sampai.

Tersergam rumah dua tingkat binaan jawa lama. Dengan sebelah kanannya terdapat tangga naik ke atas. Tangga berwarna merah mungkin adaptasi dari seni tangga melaka. Jendelanya dibuat dari kayu. Tertutup rapat. Bawah jendela pula diampu oleh tiang kolong. Kolong ini merupakan ruang kecil kebiasaannya bawah paras kepala. Lantainya tanah. Tiangnya banyak..terkadang enam atau lapan. Kolong bawah rumah Mbah Kismun ini bersambung dengan dinding ruang tengah. Jadi ada pintu masuk ke dalam rumah jika kita lalui bawah kolong, selain pintu utama di tingkat atas yang hanya boleh dimasuki melalui tangga. Kami pun terus ke bawah kolong. Suram, matahari meredup.

Beberapa langkah nak sampai ke bawah kolong, kami berhenti. Mata melingas-lingas memerhati jendela atas dan jendela kiri.

“Assalamualaikummm…Mbahh..oo Mbahh…Neli ni dengan Kak Zanah”, laungku memberi salam.

Senyap. Angin petang sedikit menyapa.

..”Assalamualaikummm…Mbah..oo Mbah..”

Masih senyap.

Aku memberanikan menapak sedikit ke dalam muka kolong. Segan jugak. Selalunya datang dengan mak, terua je masuk ke pintu utama bawah kolong. Tapi kali ni agak segan. Ye lah, perempuan kan. Mesti lah bersopan.

“..Assalamualaikumm…mbahh…ooo…Mbah…”

Sejurus selepas salam yang ketiga, mata aku melirik ke dalam rumah Mbah Kismun. Dalam samar-samar rembang cahaya petang yang masuk ke dalam rumahnya aku ternampak macam ada orang. Tengah duduk di kerusi malas berayun. Lama aku perhatikan. “..Kak Zanah, Mbah…” kata aku ada kak Zanah. “Jomlah balik Neli, aku risau Mbah marah nanti. Petang-petang kita datang kacau dia nak berehat. Lagipun cukup syarat dah bagi salam tiga kali”, …Ya, aku tau. Dalam Islam bapak aku ajar, tiga kali bagi salam kalau orang tak nak jawab, balik lah. Maknanya mungkin dia ada hal penting.

Tapi aku tak setuju dengan Kak Zanah nak balik. Dah penat-penat berjalan. Lagipun karang mak kata apa pulak tak dapat pinjam tukul. Aku pun kering-kering je masuk dekat sikit bawah kolong. “..Mbah…aku ni, Neli dengan Zanah anak Wak Semar dan Wak Siah. Wak Siah nak pinjam tukulnya nak buat paku langsir…boleh Mbah??”

Mbah masih duduk di kerusi malas tanpa sepatah jawab. Rokok cengkihnya berasap berkepul halus. Indah terlihat dibayangi cahaya petang samar-samar. Kakinya melekap pada palang kaki kerusi malas. Menolak perlahan membuaikan kerusi malas kayu itu. Kain pelekatnya nampak kendur, sekendur usianya. Badannya tersandar rapat pada batang-batang kerusi kayu rotan itu dengan tangannya yang nampak urat berkedut, terbuai-buai perlahan..dari sisi tepi aku lihat pipi kirinya agak cengkung dek dimamah tua. Sekali lagi disedutnya lenteng cengkih, menggerepih bunyi cengkih meletus..haruman cengkih membuak menerawang ke udara ruang tamu bawah kolong.

“..Mbah..kami nak minta…” …belum sempat aku sambung tiba-tiba Mbah menoleh ke arah kami. Aku dan Kak Zanah terpaku. Tiba-tiba alam sekeliling nampak kelam dan hening. Fokus aku hanya tumpu pada pandangan tajam Mbah. Dalam samar membelakang cahaya matahari petang itu, walaupun raut wajahnya kelam dalam bayang namun ada sesuatu yang buat aku berdebar.
Mbah Kismun tak ada mata hitam! Aku kebilkan betul-betul mataku. Ya, ada mata hitam! Tapi….. kecil macam mata ayam!! Tiba-tiba berderau naik darah dengan bulu roma aku. Macam ada karen letrik. Zzzzzttt!. Telinga jadi berdesing perlahan-lahan. Dammmmm!!!! Tiba-tiba bunyi macam barang berat jatuh di lantai kayu tingkat atas betul-betul atas kepala kami.

“Aaaaaaa..!!!” Kami menjerit dan lari…putus cungap nafas aku dibuatnya. Kaki rasa berat. Perut rasa senak. Kepala rasa macam kena cengkam dan kepala rasa macam kena letrik rambut tercacak. Tak menoleh lagi aku ke belakang. Kak Zanah ke depan sikit mendahului aku. Rasa nak menangis dalam masa yang sama rasa cuak gelabah disusuli rasa haru biru. Lebih kurang tiga puluh tapak berlari sampailah kami di hujung lorong bertemu simpang kecil ke jalan besar. Tercungap-cungap aku menahan nafas. Kak Zanah muka berkeringat kecut terlelah-lelah memandang tanah. Lalu kami pun cepat-cepat melangkah ke jalan besar. Bila nampak kereta lalu lalang barulah aku rasa lega. Siak di masjid pun bertahmid tanda nak masuk waktu asar. Lega.. Bas orang balik dari kerja berhenti di tepi kami yang duduk di perhentian bas menarik cungap lelah yang hilang. Satu-satu orang turun dari bas yang lalu ke jalan Kuala Selangor itu. Tiba-tiba aku terpaku pada satu orang tua yang turun dari bas itu. Orang yang aku sangat kenal dan tidak asing. Mbah Kismun!!! Dengan tongkatnya dan kain pelikatnya dan talipinggang jawa yang berwarna hijau terlilit di pinggangnya. “Mmm…mmb..mmbbahh..!” Sahut ku.

“Eh, Neli, Zanah, apa kamu buat di sini? Nak ke mana ni?” Tanya Mbah pelik.

“..Kk…kami …aa..dari rumah..mbbah tadi..” sahut ku gagap.

“Alahai ya kah. Maaflah mbah baru balik dari bandar Klang tadi. Ada beli barang sikit. Yuk lah, kita ke rumah Mbah”, pelawa Mbah Kismun.

“Tak apalah Mbah, kami balik dulu, assalamualaikum”, sahut aku kepada Mbah. Lalu cepat-cepat aku balik ke rumah dan bagitau mak apa yang kami lalui masa di kolong bawah rumah Mbah tadi sampai la kat jalan besar.
Kemudian dah lama, baru mak jawab : “Korang nak tau siapa yang korang jumpa tu?”… “Siapa dianya tu mak??”, jawab kami.

Kemudian mak balas :

“HANTU RAYA”

…sekian…

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

A.C Mohamad

31 comments

  1. Penulis baru belasan tahun waktu kejadian dan pada waktu itu, darurat jepun. kalau nak kirakan, penulis dh sebaya nenek aku dah ni. mantap, tua2 pun nak bernovel seram. Saing2 Tun M ni, makin tua makin menjadi.

      1. sebab tak baca lah aku tanya. yg kau ni pun baru aku nak happy ingatkan ada yg baik hati nak bg aku sinopsis cerita ni. rupanya. ermmmm.

    1. Kolong ini merupakan ruang kecil kebiasaannya bawah paras kepala. Lantainya tanah. Tiangnya banyak..terkadang enam atau lapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.