Aku selalu suka berjalan di tepi pantai waktu senja. Di hujung pekan nelayan tempat aku membesar, ada sebuah dermaga lama yang sudah tidak digunakan lagi. Orang kampung panggil tempat itu Dermaga Sunyi, sebab sejak 10 tahun lalu, tiada bot berlabuh di situ. Kata orang, tempat itu ‘keras’. Tapi bagi aku, ia hanya dermaga kayu tua yang ditelan masa.
Suatu petang, aku kembali ke kampung selepas bertahun merantau. Aku jalan seorang diri ke dermaga itu, ingin mengenang kenangan lama. Matahari hampir tenggelam, langit jingga kemerahan. Angin laut bertiup perlahan, membawa bau asin bercampur hanyir. Kayu dermaga berderit setiap kali aku melangkah, seolah-olah menyambut kepulangan aku.
Di hujung dermaga, aku berdiri memandang laut. Ombak memukul perlahan, dan dalam cahaya senja, aku nampak seorang wanita berbaju merah berdiri di atas batu karang, melambai-lambai ke arahku. Rambutnya panjang, menari ditiup angin, wajahnya samar. Aku balas lambaiannya tanpa rasa curiga. Tapi saat aku berkedip, dia hilang.
Aku fikir mungkin mata aku bermain. Tapi tiba-tiba, aku dengar suara lembut, sayup dari arah laut:
“Datanglah lebih dekat…”
Malam itu, aku tidur di rumah lama arwah nenek. Tengah malam, aku mimpi. Dalam mimpi, aku berdiri di dermaga sama. Wanita berbaju merah itu muncul, kali ini lebih jelas. Wajahnya pucat, matanya sayu, bibirnya tersenyum samar. Dia melambai lagi, memanggil aku ke arahnya.
“Temani aku… senja ini terlalu sepi…”
Aku terbangun, jantung berdegup kencang. Peluh dingin basahi badan. Tapi yang buat aku lebih takut, aku dapati kaki aku basah dengan air laut, dan lantai bilik dipenuhi pasir halus.
Keesokan harinya, aku bertemu Pak Mail, nelayan tua di kampung. Aku ceritakan apa yang aku alami. Wajahnya terus berubah.
“Kau nampak dia?”
“Siapa dia?” aku bertanya.
Pak Mail bercerita, 10 tahun lalu, seorang gadis kampung bernama Salma mati lemas dekat dermaga itu. Dia cuba selamatkan tunangnya yang terjatuh ke laut, tapi kedua-duanya tak ditemui hingga kini. Orang kampung percaya rohnya masih menunggu di senja hari, melambai sesiapa yang lalu. Siapa yang sambut lambaian itu, katanya akan ikut dia ke dasar laut.
Aku nekad nak buktikan semua itu hanya cerita. Petang berikutnya, aku kembali ke dermaga. Senja merangkak turun, cahaya langit bertukar jingga pekat. Angin bertiup lebih kuat, ombak memukul kayu dermaga dengan ganas.
Di hujung dermaga, dia muncul semula. Kali ini lebih dekat. Wajahnya jelas, cantik tapi murung. Dia melambai, lebih kuat dari semalam. Suaranya bergema:
“Azwan… ikut aku…”
Aku terkejut dia tahu nama aku. Tapi kaki aku bergerak sendiri, melangkah semakin hampir ke hujung dermaga. Mata aku terasa berat, fikiran aku kabur. Ombak di bawah makin kuat, seolah-olah menarik aku.
Tiba-tiba, aku rasa tangan kasar menarik aku ke belakang. Pak Mail! Dia menjerit, “Jangan pandang! Jangan ikut dia!” Kami terjatuh bersama ke lantai kayu. Saat itu, sosok wanita merah itu menjerit nyaring, suaranya bercampur dengan bunyi ombak. Matanya bertukar hitam, mulutnya koyak luas. Dia melompat ke laut, hilang bersama gelora ombak.
Kami lari meninggalkan dermaga malam itu. Pak Mail menggigil, “Kau bernasib baik. Ramai dah hilang sebab ikut lambaian dia. Dermaga ni bukan tempat untuk manusia waktu senja.”
Aku tinggalkan kampung keesokan harinya. Tapi aku tak pernah tenang. Kadang-kadang waktu senja, aku masih teringatkan dengan apa yang terjadi sebelum ini.