LANCANG

ASSALAMUALAIKUM,

Saya kongsikan kisah dari anak saya yang terkena tempias semasa projek akhir mereka. Kisah ini telah saya kongsikan di page saya, MUNAWIR SANG YUNUS

LANCANG
Perkara itu telah lama dibahaskan. Akhirnya, persetujuan dicapai dengan undi. Ramailah pula yang hendak buat shooting di situ. Kawasan jeram di Tasik Hijau, Bukit Ibam, Muazam Shah. Selain dari ada peruntukan yang lebih, mereka ke sana kerana meraikan rakan mereka yang telah awal bertemu jodoh. Selepas itu, semua mereka akan balik ke dua buah inap desa yang disewa berdekatan di bandar Muazam Shah.

Tiga pelajar perempuan dan lima pelajar lelaki tahun akhir yang diletakkan dalam satu kumpulan, wajib menyiapkan tugas itu. Kerja belakang tabir lagi belum dikira. Mereka pergi sebelum makan tengahari, mengambil kesempatan cahaya matahari yang bagus untuk lighting video yang akan diambil nanti. Projek akhir yang sangat membebankan. Semuanya harus sempurna, lulus atau tidak bergantung kepada projek ini.

Kerana biasa mengambil gambar dan video di kawasan hutan, sungai, pantai, jeram dan air terjun, kebanyakan mereka sudah tahu apa hendak dibuat. Projek akhir itu sedikit rumit. Walaupun sudah biasa dengan hutan, ada yang masih lagi berdegil. Manusia yang tidak tahu adab, yang merasa kemodenan itu tidak selari dengan dunia mistik. Bukan salah didikan ibu bapa. Terlalu moden juga, ada kekurangannya. Biadap yang tidak bertempat.
Malangnya, ada yang tidak tahu adab. Ada yang sangat bising, ada yang bermulut celopar, ada yang membuang sampah sesuka rasa. “Mana ada hantu zaman-zaman moden ni. Mari kenalkan dengan aku, aku ajar dia teknik fotografi” laung seorang pelajar lelaki yang terkenal kerana mulutnya yang tidak berpenapis.

Tidak cukup dengan itu, dia mendabik dada memanggil hantu supaya dia boleh merakamkan gambarnya. Yang lain memandangnya, ada yang menegur tetapi kalau sudah biadap, biadaplah. Ketika itu, mereka sudah sampai di jeram dan model yang menggayakan pakaian tradisional Pahang juga sudah siap ditata rias.
Masa yang terbuang sangatlah banyak kerana awan yang tidak memihak kepada mereka. Sekejap terang, kemudian suram. Mustahil gambar boleh dirakam dengan baik. Jadi mereka banyak menunggu matahari dan awan hari itu. Kerana tahu mereka akan lama, ada yang memasak. Cukuplah untuk mengalas perut kerana seharian mereka akan berada di situ. Pelajar lelakilah yang memasak, dan merekalah yang banyak mulut dan membuang sampah.

Selesai juga tugas mereka lewat petang. Terasa penat seluruh badan. Mujur ada jeram dengan air yang sejuk untuk merehatkan badan yang lelah. Van yang telah disewa juga telah menunggu. Setelah siap dan semua masuk ke perut van, mereka pun bertolak pulang. Masing-masing sudah kepenatan. Yang perempuan kebanyakannya tidur. Di dalam van, yang lelaki lebih suka duduk di belakang. Jalan Muazam Shah di tengah malam, memang lengang. Dalam gelap malam itu, hanya nampak pokok silih berganti. Kerja shooting mereka mengambil masa terlalu lama kerana lighting yang tidak memihak kepada mereka.

Sedang asyik dia melayani perasaan, dia perasan ada sehelai “telekung” seolah tersepit di pintu belakang van. Walaupun van tidak dipandu laju, kibaran “telekung” yang meliuk-liuk nampak aneh. Kibarannya seperti ada tangan yang memainkannya. Galak sungguh kibaran “telekung” tu. Jadi, dia pun menyiku kawannya yang terlentok letih. “Nampak tak telekung putih tu? Siapalah punya kerja” katanya tanpa fikir panjang. Kawannya yang tadi terlewah mengantuk, hanya terdiam. dalam gelap, tidak nampak pucat lesinya.

Dia hanya mengabaikan sahaja, kalau sampai di tempat terang dan ramai orang, mereka akan lihat telekung siapa yang tersepit itu. Dia cuba melelapkan mata, tapi pelajar yang biadap tadi sedang berbual dengan pemandu van. Angkuh budaknya, dia tidak tahu nasibnya nanti. Pakcik yang diupah memandu van itu melayan sahaja, mungkin kebosanan.

Sebelum sampai, semua mereka dikejutkan kerana bunyi yang datang dari atas van. Bunyinya seperti ada yang mendarat ke atas bumbung van. Terjaga semua pelajar perempuan, ada yang sudah ketakutan kerana terdengar seperti orang mundar-mandir di atas bumbung. Kerana tidak tahan, pemandu van menghentikan van di tepi jalan dan keluar memeriksa. Pelajar lelaki yang merokok, mengambil peluang untuk merokok. Yang lain meregangkan kaki yang lenguh.

“Tadi aku nampak ada telekung melekat di belakang van” bisiknya pada kawan baiknya. Kawannya itu hanya mendiamkan diri dengan muka yang ketakutan. Sepatah pun ayat tidak terkeluar dari mulutnya. Apabila mereka ke belakang van, semuanya seperti biasa. Tiada telekung yang terlekat. Kalau pun ada telekung yang terlekat, tentunya sudah melayang jatuh entah ke mana.

Mujur juga mereka tidak jauh dari bandar. Tiada sebuah kenderaan pun lalu, sementelah hari telah larut malam. Mereka masuk semula ke van dan meneruskan perjalanan. Mereka tiba di inap desa mereka dan prop yang dibawa, dimasukkan ke dalam inap desa pelajar lelaki. Lengkap semuanya, termasuklah alat solek, pakaian, hinggakan ke rambut palsu.

Ada yang masak mee segera, ada yang mandi, ada yang main game dan ada yang bergayut di telefon. Dia hanya duduk di katil memeriksa gambar yang berjaya diambil di komputer riba. Budak yang bermulut lancang tadi, tidak kelihatan. Masa untuk tidur. Kerana esok mereka bebas, kebanyakannya berhasrat untuk bangun lewat esok paginya. Mereka berjanji akan berjumpa di medan selera sebelum balik ke kampus untuk proses editan. Lampu dimatikan.  Kerana terlalu letih, mereka tidak kuasa untuk melihat siapa yang ada dan siapa yang tidak.

Lebih kurang jam tiga pagi, mereka dikejutkan dengan bunyi seperti tangisan. Mula-mula mereka abaikan, kerana menyangka ada kucing yang bergaduh. Bunyi tangisan itu semakin lama semakin larut, panjang dan terisak-isak. Kedengaran bunyinya seperti yang menangis itu, lelaki. Kerana terganggu dengan bunyi itu, semua mereka bangun. Di dalam rumah itu, hanya tinggal empat orang. Yang bermulut lancang, entah ke mana.

Di rumah itu, ada bilik kecil di mana mereka menyimpan barang-barang prop. Bila dibuka pintunya, bilik itu berselerak. Pakaian berterabur. Kotak alat solek sudah terlungkup. Perhiasan-perhiasan seperti goyang dan gandik juga tidak kelihatan. Kasut nipis yang bersulam itu juga lesap entah ke mana. Semasa masing-masing cuak mencari apa lagi bahan yang mungkin hilang, baru mereka perasan yang si mulut lancang tidak ada bersama mereka. Bunyi tangisan dan isakan berlarutan, terdengar di belakang rumah mereka.

Inap desa yang dipilih itu merupakan taman perumahan baru. Banyak yang masih kosong. Pintu jeriji besi di belakang di pintu dapur berkunci. Ada tanah kecil sekangkang kera, yang ditanam pisang dan pandan. Salah seorang dari mereka memetik suis lampu dapur dan lampu luar. Menyala sahaja lampu, mereka terlihat pemandangan yang membuatkan mereka bertempiaran lari.

Di tanah belakang, si mulut celupar tadi, lengkap berpakaian, termasuklah dengan rambut palsu, gandik dan goyang di kepala sedang menari. Mukanya turut disolek, putih dibedak. Paling menyeramkan ialah solekan matanya. Mata si celopar bercelak tebal sehingga ke kening. Matanya terbeliak dan kepala terlentik-lentik ke kiri dan ke kanan. Matanya mengikut gerakan kepala, kalau kepala digoyang ke kanan, matanya yang terbeliak akan memandang ke kanan. Gincu merah mengotori bibirnya. Sememeh di mulutnya yang menyeringai. Air matanya bercucuran, menambahkan seram pada mukanya yang nampak gerun itu.

Si celopar menari dengan sangat lembut. Tidak mungkin lelaki dapat menari lembut sebegitu. Dia mendengar alunan muzik seperti gamelan sedang terpasang, tapi kedengaran jauh dan sayup. Kawannya yang di dalam van di sebelahnya semakin cuak. Dia juga berkata, dia dapat mendengar alunan muzik gamelan, yang bunyinya seolah datang dari belakang bukit yang terletak agak jauh dari situ. Cermin, pisau dan celak pensel yang hampir habis terletak molek di depan pintu dapur. Bagaimana dia masuk ke belakang dengan pakaian ketat itu, Allah sahajalah yang mengetahui.

Kelam kabut jadinya suasana rumah. Kebanyakan rumah yang dihuni, gelap. Pukul tiga pagi, siapa yang akan berjaga? Buntu berfikir, mereka menelefon pakcik yang memandu van tadi. Mujurlah orang tua itu tinggal tidaklah jauh dari perumahan itu. Lima belas minit menyaksikan tarian gamelan dari si celopar, pakcik itu datang bersama dengan seorang lelaki. Ustaz mungkin, yang membaca uncang putih dan beberapa botol air.

Kerana pintu jeriji itu tiada kuncinya, mereka terpaksa ke belakang. Rumah itu terletak agak tengah, jadi mereka terpaksa berjalan. Pakcik tadi sudah bersedia dengan dua lampu suluh yang besar. Sampai di belakang, si celopar masih meliuk menari dengan iringan tangisan. Tersuluh sahaja muka si celopar, mereka nampak wajah yang cantik, dan sekelip mata bertukar semula menjadi wajah si mulut lancang dengan mata terbeliak dan air mata berjujuran. Tariannya tidak pernah terhenti.

Ustaz tadi pun terkumat kamit mulutnya membaca doa. Uncang yang dibawanya tadi dibuka dan ternampaklah garam kasar dan lada hitam. Tidak mengira kotor dan nyamuk, ustaz tadi duduk bersila di atas jalan di tepi longkang, membaca doa di belakang pagar. Pintunya bermangga dan kuncinya sudah tentu tidak diberikan sekali. Untuk apa mereka ke tanah kosong di belakang dapur, bukan?

Selesai berdoa, ustaz itu mencampurkan lada hitam dan garam kasar. Melihat uztaz tadi berbuat demikian, si celopar bungkam. Dia berdiri pegun, tidak lagi menari. Tangisannya semakin kuat, isakannya nampak. Tersengguk-sengguk dia menangis. Tanpa amaran, ustaz tadi mencampakkan segenggam campuran garam dan lada hitam. Menggelupur si celopar di tanah, seperti cacing kepanasan. Tertanggal rambut palsunya, dan sekali tersuluh, nampak sosok seorang perempuan berpakaian kuno bertinggung di bahunya sambil menarik kedua telinga si celopar, layaknya seperti menunggangnya.

Sekali lagi dilempar dengan campuran bahan itu, lenyap sosok perempuan itu. Pokok-pokok pisang dua tiga batang bergegar. Terdengar hilaian panjang dan dari cahaya lampu jalan, mereka nampak satu sosok seperti memakai telekung terbang dari bumbung rumah ke arah bukit. Ustaz tadi memanjat pagar dan meminta supaya air di dalam botol dicampakkan kepadanya. Pakcik van mengikut dari belakang. Si celopar pegun terbaring, mulutnya terngaga, matanya buntang.

Ustaz tadi menuang air di dalam botol ke badannya. Basah “costume” yang ketat melekat di badannya. Menggelepar si celopar seperti ikan di darat. Ustaz tadi entah apa ayat Quran yang dibacanya, meniup ke ubun-ubun si celopar. Lama-lama, gelepar si celopar semakin lemah, kemudian terbatuk. Masalahnya sekarang, bagaimana hendak mengeluarkan si celopar yang lemah, dengan baju ketat dan sendat itu. Maklumlah, orang lelaki menyarung baju perempuan. Seperti nangka dibungkus sendatnya.

Mahu tidak mahu, salah seorang dari kawannya berlari ke rumah dan mengambil baju dan kain pelikat. Setelah sedikit sedar dan pulih dari rasukan, dengan susah payah si celopar menukar pakaian. Jika tiada baju dan kain pelikat itu, sudah tentu si celopar itu telanjang bulat. Terpaksa dia juga yang mengutip segala perhiasan dan bahan prop yang lain. Pagar dipanjat dan mereka pulang ke inap desa mereka. Mujurlah tiada gangguan ke atas pelajar perempuan. Mereka tidur aman, tidak seperti pelajar lelaki.

Sampai di rumah yang terang benderang, si celopar diberi minum dari air yang sudah dijampi. Dia diarahkan mencuci muka dan mandi. Jelas badannya penuh dengan gigitan nyamuk. Dan mereka mula bercerita.
Dia mula dengan kain seperti telekung yang melekat di belakang van. Kawannya pula lain usikannya. Dia nampak kepala sahaja yang mengikut van, menyeringai dengan mata merah dan taring yang berceracak di cermin van. Itulah yang menyebabkan dia bungkam dan cuak. Yang lain juga mula bercerita. Semasa pulang, mereka nampak sosok hitam di atas pokok mengikut mereka, melompat dari pokok ke pokok.

Ada yang nampak sosok seperti seorang nenek tua bertongkat memandang mereka dengan marah di seberang jeram. Entah kenapa, masing-masing tidak bersuara. Lebih menakutkan, ada yang nampak nenek tua itu menjilat makanan yang tidak habis dimakan, dibuang di atas tanah. Mulut masing-masing seperti ditutup, dan mereka juga hanya ingat perkara itu sekejap sahaja.

Pakcik van juga berkata, dia nampak seperti wanita sedang terbang di belakang van, mengikut mereka dari tempat mereka dijemput sehinggalah ke bandar. Kemudian sosok wanita berbaju putih yang terbang itu lenyap dan terdengarlah bunyi kaki mendarat di atas bumbung. Semasa hendak ke van, pakcik itu nampak satu sosok hitam terhendap-hendap di bawah pokok mangga di depan rumah. Dia membaca ayat perlindungan dan berjaya menghalau sosok itu yang terbang ke langit. Tidak disangka, sosok itu kembali mencari si celopar.

Perkara itu hanya tersebar setelah seminggu mereka pulang ke kampus. Si celopar demam seminggu. Semenjak itu, si celopar, yang mungkin telah mendapat pengajaran dari adabnya yang kurang itu, berhati-hati bila bercakap.

Hantar kkisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Pak Engku
Rating Pembaca
[Total: 85 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.