Lucid Dream

Halu~
Korang pernah alami lucid dream? Ala, macam korang tidur dan korang sedar bahawa korang sedang bermimpi. Iya perkara yang aku bakal ceritakan ini adalah berkaitan pengalaman aku sendiri ketika mengalami fenomena ini. Aku tak jamin ianya seram tetapi kerana mimpi itu terus melekat jelas di benak otak biarpun sudah beberapa tahun berlalu, membuatkan aku jadi bingung. Tambahan pula aku ingat jelas muka2 yang berada di dalam mimpi itu.

Biar aku mulakan.

Seusai sahaja aku habis menunaikan solat zohor, mata aku terasa begitu berat. Cuaca terik ketika itu membuatkan aku semakin mengantuk, jadi tanpa menunggu lama, aku terus berbaring di atas katil. Niatku cuma satu, untuk berehat dan mengambil masa dalam dua ke tiga jam untuk tidur memandangkan aku perlu menyambung kerja rumah pada waktu petangnya nanti.

Setelah membaca doa tidur dan ayatul kursi, aku terus menutup mata rapat. Sedar- sedar sahaja, aku sudah berada di dalam mimpi.

Ya, aku sedar aku sedang bermimpi.

Di dalam mimpi tersebut, aku bersama tiga orang rakan, seorang lelaki dan dua lagi perempuan. Aku kenal mereka. Ianya rakan aku ketika di sekolah menengah. Kami ketika itu, berada di sebuah sekolah yang terbengkalai. Di tangan masing-masing dibekalkan sebuah walkie-talkie.

Macam difikirkan, tujuan kami tak lain tidak bukan, adalah untuk meneroka kawasan tinggal itu. Walaupun tidak diperkatakan, aku tahu kami melakukannya adalah untuk mencari hiburan.

Setelah beberapa ketika kami berbincang, aku mengambil keputusan untuk pergi ke hujung koridor, dimana kawasan dewan terletak.

Aku dapat melihat perkitarannya yang berhabuk, dinding bangunan yang diperbuat daripada kayu papan yang sudah mereput di sepanjang perjalanan. Semakin lama aku menghampiri pintu dewan, semakin aku dapat mendengar riuh-rendah suara kanak-kanak. Entah mengapa, aku langsung tidak takut. Mungkin kerana sedar ini semua cuma mimpi.

Masuk sahaja ke dalam dewan, mata aku membulat. Suasana di dalam dewan itu berbeza sekali dengan suasana koridor yang sunyi sepi. Ruangannya dipenuhi meja dan kerusi pelajar. Di hadapan sekali terdapat papan hitam yang penuh dengan tulisan yang ditulis menggunakan kapur.

Kanak-kanak berumur kira-kira 12 ke bawah bergelak ketawa di merata tempat. Ada yang sedang menulis sesuatu di buku. Suasananya tak ubah seperti di dalam kelas ketika tiada guru yang masuk untuk mengajar. Hal ini membuatkan aku tersenyum sendiri dan berjalan menempuhi setiap susuk tubuh yang lutsinar itu. Kehadiran aku di situ, sedikit pun tidak mengganggu mereka seolah-olah tiada seorang pun yang melihat aku.

Aku mengambil tempat duduk di sebelah salah seorang pelajar lelaki yang sedang sibuk membaca buku. Entah apa yang dibaca, aku juga tak pasti kerana bahasa tulisan yang berada di atas kertas itu, amatlah asing pada pandangan aku.

Aku dapat merasakan angin dari luar jendela menerpa muka. Terik mentari yang menerobos ke dalam dewan cukup menyamankan. Tambahan pula dengan pemandangan sawah yang kuning keemasan itu buat aku terpesona. Aku pelik mengapa aku dapat merasakan semua itu.

Hati aku terdetik untuk terus berada disitu, namun tiba-tiba walkie-talkie di tangan aku berbunyi. Suara rakan aku kedengaran menyuruh aku segera beredar di situ.

Tanpa aku sedar, aku membuat silap besar. Mulut celupar aku tanpa segan silu mengatakan,

“Takpa. Kita dalam mimpi jer pun. “

Ketika itu, serta merta keadaan di dalam dewan menjadi sunyi. Semua mata memandang ke arah aku membuatkan aku terdiam.

Walkie-talkie di tangan, tidak lagi mengeluarkan sebarang bunyi.

“ Tak patut lari dari sini. ” kanak-kanak di sebelah aku yang sedari tadi hanya diam, tiba-tiba bersuara perlahan seraya menggenggam pergelangan tanganku membuatkan aku terperanjat.

Kanak-kanak yang tadinya lutsinar, sedikit demi sedikit berubah kepada wujudnya manusia normal. Tiada lagi gelak ketawa daripada mereka.

Aku cuba menarik tanganku untuk lari, namun genggamannya terlalu kuat, tak ubah seperti kudrat lelaki dewasa. Aku cuba membaca doa, namun suaraku seperti disekat secara sengaja.

“ Ya Allah, bantu aku. ” hanya itu yang disebut hati aku.

Kanak-kanak itu mula menghimpit aku dari segenap arah menyebabkan pernafasan aku semakin sesak. Di mulut mereka, yang keluar hanyalah, “ Jangan lari. ” yang disebut berulang-ulang kali.

Aku jadi semakin takut namun aku kuatkan juga kudratku untuk menarik tanganku yang semakin kuat digenggam. Tangannya yang sejuk itu terasa menyengat di kulitku.

Aku sudah hampir kehilangan nafas. Mukaku mendongak mencari udara, namun hanya sedikit yang mampu disedut, seksanya hanya Allah yang tahu.

Syukurlah, Tuhan memberikan ilham buatku untuk mencapai pensel yang berada di atas meja.

Tanpa menunggu lama, aku terus mencapai dan cuba menusuk tangan kanak-kanak lelaki itu. Bukan niatku untuk mencederakan, cuma untuk menggertak dirinya. Seperti yang dijangka, dia menarik laju tangannya membolehkan aku lari.

Namun belum sempat hendak melangkah, kakiku ditarik hingga tersadung ke lantai. Dagu aku terasa perit apabila bertembung dengan lantai simen yang keras. Mengapa aku boleh merasai kesakitannya biarpun ianya mimpi? Aku juga tak pasti.

Mungkin ini adalah pengakhiran diriku.
Terbitlah bermacam-macam kekesalan di dalam diri.

“ jika tak tidur, mungkin aku tak alami mimpi ni. ” seperti itulah antara kekesalan yang dikatakan dalam hati.

Aku sudah hampir redha. Bibirku sudah siap untuk mengucap dengan perasaan mungkin sakaratul maut bakal menjemput aku ketika itu, namun seperti diberi harapan baru oleh Allah, tiba-tiba,

TAP!!

Semua kanak-kanak tersebut terkesima sekali lagi. Mereka berhenti menghimpit aku.

Semua mata terarah ke arah pintu dewan.

Di sana, terdapat seorang lelaki separuh umur sedang berdiri. Lagaknya seperti seorang guru sukan yang sedang memegang busur dan panah.

“ Dia bukan dari sini, lepaskan dia. ” pandangan matanya menyinga memandang ke arah kami.

Kanak-kanak lelaki tadi sempat mendengus marah sebelum melepaskan kaki aku daripada genggaman.

Entah mengapa, aku mempercayai dirinya. Segera aku berdiri dan berlari ke arahnya dan sekelip mata sahaja, aku sudah berada di dunia nyata, namun masih berada dalam keadaan mamai. Dada aku turun naik mencari nafas. Badan aku bergetar menahan perasaan gelisah dan takut yang baru aku alami. Peluh sejuk membasahi dahi.

Dari ekor mata, aku dapat melihat lelaki yang bersama busur dan panah itu berada di sisi katil sambil memandang ke arah aku yang masih berbaring di atas tilam. Wajahnya seperti sedang mengukir senyuman puas. Mungkin kerana kami berjaya selamat daripada situasi tadi.

Apabila mataku sudah terbuka luas, bayangannya sudah hilang daripada pandangan, meninggalkan aku dalam keadaan bingung. Berkali-kali aku mengucapkan istighfar sambil mengurut dada. Pergelangan tangan, kaki dan dagu aku masih terasa sakitnya.

Dalam hati aku bersyukur kerana berjaya keluar daripada mimpi ngeri itu. Cuma aku hairan mengapa kesakitan, angin, silau mentari itu seolah-olah begitu nyata? Apakah ianya benar-benar mimpi.

Mungkin apa yang ceritakan menjangkau logik dek akal dan aku tak punya bukti untuk menyokong kenyataan itu, namun apa yang aku alami ini adalah benar dan berdasarkan pengalaman aku sendiri. Sekian terima kasih.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Uyou

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 104 Average: 4.7]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.