Lumba Lari Dengan Pocong

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Namaku S. Ini kali pertama aku berkongsi cerita di ‘Page FIKSYEN SHASHA’ ini. Sebelum ini aku hanya menjadi ‘silent reader’ sahaja untuk setiap cerita yang di kongsikan di sini. Dan aku akui ada cerita yang menarik dan membuatkan bulu roma meremang ketika membaca kisah-kisah yang di kongsikan. Ada juga yang mencuit hati dan tidak kurang yang membosankan kerana bahasa yang tunggang langgang.

Baik, sebelum meneruskan aku ucapkan terima kasih kepada ‘admin’ jika sudi menyiarkan kisah yang aku kongsikan ini. Untuk pengetahuan pembaca semua apa yang aku kongsikan di sini adalah kisah yang telah di fiksyenkan. Jadi kisah yang terpapar ini hanyalah berdasarkan kisah benar tetapi telah di ubah dari segi tempat, masa dan watak. Okay. Harap anda semua terhibur dengan kisah yang akan saya kongsikan ini.

Lumba lari dengan pocong.

Malam itu bulan seperti malu-malu mahu berkongsikan cahayanya dengan aku. Aku pandang langit yang bersih. Cahaya bulan sekejap bersinar malap sekejap berselindung di sebalik awan. Namun cuaca sangat baik dan tenang. Hembusan bayu malam begitu damai membelai wajahku.
Aku baharu sahaja selesai berlatih silat di gelanggang Tok Awang. Tahun 1960an ini jangan haraplah jumpa kereta meriah lalu lalang. Kirannya zaman a go go ini siapa yang ada kereta dalam kampung itu di kira mewah dan ‘orang ada-ada’.

Kenderaan paling rasmi yang digunakan oleh ramai orang waktu itu adalah basikal. Motor vespa juga ada. Tetapi itu pun masih ketegori kenderaan mewah. Aku bersiul riang. Tidak tahulah buah butir lagu. Sekadar membuatkan hati gembira melayan hati saat berjalan kaki untuk sampai ke rumah yang jaraknya hampir 3 kilometer dari gelanggang silat Tok Awang. Sepanjang jalan, hanya diiringi kebun-kebun getah, dusun buah-buahan dan juga sesekali bunyi burung hantu bersahutan. Aku kira sudah menjelang tengah malam. Tidak pula rasa takut memandangkan aku bukanlah penakut. Cuma sesekali timbul juga rasa tidak enak. Tapi aku tepis sahaja jauh-jauh. Aku pegang pesan Tok Awang. Kalau kita takut benda-benda yang bukan-bukan memang akan menyukai kita. Macam ada bau. Begitulah katanya.

Untuk sampai ke rumah aku akan melalui sebuah kawasan perkuburan lama. Kata bapak, kawasan kubur lama ini menempatkan kubur orang dagang. Bermakna wakaf kubur itu digunakan hanya untuk orang-orang dagang yang meninggal di situ dan tidak dapat pulang ke kampung asal. Pelik jugalah sebab kerana hal tersebut ada dua kawasan perkuburan dalam kampung aku. Tapi aku malas hendak bertanya lanjut dengan bapak sebab bertanya lebih-lebih hanya akan dijerkah sahaja oleh orang tua tersebut. Bapak memang garang. Selaku anak yang baik aku tak mahulah tanya macam-macam.

Sebaik sahaja melalui kawasan perkuburan tersebut, keadaan berubah menjadi lebih gelap. Masa inilah juga bulan yang malu-malu kucing ni makin menyembunyikan diri. Dan masa tu jugak aku boleh rasa tiupan angin menjadi lain macam. Sejuk dan dingin di sertai bunyi seakan siulan. Wooooo…woooo… sayup dan menyeramkan. Aku tak tahulah bunyi apa. Tapi bulu tengkuk dan mula meremang. Sudah… aku boleh rasa malam ni nasib aku memang malang. Ada pula yang hendak bergurau! Mata aku ni memang boleh tahan jugaklah melilau. Dari kawasan kubur lama itu aku mendengar bunyi seperti pokok-pokok di rempuh orang dengan kasar. Tapi aku tak dapat melihat apa-apa dengan jelas. Maklumlah gelap.

Baharu hendak berpaling ke hadapan aku mula rasa ada sesuatu di belakang. Tiada ribut tiada petir aku dapat rasa ada benda perhati dari belakang. Masa ni aku buat-buat berani walaupun tahap cuak kata orang dah paras bulu hidung. Jangan kata aku, pak imam pun akan terkejut kalau Nampak apa yang aku nampak saat aku menoleh . Dang!!!!!! Aku boleh rasa luruh dah jantung aku bergolek sebab terkejut. Di belakang aku dalam jarak enam kaki begitulah aku nampak satu makhluk berbungkus. Sungguh rasa hendak pengsan. Sebab makhluk tersebut tidak comel ye adik-adik. Mukanya hitam dan rentung macam kena bakar. Yang aku Nampak hanya sepasang mata yang terpelohong. Ya tiada bebola mata. Hanya kosong dengan sedikit kerdipan cahaya merah.

Masa ni aku dah tak fikir banyak. Aku buka langkah seribu pecut acara 100 meter. Siapa yang tak seram. Ke kalau kau adik-adik semua jumpa siap nak salam keruk bagai? Hahaha…. Tapi yang buat aku bengang, lagi aku lari lagi aku rasa mahkluk tu laju dari aku. Mahkluk tu tak melompat-lompat ya adik-adik semua. Mahkluk tu bergolek-golek sahaja. Sebiji macam bantal golek. Bezanya bantal golek yang ini dibungkus kain kafan. Masa ni aku nak meraung dah. Tapi anehnya tiada suara hendak keluar dah. Macam tersekat. Yang aku tahu aku hanya hendak melarikan diri cepat-cepat supaya cepat sampai ke rumah. Tapi kehampaan sahajalah yang aku dapat.

Tahu tak kenapa? Aku rasa dah lari sikit punya laju tapi aku masih di kawasan yang sama. Ya kawasan di hadapan kubur lama tersebut. Dan pocong tu pula aku lari laju dia bergolek laju. Aku perlahan dia bergolek perlahan. Jaraknya tetap sama. Akhirnya aku duduk kemengahan. Tak tahulah rupa aku saat berlari tapi lari setempat sahaja begitu. Masa ni aku ambil keputusan malas dah nak lari. Aku pusing mengadap makhluk durjana tersebut. Macam nilah aku cakap dengan dia. “Aku tak kacau kau. Kau baliklah tempat asal kau. Kau nak main-main lumba lari tadi kan. Baik aku bagi kau menang!”. Habis je cakap macam tu aku rasa macam ada angin sejuk berhembus.

Lepas tu sayup-sayup aku dengar macam bunyi ayam sedang berkokok. Aku rasa dah nak pagi agaknya. Tak tahulah berapa jam aku main lumba lari dengan pocong. Pocong tersebut hilang begitu sahaja. Aku yang kemengahan terus sambung berjalan pulang. Sampai rumah aku senyap-senyap tolak pintu dapur. Bukan apa, kalau kena hambat dengan bapak dia punya seram lagi dahsyat dari main lumba lari dengan pocong tu.

Kisah ini dipetik dari sekian banyak kisah yang pernah dikongsikan oleh arwah bapa saya. Al-fatihah untuk beliau. Pesan beliau, dalam dunia ini banyak kisah misteri yang kita tidak akan dapat huraikan satu persatu dengan fakta sains. Senang cerita kita hidup berkongsi dengan banyak lagi makhluk Allah yang lain. Yang penting berpeganglah kita kepada tali Allah yang kukuh iaitu Quran dan Hadis.
Sekian. Jika ada permintaan insyaa-Allah saya akan kongsikan lagi kisah-kisah lain. Mungkin cerita tak seram. Apapun terima kasih sebab sudi baca.

Assalamualaikum dan salam ramadhan.

Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]
s

8 thoughts on “Lumba Lari Dengan Pocong”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.