Makchu

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera admin dan pembaca FS. Namaku Aishah Humairah @ Cha (26). Kali ini aku bawa kisah mengenai mak sedara aku atau aku panggil Makchu.

Makchu ni bagi aku lah cantik orangnya walaupun agak berisi tapi tidaklah sampai dikategorikan sebagai gemuk. Kulit dia sangatlah cantik, tak make up pun cantik. Aku tengok Makchu cuma pakai bedak talkum dan krim pelembab Safi Balqis serta lip balm je tapi dah nampak cantik. Makchu jenis bila bercakap lembut je jadi tidak mustahillah ramai yang suka pada Makchu.

Suatu hari tu, Makchu tiba-tiba datang rumah bawa beg bagasi besar. Masa kejadian ni aku tak ingat umur aku berapa tahun tetapi yang pasti berlaku masa aku sekolah rendah. Masa Makchu datang dengan beg bagasi besar dia tu, muka Makchu bengkak macam baru lepas bertumbuk. Aku fikir Makchu bergaduh dengan roomate dia sampai larikan diri sebab Makchu selalu cerita kat aku mengenai roomate dia yang pengotor dan macam-macam lagi. Biasalah roomate dia tu asal keluarga ‘kayangan’, tak pandai buat kerja sendiri, semua dia nak upah orang buatkan, tiap-tiap minggu orang gaji dia datang hostel ambil dan cuci barang-barang dia, Makchu aku pula dikategorikan sebagai keluarga susah. Sebenarnya atok aku orang paling kaya dalam kampung tapi adalah kisahnya, di lain entry aku akan ceritakan mengenai atok aku pula.

Makchu aku selalu kata selagi dia boleh bersabar, dia akan bersabar dengan roomate dia, bila tiba masa dia meletop memang dia akan bertumbuk, bergusti dan bertepuk tampar versi arab dengan roomate dia. Brutal kan Makchu aku ni? Orang yang bersabar dan pendiam ni jangan dibuat main sekali dia meletus gunung berapi memang dia akan bertukar dari snow white jadi hulk.

Sangkaan aku meleset, bukan sebab roomate dia Makchu jadi macam tu, dia cakap dia tak kisah pun pasal roomate dia tu, benda boleh berbincang tak perlu nak bergaduh teruk. Jadi aku pelik kenapa dan bagaimana Makchu boleh datang rumah dalam keadaan begitu. Makchu dan Mama hanya berbincang berdua, aku pun masih budak-budak waktu tu jadi aku tak nak jadi kepoci sibuk nak ambil tahu, lebih baik aku main galah panjang dengan kawan-kawan aku paling tidak pun main masak-masak.

Petang tu Mama tanya siapa nak teman Makchu tidur dalam bilik? Aku pelik juga sebab bilik ada tiga buah, Satu bilik untuk Mama dan adik tidur, Satu lagi untuk aku dan kakak. Bilik abang ngah kosong boleh saja Makchu tidur disitu lagipun Makchu memang tak suka tidur dengan peneman, dia lebih selesa tidur sendirian. Adik beradik aku yang lain semua tak nak jadi aku yang lurus bendul ni dengan baik hatinya menawarkan diri untuk teman Makchu.

“Eh yeke? Saya tak pasti lah. Betul ke?”.

Tengah syok tidur, aku dengar suara Makchu duk berbual dengan seseorang… mungkin juga dua atau tiga orang sebab aku rasa macam riuh dan rancak je diorang sembang. Aku buka mata sedikit dan aku tengok Makchu molek je baring sebelah aku. Mata pun terpejam rapat tapi mulut dan tangannya bergerak. Aku bangun dalam posisi duduk bersila disebelah Makchu, aku tenung Makchu. Nak kejut ke tak? Mama cakap kalau orang bercakap masa tidur kena kejutkan sebab mereka tengah mengigau tapi aku risau la kalau aku kejutkan Makchu, Makchu marah aku pula. Lama aku tenung Makchu dan Makchu masih rancak berbual sendirian. Aku beranikan diri gerakkan tangan aku untuk kejutkan badan Makchu, belum sempat tangan aku menyentuh badan Makchu, Makchu tiba-tiba bersuara kasar.

“JANGAN!!!”

Gerak tangan aku terhenti, aku tenung Makchu dekat-dekat. Makchu dah sedar ke? Dia macam tahu je aku nak kejutkan dia, aku tak jadi nak kejutkan Makchu. Baru je aku nak baringkan badan sambung tidur, tiba-tiba Makchu menangis.

“Tolong~ Tooloongg~ Tooolllooonnggg~”

Makchu menangis hiba, aku keliru. Tadi kata jangan, ni minta tolong pula. Aku rasa nak panggil Mama je waktu tu tapi suara aku tak boleh nak keluar, nak lari ke bilik Mama, aku takut sebab kena lintas depan Makchu, aku risau Makchu pegang kaki aku waktu aku melintas tu. Mau terkucil aku kat situ.

Aku tarik nafas dan cuba beranikan diri kejutkan Makchu.

“JANGANNN!!!”

Makchu berkata dalam nada marah namun badannya masih kaku terbaring dan matanya juga masih terpejam rapat.

“Tolong~ Tolonngg~”

Makchu kembali menangis hiba. Disebabkan aku masa ni masih bodoh-bodoh alam jadi aku tekadkan diri nak kejutkan Makchu. Suara tangisan Makchu membuatkan aku tak sampai hati nak biarkan begitu. Aku gerakkan tangan nak kejutkan badan Makchu sekali lagi.

“Tuk! Tukk! Tukkk!”

“Opocot!!!”. Aku melatah. Terkejut apabila duk tak duduk tiba-tiba ada yang ketuk tingkap bilik tu. Aku menoleh ke tingkap, tiada siapa disitu. Aku kembali melihat ke arah Makchu, Makchu sudah duduk bersila betul-betul berhadapan dengan aku. Makchu tersenyum kecil.

Seram nak matiiii….. kalau tengok drama atau movie kebanyakkannya diorang pengsan bila berada dalam situasi macam aku ni tapi aku tidak begitu. Pengsan tak boleh, nak lari pun tak boleh, suara pun tak nak keluar.

“Takut ke? Kau nak kejutkan aku kan tadi?”. Makchu berkata sambil tersenyum sinis.

Aku mengangguk laju dan kemudian cepat-cepat menggelengkan kepala. Gila nak mengaku masa tu? bercakap jujur itu penting tapi bukan pada situasi begini ya tuan puan.

“Hahahahahahahahahahaha~”

Makchu ketawa mengilai. Bulu roma aku automatik mencanak naik.

“Hahahahahahahahahahahahahaha”. Makchu semakin galak ketawa.

Mama menerjah masuk, aku sebagai mangsa keadaan berasa bersyukur sangat apabila melihat kelibat Mama. Tak lama selepas tu, Tok Di datang dengan isteri dia untuk merawat Makchu. Mungkin Mama telefon Tok Di sebelum menerjah masuk bilik kami.

****************************

Esoknya aku main dengan kawan-kawan tak ingat bahana nak mai malam nanti. Punyalah aku seronok main, dah petang pukul 6 aku balik rumah dengan senyuman girang di bibir. Depan rumah aku ada pokok ciku tua, berpuluh tahun dah tertanam kat situ sebelum rumah aku dibina lagi, masa masuk perkarangan rumah dari jauh aku perasan Makchu sedang memerhatikan aku dengan pandangan pelik dari celahan tingkap. Nak kata marah tidak, takut pun tidak, seronok pun tidak. Masa aku nak lalu bawah pokok ciku ni tiba-tiba Makchu melaung dari dalam rumah.

“Tundukkan kepala masa lalu depan pokok ciku tu. Tunduk rendah-rendah.” Aku ikutkan saja perintah Makchu tanpa banyak soal.

“Hari ni acik (nama panggilan dalam keluarga) teman Makchu lagi ya malam ni.”

“Okay! boleh je Mama.” Confident aku menjawab.

“Beraninya anak Mama ni. Acik tak takut kan?.” Mama cuba menguji.

“Entah.. acik okay saja.”

“Hmmm… okay lah kalau macam tu, nanti ada apa-apa panggil Mama okay?.” Aku mengangguk dan terus melangkah menuju ke bilik air.

“Lagi sikit kaki ‘dia’ nak terkena kepala Si Acik ni.” Makchu memberitahu Mama. Muka Mama berubah pucat dan aku pula masih terkenang waktu bermain dengan kawan-kawan tadi. Tidak sedikit pun aku mahu ambil peduli kata-kata Makchu. Dalam fikiran aku berfikir permainan apa pula nak main untuk esok hari. Budak-budak kan? kau cakaplah apa pun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri tambah-tambah waktu tengah membuas fikir nak bermain saja.

Malam tu macam biasa Makchu bersembang rancak. Aku bangun dalam keadaan mamai dan terus niat nak kejutkan Makchu namun terhenti apabila Mama sudah menerpa masuk ke bilik dan merenjis air yassin pada badan Makchu dengan aku sekali kena renjis. Sabor jela..

Esok tu Makchu beritahu aku yang nasib baik aku tidak mengejutkannya kerana dia sedang berbincang dengan 7 puteri di atas awan, jikalau ada sesiapa yang menganggu, Makchu akan terus jatuh ke bumi. Itu yang pada malam pertama Makchu berkata tegas ‘Jangan’ apabila aku mahu mengejutkannya.

Malam ketiga Makchu kejutkan aku dari lena minta temankan dia nak ke tandas.

“Teman Makchu pi tandas,boleh?”. Makchu bertanya lembut. Aku hanya mengganguk walaupun perasaan malas membuak dalam hati.

Aku menuruti langkah Makchu dan melihat Makchu memasuki tandas. Lama aku menunggu di luar namun tiada tanda yang Makchu akan keluar dari dalam tandas. Gigitan nyamuk membuatkan aku rasa rimas, lantas aku melaung dari luar.

“Makchu, lambat lagi ke? Cepatlah sikit, nyamuk banyaklah kat sini.” Aku berkata sambil menampar nyamuk yang hinggap di badan. Makchu tidak menyahut. Aku menunggu untuk beberapa minit lagi.

Aku memanggil Makchu beberapa kali namun tiada sahutan jadi aku tinggalkan Makchu didalam tandas dan melangkah menuju ke bilik. Setibanya dibilik, aku lihat Makchu sedang tidur lena. Walaupun pelik dengan apa yang berlaku tetapi disebabkan aku terlalu mengantuk, aku terus baring di sebelah Makchu dan sambung tidur. Makchu mendekatkan badannya padaku dan memeluk erat tubuhku, aku yang kesejukan terus lena dalam pelukan Makchu.

Pagi tu kecoh ahli keluarga aku apabila melihat Makchu sedang tidur dalam tandas. Apabila terjaga, Makchu terus menangis. Dia kata dia cuba nak keluar dari tandas tapi tak boleh sebab pintu terkunci dari luar. Dia jerit panggil nama aku banyak kali tapi aku tak menyahut. Persoalannya, siapa yang peluk aku semalam?

Kakak aku juga bercerita, pada setiap malam mesti dia terdengar namanya dipanggil.

“Along! Aloong! Marilah kesini, jom kita main buaian.” Bila diamati bunyi suara tu persis suara aku. Bawah pokok ciku tua tu memang ada buaian tapi mustahillah aku mengajak kakak aku main buaian ditengah malam jadi Along hanya biarkan saja.

Mama juga beritahu seringkali dia melihat kelibat persis tubuh aku berjalan mundar mandir dari bilik aku ke dapur, pernah juga Mama menegur dan kelibat itu terus lenyap. Adik aku kena kacau juga ke? Tak tahulah, dia baru berumur dua atau tiga tahun ketika itu kalau ditanya tahu gelak dan menangis jela.

Disebabkan gangguan semakin teruk, Mama mahu pulihkan rumah dan penyebab utamanya Mama risau ‘benda’ tu berkenan pada aku. Lebih baik mencegah dari mengubati. Tok Di janji nak datang berubat pada malam nanti.

******************

Malam tu Tok Di datang seperti yang dijanjikan dengan enam orang pemuda masjid. Tok Di berubat Makchu gunakan kaedah islam dan semuanya berlaku dengan izin Allah swt. Tok Di berubat di ruang tengah rumah, pintu utama rumah dibuka. Menurut Mama, pintu utama dibuka untuk menghalau atau memberi laluan keluar kepada ‘mereka’. Aku dan yang lainnya duduk di ruang tv tidak berjauhan dari ruang tengah.

Sesi rawatan berlangsung lebih dari 2 jam, Makchu yang tadinya hanya terbaring di ruang tengah tiba-tiba mencangkung dan matanya bulat kemerahan. Tidak semenanya Makchu berlari ke arah aku dan terus mencekik leherku. Perit untuk bernafas waktu itu sukar untuk aku gambarkan dengan mata Makchu duk menjenggil ke arahku membuatkan aku hanya boleh menangis. Nak bersuara pun aku tak mampu disebabkan cekikan kuat tangan Makchu pada leher.

Tok Di dan enam pemuda masjid cuba selamatkan aku namun dengan mudah saja mereka ditepis oleh Makchu. Mama cuba selamatkan aku tapi dihalang oleh Tok Di.

“Assalamualaikum!.” Satu suara memberi salam dari arah luar rumah. Semua mata memandang ke pintu utama rumah, kelihatan seekor ular hitam yang sangat besar mengusur ke dalam rumah. Ular hitam itu datang dan membelit tangan Makchu, depan mata aku sendiri aku lihat api kehitaman membakar tangan Makchu. Makchu menjerit kesakitan dan melepaskan aku. Salah seorang pemuda masjid itu menarik aku dan meletakkan aku jauh dari ruang itu. Tok Di, enam pemuda dan ular hitam itu bertarung dengan Makchu dan akhirnya Makchu terkulai lemah.

Aku berasa lemah badan dan tidak tahulah bila aku terlelap sedar saja dari lena, jam menunjukkan pukul 9 pagi. Mama ceritakan bahawa ular hitam itu mungkin pembantu Tok Di, Tok Di hanya beritahu Mama yang kawan dia datang membantu.

Kejadian sebenarnya berpunca daripada bekas kekasih Makchu. Makchu bekerja di salah sebuah pejabat sukarelawan untuk menyimpan wang sambil belajar, kira macam part time lah. Masa kerja di sana, Makchu kenal rapat dengan Azim. Azim ni hitam dan gemuk buncit, orangnya pun bila bercakap bengis je. Aku kenal Azim sebab selalu dia menegur aku mungkin sebab aku ni anak sedara Makchu. Walaupun Azim ni macam tu, Makchu aku sangat sayangkan dia. Kira macam cinta m**i, memang dah bertunang siap dah rancang dah untuk hari perkahwinan namun Makchu alami kemurungan yang teruk apabila dapat tahu yang si Azim ni sudah beristeri dan dah ada 2 orang anak. Isteri Azim sendiri datang ke rumah Mama dan berjumpa dengan Makchu dan Mama merayu supaya Makchu jauhkan diri dari Azim. Menurut isterinya, Azim mengabaikan tanggungjawabnya kepada dia dan anak-anak akibat kemaruk cinta dengan Makchu.

Zaman itu tiada lagi kuasa viral memviral, Makchu dan Mama pun hanya berkemampuan pakai telefon 3310 dimana susah untuk dapatkan sesuatu maklumat. Makchu benar-benar tak tahu yang Azim dah beristeri jadi Makchu mula jauhkan diri daripada Azim. Kebetulan bos tempat kerjanya bertukar, diganti dengan anak majikannya bernama Hairi. Hairi ni sangat handsome dan baik, Mama yang beritahu aku begitu sebab aku tak pernah jumpa Hairi. Hairi sedaya upaya cuba tackle Makchu, mula-mula Makchu menolak sebab dia murung dan risau peristiwa lalu berulang semula namun lihat Hairi ni tidak putus asa dan Makchu pun mahukan kehidupan yang baru jadi Makchu bersetuju untuk jalinkan perhubungan dengan Hairi. Mereka sah bertunang beberapa bulan selepas bercinta. Azim mengamuk dan berkata yang Makchu aku ni sebenarnya memandang rupa paras dan harta benda. Hairi lebih handsome daripadanya dan lebih kaya. Makchu menafikan dan mengatakan Azim kejam sebab tak beritahunya yang dia sudah beristeri. Azim kata Makchu hanya memberi alasan padahal memang Makchu sudah tertarik pada Hairi.

Disebabkan itu Azim cuba menghantar ‘benda’ dengan pelbagai cara kepada Makchu dan Hairi. Aku waktu kecil dahulu tak ambil tahu pun kisah ni, bila dah dewasa aku kembali bertanyakan kejadian di rumah aku tu kepada Makchu dan Mama. Makchu kata last sekali Makchu jumpa Hairi di hari Hairi ingin memutuskan pertunangan mereka. Makchu pun ambil keputusan tidak berkerja lagi disitu. Tiga atau empat tahun lepas, Makchu dapat khabar bahawa Hairi sudah menjadi gila, doktor kata Hairi mengalami stress terlampau.

Azim? Selepas kejadian ular hitam tu, Makchu sudah tak diganggu oleh ‘mereka’ yang dihantar oleh Azim. Makchu pun tidak mahu ada apa-apa ikatan lagi dengan Azim tapi ada juga desas desus mengatakan yang Azim bercerai dengan isterinya. Menurut kawan Makchu, ada khabar yang mengatakan isterinya itu didapati dengan cara memukau dan mengunakan ilmu pengasih. Wallahu Alam.

Disebabkan trauma, Makchu sampai sekarang tidak bercinta dengan mana-mana lelaki walaupun ada tiga atau empat orang yang sudah datang merisik Makchu. Ohh lagi satu, Makchu jadi begitu pun disebabkan Makchu dan tiga lagi kawannya menuntut ilmu untuk membuka hijab mata dari seorang nenek. Nenek tu bagi tempoh sebulan dan memang syaratnya kena cuba sebulan, selepas sebulan mahu diteruskan atau tidak terserah pada tuan badan. Dalam sebulan Makchu hampir menjadi gila, dia hampir tidak dapat bezakan mana manusia dan bukan manusia. Selepas sebulan, Makchu dan tiga kawannya pergi ke rumah nenek namun diberitahu oleh jirannya bahawa nenek sudah meninggal tiga minggu lepas, maksudnya seminggu selepas Makchu dan kawan-kawannya menuntut ilmu. Ilmu buka hijab mata ni hanya boleh ditutup dengan gurunya saja, tak boleh orang lain. Apabila dah meninggal, akan terlekat ilmu itu pada penuntut sampai bila-bila. Tok Di kata benda yang Azim hantar hanya dua atau tiga sahaja dan yang selebihnya ‘mereka’ datang kerana berkenan pada Makchu dan kerana Makchu boleh melihat alam mereka.

Sekarang ni Makchu dah pulih sepenuhnya, arwah Tok Di yang ubatkan. Makan tahun yang lama untuk membuang ilmu yang dituntut. Sepanjang diberi kelebihan itu, banyak yang Makchu pelajari dan Makchu berkata m**i hidup semula pun dia tidak akan sanggup untuk menuntut ilmu itu lagi dan apa-apa ilmu sekali pun, Makchu dah serik. Ketika menuntut dia hanya menurut keinginan d***h anak mudanya dan kerana ajakan kawan-kawannya yang akhirnya membawa musibah kepada diri sendiri.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aishah Humairah

3 thoughts on “Makchu”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.