Hai semua pembaca setia. Aku nak cerita sebuah kisah yang berlaku kepada aku sendiri. Tak pasti la seram ke tak tapi harap admin lepaskan. Kisah seram yang terjadi selepas mommy berkahwin dengan Uncle Azam. Untuk pengetahuan semua, aku tak panggil bapa tiri aku ayah, papa, abah atau seangkatannya sebab kekok.
Sewaktu mommy kenalkan Uncle Azam, aku kurang merestui hubungan mereka sebab Uncle Azam muda. Muda hampir 10 tahun daripada mommy! Mommy kerja bank, penampilan dijaga dan sekali pandang macam sebaya sahaja dengan Uncle Azam. Tapi aku tetap tak selesa. Mommy kata aku masih tak dapat terima pengganti arwah daddy. Mungkin.
Tapi selepas tu mereka tetap berkahwin dan menetap di KL. Aku kat Melaka dengan nenek sebab study sini. Sesekali aku balik rumah mommy.
Benda ni start masa aku cuti sem. Aku nak lepaskan rindu seminggu dengan mommy. Jadi aku tidur KL. Hari pertama tu okay. Hari kedua mula rasa seram.
“Mia tak tidur lagi?”
Aku yang sedang menonton TV di ruang tamu terus menoleh ke belakang. Aku kira Uncle Azam tegur aku sebab kalau nak ke dapur, kena lalu ruang tamu. Dan, suara tu suara Uncle Azam. Tapi tak nampak sesiapa. Aku halusinasi ke?
Masa tu aku tak rasa apa pun. Aku sambung tengok TV. Tiba-tiba aku dengar bunyi orang selongkar peti sejuk. Aku kerut dahi sambil pandang dapur. Dari sofa aku tu nampak la ruang dapur yang gelap.
“Mommy ke tu?” aku cuba jerit sebab aku penakut, hahaha. Kot-kot la mommy, tapi kenapa tak buka lampu?
Aku ni bukan berani tapi entah kenapa kaki ni gatal nak menapak ke dapur. Masa aku sampai di langsir dapur (mommy gantung langsir nipis di ruang masuk ke dapur), aku boleh nampak satu sosok lembaga sedang membongkok dekat peti sejuk.
Dari cahaya peti sejuk tu aku nampak lembaga hitam, berbulu. Nasib baik aku tak automatik menjerit. Aku terus lari masuk bilik. Bilik aku kat tingkat bawah, dekat dengan ruang dapur. Sementara bilik mommy kat atas.
Dalam keadaan menggigil, aku baru teringat telefon bimbit tertinggal dekat ruang tamu. Aku nak call mommy suruh dia turun. Tapi memang tidak la aku nak keluar bilik dan melintas ruang dapur.
“Mommy!!!” aku cuba jerit berkali-kali, sekuat hati. Air mata dah keluar sebab asyik terbayang benda berbulu tadi. Saiz seperti manusia, bentuk tubuh manusia tetapi berbulu hitam lebat seluruh tubuh.
Tiba-tiba aku dengar bunyi kaca terhempas ke lantai. Bukan sekali tapi berulang-ulang. Makin kuat la aku menangis walaupun aku dah selamat dalam bilik. Aku takut benda tu munculkan diri depan aku sebab dia tahu aku nampak dia tadi.
“Mia!” lepas setengah jam, aku dengar mommy ketuk pintu sambil panggil aku.
Sepantas kilat aku turun dari katil dan buka pintu. Silap aku sebab tak baca bismillah sebelum buka pintu. Sebaik sahaja pintu terkuak, ada angin kuat hentam muka aku dan hilang. Anehnya kat luar tak ada sesiapa.
Aku naik ke tingkat atas tetapi bilik mommy gelap. Pintunya terbuka luas dan tiada sesiapa. Setahu aku sebelum solat maghrib tadi aku nampak mommy tengah lipat baju. Tapi kenapa sekarang semua orang tak ada?
Aku rasa tak selesa sebab rasa diperhatikan tapi aku tak nampak dengan mata aku. Jadi aku cepat-cepat turun ke bawah. Tapi aku cerdik sikit. Sebelum aku nak ambil telefon kat ruang tamu, aku lari selaju mungkin ke pintu utama. Aku buka luas-luas. Nanti senang nak lari kalau jadi apa-apa. Hahaha.
Aku pandang sekejap ke arah dapur. Alhamdullilah tak ada apa. Aku terus capai telefon. Banyak panggilan tak dijawab. Mommy call berkali-kali. Aku call semula.
“Pergi mana, mommy call dekat sepuluh kali!”
“Mommy tu yang pergi mana? Mia kena ganggu kat rumah ni! Mia takut tau tak?”
Mommy mengucap panjang. Aku dah menangis teresak-esak.
“Mommy dah call Aunty Helen tadi. Mia pergi duduk rumah Aunty Helen kejap sementara mommy nak balik. Mommy ada kat rumah ustaz ni. Berubat Uncle Azam.”
Lepas letak je telefon, aku bergegas ke rumah sebelah. Aku kenal jiran berbangsa Cina ni. Aunty Helen sangat baik. Dia duduk berdua sahaja dengan suaminya. Mereka sudah berusia 70-an.
“Dia tak boleh masuk sini. Jangan takut, sini selamat. Dia berdiri situ saja loh” Aunty Helen bersuara sambil tunjuk pintu. Kecut perut aku.
Hampir satu jam menunggu, mommy datang jemput aku. Aku dengar mommy cerita dekat Aunty Helen yang Uncle Azam histeria masa berubat. Kena ulang berubat lagi katanya.
Malam itu mommy teman aku tidur. Aku pun terus tanya apa yang jadi dan sejak bila mereka tinggalkan aku seorang diri di rumah. Nak marah pun ada.
“Masa mommy lipat baju tu Uncle Azam tengah mandi. Tak lama lepas mandi dia kata badan panas dan dengar orang bisik. Terus dia call ustaz yang biasa ubatkan dia. Ustaz tu suruh datang rumah dia segera. Mommy nak bawa Mia sekali tapi Mia tengah solat. So mommy whatsapp je bagitau. Lama sangat diam, tu yang mommy call.”
Aku tersengih sebab tak buka whatsapp. Tapi menurut mommy, makhluk aku nampak tu salah seekor dari benda yang dihantar kepada Uncle Azam. Dekat rumah ni ada banyak ekor berkeliaran. Kata mommy, ada yang berbulu, bertanduk, ada yang macam cicak melekat je di dinding dan ada yang merangkak macam baby. Seram pula aku.
“Dah lama dia menderita sebab buatan orang. Sana sini ikhtiar cari penawar. Sekarang berubat dengan ustaz ni nampak perubahan sikit. Dah tiga kali jumpa. Ustaz kata orang tu dendam. Dia guna bomoh Siam. Banyak ekor dia hantar untuk ganggu Uncle Azam. Mommy pun pernah nampak.”
Kasihan pula aku. Patutlah badan Uncle Azam makin susut berbanding dulu. Sekali pandang, wajah cengkungnya nampak berusia.
“Siapa yang tergamak buat macam tu?”
“Mommy bukan nak petik suka-suka hati tapi menurut beberapa orang perawat, semua ni buatan seseorang yang pernah berhubungan dengan Uncle Azam dulu. Memang dulu Uncle Azam pernah bertunang tapi putus sebab perempuan tu ada hubungan dengan bos dia. Bergaduh besar juga sebab majlis dah dekat. Mungkin sebab tu la semua ni jadi. Uncle Azam ada cari perempuan tu dan tanya, tapi perempuan tu senyum je.”
“Nasib baik mommy tak kena tempias.” aku mengomel.
“Mommy pernah kena hempap, pernah kena tarik sampai jatuh katil dan pernah kena ganggu macam Mia tadi. Tapi mommy cuba lawan rasa takut. Tak selamanya dia boleh puas dengan cara balas dendam. Kita lawan dengan pertolongan Allah.”
Aku terpegun sekejap. Rupanya mommy pun dah lali. Apa pun, semoga Uncle Azam sembuh dan banyakkan bersabar. Dan, sejak itu hubungan aku dengan Uncle Azam semakin membaik. Aku memang tak serik untuk datang lagi rumah mommy tapi dengan syarat, mommy kena teman tidur!