Makhluk Laut

Assalam dan salam perpaduan salam kemesraan buat semua Peminat FS. Nama Aku Ato. Aku lahir dalam keluarga nelayan tomod (Nelayan sepenuh masa) Nama-nama dalam watak adalah bukan nama sebenar. Alhamdulillah, Masa-masa cuti gini dapatlah aku tulis sikit-sikit tentang pengalaman-pengalaman seram yang aku alami.

Petang tu, aku, Jamal dan Azman santai-santai di pantai sambil sembang-sembang tentang keseronokan menyelam tembak ikan pada waktu malam disamping mencari siput Lappas (sejenis siput yang suka bersembunyi melekat di batu). Sembang-sembang kami diakhiri dengan rancangan untuk turun ke laut pada malam nanti. Mulanya aku tidak berapa bersetuju kerana agak tergesa-gesa untuk membuat persediaan. Dahlah masa tu menghampiri ke jam 6 petang. Tapi Jamal dan Azman mendesak aku untuk pergi bersama. Aku pun bersetuju kerana tidak mahu mereka rasa kecewa.

Setelah menyediakan segala peralatan, Aku capai kunci Van. Kemudian aku meminta izin dari kedua orang tuaku. Masa ni aku berada di tingkatan 4. Tapi kisah ini masih segar dalam ingatanku. Kami telah merancang untuk pergi Ke Pantai Kelambu kerana di sana jarang orang pergi menyelam pada waktu malam.

‘Pantai Kelambu’ ni adalah salah satu kawasan pelancongan di Utara sabah. Ianya bersebelahan dengan ‘Pantai Simpang Mengayau’. Jam menunjukkan 7.30 malam. Aku memandu van ala-ala pemandu Formula One. Dah lah lesen pun tiada. Namun kelajuan tak boleh melebihi 80km/j kerana van akan bergegar. Mungkin elemen tidak stabil kot. Kami sampai di Pantai Kelambu sekitar jam 8 malam lebih sikit.

Biasanya kalau menyelam menembak/memanah ikan, tidak boleh berdekatan. Risau terpanah kawan sendiri. Oleh itu kami telah membahagi kawasan masing-masing. Di sebelah kiri diambil alih oleh Jamal. Sebelah Tengah pula diambil alih oleh Azman. Manakala aku ambil alih kawasan Kanan. Beginilah kehidupan aku sebagai anak nelayan yang suka membantu cari makan untuk keluarga. Kawan aku Jamal dan Azman pulak memang kerja sebagai nelayan kerana tidak melanjutkan persekolahan atas masalah peribadi. Kami hanya berenang dan menyelam tanpa bot dan hanya berbekalkan lampu picit dan peralatan memanah. Bila penat berenang, kami akan mencari kawasan cetek untuk berehat. Namun kebanyakkannya kami akan berada di kawasan yang cetek risau krem semasa berenang.

Setelah berada lebih kurang sejam berenang dan menyelam, tiba-tiba perasaan aku tidak sedap hati. Aku cuba mengejar seekor lobster hijau namun terlalu liar. Jarang sekali berlaku keadaan sebegitu. Aku berhenti seketika dan memantau kedudukan kawan-kawan aku. Nampaknya mereka semakin jauh dari kedudukan aku. Aku teruskan menyelam dan cuba mencari semula lobster yang telah masuk ke dalam lubang batu besar di depan aku sedang berdiri.

Sedang aku menyelam, tiba-tiba lalu satu bayang-bayang hitam di bawah ku. Terkejut beruk aku. Dalam hati, takkan kawan aku kot. Bila ku berdiri dan perhati sekeliling, tiada siapa pun. “Man, Mal.. Jangan main-main arrr” aku cuba memanggil kawan aku, namun senyap tiada siapa membalas. Rupanya nun jauh di hadapan aku. cahaya lampu picit jamal dan azman kelihatan samar2 dalam air.

Aku dah mula cuak dan tidak ketentuan. Rasa seram dan takut mula bertandang tanpa diundang. Dalam hati aku berkata, ” Last aku menyelam ni kemudia aku balik ke tepi”. Baru beberapa saat aku menyelam, Bayang-bayang hitam tersebut muncul lagi dan kali ini mengiringiku pula. Ianya seolah-olah ada seseorang yang sedang menyelam di atas aku. Aku cuba bertenang dalam ketakutan. Kalau kelam kabut nanti hanya akan membahayakan diri.

Aku toleh ke atas, tiada siapa. bila pandang ke bawah, bayang-bayang tu masih berenang bersama ku. Ketika ini, mau terkencing rasanya kerana takut. Aku teruskan berenang sambil menyelam menghala ke arah tempat kami paking van. Aku tak terfikir langsung nak baca apa-apa surah ketika itu erana terlalu keatkutan. Aku percepatkan sedikit pergerakan ku. Kemudian bayang-bayang hitam tersebut juga percepatkan pergerakan dan kini betul2 berada di depan ku.

Sebelum aku mula memecutkan renangan aku ala-ala Nurul Huda Abdullah, aku lepaskan getah penarik pada panah ku kemudian membuang besi panah tersebut. Risau juga tertusuk diri sendiri ketika berlumba renang dengan bayang-bayang tersebut. Mulanya aku mahu berenang biasa-biasa saja, tapi setelah bayang-bayang tersebut berpaling ke arah aku, memang aku tak boleh nak slow-slow lagi. Bayang-bayang tersebut bermata merah. Seramsungguh melihatnya.

Sambil berenang laju, aku cuba panggil Azman dan Jamal dan menyuruh mereka segera ke daratan. Seanjang aku berenang tu la aku panggil nama kawan-kawan aku. Kali ni aku tidak menyelam lagi kerana tidak mahu terpandang semula muka bayang-bayang hitam tersebut. Sekitar 10 minit aku dah sampai di tepi pantai. Kemudian aku terus lari menuju ke Van lantas menghidupakannya dan on lampu depan. Kuranglah juga sikit ketakutan bila ada cahaya menerangi kepekatan malam.

Baru terasa betapa penatnya aku berenang. Tercungap-cungap ditambah perasaan takut. Aku bunyikan hon dan kelip-kelipkan lampu berkali-kali untuk memberi isyarat pada Azman dan Jamal supaya ke darat segera. tidak lama kemudian, mereka pun memberi isyarat dengan lampu picit mereka.

Semasa berada di dalam van, aku terpandang ayat Qursi yang di lekatkan di sisi cermin depan. Baru lah aku teringat membaca segala surah-surah yang aku ingat untuk menguatkan semangatku. Setelah Azman dan Jamal tiba, baru aku rasa lega dan kemudian mengajak mereka untuk pulang. Aku tak cerita lagi apa yang aku lihat ketika itu.

Pendapatan kami agak lumayan juga. Kalau jual, boleh lah lepas belanja sekolah untuk seminggu. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, baru lah aku cerita apa sebenarnya yang berlaku. Menurut Jamal, dia dah biasa terserempak dengan makhluk-makhluk laut sepanjang dia bekerja sebagai nelayan. Namun dia tidak pernah serik kerana itulah kehidupan dia.

Semenjak dari peristiwa malam tu, aku dah serik untuk turun ke laut menyelam dan memanah ikan pada waktu malam.

Kisah kedua pula berlaku ketika aku berada di tingkatan 6. Aku dah jadi Nelayan masa cuti ketika dalam darjah 6 lagi. Membantu keluarga mencari rezeki untuk menampung keperluan perbelanjaan persekolahan kami adik beradik. Ketika itu pula, abang aku berada di maktab dan perlukan sokongan kewangan kerana elaun sara diri maktab tidak dapat menampung perbelanjaan dan keperluan maktabnya.

Ayah aku ketika ini menjadi juragan kapal nelayan kepunyaan tokeh cina. Kapal ni dijaga seperti menjaga kapal sendiri. Ayah menjaga kapal ni untuk memancing ikan yang dihidupkan dalam kolam perut kapal. Hanya ikan-ikan yang bernilai tinggi sahaja dihidupkan dan yang lain masuk peti ais untuk dibekukan.

Aku ni jenis pemabuk laut. Namun aku tidak pernah mengalah kerana aku tahu keluarga aku susah. Kalau 5 hari di laut, hanya hari pertama dan terakhir saja aku tidak mabuk. Hari-hari lain tu aku mabuk terutama kalau tiada ikan yang menyambar pancing. Hari pertama dan terakhir tu kerana kapal dalam perjalanan. jadi mabuk hilang. Tapi kalau berlabuh, kompom makan pun tak lalu. sebab tu aku kurus ala-ala penagih ketika zaman sekolah dulu.

Setelah seharian mencari umpan, kapal kami berlabuh di sebuah pulau kecil tanpa penghuni. ami berlima ketika ini. Ayah, aku dan 3 orang sepupuku. Mereka semua sudah berkeluarga, Aku ja sorang budak remaja. Aku seperti biasa, akan baring sahaja kerana mabuk. aku hanya bangun duduk ketika masa makan. Petang tu giliran ayah aku memasak. Sekitar jam 7.00 malam, hidangan sudah tersedia.

Selepas makan, aku melayan mabukku di depan kapal sambil baring-baring kerana udaranya nyaman. Dalam kapal penuh dengan bau-bauan minyak Diesel. Sedang aku rilek-rilek, tiba-tiba aku rasa seperti berada dia alam lain. di sebuah pulau. Pulau tu tak ubah seperti pulau tempat kami berlabuh. Tapi peliknya, aku berada di atas pulau tersebut dan kapal kami pula masih berlabuh di laut. cuma masa dah berubah menjadi siang.

Aku kebingungan dan hairan. mcm mana aku boleh berada di darat. tidak lama selepas itu, aku di datangi sorang tua yang bertongkat. “Anak buat apa di sini” dia tegur aku. Hairan sungguh hairan. Dari mana datangnya orang rua tersebut sedangkan di pulau tersebut tiada satu rumah pun. Aku pun terangkan pada dia yang kami sedang rehat berlabuh selepas seharian memancing dan tidak tahu macam mana aku boleh berada di darat.

Orang tua tersebut memandang aku dengan senyuman yang menyeramkan. Senyumannya seperti orang yang kelaparan mendapat makanan. Tidak lama selepas itu, wajahnya pelan-pean bertukar menjadi hodoh dan menakutkan. Mulut besar dengan gigi tajam-tajam dan mata tidak kelihatan lagi. Aku berteriak dan berlari sepenuh hati,. Kemudian aku terjaga dari tidur dan kebetulan ketika itu, satu lembaga terbang dari atas dengan muka yang sangat ganas dan merah menyala menuju ke arah ku.

“Emmah(ayah)” dengan kuat aku berteriak. Lembaga tersebut kemudiannya buat u turn dan terus hilang dari pandangan. Al-hamdulillah, kerana mimpiku telah menyelamatkan aku. Ayahku segera bergegas mendapatkan aku dan kemudian membawa ku masuk ke dalam. Setelah aku ceritakan apa yang berlaku, menurut ayahku, lembaga tersebut adalah syaitan laut dan memang ganas dan suka koyak-koyakan badan manusia. Suku kami panggilnya “Syaitan Syelo’ ” Malam tu aku memang sangat susah melelapkan mata kerana masih teringat akan peristiwa tadi. Oleh kerana ketakutan, rasa mabuk hilang serta merta. Ayah aku pula tidurnya tidak lena. Dia syik terbangun memerhatikan aku. Mungkin dia risau akan aku.

Setelah berada 4 hari di laut, kami pun balik membawa hasil tangkapan kami untuk dijual kepada tokeh kapal ayahku. Oleh kerana kapal tu kepunyaan tokeh, makan harga ikan-ikan tangkapan kami hanya suku harga dari harga pasaran.

Sekian kisahku semasa zaman persekolahan dan terima kasih kerana sudi membaca.

Hantar kisah anda di sini : fiksyenshasha.com/submit

4 thoughts on “Makhluk Laut”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.