Malam

Tajuk : Malam
Penulis : Kumbang Malam
Idea Asal : Kumbang Malam

Malam itu, aku ditinggalkan seorang diri di dalam rumah. Ahli keluarga aku yang lain pergi melawat saudara ku yang sedang sakit sementara abang ku belum lagi pulang dari rumah kawannya. Jam sudah menunjukkan tepat jam 12 malam, namun mata aku belum menandakan untuk aku tidur.

Tilam telah ku bentangkan ditengah-tengah ruang tamu. Badan aku sudah selesa berbaring diatas tilam itu. Selimut telah menutup separuh tubuh ku dan aku sudah bersedia untuk tidur. Lampu diruang tamu dan dapur aku biarkan terbuka.

Mata ku masih bersemangat untuk membaca cerita-cerita seram di dalam internet. Satu persatu aku baca dan aku menjiwai perasaan penulis. Sedikit rasa teruja timbul, terasa seperti ingin merasakan perasaan di dalam situasi itu. Perlahan-lahan aku membaca satu lagi cerita.

TV sudah lama aku matikan untuk mendapatkan suasana yang sunyi. Sedang seronok aku membaca, tiba-tiba aku rasa tidak senang hati. Perasaan yang ganjil muncul. Aku menukar posisi aku berbaring, dari terlentang aku menghadap ke kiri pula. Perasaan tidak senang hati itu semakin kuat pula. Aku mula rasa lain macam malam itu. Aku menenangkan jiwa dengan meneruskan bacaan cerita seram.

Tiba-tiba “Krreeekkkk…!!!” Bunyi sofa lama disebelah aku berbunyi. Seolah-olah ada orang yang duduk diatasnya.

Aku segera menoleh ke arah sofa itu. ‘Alamak, kenapa aku kena macam ni?’ Soal hati ku. Tiada seorang pun yang duduk diatas sofa itu. Sudah lama ahli keluarga ku yang lain ke rumah saudara ku yang sakit dan aku pasti aku berseorangan di dalam rumah itu. Degupan jantung ku semakin laju.

Aku berbaring semula dengan perasaan yang tidak percaya. Aku membuka WhatsApp dan chat kawan baik ku, Wan.

“Wan, aku ada benda nak cerita ni.” Aku menghantar mesej itu.

Aku mengenggam telefon itu sambil berfikir dengan waras. Fikir punya fikir, aku semakin rasa pelik. Wan tidak membalas chat aku.

Aku menghidupkan semula telefon ku dan melihat chat aku tadi. Wan tidak membaca langsung chat aku itu. Aku melihat last seen Wan, 5 petang tadi. Buluh roma aku tiba-tiba menegak seperti ingin menyanyikan lagu ‘Negara Ku’. Aku mula rasa seram sejuk.

Aku duduk sambil bersandar pada sebuah lagi sofa. Aku mula berfikir, apa yang harus aku buat. Ikutkan hati, mahu saja aku berlari keluar dari rumah itu. Sedang aku termenung itu, tiba-tiba dari sipi mata aku ternampak seperti ada lembaga berwarna hitam berjalan dan masuk ke dalam bilik aku.

Aku segera menoleh ke arah lembaga itu namun belum sempat aku melihat, lembaga itu sudah hilang. Aku menjadi cuak. Darah aku tiba-tiba laju mengalir. Setahu aku, aku telah menutup rapat pintu bilik itu dan jika manusia, tidak mungkin dia dapat masuk tanpa membuka pintu dahulu. Aku sangat pasti, aku dapat melihat pintu itu tertutup rapat kerana langsi pintu itu sangat pendek dan aku melihat bahagian bawah pintu bilik itu. Ia tertutup rapat.

Jantung ku semakin laju. Langsir bilik itu bergerak seperti baru dilanggar oleh sesuatu. Aku diam. Langsir itu perlahan-lahan kembali ke posisi sepatutnya. Aku pasti angin kipas di ruang tamu tidak akan sampai ke langsir bilik itu. Kaki dan tangan aku tiba-tiba tidak dapat bergerak. Niat aku untuk melarikan diri tidak menjadi.

Tiba-tiba kedengaran bunyi motor abang aku. Aku sangat gembira, akhirnya aku tidak berseorangan. Aku bergegas ke dapur dan membuka pintu dapur. Aku kembali tenang apabila melihat abang aku baru pulang.

Aku mengorak langkah kembali ke ruang tamu. Saat itulah aku mula rasa penat dan bersedia untuk tidur. Aku menutup lampu ruang tamu dan berbaring. Dari ruang tamu aku dapat mendengar bunyi abang aku menutup dan mengunci pintu dapur. Abang aku masuk ke biliknya dan menguncikan pintu.

Aku merasakan penat yang amat sangat dan perlahan-lahan aku melelapkan mata. Apa yang baru sebentar tadi aku rasakan, aku lupakan. Aku anggap ia sudah lama berlalu. Aku tidur.

Sedang aku melayari kepenatan, tiba-tiba aku terjaga semula apabila terdengar orang memasang tv dengan kuat. Aku mengangkat kepala dan mendengar betul-betul. Aku pasti itu bunyi orang sedang berperang atau bertarung. Dengan bunyi teriakkan dan jeritan yang sangat kuat membuatkan aku marah. Aku membiarkan dan cuba untuk tidur semula.

Cuba punya cuba, aku tidak dapat tidur semula. Aku duduk dan mengambil masa untuk loading seketika. Aku mendengar betul-betul suara tv itu. Aku sangat marah pada masa itu, kuatnya suara tv itu seperti dipasang disebelah telinga aku. Aku mendengar betul-betul dari mana datangnya bunyi itu.

‘Dugaan aku belum habis lagi kah?’ Soal hati ku sedikit membentak apabila aku semakin tahu akan kebenarannya.

Aku pasti bunyi-bunyi itu datang dari dalam bilik abang aku namun bilik abang aku tiada tv. Bunyi itu semakin kuat berteriakkan (menjerit) seperti dikuatkan lagi volumenya. Aku menekup kedua telinga ku dengan kedua tangan ku.

Tiba-tiba satu bau bangkai yang busuk pula menusuk rongga hidung ku. Bau yang tersangatlah busuk, membuat ku pening. Bau bangkai itu semakin lama semakin kuat dan semakin laju menerobos (masuk) ke rongga hidung ku.

Aku tidak dapat menahan lagi. Aku mengambil keputusan untuk menyelimutkan seluruh badan ku. Namun bau itu tetap kuat di dalam selimut ku. Berkali-kali aku menghembuskan nafas dengan kuat. Namun suara-suara yang kuat itu membuatkan aku hilang fokus dan membuatkan otak aku terasa ingin pecah yang amat. Otak aku seperti ditekan-tekan oleh suara-suara yang kuat itu. Tiba-tiba usus-usus dalam perut aku pula seperti dihempas-hempas oleh kerana bau bangkai yang busuk itu.

Aku bertarung nyawa selama beberapa minit dan akhirnya aku pengsan. Mungkin kerana terhidu terlalu banyak bau bangkai itu.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

#Kumbang Malam
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

40 comments

  1. kah kah kah lawak laa cter ney..aku syak yg balik mlm tuh bkn abg dya tapi hantu yg menyamar jdi abg dya..xdpt nak bayangkn perasaan kau msa tuh seram weh takut aku..huaaa kau xghaib kan..?kan..kan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.