Malam Akhir Semester

Salam dan semoga semuanya sentiasa dalam rahmat-Nya. Pertamanya, terima kasih bagi memberi ruang untuk aku kongsikan cerita yang aku alami di ruangan ini. Semoga ia dapat dijadikan iktibar, dan seterusnya, buat makluman pembaca; aku bukan penulis yang baik, insyaAllah, aku akan cuba kongsikan pengalaman dalam bait-bait kata yang mudah difahami.

Kejadian ini berlaku dalam langkau tempoh 7 tahun yang lalu, dimana aku masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi yang terkenal di dalam negeri. Aku ditempatkan dalam sebuah kolej penempatan pelajar, yang dikenali sebagai blok Tun Puteri, di aras empat.

Aku melangkah buat pertama kali, dengan memberi salam ke ruangan kamar; terlihat barangan milik rakan sebilik sudah mengambil tempat masing-masing, aku pun memenuhi katil kosong terakhir di bahagian atas, dan mulai mengemas barangan milikku dibantu oleh ahli keluargaku. Seusai, aku dibawa ibu keluar untuk makan malam dan aku dihantar pulang ke kolej dengan ciuman kasih seorang ibu, dan doa sebagai pengganti diri.

Kehidupan sebagai pelajar bermula dengan rutin biasa, dipenuhi dengan kelas dan aktiviti-aktiviti ilmiah. Kamar itu aku gunakan sebagai bahagian dalam kehidupan social ku. Aku mempunyai 3 orang rakan bilik, namun kisah ini berkait tentang aku dan Sha.

Aku dan Sha mempunyai keserasian yang baik, dan memiliki habit yang agak sama. Aku ‘seekor’ burung hantu, begitu juga Sha. Mungkin kepenatan membuatkan aku dan Sha sukar tidur, atau mungkin faktor lain. Aku tiada jawapannya.

Suatu malam, dalam lewat pagi, seusai menyelesaikan tugasan yang diberi, aku bercadang untuk bermain game Diner Dash dalam komputer ribaku bagi melayankan mataku yang sukar lelap. Sha pula begitu leka dengan tugasannya yang belum disempurnakan.

“Brrrrrr, bbbrrrr, shhhhh,” bunyi orang membasuh baju tiba-tiba kedengaran dari aras bawah. Aku memandang Sha, begitu pula Sha sebaliknya.

“Malam dah ni, pukul 3 pagi dah?”, Soalku sambil memandang Sha.
“Hmm, normal kot,” jawab Sha.

“Normal otak kau,” getus ku dalam hati, namun aku menyimpankan suara hatiku, aku simpan dan ku kunci.

Kami berdua meneruskan apa yang kami usahakan sebelumnya. Aku cuba memenangi Diner Dash, satu kegianan yang sukar dibendung. Sha sepertinya sudah selesai dengan tugasannya.

“Wooof, woooffff,” kedengaran salakan anjing yang seperti memanggil, “Aooouuu,” kini sang anjing nyaring mendayu. Aku menjenguk keluar tingkap, ya, dua ekor anjing memandang tepat ke arah aku.

“Anjing pulakkkkkk, ini lain macam ni,” sekali lagi aku bermonolog dalaman, dalam dalam dan sendiri.

“Sha, ada anjing? Diorang pandang bilik kita lah,” kataku hampir berbisik, Sha menghimpit ke aku, dan menjenguk untuk memastikan perkataanku, lantas memandangku dengan sebuah pandangan yang bundar, namun kedua mulut kami terkunci.

“Jum kemas,” akhirnya ucapku ke Sha. Bulu roma ku meremang, seperti menerima isyarat dari panca indera keenam, dan seraya itu, aku dan Sha bergegas untuk persedian ke katil. Tiba-tiba, semerbak bauan harum menusuk ke hidung, aromanya lemak, dan sedang enak dalam asyik haruman itu, Sha terpandang sebuah kelibat putih, di sisi cermin. Tidak semua, tapi sebahagiannya.

Aku yang sedang sibuk dalam kekalutan mengemas terhenti, apabila pintu bilik tiba-tiba seakan diketuk halus, sayup tapi kedengaran. Aku memandang Sha, memastikan pendengaran aku itu sebuah kenyataan, bukan angan, Sha membalas pandanganku dengan melirikkan matanya ke arah pintu dan tingkap berulang kali. Memberi isyarat.

Kami mengetap bibir. Katup, takut. Amukan perasaan, datang bak angin bayu, mulanya lembut, tapi menyelubungi; takut dan keliru. Seperti, “Is this sh*t real?!”

Akalku bermonolog sesama sendiri, “Patutkah aku buka? Or should I leave it alone?”

Monolog dalamanku terhenti, “Eeeekk,”
tiba-tiba daun pintu bilik terbuka kecil. “Allah,” getusku terperanjat.

Serentak aku dan Sha menoleh ke pintu bilik, kali ini dengan perasaan yang pasti, malam ini malam ‘istimewa’ kami. Aku menelan ketakutanku dengan bacaan Ayatul Qursi, dan menetapkan hatiku. Pintu yang terbuka perlu ditutup. Aku tak tahu apa yang ada dalam fikiran Sha, tapi aku pasti, dia juga sedang mengumpul keberaniannya.

Roommates ku yang dua orang lagi begitu lena dibuai mimpi. “Whyy us?!” Aku bermonolog dengan diriku lagi. Sebuah pertanyaan yang mempunyai seribu jawapan, tapi aku tak pasti. Sambil berjalan ke arah pintu, berbekalkan semangat yang ada, kami menjenguk keluar, tak ada kelibat manusia, angin juga malu untuk bertiup lalu.

Kami menarik daun pintu bilik lalu menutup rapat, dan mengunci. Pandangan kami bertemu, Sha dan aku sepakat untuk tidak berdiskusi lanjut malam itu, sebaliknya terus mengambil tempat untuk tidur.

“Tup,” suis lampu di dinding aku padamkan, dan aku memanjat katilku untuk tidur. Belum, ia belum berakhir. Selesai dengan doa, aku cuba melelapkan mata, sungguhpun ia nya suatu yang mustahil. Dalam keadaan sebegitu, tiada mata yang boleh lena, tiada jiwa yang boleh tenteram, tiada akal yang boleh m**i.

Aku cuba mengiring dan menukar posisi ke kiri, dan dalam kegelapan itu aku terlihat sebuah kelibat, bayang gelap memandang aku. Aku memejamkan mata, dan cuba menetapkan hatiku, menguatkan setiap sisi ketakutanku kepada yang Hak, hanya pada Allah, lantas aku membuka kembali mataku, melawan rasa takut yang cuba menerkam dan mencarik keimananku, lembaga itu hilang. Namun bau busuk seperti bangkai hingar bangkit. Aku menarik nafas lega, Alhamdulillah.

Aku melirik ke Sha, kaku, mungkin sudah lena diulit mimpi. Aku berseorangan, mataku memandang handphone samsung ku, pink warnanya, sudah hampir pukul 4, sekali lagi aku menukar posisiku, ke kanan dan “Allah!” Aku terlihat sekujur tubuh, berbalut putih, berbaring menghadapku, dan hanya Allah dalam setiap detik nadi yang berdetik. Mataku kaku, tidak mampu tertutup seolah mahu dipandang, mulutku terkunci. Nafasku kencang.

Aku membaca Ayatul Qursi, dengan segala keyakinan dan kekuatan, aku menelan rasa ketakutan. Bicaraku sendiri, “Aku mahkluk, kau juga mahkluk, namun aku dimuliakan, oleh Pencipta sebagai khalifah yang telah disempurnakan ciptaan-Nya, tiada hak kau ke atas aku, hanya yang Hak berhak atas semua,” Lantas dalam hening malam, aku teruskan dengan bacaanku, menutup mataku, membiarkan ‘pengunjung malam’ itu sendiri.

Aku lena, terlena dalam usikan malam, kepenatan dalam pertarungan jiwa. Keesokannya, aku ke kelas seperti biasa, begitu juga Sha. Sekembalinya, kami membincangkan perihal semalam. Yang nyata, pintu itu dipastikan terkunci oleh sahabat yang sudah tidur semalam.

Sha berpendapat, ianya usikan akhir semester dari ‘penduduk’ di situ, aku berpendapat ianya kejadian yang mengajar aku tentang ‘takut’.

Apabila insan itu meletakkan takut pada yang bukan Hak, maka dia telah menzalimi diri sendiri, dengan ketakutan itu memakan diri. I have learnt my lesson. Dan secara personalnya, aku yakin malam itu Allah menegur aku; “Pada mahkluk atau pada Aku?”

Sekian.
I have one more, but I save it for later.

.

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.