Malam Berjaga

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada admin dan semua pembaca fiksyen shaha. Aku Fadli berumur 28 tahun masuk tahun ini, berasal dari sabah. Cerita yang aku kongsikan ini adalah disebabkan aku adalah salah satu dari 4 lelaki tersebut. Tanpa membuang masa kita teruskan dengan kisah tersebut.

Di sebuah kampung kecil di Sabah, ada satu tradisi yang masih diamalkan berjaga malam apabila berlaku kematian. Lazimnya orang kampung akan berkumpul untuk menemani ahli keluarga si mati. Ada yang datang membaca doa, ada yang sekadar berbual-bual, dan ada juga yang hanya menemani sehingga larut malam.

Malam itu adalah malam ketiga selepas seorang penduduk kampung meninggal dunia. Empat orang lelaki mengambil giliran berjaga-jaga yang telah disediakan meja kerusi serta makanan minuman, tempat itu berdekatan dengan rumah arwah. Suasana sunyi, hanya kedengaran bunyi cengkerik, sesekali lolongan anjing, dan angin malam yang berhembus perlahan.

Mereka berempat duduk di kerusi panjang sambil berbual ringan, cuba menghilangkan rasa mengantuk. Tetapi tepat sekitar jam 2 pagi, salah seorang daripada mereka tiba-tiba terdiam. Matanya tajam memandang ke arah sebuah rumah jiran yang berdekatan.

“Eh… kau nampak kah tu?” katanya perlahan sambil menunjuk dengan dagu.

Ketiga-tiga yang lain memandang ke arah ditunjukkan. Sekilas pandang, memang seperti ada bayang putih melintas di bawah rumah jiran. Rumah-rumah di kampung itu semuanya rapat-rapat, dibina tinggi bertiang. Jadi dari bawah rumah memang boleh nampak bayangan jika ada sesiapa melintas.

Namun anehnya, bayang itu tidak seperti manusia biasa. Tubuhnya panjang, putih samar, dan meluncur tanpa bunyi.

Salah seorang lagi cepat-cepat beristighfar. Mereka saling berpandangan, masing-masing tidak berani untuk bersuara lebih. Bayangan itu lenyap begitu sahaja.

Paginya, seorang daripada mereka akhirnya membuka mulut kepada kawan yang lain.

“Semalam… kau betul-betul nampak ka?”

Rakannya hanya diam, kemudian mengangguk perlahan. Katanya, dari awal dia memang nampak sosok putih itu tetapi memilih untuk berdiam agar tidak mengeruhkan suasana.

Mereka berdua sepakat untuk tidak membesarkan perkara tersebut. Lagipun gangguan itu hanya berlaku pada malam itu sahaja, dan berharap tidak akan berulang pada malam-malam seterusnya.

Bagi mereka, itu hanyalah sekadar gangguan yang “menyinggah” waktu berjaga. Dan seperti kata orang kampung, jika kita tidak menyapa atau memanggil, makhluk itu tidak akan mengganggu lagi.

Sejak malam itu, setiap kali berjaga malam, mereka akan pastikan surah Yasin atau bacaan doa dipasang perlahan di rumah arwah agar suasana lebih tenteram. Dan kisah bayang putih di bawah rumah jiran itu hanya tinggal kenangan yang tidak pernah mereka lupakan.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.