Malam Yang Panjang 2

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih banyak-banyak admin sebab kongsikan cerita aku. Setelah aku post tentang Malam Yang Panjang. Alhamdulillah terlalu banyak kecaman yang aku terima daripada member-member sendiri. Haram betul ada member kaki kecam ni. Hahaha. Ohh terlebih dulu aku nak terima kasih kat Leman (nama sebenar) kerana sambungan kisah member lelaki aku yang kena ganggu tu diceritakan semula oleh Leman kepada aku setelah banyak kali aku desak. Aku sabar je dengan perangai diva si Leman. Ok, dah melalut. Jom kita mulakan sambungan kisah lepas.

PART 1: DI LUAR BILIK
Okey, let’s continue dengan kisah member lelaki aku kena kacau. Member nie kena sebelum Ras kena kacau lagi. Kejadian ni berlaku sekitar pukul 12 tengah malam. Mulanya, budak-budak lelaki kelas aku tengah main gitar di koridor rumah kami bersama Sha dan member2 perempuan yang lain. Kiranya tengah menikmati keindahan malam yang mengasyikkan lah. Fifi (bukan nama sebenar) masa ni tengah pejam mata seolah-olah sedang tidur. Tiba-tiba Fifi bangun dan bagitau member-member lain yang dia nak ke tandas. Budak-budak lain biarkan jela Fifi balik bilik sorang diri. Sekian lama sepeninggalan Fifi, Ajib & Leman nak balik ke bilik semula.

Mereka berdua ternampak Fifi yang tengah mencangkung dan tengok ke atas di padang berhadapan rumah kami. Mereka tegur Fifi dan mengajak Fifi masuk ke bilik sebab masing-masing dah cuak melihatkan perilaku Fifi yang cukup pelik. Namun, Fifi tetap berkeras untuk duduk di situ dan tidak mengendahkan ajakan Ajib dan Leman. Kemudian, mereka memanggil Pak Leh iaitu orang yang telah merawat Ras. Pak Leh memberitahu bahawa ada entiti lain yang telah menganggu Fifi, lalu Pak Leh membacakan ayat-ayat suci untuk merawat Fifi. Kemudian Fifi rebah dan tidak bermaya. Lalu Leman dan Ajib membawa Fifi balik semula ke rumah mereka.

PART 2 : DALAM BILIK
Dalam bilik budak-budak lelaki, mereka dibekalkan dengan katil double decker. Fifi memilih tempat tidur atas bersebelahan Din (bukan nama sebenar). Kejadian berulang di mana Fifi memandang dengan tajam ke depan tanpa mengerlip mata. Kami memang mudah perasan segala perubahan fifi sebab kami selalu menyakat Fifi kerana keceriaannya yang terlampau. Sudah pelbagai cara yang dilakukan oleh budak-budak lelaki untuk menganggu Fifi tapi posisi duduknya tetap seperti tadi. Memandang ke depan tanpa berkelip. Keadaan ni menyebabkan semua budak lelaki cuak terhadap respon Fifi. Kemudian Din yang dikenali dalam kelas kami sebagai pelajar bekasan sekolah agama membacakan sesuatu dan meniupkannya ke telinga Fifi, lalu Fifi baring dan memejamkan matanya.

‘Classmate’ lelaki aku iaitu Leman, Yen dan Mel ke tengah ruang bilik lalu berkongsi kisah seram mereka. Memang sudah menjadi kebiasaan semua orang suka berkongsi kisah hantu apabila berada di kem dan sebagainya. Dalam keadaan yang genting dan lokasi kawasan kem di tengah hutan, mereka masih sempat berkongsi kisah mereka sendiri. Yen pula sedang khusyuk memerhati gambar yang diambil ketika kami semua sedang bergembira bermain bola di padang tersebut pada waktu petang tadi. Tiba-tiba, mata Yen tertancap pada kelibat hitam yang berada di dalam rumah stor depan. Kelibat itu seolah-olah mengintai kami melalui celahan tingkap. Masing-masing sudah bising apabila melihat gambar tersebut.

Pada waktu yang sama, ada senior tahun 3 tengah ‘on call’ di luar bilik budak2 laki. Senior tersebut masuk ke bilik mereka dalam keadaan tergopoh gapah dan memberitahu ternampak kelibat di balik pokok pisang berdekatan bilik. Maka, classmate lelaki aku terus keluar untuk memastikan kesahihan cerita senior tersebut. Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila mereka tidak diberi peluang untuk melihat dengan mata kepala mereka sendiri rupa entiti tersebut. Tiba-tiba Fifi kembali membuka matanya dan memandang tepat ke atas. Bayangkan anda semua berada dalam situasi melihat member anda dalam keadaan sedemikian. Seram, tapi tak mungkin meninggalkan member dalam masalah bersendirian. Keadaan Fifi berlarutan sehingga ke subuh.

Tepat pukul 6 pagi, Fifi bangun dan menuju ke surau yang terletak di hujung ceruk kawasan penginapan tersebut. Kawasan sekitar yang suram dan gelap pasti akan mengugat keberanian kerana kami perlu melalui padang untuk sampai ke surau. Namun, Fifi bergerak ke surau keseorangan pada subuh yang hening itu. Akal manusia normal tidak akan seberani tersebut untuk meredah padang yang gelap bersendirian. Gangguan terhadap Fifi tiba-tiba terhenti dengan sendirinya tapi Fifi tetap dalam keadaan senyap dan tidak banyak bercakap seperti selalu.

PART 3: KISAH AKU DITUMPANG
Dalam pukul 6.30 petang, kami semua ke dewan makan untuk makan malam. Fifi yang duduk makan di meja bersebelahan bangun dan lalu di belakang aku. Aku terperasankan kelibat Fifi tapi aku biarkan je. Sesampainya Fifi betul-betul di belakang aku, bahu aku terasa berat yang amat. MasyaAllah sakit yang tak boleh nak diluahkan. Sehingga mengalir air mata aku menahan kesakitan. Berat yang amat sehingga aku tak mampu mengangkat tanganku. Sya yang berada di sebelah aku terperasankan keadaan aku yang sedang menanggung kesakitan.

Sya terus meminta budak-budak lain memanggil pensyarah aku. Lalu pensyarah aku terus menyuruh aku membaca ayat kursi namun lidah aku cukup berat seakan terkunci. Melihatkan keadaan aku, pensyarah menyuruh aku merenung tapak tangannya dan mula membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Dalam beberapa ketika, bahu aku terasa ringan kembali. Pensyarah aku memberitahu bahawa ‘benda’ itu sengaja ingin menguji sejauh mana kekuatan aku untuk melawannya. Nasib aku baik bila pensyarah aku membantu aku dengan cepat.

Bila aku dan Sya balik semula ke bilik, kami sekali lagi terhidu bau busuk yang amat sangat. Tiba-tiba Pak Leh datang lalu menepuk belakang kami. Tidak semena-mena kami muntah di situ. Pak Leh tersenyum dan cakap, “Dah, jangan risau. Semua dah selamat”. Lalu Pak Leh berlalu meninggalkan kami. Selepas itu, hidup kami di kem tersebut aman tanpa ada gangguan anasir-anasir luar lagi.

Maka dengan ini berakhirlah sudah cerita seram aku. Terima kasih pada yang sudi meluangkan masa membaca kisah yang aku kongsikan. Maaf andainya kisah aku tidak menyeramkan. Aku sekadar berkongsi kisah sendiri. Nasihat aku, janganlah kita semua terlalu berseronok melebihi batas apabila berada di tempat yang kita tidak biasa. Kelak mengundah padah. Renung-renungkan dan selamat beramal. Wassalam.

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 0 Average: 0]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.