Malambai Encik Gula-Gula

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca FS. Harini aku nak cerita pengalaman seram yang pernah aku alami. Maaf kalau ayat agak berterabur, dan cerita ini ada sedikit penambahan, namun ia dari pengalaman sebenar saya sendiri. Harap faham dan enjoy cerita ni ya. #aiq

Namaku Alyah (bukan nama sebenar). Pengalaman seram yang pernah aku alami adalah ketika di waktu persekolahan, lebih tepat lagi ketika aku bersekolah di sekolah menengah. Aku telah menetap di asrama yang berada di dalam sekolah sejak dari Tingkatan 1 hingga 3. Sebagai seorang pelajar asrama, jadual harian kami agak padat. Selesai sahaja sesi prep malam, kami terus bersiap untuk tidur pada jam 11pm. Pada suatu hari, ketika aku sedang nyenyak tidur, kawan aku bernama Maira bangun lalu mengejutkan aku. Maira mengajak aku menemani dia untuk pergi ke tandas.

Selepas ke tandas, Maira mengajak aku untuk minum air. Kebetulan, botol kami kehabisan air minuman. Jadi nak tak nak, kena pergi Dewan Makan (DM) juga untuk isi air minum (disitu ada diletakkan water dispenser). Untuk pengetahuan pembaca, blok asrama (perempuan) bersebelahan dengan DM, hanya di belakang blok asrama sahaja, dipisahkan dengan pagar. Bilik kami pula terletak berada dihujung, kena berjalan sikit. Tapi nasib baik bilik kami di tingkat bawah, jadi tak ada melalui tangga (asrama ada 2 tingkat, di tangga ni pun ada cerita seram dia).

Dengan malas, aku bangun juga sebab kesian kat Maira nampak dia macam tak tahan sangat. Tulah, sape suruh bedal air coke sebotol, makan dessert banyak-banyak (sebelum tu kami ada sambut birthday kawan). Tapi takpelah, boleh aku isi air juga. Masa itu aku tak pakai cermin mata sebab malas nak pakai (aku rabun jauh, tapi tak kuat sangat). Jadi pandangan aku agak kabur sikit. Jam masa tu lebih kurang pukul 12.30am-1.00am macam tu. Bilik-bilik lain semua dah gelap dan sunyi, hanya bunyi cengkerik dan dengkuran memasing saja yang kedengaran (ye, perempuan pun ada yang berdengkur ye, hihi).

Tiba di tempat isi air, kami pun mengisi air dalam botol masing2. Tak jauh dengan DM, ada sudut koperasi (tempat pelajar beli barang) dan pondok menunggu. Di bahagian situ ada lampu, tapi agak samar-samar. Maira sudahpun selesai isi air dibotolnya, selepas itu aku mengisi pula. Ketika aku sedang isi air, aku memandang2 persekitaran sambil melayan ngantukku. Tiba-tiba aku perasan di tempat diantara pondok menunggu dan koperasi ada satu susuk putih yang seakan sedang berdiri. Aku mengecilkan mata, tapi sebab aku rabun, masih kurang jelas apa yang aku nampak. Aku memanggil Maira perlahan.

“Wei, Maira. Cuba kau tengok kat sana. Pak guard eh, rajin pak guard ni ye round bangunan” ujar aku bersahaja sambil melambai pak guard itu, ye lah, time tu aku nampak kabur-kabur je, tak jelas. Aku pun memang agak peramah, selalu bertegur dengan pak guard sekolah waktu persekolahan. Jadi aku hanya bersangka baik sahaja.

Maira ketika itu sedang meneguk air, mula memandang tempat yang aku tunjukkan. Ketika itu aku perasan, matanya membesar seperti sedang terkejut. Terus tangannya menarik tangan aku, mengajak aku berlari.

“Alyah, jom cepat. Kita balik bilik sekarang!”
“Eh, kejaplah, aku belum habis isi air ni lagi”, marah aku. Yelah, alang2 da sampai sini, kenalah isi air sampai penuh, fikir aku.

“Kita pergi sekarang!”, Maira menarik tangan aku dan mula berlari. Aku pula hanya mengikut rentak dia sahaja. Mulut aku membebel, dahlah kejutkan orang, tapi aku pula tak dapat nak isi air sampai penuh.

Kami berlari sampai ke bilik. Masuk sahaja bilik, Maira terus mengunci bilik dengan cepat dan banyak beristighfar. Aku yang pelik mula bertanya pada Maira.

“Weyh, kau kenapa? Macam nampak hantu je?, seloroh aku, yang ketika itu masih tak faham situasi lagi.
“Diamlah kau! Kau tak nampak ke tadi?” Marah Maira.
“Apsal? Nampak apa? Tadi bukan pak guard ke?” Tanya aku.
” Bukan weyh. Takpe, sekarang kita kena tidur dulu. Esok baru aku cerita.” ujar Maira lalu terus baring ke katil dia. Kelihatan dia agak berpeluh2 dan nampak macam ketakutan. Ketika itu, aku yang masih mengantuk lagi hanya mengikut kata Maira. Oleh sebab aku malas nak bergaduh, aku pun baring ke katil aku yang memang bersebelahan dengan Maira. Namun aku perasan Maira pula pada ketika sudah pun berselubung dengan selimut, Maira pula semakin lama merapatkan badannya ke aku, namun aku hanya membiarkan sahaja dan aku pun terlelap hingga ke subuh.

Esok paginya, ketika berjalan menuju ke kelas, aku bertanya hal malam tadi pada Maira.

“Weyh, kenapa kau semalam? Ajak aku isi air, tapi aku tak sempat nak isi penuh, kau dah tarik aku?”
“Kau tahu tak apa yang aku nampak semalam, Alyah?, bisik Maira sambil memandang sekeliling.
” Semalam bukan pak guard ke? Apa yang kau nampak semalam? Aku tengok kau macam ketakutan je”
“Ye Alyah, aku memang tengah ketakutan. Sebenarnya bukan pak guard yang kau nampak. Kau sebenarnya tengah melambai pakcik gula-gula!” (nickname popular yang selalu budak asrama bagi pada hantu P*c*ng sebab katanya kalau panggil nama sebenar seakan sedang menyeru).
“Ya Allah!” Aku terkejut dan menutup mulut dengan tanganku. Tak dapat kubayangkan betapa beraninya ketika aku melambai pakcik gula-gula.

“Kau tahu tak, kau lambai dia, dia menoleh kat kau semalam?! Dia nampak kita berdua weyh! Aku da kecut perut dah waktu tu, kau pulak boleh relaks lagi siap isi air” luah Maira. Nampak riak mukanya masih lagi rasa takut dan berjaga-jaga.

“So, kau nampak muka dia ke weyh? Serius, aku tak perasan. Aku ingatkan itu pak guard yang selalu kita tegur tu weyh.” Aku pun terus rasa seram-seram sejuk waktu tu. Lambat pula dia punya effect, padahal malam tadi punya hal hahahah.

“Aku tak nampak sangat muka dia, mula-mula dia tengah membelakangkan kita. Bila kau tegur je dia, aku nampak dia terus menoleh ke arah kita. Aku nampak dia bergerak ke depan sikit menuju tempat kita, tu yang aku ajak kau cepat-cepat pergi dari situ”, kata Maira.

“Serius weyh aku tak tahu. Tapi nasib baik semalam takda apa berlaku, kan? Aku pula memang tidur m**i semalam, hahaha” Menyempat aku buat lawak kat Maira.

“Tulah kau tak tahu, waktu kau tidur, sebenarnya aku nampak benda tu ada datang kat bilik, tapi dia di luar tingkap. Walaupun aku memang boleh nampak benda ni dari kecil, tapi seram jugak kalau aku sorang-sorang je yang berjaga malam tadi. Nasib baik dia tak kacau kita, dia cuma berdiri je kat luar.”

Aku cuma mampu mendengar cerita Maira pada ketika itu. Badanku pula mula rasa seram sejuk, seakan ada benda yang sedang memerhati. Kebetulan kami sedang melalui kawasan tempat benda itu berdiri sewaktu berjalan menuju ke kelas.

Sekian, itu sahaja cerita saya. Sebenarnya ada banyak cerita seram lagi, tapi saya akan kongsikan pada lain masa.

Dari: #aiq

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Aiq
Rating Pembaca
[Total: 39 Average: 4.5]

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.