Manusia Bertopengkan Syaitan

“SESEORANG YANG DITIMPA UJIAN..”
“TIDAK KIRA DALAM BENTUK APA SEKALIPUN”
“ADAKAH MEREKA AKAN BERUBAH….?
PEMBERSIHAN SYAITAN
“Vrooommm…!!!”
Kelihatan beberapa motosikal sedang bergerak laju diatas jalan raya. Ada sebahagian daripada mereka yang membuat aksi berbahaya seperti ‘Wheely’. Terdapat juga para penonton yang berada di tepi jalan menyokong mereka. Walau bagaimanapun, sebaik saja tiba di satu selekoh, para pelumba terlihat 2 buah kereta peronda polis, yang kemudiannya mengejar mereka. Pada akhirnya, semua pelumba dan orang menyaksikan perlumbaan haram itu ditangkap oleh polis.

“Apa nak jadi dengan kamu ni, Iqram?!! Berlumba sana sini! Membahayakan nyawa kamu dan orang lain! Lepas tu buat maksiat! Kenapa dengan kamu ni?!!!!”. Tengking Puan Rahimah kepada anaknya, Iqram; salah seorang daripada mat rempit yang ditangkap sebelum ini. Ketika itu, mereka berada di luar balai polis selepas ibunya terpaksa mengikat jamin anaknya itu, kerana takut malu orang akan mengata tentang keluarganya. Walau bagaimanapun, Iqram tidak menjawab soalan ibunya itu dan terus memasuki kereta milik ibunya. Setibanya dirumah, Puan Fatimah terus menampar muka anaknya itu.
“Kamu jangan kurang ajar, Iqram! Ibu dah bagi semuanya kepada kamu! Duit, harta, rumah! Apa lagi yang kamu tak puas hati?!!” tengking Puang Rahimah lagi. Iqram terus mendiamkan diri sambil memegang pipi yang ditampar kuat oleh ibunya. “Kamu tahu tak?! Jiran-jiran dah mula bercakap pasal kamu! Pasal ibu juga!”. Ujar puan Rahimah lagi. Pada waktu itu, baru lah Iqram bersuara seraya tergelak sinis. “Heheh, jadi ibu lebih pentingkan maruah ibu daripada anak sendiri? Patut lah ayah tinggalkan ibu dengan betina lain”. Puan Rahimah terus tercabar dengan perlian anaknya itu. dia mahu menampar anaknya lagi, namun dihalang oleh orang gajinya. “sudah lah tu, Puan. Kalau puan terjerit-jerit macam ni, lagi lah jiran akan mengumpat”.

Setelah itu, Iqram terus memasuki biliknya sambil menghempaskan pintu dengan kuat sekali. Puan Rahimah pula terduduk diatas sofa, pening akan perbuatan dan sifat anaknya itu. “Sabar lah, Puan. Sekarang ni Iqram melalui fasa sukar dalam hidupnya. Dia masih tak boleh terima yang Puan bercerai dengan Encik Hakim, bekas suami Puan”. Pembantu rumah itu cuba menenangkan situasi genting itu. Puan Rahimah terus menghembuskan nafasnya. “Ya, Saya tahu. Tapi perkara itu dah 2 tahun berlalu. Bila dia nak lupakan? Lagipun dia tak nampak ke saya berusaha untuk menjaganya, walaupun dia dah boleh bekerja atau sambung pelajarannya?” Balas Puan Rahimah sambil meneguk air kopi yang dihidangkan oleh Pembantu rumah itu.

Pada masa itu, pembantu rumah itu terus teringat akan sesuatu. “Hah! Saya teringat..2 bulan lepas kakak saya ada hantar anaknya ke sebuah pusat pemulihan ahklak dekat Pahang. Baru sehari pergi, anak nya terus berubah seratus peratus. Cuba kalau Puan hantar Iqram ke tempat tu. Lagi pun Iqram kan pernah belajar agama”. Pembantu rumah itu memberi cadangan kepada Puan Rahimah. Puan Rahimah terus terdiam seketika. Selepas beberapa ketika, Puan Rahimah bersuara “berikan saya alamatnya”.
Seminggu kemudiannya.

“Dah sampai pun”. Ujar Pemandu peribadi Puan Rahimah kepada tuannya serta anaknya. Ketika itu, mereka berada di hadapan Pusat Pemulihan Akhlak Al-Mahrum, yang terletak di Jengka, Pahang. Pada waktu itu, Puan Rahimah melihat wajah Iqram yang masam, menunjukkan bahawa dia langsung tidak setuju dengan perbuatan ibunya itu. “Iqram, ini untuk kebaikan kamu juga. Ibu cuma nak Iqram yang dulu saja. Anak yang baik dan mendengar nasihat”. Kata Puan Rahimah dengan lembut. Walau bagaimanapun, Iqram hanya mendiamkan diri sambil keluar dari kereta. Selepas mengambil beg pakaiannya, dia berkata kepada ibunya “Iqram yang dulu dah m**i lepas ibu berpisah dengan ayah”. Ujar Iqram, sebelum memasuki bangunan itu. ibunya terus terdiam, sebelum beredar dari situ.
Setelah disambut oleh beberapa ustaz dan meletakkan beg pakaiannya di bilik, Iqram dibawa ke kelas agama. Disitu, dia terlihat beberapa remaja sepertinya sudah berada disitu bersama seorang ustaz. “Duduk lah, err…Iqram”. Ujar ustaz itu sambil melihat borang milik Iqram. Iqram kemudiannya melabuhkan punggungnya di sebelah seorang lelaki, yang menegur Iqram selepas itu. “Yo, aku Daniel”. Ujar Daniel perlahan. Namun, Iqram tidak memperdulikan teguran Daniel. “Cis, sombong..kau tengok tu, Ruzain. Aku tegur dia, dia buat tak tahu saja”. Kata Daniel yang sedikit marah kepada rakan sebelah kirinya, Ruzain.
“Alaa, aku tahu dia tu mesti budak kaya. Tu yang sombong”. Kata pula Ruzain. Pada waktu itu, ustaz itu memperkenalkan dirinya kepada mereka semua. “Assalamualaikum semua. Nama saya ialah Ustaz Harun. Umur ustaz 29 tahun. Dan sejak kamu semua ni masih belum berkenalan, apa kata kamu kenalkan diri kamu semua dan nyatakan sebab kamu dihantar kesini”. Ujar Ustaza Harun itu.

“Errr…Nama saya Siti Umairah binti Abdul Rahim. Saya dihantar kesini….sebab..” “Sebab kau telanjur, kan? Hahahahah”. Ruzain cuba mengacau gadis bernama Umairah itu sambil tergelak sinis. Apa lagi, terus merah padam wajah Umairah. Setelah itu, gadis sebelah Umairah pula memperkenalkan dirinya. “Yo, nama saya Nur Julia binti Yassin. Bagi saya, saya tak buat apa-apa salah pun saya cuma sukakan perempuan saja”. Ujar gadis disebelah Umairah. Terdiam mereka semua mendengarnya. Masakan tidak, gadis bernama Julia itu bangga dengan nafsu songsangnya itu. Setelah itu, Ruzain dan Daniel memperkenalkan diri mereka, dengan menyatakan bahawa menyalahkan gunakan dadah punca mereka dihantar kesana.

“Hah, kamu yang senyap saja dari tadi. Cepat beritahu rakan-rakan kamu”. Ujar Ustaz Harun kepada seorang lelaki berkepala botak, yang berada dihadapan Iqram. “Heh, kawan? Jangan mengarut lah! Aku Zack! Abang besar kawasan ni! Diaorang semua ni tak layak dekat dengan aku!”. Ujar lelaki yang bernama Zack itu dengan sombong. Daripada pengamatan Iqram, Zack itu seperti orang yang menyertai kongsi gelap. Setelah itu, tiba pula gilirannya. “Aku Mohamad Iqram bin Mohd Hakim”. “Itu saja?”. Soal Daniel yang hairan dengan pengenalan Iqram yang pendek. Namun, seperti biasa, Iqram hanya diam saja.

“Okay…nampaknya kita dah berkenalan, bukan? Semua yang kamu semua tahu, Pusat Pemulihan disini mampu mengubah remaja yang sesat supaya menemui jalan yang benar semula, seterusnya mendekatkan diri dengan Tuhan semula. Jadi Ustaz harap kamu semua dapat berubah. Ingat, umur kamu semua masih muda. Kamu..” “Ustaz Harun”. Sebelum habis Ustaz Harun berucap, seorang wanita tiba dan menemui dia. Wanita itu kemudiannya menyerahkan sepucuk surat kepadanya. Selepas membaca surat itu, Ustaz Harun terus tersenyum. “Hari betuah untuk kamu semua. Kerana kamu semua akan melakukan tugas yang mendapatkan pahala”. Mereka semua terus kehairanan. Tugas apa?

“Vroommmmm”
Sebuah van putih yang dipandu oleh Ustaz Harun terus memecut diatas jalan raya. Tiada apa di sekeliling jalan raya, melainkan hutan yang sangat tebal. “Ustaz, baru hari pertama kitaorang datang, dah buat kerja amal. Apa, bersihkan Surau?”. Ujar Julia, memecah kesunyian. Ya, mereka semua diarahkan untuk membersihkan sebuah surau usang, sambil bermalam disitu. “Nak buat macam mana. Itu arahan pihak atasan. Lagipun kamu semua dilindungi oleh insuran kalau apa-apa berlaku. Jadi, jangan lah risau”. Ujar Ustaz Harun sambil memandu van itu. “Tapi Ustaz, bukan itu…” sebelum sempat Julia menghabiskan ayatnya, kepalanya terkena siku Ruzain yang ketika sedang bermain bersama Daniel. “WEI! Sakit lah! Tak guna punya lelaki! Jijik!”. Teriak Julia sambil memarahi mereka.

Walau bagaimanapun, Daniel dan Ruzain tidak memperdulikan amarah gadis itu, sebaliknya mereka makin rancak bermain. “Ishh!!! Korang boleh diam tak?!!”. Teriak pula Zack. Dengan suara garau dan ganas seperti Zack, terus membuatkan mereka berdua terdiam. Pada masa yang sama, Iqram memerhatikan Umairah yang mendiamkan diri. “Hey, Daniel. Umairah tu memang senyap ke dari awal?”. Soal Iqram kepada Daniel. “Oh, pasal awek, baru nak tegur aku?”. Ujar Daniel seraya membuat suara marah, sebelum tersenyum. “Haha..gurau saja lah! Memang la dia diam saja. Dulu pun masa kat sekolah, semua orang anggap dia ni kuat iman lah, bakal ustazah lah. Tup tup, kantoi terlanjur dengan seorang lelaki”.
Ujar Daniel. Iqram terus kehairanan; bagaimana Daniel boleh mengetahui cerita tentang Umairah. “Aku ni duduk dekat kampung dia. Aku dengan Ruzain ni. Sebab tu aku tahu. Tapi biasalah. Dah terlanjur, baru menyesal. Hahahah!”. Kata Daniel seraya tergelak sinis. Iqram perasan bahawa Umairah sedikit tidak selesa dengan cerita Daniel itu.

Pada masa yang sama, van mereka berdentum kuat, seperti terlanggar sesuatu. Ustaz Harun terpaksa memberhentikan van nya. Dia kemudiannya memeriksa diluar, sebelum memberitahu mereka bahawa dia terlanggar sekumpulan monyet. Iqram melihat monyet-monyet itu sudah tidak bernyawa.

Tiada pilihan lain, dia membantu Ustaz Harun mengalihkan bangkai-bangkai haiwan itu, sebelum mereka bergerak semula. “Ya Allah, Ustaz betul-betul tak sengaja. Maafkan Ustaz, korang semua”. Ujar Ustaz Harun. Mereka hanya mengangguk, sebelum meneruskan perjalanan. Tanpa mereka ketahui, terdapat pergerakan jari bangkai monyet itu.
Setelah beberapa perjalanan, mereka akhirnya tiba ke destinansi mereka, sebuah surau terbiar yang berada didalam hutan. Sambil mengeluarkan barang mereka, Ruzain bertanya “Aih? Ini surau ke pondok? Nampak terbiar dan usang!”. “Dulu surau ini digunakan oleh orang asli yang beragama Islam di kawasan ini. Tapi, selepas kerajaan membina penempatan baru dan surau baru, mereka tidak lagi ke sini. Tapi, ini kan rumah Allah. Kita sebagai umat Islam, harus menjaganya dengan baik”. Terang Ustaz Harun dengan panjang lebar. Mereka semua terus terdiam. Setelah itu, Ustaz Harun membahagikan tugas mereka untuk membersihkan kawasan tersebut.

Namun begitu, sementara mereka sibuk melakukan tugas, Ruzain dan Daniel bergerak ke bilik air dan mengeluarkan sepeket syabu. “YES! Aku dah tak tahan! Tapi kalau kita hisap kat sini, mesti diaorang nampak”. Ujar Ruzain. Daniel kemudiannya cuba membuka pintu bilik air tersebut, namun terkunci. “Aish? Macam mana bilik air ni terkunci dari dalam?”. Hairan Daniel. Pada masa yang sama, Umairah cuba mengangkat beberapa batang kayu, namun kekuatannya tidak cukup untuk melakukannya. “Sini, biar aku angkat”. Ujar Iqram, cuba membantu gadis itu. “T-Terima kasih”. Ucap Umairah termalu-malu.
“Tak payah ‘terima kasih’ sangat la. Kau tu perempuan. Apa pun, pasal benda yang Daniel cerita tadi…” Iqram cuba mengalih topik kepada kisah Umairah. “Oh, saya” “Saya tak percaya sangat,maksud saya perkara pasal awak terlanjur”. Iqram mencelah kata Umairah. “Saya ni dah jumpa ramai orang. Bukan saya nak belagak, tapi saya boleh membezakan orang jahat dan baik”. Tambah Iqram lagi. Umairah cuba menyatakan sesuatu, namun disampuk oleh Ustaz Harun yang memanggil mereka untuk solat Asar. Pada masa yang sama, Iqram didatangi oleh Daniel dan Ruzain. “Wei, pelik betul la! Bilik air kat belakang surau tu terkunci dari dalam”. Kata Daniel kepada Iqram.

“Hm? Apa yang pelik? Bagi aku normal saja”. Balas Iqram pula. “Ya, aku tahu. Tapi kan, macam mana pintu itu terkunci dari dalam. Pintu itu tak ada tombol, dan tak ada cara lain nak masuk ke dalam bilik air itu. tak ada lubang langsung!”. Balas Ruzain pula. Iqram terdiam seketika. Pada masa yang sama, dia terus bertanya “Yang korang ni nak masuk ke sana, buat apa? Kan ada bilik air lagi satu?”. Daniel dan Ruzain terus tersenyum. “Hehehe..errr..”…..
Selesai membersihkan kawasan itu, serta mahu membersihkan tubuh mereka, mereka bergilir-gilir mandi, sehinggalah tiba giliran para gadis. Umairah bersedia dengan membawa tuala dan pakaian. Namun begitu, Julia yang mengekorinya sehingga ke bilik air, bertindak mengunci pintu bilik air itu. “Ahhh…segar daripada bau busuk jantan”. Kata Julia sambil memerhatikan susuk tubuh Umairah. “Julia, awak buat apa ni?”. Soal Umairah yang agak kehairanan. “Eleh jangan buat-buat suci pula. Kau tahu? Dari awal aku nampak kau, aku jatuh cinta dengan kau! Suara kau yang perlahan tu. Pandangan mata kau tu. Aku suka kau”.
Ujar Julia, seraya memeluk Umairah. Setelah beberapa ketika, Umairah berjaya melepaskan diri dan terus keluar dari bilik air itu. geram akan peluangnya terlepas, Julia melepaskan kemarahannya dengan menumbuk air dalam tab itu. Pada masa yang sama, pintu bilik air itu tertutup dengan sendiri. “Umairah! Kau jangan main-main! Aku tahu aku salah! Buka pintu ni!” Teriak Julia yang mendapati pintu itu terkunci. Ketika itu, kedengaran air berkocak dari dalam tab mandi itu, membuatkan Julia terkejut kecil. “Apa tu..?”. hairan Julia seraya menghampiri tab itu dengan perlahan. “ARGHH!!!!”. Julia menjerit selepas sepasang tangan keluar dari tab itu dan menariknya kedalam air! Julia cuba meronta, namun dia terlihat sepasang wajah wanita dengan tiada mata. Setelah beberapa saat, Julia berhenti meronta. “Splashh!!!”. Julia keluar dari tab mandi itu, sementara tubuhnya menjadi pucat keputihan.

Tidak lama selepas itu, mereka selesai usrah dan mahu menunaikan solat Maghrib. Ketika Ustaz Harun mahu membacakan Azan, dia perasan bahawa ketidakhadiarn Julia. “Umairah, mana Julia”. Soalnya kepada Umairah. “Umm…dia ada kat bilik air, ketika kali terakhir saya jumpa dia”. Jawab Umairah. Dia kemudiannya pergi memeriksa Julia di bilik air. Sebelum dia memasuki bilik itu, Umairah terdengar bunyi hirisan, serta suara Julia yang sayu. “Julia..?”. Panggil Umairah seraya membuka pintu bilik air. Dia kemudiannya terlihat Julia yang berdiri di sudut bilik, sambil tangannya melakukan sesuatu terhadap wajahnya. “Julia? Apa yang awak buat?”. Panggil Umairah. Pada waktu itu, Julia memalingkan wajahnya kepada Umairah.
“SERTAI NERAKA!!”.
Teriak Julia, dengan matanya yang sudah dicungkil. Umairah terlihat 2 biji mata yang dipegang oleh Julia. “Ya ALLAH! Apa yang awak buat?!!”. Jerit Umairah ketakutan. Tubuhnya mula menggeletar melihat gadis dihadapannya. Sambil menelan kedua biji matanya, Julia terus menerkam Umairah. “ARGHHHH!!!! Tolong!!”. Umairah meminta pertolongan. Suaranya yang kuat itu didengari oleh Iqram dan Zack. Apa lagi, mereka semua terus menuju ke Umairah. “Ya Allah!”. Itu saja yang terucap dari mulut Ustaz Harun apabila melihat keadaan Julia. Iqram pula terus menendang Julia apabila dia mahu menggigit Umairah.

“MATILAH KORANG!!! MASUK NERAKA!!!”. Jerit Julia lagi. Mereka semua sudah terpaku disitu. Masakan tidak, gadis didepan mereka seakan dirasuk! Julia kemudiannya cuba menyerang mereka lagi, namun Zack dan Ruzain menahan tubuh Julia. “Celaka! Apa hal dia ni kuat sangat!!”. Jerit Zack ketika memeluk tubuh Julia dari belakang. Pada waktu itu, Ustaz Harun bergerak kehadapan Julia seraya membacakan sesuatu. Pada masa yang sama, dia memegang kepala Julia. Tubuh Julia mula menggeletar seakan cacing kepanasan. “CELAKA!!!! AKU TAKKAN..!!!!!!”. sebelum sempat ‘Julia’ berkata, Julia terus rebah.
“Cepat, bawa Julia kedalam!” Arah Ustaz Harun kepada Daniel dan Zack. Mereka terus menuruti perintah ustaz itu. Pada masa yang sama, Iqram terus menghampiri Umairah. “Awak okey?” soal Iqram. Umairah hanya menganggguk perlahan, sebelum beredar. Iqram kemudiannya menatap bilik air itu, kehairanan. “Mana mungkin..” Bisik hatinya…
Selepas membaringkan Julia yang masih tidak sedarkan diri tu keatas sejadah, Ustaz Harun mahu menyambung semula Solat Maghrib, namun dihalang oleh Zack dan Ruzain. “Ustaz, macam mana Ustaz boleh bertenang dan terus solat?! Julia baru saja dirasuk! Kita patut keluar dari tempat ini!”. Ujar Zack, yang masih lagi ketakutan akan kejadian itu. “Aih? Kata kuat. Baru kena benda macam ni dah takut? Rileks, semuanya dibawah kawalan. Apa yang jadi tadi hanya kemalangan. Julia pun patut tahu bahawa tidak elok untuk mandi ketika Mahgrib, kerana Syaitan berkeliaran pada waktu itu”. balas Ustaz Harun dengan tenang.

“Lagipun, kalau kamu semua yakin dengan kuasa Tuhan, yakin dengan ayat-ayat Tuhan, Syaitan tidak akan mudah mendekati kamu!”. Tambah Ustaz Harun lagi. Barulah mereka berdua tenang seketika mendengar ayat-ayat Ustaz itu. Memang benar, benda macam dirasuk tak mungkin berlaku jika mereka taat dengan perintah Allah dari awal lagi. Solat, baca Al-Quran. Setelah itu, mereka semua meneruskan aktiviti solat dan ceramah. Ketika itu, Ruzain dan Daniel sekali lagi menyelinap keluar dan menuju ke hutan yang berdekatan. “Eh, kau yakin ke nak ‘lepas’ kat sini? Lepas apa jadi dengan Julia?”. Soal Ruzain seraya melihat kawasan sekelilingnya.
“Alaa kan ustaz kata, semuanya dibawah kawalan. Lagipun tiada tempat lagi untuk kita hisap”. Daniel cuba menenangkan hati kawannya itu sambil mengeluarkan plastik Syabu itu. Pada masa itu, mereka terdengar bunyi semak-samun yang bergoyang. Dari kiri ke kanan, dan sebaliknya. Mereka juga terlihat bayang yang melompat diatas mereka. “Kan aku dah kata!! Tempat ni berpuaka!”. Jerit Ruzain sambil memeluk tangan Daniel. “Kau mengarut lah! Hantu mana ada bayang!”. Balas Daniel pula. Ketika itu, semak dihadapan mereka bergerak dengan kuat sekali, sehinggalah munculnya makhluk yang berbuat demikian.

“La, monyet rupanya”. Ujar Ruzain, menghembuskan nafas leganya. “Kan aku dah kata kau takut sangat!”. Perli Daniel. Ruzain kemudiannya menghampiri haiwan tersebut untuk mengacaunya. “Sini-sini, monyet kau berani nak takutkan aku?”. Ujar Ruzain seraya mencapai seketul batu. Ketika itu, dia menyedari sesuatu pada monyet itu. “Eh, monyet ni macam berdarah saja”. Ujarnya, sebelum dia diserang oleh monyet itu! terkejut dengan perkara itu, Daniel cuba membantu, namun dia juga diserang oleh monyet dari belakangnya. “Celaka!!” jerit Daniel sambil melontar monyet itu. Ruzain pula dicakar bertalu-talu di wajahnya.

“ARGHH!!!! TOLONG!!!”. Jeritnya kesakitan. Daniel mencapai sebatang kayu dan menghentak monyet itu dengan sekuat hati. Setelah itu, dia terus memapah Ruzain untuk kembali ke surau. “Ustaz!! Tolong!!”. Jerit Daniel sambil dikejar oleh sekumpulan monyet. Mereka semua yang terdengar jeritan Daniel terus menjenguknya. “Apa pula…monyet?!”. Hairan Zack. Mengetahui bahawa haiwan takut akan api, Iqram terus mencapai lampu pelita yang digunakan disitu dan melontarnya kearah kumpulan monyet itu. Api mula marak dan haiwan itu terus berkeliaran. “Terima kasih, Iqram”. Ucap Daniel sambil membaringkan Ruzain. “Kamu kemana, huh?! Ustaz dah cakap, jangan keluar!!”. Marah Ustaz Harun, tidak seperti sifatnya yang lembut sebelum ini. Iqram dan Umairah agak terkejut melihat ustaz itu. “S-Saya minta maaf tapi kami uhh…”. Daniel yang masih kepenatan itu cuba menenangkan dirinya. “Dia dah kehilangan banyak d***h, Ustaz. Kita kena keluar dari sini!”. Ujar Zack seraya cuba menghentikan pendarahan Ruzain. Walau bagaimanapun, Ustaz Harun tetap berkeras untuk tinggal disitu, dan masih menyatakan bahawa semuanya dibawah kawalan. “ ‘dibawah kawalan’ kepala hotak kau! Julia dirasuk! Ruzain kena serang dengan monyet yang menyeramkan itu! bawa kami keluar dari sini!”. Tengking Daniel pula. Setelah beberapa ketika, akhirnya Ustaz Harun mengalah dan berkata “Terdapat pekan orang asli yang jaraknya 1 km dari sini. Kita akan hantar Ruzain ke klinik untuk mendapatkan rawatan”. Mereka semua bersetuju dengan rancangan Ustaz Harun itu. Walau bagaimanapun, ketika Ustaz Harun cuba mengambil kunci van, dia mendapati kunci itu sudah hilang.

“Hey, Ustaz.

Jangan main-main! Ruzain cedera parah tahu tak?!”. Ujar Daniel yang masih risaukan akan kesihatan rakannya itu. “Ya saya tahu! Tapi kunci itu tiada. Saya pasti saya letakkan di sini!”. Balas Ustaz Harun. Pada masa yang sama, Umairah mendapati Julia sudah tiada dan terdapat lubang besar di dinding kayu surau itu. “Ustaz! Julia dah hilang!!”. Panggil Umairah kepada mereka semua. Menjangkakan bahawa Julia melarikan diri melalui lubang itu seraya membawa kunci van, Ustaz Harun mengarahkan mereka untuk mencari Julia, yang berkemungkinan berada didalam hutan. “Ah, jangan harap aku nak pergi sana! Mungkin monyet-monyet itu masih ada lagi!”. Ujar Daniel, yang masih lagi trauma selepas apa yang menimpa dia dan rakannya. Tiada pilihan lain, Iqram dan Zack bersama Umairah dan Ustaz Harun berpecah untuk menjejaki Julia. Sementara Ustaz Harun menggunakan lampu suluh kepunyaan dia, Iqram dan Zack terpaksa menggunakan lampu pelita.

Sementara melalui hutan yang agak tebal itu, Iqram terus menjerit dan memanggil nama Julia “Julia!!! Julia!!!!!”. “Wei! Kalau kau menjerit kuat macam tu, mungkin monyet tadi dengar dan serang kita! Tak pun, haiwan yang lebih buas, macam harimau!”. Marah Zack, ketakutan. Iqram tergelak sedikit kerana melihat lemahnya lelaki itu, walaupun tubuhnya agak sasa. “Ah kau ni! Kalau kau takut macam tu, lagi la Syaitan suka! Lagi la Syaitan senang nak kacau kau!”. Ujar Iqram dengan nada sedikit gurau. “Diam lah! Kau tu pun mesti sama juga! Mesti…”. belum sempat Zack menghabiskan ayatnya, mereka terdengar bunyi semak bergoyang. “Apa”. Iqram menghalakan pelitanya ke semak di kiri mereka. “Julia…?”. Panggil Iqram perlahan. Zack pula terus terpaku ketakutan. Ketika itu juga mereka terdengar bunyi semak dibelakang mereka. “Wei Julia! Keluar lah! Aku tak main-main ni! Nanti nahas kau aku kerja kan!!”. Jerit Zack yang mula hilang sabar. Jantungnya terus berdegup kencang. Pada masa itu, mereka terdengar bunyi tapak kaki dibelakang mereka. Apabila Zack menoleh, Julia terus mencekik dia. Iqram cuba membantu, namun dia ditolak oleh Julia, sehingga dia terpelanting ke sebatang pokok. “ARGHH!!”. Jerit Iqram kesakitan. Julia terus berkata pada Zack yang terkencing dek ketakutan yang amat sangat.

“KAU NAK BELASAH AKU, JANTAN PENAKUT?!!! HAHAHAHAHAHAHAH!!!”.
Julia terus mengilai kuat. Dia kemudiannya menarik lidah Zack dan memotongnya dengan pisau yang dia gunakan untuk mencungkil matanya sebelum ini. “AHAHAHAHA!! MULUT KURANG AJAR! AKU BAWA KAU KE NERAKA!!”. Jerit Julia lagi, sebelum dia menggigit leher Zack. Iqram yang ketakutan itu terus melarikan diri untuk meminta bantuan Ustaz Harun. Sambil dia melarikan diri, dia terdengar suara garau mengilai. Disebabkan keadaan yang gelap dan hatinya yang tidak tentu arah, Iqram tersandung pada akar pokok, sebelum terjatuh ke dalam lubang kecil. “Argh sakitnya nanti, apa ni?”. Ketika merasai kesakitan akibat terjatuh, Iqram terlihat tangan disebelahnya. Apabila dia mencapai pelitanya, dia mendapati lubang itu mempunyai mayat-mayat yang telah hangus.
“Alamak!!!”. Iqram terus terkejut dan keluar dari lubang itu. dia kemudiannya membersihkan tubuhnya yang terkena debu mayat-mayat itu. Pada masa yang sama, Julia yang dirasuk itu berjaya menjejaki Iqram. “DISITU KAU! JANTAN CELAKA!!!”. Apa lagi, Iqram terus melarikan diri. ketika itu juga dia teringat sesuatu “Ingat Iqram Syaitan, Iblis, Jin semua itu makhluk Allah. Kita tak perlu takut…”. ujar seseorang didalam ingatannya. “Takut..? ya, aku takut sekarang ni!! Aku lemah!! Kenapa dulu aku…Arghh”. ketika fikirannya melayang seketika, dia tersandung lagi. Julia dirasuk itu terus menghampiri Iqram.

“KAU AKAN IKUT AKU KE NERAKA JAHANAM!!”. Teriak Julia dirasuk itu seraya menghampiri Iqram. Saat Iqram terus terpaku disitu, Ustaz Harun dan Umairah tiba disitu. Ustaz Harun terus membaca sesuatu seakan ayat Al-Quran. Tubuh Julia terbakar ketika itu. “AAHAHAHAHAH!!!!! KAU INGAT AKU AKAN M**I?!!! AKU MUNCUL LAGI DAN LAGI!! AKU AKAN SESATKAN KAUM ADAM AHAHAHAHA!!!”. Jerit Julia dengan suara garau, sementara tubuhnya terbakar. Iqram dan Umairah terus terdiam disitu. Manakan tidak? Gadis didepan mereka, terbakar hangus, sebelum rebah keatas tanah. “Iq-Iqram..mana Zack…?”. Soal Ustaz Harun. Iqram tidak dapat menjawab soalan itu, namun Ustaz Harun memahami apa yang Iqram diamkan itu.

Pada waktu itu, Iqram terus memeriksa tubuh Julia yang hangus itu, untuk mencari kunci van. Sayangnya, kunci itu sudah hangus. “Bagus….kita terperangkap disini….”. Kata Iqram perlahan seraya melontar kunci itu kepada Ustaz Harun. “Kita akan bertahan kat surau sehingga pagi. Lepas tu, kita akan berjalan kaki ke pekan orang asli itu”. Ujar Ustaz Harun sambil beredar dari situ bersama Umairah. Ketika Iqram mahu mengekori mereka, dia terdengar suara Julia perlahan. “Iqram bilik air”. Kata Julia sebelum meninggal dunia. Iqram terus terdiam disitu. Bilik air?
Waktu terus berlalu selepas beberapa tragedi berlaku. Ruzain cedera parah, Zack dan Julia m**i. Mereka juga cuba menghubungi orang lain menggunakan telefon, namun sudah tentu lah tiada isyarat didalam hutan yang agak tebal itu. Sementara Ustaz Harun meletakkan bekas berisi minyak tanah di satu sudut surau itu, Iqram membawa Daniel keluar secara senyap-senyap. “Eh, kau gila ke nak keluar? Nanti tak pasal-pasal kita pula kena rasuk!”. Ujar Daniel ketakutan. “Ya, aku tahu. Tapi ada beberapa benda yang aku nak beritahu kau, benda yang aku perasan lepas kejadian sebelum ini”. Balas Iqram, sebelum menyambung kembali.

“pertama, pasal ayat yang Ustaz Harun baca tadi aku pasti itu bukan ayat Al-Quran atau apa-apa yang berkaitan dengan agama Islam”. “Eh, macam mana kau yakin?”. Hairan Daniel. “Aku sebenarnya bekas pelajar Tahfiz. Walaupun aku dah lama tinggalkan Al-Quran, tapi aku tetap yakin bahawa ayat yang Ustaz Harun baca tu bukan ayat Al-Quran”. Iqram akhirnya mendedahkan dirinya yang sebenar. Ya, dulunya Iqram seorang pelajar Tahfiz yang sangat taat pada agama, serta mempunyai keluarga yang bahagia. Sehinggalah penceraian kedua ibubapanya, serta sikap ibunya yang berubah, menyebabkan Iqram berubah menjadi tidak percayakan tuhan lagi.

“Kau…”. “Yang kedua, pasal bilik air”. Iqram mencelah kata-kata Daniel. “Sebelum Julia m**i, dia ada sebut pasal bilik air. Mungkin….”. Iqram kemudiannya melihat bilik air terkunci yang ditemui oleh Daniel petang tadi. Iqram kemudiannya mengambil tukul milik Ustaz Harun bersama lampu suluhnya. Menggunakan tukul itu, Iqram berjaya membuka pintu bilik air itu. “Itu…”. Kata Daniel setelah dia terlihat lantai bilik air itu yang dibuat dengan papan kayu. “Kenapa lantai bilik air ini macam ni?”. Hairan Daniel. Iqram kemudiannya terus merasai lantai bilik air itu, sebelum berkata “Daniel, kau pegang lampu ini”. Kata Iqram seraya menyerahkan lampu kepada Daniel. Setelah itu, dengan kekuatan yang dia masih ada, Iqram membuka separuh lantai itu, dan mereka melihat satu laluan ke bawah tanah. “Tak ada kesan debu. Maksudnya, tempat ni dah ada orang masuk sebelum kita datang”. Ujar Iqram. Dengan rasa berat hati, mereka berdua menuruni laluan itu menggunakan tangga yang sedia ada.

Sebaik saja turun kebawah, mereka melihat terdapat beberapa almari berisi buku, serta beberapa tengkorak monyet disitu. “Apa tempat pemujaan ke apa?”. Ujar Daniel di belakang Iqram. Iqram kemudiannya terlihat satu lukisan seperti ritual dengan beberapa lilin dan buku. “Aku rasa betul apa yang kau cakap, Daniel. Tempat ini tempat pemujaan, tak, lebih tepat lagi tempat penyeruan Syaitan”. Ujar Iqram seraya mengambil buku tersebut. Dia kemudiannya menyelak beberapa helaian, sebelum berkata “Lihat, semua tulisan dalam buku dalam bahasa Arab. Maksudnya disini…CELAKA LAH KAUM ADAM, AKAN AKU BAWA MEREKA KE NERAKA”. Terang Iqram kepada Daniel. Dia kemudian berkata lagi “Disini juga, semuanya ayat untuk menyeru Syaitan….Azfar-Un. Yang ini bahasa Yunani”. “Kejap, macam mana kau boleh faham?”. Hairan Daniel. “Aku berlajar bahasa benua Arab masa kat Tahfiz. Ingatan aku samar-samar, tapi aku masih boleh faham”. Jelas Iqram pula. Dia kemudiannya menyelak ke halaman yang terdapat gambar wanita bertanduk Syaitan, dengan matanya dicungkil. “Sini dia kata jampi nak menghentikan Azfar-Un nanti, jampi ini sama dengan ayat yang Ustaz Harun baca kan tadi! Daniel! Aku dah tahu! Tempat diatas tu bukannya Surau! Tapi tempat Azfar-Un dikurung semula selepas ‘tugasnya’ selesai! Dan Ustaz Harun tu”. Belum sempat Iqram menghabiskan ayatnya, mereka terdengar seseorang memasuki bilik itu. “I-Iqram buat sesuatu..”. Pinta Daniel.

Pada masa yang sama, lampu suluh mula terpadam seketika. Apabila lampunya bernyala semula, muncul Zack dihadapan mereka!. Zack yang dirasuk itu terus menghentak kepala Daniel dengan kayu, seraya menendang Iqram sehingga terpelanting ke almari. Zack cuba menyerang Iqram lagi, namun dia ditahan oleh Daniel yang berlumuran d***h dari kepalanya. “BAM!!”. Zack mencampak Daniel keatas lantai, sambil mengeluarkan pisau milik Julia. “ARGHHHH!!!! AARGHHHH!!”. Laung Zack. Dia menikam perut Daniel beberapa kali, sebelum Iqram mengambil kayunya dan menghentak kepala Zack. Pada masa itu, dia teringat akan ajaran Ustaznya ketika dia masih belajar lagi. “Ingat Syaitan takut akan bacaan Al-Quran, Syaitan takut akan Azan. Jika iman kamu kuat, kamu boleh mengalahkan Syaitan”. Iqram kemudiannya cuba membaca ayat Kursi serta beberapa ayat Al-Quran.

Walau bagaimanapun, ketakutannya pada rakannya yang dirasuk itu menyebabkan Iqram tidak dapat membacanya. Zack kemudiannya mendapatkan tangan Iqram dan terus mematahkannya. “ARGHHH!!!!”. Jerit Iqram kesakitan, sebelum terjatuh. Pada waktu itu, Daniel terlihat minyak tanah yang ada dibilik itu. dia terus mencapainya dan menyimbah minyak itu kepada Zack. “Matilah kau!!!!!”. Jerit Daniel sambil melontar pemetik api. Api terus menyambar tubuh Zack dan bilik bawah tanah itu. Iqram cuba membawa Daniel keluar. Namun dengan tangannya yang patah, juga dengan kecederaan Daniel menyukarkan misinya itu. “Kau pergi saja Ugh tak ada harapan buat aku , Nah kau bagi duit ni kat mak aku dan tolong buang semua dadah yang ada kat rumah aku ianya akan membuatkan hati mak aku lebih sakit..”. Pinta Daniel sambil menyerahkan dompetnya kepada Iqram. Daniel benar-benar cedera parah. Tiada pilihan lain kerana api semakin marak, Iqram terpaksa meninggalkan Daniel. Zack yang masih dirasuk itu cuba mengejar Iqram, namun tubuhnya dipeluk oleh Daniel dari belakang. “Kita sama-sama pergi ke Neraka, Syaitan Jahanam!!!”. Jerit Daniel, sementara tubuhnya disambar api. Setelah beberapa ketika, Iqram berjaya melepaskan diri, sementara bilik bawah tanah itu terbakar. “Apa yang berlaku disini?!!”. Jerit Ustaz Harun yang menghampiri Iqram yang masih lagi terbaring akibat kesakitan dan kepenatan.

Bersama Ustaz Harun ialah Umairah. “Iqram, mana Daniel?”. Soal Umairah. Iqram kemudiannya bangun dan memandang tepat kearah Ustaz Harun. “Daniel! dah tiada semuanya sebab kau Ustaz Harun. Tidak, kau bukannya ustaz, betul tak? Harun?”. Soal Iqram dengan nada kemarahan. Harun terus terdiam. Umairah pula bergerak ke sebelah Iqram. “Huh? apa yang kamu merepek? Kamu ni pun” “Dengan nama Azfar-Un aku memanggilmu. Dengan ini juga aku menguncimu. Biar kaum Adam menderita. Sama juga seperti Kau , itu yang kau baca masa Julia terbakar, betul tak?”. Balas Iqram sambil melontar buku ritual yang dia ambil kearah Harun. Harun terus mengambil buku itu dan akhirnya, dia melontarkan senyuman jahatnya kepada Iqram dan Umairah. “Kenapa, Harun? Kenapa sampai nak menyamar dan gunakan nama Islam?”. Soal Iqram kepada lelaki yang bertopengkan Syaitan itu. “Aku tak sangka, kau boleh faham isi kandungan buku ini. Aku tak boleh pandang rendah kepada bekas pelajar Tahfiz”. Ujar Harun tersenyum sinis. “Korang cuba bayangkan. Adakah seseorang boleh berubah dengan hanya ujian dari Tuhan? Mungkin ada, tetapi tak ramai. Tapi, tapi kalau orang itu didedahkan dengan perkara mistik sehingga kepada pengalaman hampir-m**i…? Well, itu perkara berbeza”. “Manusia takkan berubah macam tu saja! Mereka tetap degil dan menutup mata mereka, walaupun ditimpa dengan pelbagai ujian! Kamu lihat, peperangan! Pembunuhan! Hubungan sesama jantina! Walaupun Tuhan dah turunkan HIV sebagai petanda kepada pemaksiat, adakah jumlah pemaksiat menurun?! Tak…jumlah mereka semakin bertambah! Manusia takkan berubah macam itu saja melainkan…” “Dengan dedahkan mereka dengan perkara mistik dan pengamalan yang membawa maut dihadapan mereka.

Itu tujuan kau?”. Iqram mencelah pernyataan Harun itu. “Jadi, dengan membawa kami ke tempat yang kononnya surau dan biarkan salah seorang daripada kami dirasuk kau fikir kami akan berubah semula”. Tambah Iqram lagi. Dan perkara itu disahkan oleh Harun. “Ya. Lihat diri kau, Iqram. Bekas pelajar Tahfiz yang berubah menjadi jahil, kemudiannya percayakan Tuhan semula selepas menyaksikan semua ini. Ini menunjukkan cara aku adalah betul!”. Ujar Harun sambil tersenyum lebar. Walau bagaimanapun, Umairah yang tidak termakan dengan hasutan Harun terus menampar wajah Harun. “Kau tak guna! Kau lebih percayakan kebolehan Syaitan daripada kelebihan Allah?!”. Jerit Umairah kemarahan. Pada waktu itu, Harun terus mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam jubahnya. “Aku tak minta pendapat kau, BETINA! Kalau kau nak bertekak, bertekak dengan ini!!”. Tengking Harun kepada Umairah. “Heh! Bajet suci konon! Aku tahu yang kau ni menipu pasal kau terlanjur, Umairah. Kau cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh kakak kau sendiri. Sebab kau sayang kakak kau tu! Tapi ada ke dia peduli pasal kau?!!”. Tengking Harun lagi. Iqram terus terkejut dengan kenyataan itu. Rupa-rupanya Umairah masih lagi suci, namun dia melindungi kakaknya yang sebenarnya melakukan maksiat. “Umairah awak..”. “Kalau kau bagitahu polis pasal apa yang berlaku disini, rahsia kau m**i dengan aku! Kau akan menanggung malu kakak kau untuk sepanjang hidup!”. Harun cuba mengugut Umairah dengan perkara itu. Ketika situasi menjadi genting, tiba-tiba muncul Ruzain dari belakang dan menggigit leher Harun. “ARGHHHH!!!!!”. Jerit Harun kesakitan. Pistol dia terjatuh dan Iqram terus mengambil senjata itu.

“AKU AKAN HERET KAU MASUK KE NERAKA, HARUN!!!!”. Jerit Ruzain yang kini dirasuk. Iqram pula terlihat kelibat Daniel dan Zack yang keluar dari bilik air itu, juga masih dalam keadaan dirasuk. “Celaka! Cepat masuk kedalam!”. Arah Iqram kepada Umairah. Mereka berdua kemudiannya terus bersembunyi didalam ‘surau’ itu. Harun pula terus teriak “Aku tuan kau!!! Kau tak boleh!!!!!”. Jerit Harun, sebelum dia dilahap oleh 3 orang yang dirasuk itu. Sementara itu, 2 orang yang masih selamat, Iqram dan Umairah terus menutup tingkap dan pintu. Walau bagaimanapun, dengan bangunan yang usang itu, Iqram menjangka kan bahawa mereka dapat memecah masuk. Dan ya, mereka bertiga berjaya masuk kedalam. “IKUT KAMI JANTAN TAK GUNA!!”. Teriak ‘Daniel’. “Apa kita nak buat, Iqram?”. Soal Umairah yang mula ketakutan. Iqram terus melepaskan tembakan kepada mereka yang dirasuk itu, namun mereka tetap bergerak, memberikan tanda bahawa tubuh mereka dikawal oleh Syaitan. Iqram kemudiannya terlihat lubang yang dibuat oleh Julia sebelum ini. “Kita lari ikut lubang itu!”. Arah Iqram. Umairah terus keluar dari lubang itu. Ketika tiba giliran Iqram, kakinya ditarik oleh Zack. Pegangannya begitu kuat, menyebabkan tulang kaki Iqram retak. “LARI!!!”. Iqram mengarahkan Umairah untuk meninggalkan dia. Zack kemudiannya melempar Iqram ke dinding. “SERTAI KAMI KE NERAKA!”. Ujar ‘Ruzain’ pula. Iqram pada waktu itu sudah mula berputus asa, kerana dikepung oleh 3 orang lelaki yang dirasuk. Ketika itu juga satu suara bermain difikirannya. “Jangan berputus asa bila hati mula lemah dan mahu berputus asa, cuba ingat Allah. Cuba ingat ibubapa. Dan paling penting, cuba fikirkan tentang kamu. Kamu yang pilih untuk berputus asa.

Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk dan rupa. Hanya kamu yang dapat buat keputusan untuk berhadapannya atau tidak”. Pada waktu itu, Iqram mengumpulkan tenaganya yang masih ada untuk bangun, sebelum dia akhirnya membacakan ayat Kursi serta ayat Al-Quran yang dia lupa sebelum ini. Saat dia membacakan ayat itu, tubuh mereka bertiga mula menggeletar, sementara bangunan itu mula bergegar. “ARGGHHH!!!!!!!! CELAKA KAU!!!!!!!”. Jerit mereka bertiga. Pada masa yang sama, Iqram mencapai lampu pelita serta bekas berisi minyak tanah milik Harun. Dia melemparkan minyak tanah kearah mereka bertiga, sebelum melempar pelita kearah mereka. Api cepat marak dan akhirnya, satu bangunan itu terbakar. “IQRAM!!!! IQRAM!!”. Jerit Umairah diluar melihat kebakaran itu. Ketika dia memikirkan hanya dia yang selamat, muncul Iqram yang kemudiannya terbaring kesakitan. “Iqram!”. Umairah terus mendapatkan lelaki itu. “U-Umairah aku rasa, aku dah menghentikan Syaitan itu..Arggh…”. Ujar Iqram kesakitan. Namun begitu, terpahat senyumannya pada Umairah. Mereka kemudiannya tertidur pada sebatang pokok, sebelum menyedari bahawa matahari sudahpun terbit. Setelah itu, mereka berdua terus menuju ke pekan orang asli yang Harun sebut sebelum ini.

“Umairah sekarang ni, ibubapa kau akan tetap anggap yang kau dah rosak untuk selamanya kau tak kisah ke?” Soal Iqram dalam perjalanan kesana. “Entahlah, Iqram. Ya, saya tipu mak dan ayah saya tapi saya cuba melindungi kakak saya sebab kakak saya tu satu-satunya anak harapan, biarlah mereka yang penting Allah tahu apa yang terjadi”. Balas Umairah. Iqram terus terdiam seketika, sebelum berkata “Awak tahu, Umairah? Mungkin kalau saya tak mengalami kejadian malam tadi saya tetap dengan kehidupan maksiat saya, saya akan terus melawan Allah. Mungkin apa yang jadi malam tadi..juga sebahagian daripada ujian Allah”. Kata Iqram. Umairah mengangguk perlahan. Mereka kemudiannya meneruskan perjalanan mereka dan akhirnya, mereka melihat pekan orang asli itu…………..

“Ujian akan tiba tidak kira dalam bentuk apa sekalipun. Dan ujian yang datang daripada Allah S.W.T adalah ujian untuk melihat kekuatan iman umat manusia….dan aku…pernah tewas sekali…dan aku takkan mengulanginya….tak kira apa yang akan aku tempuhi selepas ini…aku…akan…kuat”. ujar Iqram didalam hatinya.
……………………………… Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya m**i dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Zul Hafiq
Rating Pembaca
[Total: 2 Average: 5]

9 comments

    1. Mngkin penulis tu nk tulis kolah… Tapi lupa kot hahah… Lagipun kalau kau baca betul2.. Dia dh ckap tmpat tu bukannya surau…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.