Maya

Cerita yang akan aku sampaikan ini adalah kisah dari kiriman surat seorang sahabat lamaku, Rizal. Kami sudah lama tak berhubung selepas tamat sekolah menengah. Lepas zaman persekolahan, Rizal menghilangkan diri. Jadi, agak mengejutkan bila aku terima kiriman daripadanya. Tapi, kerana ini adalah permintaan darinya, maka aku tunaikan.

Kehadapan sahabatku, Zakaria semoga berada dalam keadaan sihat-sihat sahaja. Aku tahu mungkin agak aneh juga kerana secara tiba-tiba aku sampaikan kiriman ini kepada kau. Apatah lagi kita sudah lama tidak saling menghubungi. Tapi, ada sesuatu yang mustahak yang perlu kau ketahui. Sungguh, aku tak boleh hidup seperti ini lagi. Aku buntu. Aku perlukan tempat untuk meluahkan segalanya. Memandangkan hanya kau satu-satunya kawan yang aku ada, akan aku ceritakan semuanya. Bila sampai waktunya, aku harap kau dapat sampaikan kepada orang lain. Mungkin dengan cara itu, dia akan lebih tenang apabila orang mengetahui kejadian sebenarnya.

Mungkin aku juga akan temui ketenangan setelah aku ceritakan kisah ini. Kisah yang telah menghantui aku kebelakangan ini.

Aku bekerja sebagai seorang ‘contract killer’. Kerja aku boleh dikatakan kerja yang mendatangkan pendapatan yang lumayan tapi dengan cara mengorbankan jiwa-jiwa yang aku sendiri tak kenal siapa. Biasanya, aku akan diberi tugas melalui sepucuk surat yang dihantar dari celah bawah pintu. Dengan cara ini, semakin sulit untuk pihak berkuasa mengesan kedudukan aku. Aku sendiri tak pernah bertemu dengan orang yang mengirim ‘tugasan’ aku. Yang pasti, setiap kali ada tugasan, sampul yang berisi informasi tentang sasaran aku akan dikirimkan melalui celah pintu. Setelah aku selesaikan tugas, aku akan dibayar dengan kaedah dikirimkan barang bernilai seperti berlian, emas, lukisan dan sebagainya. Aku pernah cuba mencari alamat pengirim tersebut, tapi sia-sia. Alamat pengirim yang diberikan adalah di sebuah rumah terbengkalai yang taka da pemilik. Tapi, lama-kelamaan aku tidak terlalu peduli lagi tentang pengirimnya. Asalkan aku masih dibayar itu saja yang penting.
Aku merupakan seorang yang teliti. Dalam bahasa mudah, perfectionist. Buktinya, disebalik semua kekayaan itu, aku pilih untuk hidup sederhana. Aku tinggal di satu flat kos rendah dengan dua bilik. Tujuannya, untuk menyukarkan pihak berkuasa dari menemui lokasi aku. Di mana flat itu tak akan aku ceritakan. Tempat tinggal aku tak penting. Aku tak ada kawan. Memang bila pilih hidup ini, kau tak boleh percayakan banyak orang. Boleh jadi merekalah punca aku tertangkap. Jadi, aku tinggal bersendirian.

Tugas aku, membawa aku ke merata tempat di Malaysia. Pernah juga aku dapat tugas di Thailand dan Filipina. Sepanjang aku buat kerja ni, belum pernah lagi terjadi kejadian yang akan aku ceritakan ni. Disebabkan kejadian ini juga, aku tak mampu untuk bekerja lagi seperti dulu.
Ceritanya, satu hari aku terima kiriman. Seperti biasa, aku buka kiriman tersebut dan meneliti informasi-informasi tentang sasaran aku. Seorang wanita dalam lingkungan awal 30an. Dari gambar-gambarnya, dia seorang yang cantik. Rambut ikal mayang paras dada. Berkulit sawo matang. Cara berpakaiannya juga menceminkan keperibadian yang tegas. Apa yang boleh aku katakan adalah dia ni jenis typical iron lady. Bekerja sebagai seorang CEO syarikat di selatan tanah air. Namanya aku rahsiakan. Cukup kau mengenalinya dengan nama Maya. Aku tak tahu kenapa ada yang sanggup mengupah orang untuk membunuh dia, tapi kebiasaannya untuk mengurangkan persaingan dalam dunia bisnes. Dari biodatanya, dia belum berkahwin dan tinggal bersendirian di sebuah apartment.
Aku diberikan arahan khusus untuk tugasan ini. Aku harus menampakkan seolah-olah dia menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Lalu, setelah sarapan, aku mula merangka pelan dalam melaksanakan tugasan ini.

Aku pilih untuk menggunakan seebilah pisau rambo untuk tugasan ini. Lebih senyap dan efektif. Pengangkutan? Aku pilih untuk pandu sendiri kerana kalau naik kapal terbang, terlalu banyak prosedur keselamatan. Rencananya adalah untuk masuk ke rumahnya senyap-senyap dan tunggu dia pulang dari tempat kerja. Setelah itu, pengsankan dia dan ikat supaya dia tak boleh larikan diri. Aku juga sediakan cangkul, beg mayat, t-shirt dan beberapa alatan lain untuk tugasan ini. Setelah semua kelengkapan dan perancangan siap, aku berangkat ke tempat sasaran.

Aku tiba di depan apartmentnya kira-kira agak lewat malam, seperti yang aku perhitungkan. Jadi, besok paginya setelah dia ke tempat kerja, akan aku menyelinap ke dalam apartmentnya. Tugas kali ini tidak memerlukan aku untuk terburu-buru kerana aku diberi tempoh waktu 4 hari untuk selesaikan. Waktu malam itu, aku cuma duduk di dalam kereta sambal perhatikan menggunakan teropong jendela apartment wanita tersebut. Ternyata, lampu ruang tamunya masih menyala. Seketika kemudian, dari kaca teropong, aku dapat perhatikan dia. Masih berjaga mengerjakan beberapa tugas barangkali. Dia cuma memakai singlet dan seluar tidur. Rambutnya yang hitam diikat dan dia memakai kaca mata. Dari sinar lampu, memancar keanggunan pada dirinya.

Aku berjaga sepanjang malam memerhatikan dia sampailah dia tidur kira-kira jam 2 pagi. Aku terus berjaga memerhatikan apartmentnya. Jam 6 pagi, dia sudah bangun bersiap untuk ke tempat kerja. Aku melihat dia disebalik tingkap sewaktu keretanya melewati keretaku. Setelah tidak kelihatan lagi keretanya, aku bangkit memulakan tugas. Aku ambil sebuah beg yang mengandungi peralatan untuk tugas ini dan juga sebuah bagasi besar yang kosong dari belakang kereta. Lantas, aku naik lif ke rumahnya.
Sebelum aku memulakan tugas ini, aku ambil sarung tangan dari beg alatan dan kemudiannya memakainya. Setelah itu, dengan mudah aku membuka kunci apartment dan masuk ke dalam. Untuk tidak menimbulkan sebarang syak, aku kunci semula pintu setelah aku masuk. Rumahnya, tersusun rapi. Di ruang tamu terdapat sebuah sofa yang berhadapan dengan televisyen. Rumah ini mempunyai 3 bilik. Satu dijadikan bilik tidur, satu bilik bacaan dan satu lagi bilik untuk bersenam. Ternyata, walaupun dia sibuk, dia masih mempunyai waktu untuk menguruskan diri. Aku berbaring di atas katilnya sambal melihat ke siling dan memerhatikan sekeliling.

Aku terpandang meja soleknya. Ada beberapa foto-fotonya. Sekali pandang dirinya, mampu mebuatkan sesiapa saja jatuh cinta. Aku ambil satu fotonya dan memasukkan ke dalam saku. Sebagai kenangan. Di atas meja solek itu juga terdapat sebuah diari miliknya. Aku membelek-belek lalu membaca isinya. Aku cuba mendalami jiwa Maya. Memang lagakku tak ubah seperti orang yang sudah jatuh cinta. Ataukah memang aku sudah jatuh cinta? Jiwaku terasa sayang untuk menghabiskan nyawanya.

Aku beralih ke dapur. Tuangkan sedikit sisa kopi pagi tadi ke dalam gelas yang aku capai dari rak dapurnya. Beralih semula ke biliknya sambal menghirup kopi sambal melihat baju-baju di dalam almarinya. Sesekali tersenyum sendiri bila aku cuba bayangkan dirinya memakai baju-baju itu. Sesekali tak dapat aku elakkan daripada fikiran-fikiran nakal tentang Maya. Aku hirup habis kopi ditanganku, lalu beralih ke balkoni apartment. Pemandangan sangat indah. Dan jika dilihat kebawah, aku dapat melihat kereta Maya melewati jalan. Dengan pengamatan itu,semakin mudah tugas aku untuk mengetahui bila dia pulang. Aku pun bersiap-siap menanti waktu itu. Waktu aku berdepan dengan Maya sebelum dia pergi selamanya.

Jam 10 malam aku bergerak perlahan-lahan ke balkoni. Menanti dan menanti. Dari informasi yang dikirim, Maya mempunyai kebiasaan pulang pada jam 10. Ternyata, informasi itu tepat. Kereta Maya melewati jalan di bawah balkoni apartment. Aku lantas mematikan lampu dan menanti di dalam biliknya. Dari posisi aku, kedengaran Maya berjalan menuju ke pintu apartmentnya. Lalu, kedengaran bunyi kunci dikeluarkan dan pintu dibuka. Maya melangkah masuk ke dalam rumahnya yang gelap gelita seperti kepekatan malam. Lampu ruang tamu dinyalakan dan pintu apartment ditutup kembali lalu dikunci. Aku massih dibiliknya. Di dalam gelap, disebalik pintu.

Kedengaran Maya melepaskan keluhan lalu melemparkan sesuatu ke atas sofa. Tas tangannya barangkali. Aku semakin bersedia untuk merangkulnya dan menyuntik Maya dengan pelali. Perlahan-lahan kedengaran bunyi tapak kaki Maya menuju ke biliknya. Pintu bilik yang tak tertutup langsung tidak menimbulkan kecurigaan dalam dirinya. Maya langsung melangkah masuk ke biliknya dan belum sempat dia menyalakan lampu bilik, aku terus merangkul tubuhnya sambil tangan menutup mulutnya. Maya meronta-ronta. Lantas, aku menyuntik Maya dengan pelali menggunakan tangan yang satu lagi. Perlahan-lahan tubuh Maya melemah dalam dakapan aku. Perlahan-lahan aku letakkan tubuhnya di atas lantai. Lalu, lampu biliknya aku nyalakan.

Aku keluarkan sehelai plastik lutsinar berukuran hamper menutupi setengah ruang tamu apartment dan membentangkan di tengah-tengah ruang tamu. Setelah itu, aku ambil sebuah kerusi dari dapur lalu meletakkan di atas plastik lutsinar tersebut. Pisau rambo yang masih bersarung aku sisipkan di pinggang dan menuju ke bilik Maya. Aku gapai tubuh Maya dan membawanya ke ruang tamu dan meletakkan Maya dalam posisi duduk di atas kerusi itu. Dengan menggunakan duct tape, aku lilitkan kedua-dua pergelangan tangan Maya di belakang kerusi. Kaki-kakinya aku tempalkan pada kedua-dua kaki hadapan kerusi dan mulutnya aku tutup juga menggunakan duct tape. Aku perhatikan sekujur tubuhnya yang berpakaian layaknya seorang ahli korporat. Rambutnya yang diikat sengaja aku lepaskan lalu membelainya. Aku lihat wajahnya yang anggun berkulit sawo matang itu. Dengan belakang tanganku, perlahan aku sentuh pipinya. Sesungguhnya, ini pertama kali aku seakan merasai gelora di jiwa sebelum aku tamatkan riwayat sasaranku.

Aku mencangkung di hadapan Maya sambal menanti dia tersedar. Setelah agak lama menanti, perlahan-lahan Maya semakin sedar. Aku perhatikan wajah ayunya itu sewaktu perlahan-lahan dia bukakan mata. Maya terperanjat dengan kehadiran aku serta meronta-ronta untuk melepaskan diri. Aku langsung berdiri lalu mendekatinya. Matanya memancarkan seribu tanda tanya dan pada masa yang sama memperlihatkan ketakutan yang semakin menggunung dalam benaknya. Kurapatkan wajahku ke wajahnya dan perlahan-lahan membelai rambutnya.
“Awak cantik sekali,” kataku pada Maya, tetapi dia masih penuh dengan tanda tanya.
“Tapi sayang, saya harus bunuh awak,” sehabisnya kata-kataku ini matanya terbeliak. Air matanya mengalir deras. Dia cuba berkata-kata tapi yang hanya kedengaran adalah bunyi-bunyi yang tak bererti.

Perlahan-lahan tanganku menuju wajahnya lalu menyeka air mata yang semakin deras mengalir. Maya masih meronta-ronta dan cuba bersuara. Perlahan-lahan aku mebuka duct tape yang menutupi mulutnya. Setelah terbuka, Maya menarik nafas panjang ingin menjerit tapi tanganku lebih pantas menutup mulutnya.

“Tak perlu berteriak meminta tolong. Tak adaa sesiapa yang dapat mendengar,” kataku padanya yang langsung diiringi linangan air mata.

Perlahan-lahan tanganku melepaskan mulutnya memperlihatkan bibirnya yang bergincu merah. Celak pada matanya sudahpun luntur kerana air mata yang masih tak henti.
“Ke….kenapa awak buat saya macam ni?” tanya Maya dalam nada yang penuh ketakutan. Aku hanya tersengih yang semakin menimbulkan persoalan dalam dirinya.
“A….awak siapa?” tanyanya lagi. Aku bingkas berdiri tegakkan badan. Mataku masih memerhatikan raut wajah wanita itu yang semakin mencerminkan ketakutan.
“Saya pembunuh upahan,” kataku setelah seketika membisu sambal tersenyum sedikit.
“Ta….tapi, apa salah saya?” tanya Maya lagi sambal mengalirkan air mata lagi.
“Percayalah Cik Maya, saya pun tertanyakan perkara sama. Kenapa orang secantikk Cik Maya ingin dihapuskan. Tapi, tugas tetap tugas,” kataku dengan renungan tajam kewajahnya.
“Ta…ta…tapi kenapa? Kenapa? Kasihan saya. Please. Tolong. Lepaskan saya. Berapa pun saya sanggup bayar,” rayu Maya diselangi tangisan.

Sekali lagi aku dekati wajahnya. Tanganku lembut membelai rambutnya. Reaksinya menunjukkan ketakutan yang tersirat dihati. Aku bingkas bangun dan undur beberapa langkah.
“Bukan begitu cara kontraknya, sayang. Tugas tetap tugas,” kataku lalu menempelkan duct tape ke mulutnya semula. Maya meronta-ronta sambal cuba berteriak. Namun, semua itu sia-sia.
Aku cabut pisau yang disisipkan di pinggang. Maya semakin kuat meronta-ronta dan cuba berteriak. Aku dekati dirinya. Dia menggeleng-geleng kepala mengharapkan aku akan membatalkan niatku itu. Pisau ditanganku memancarkan cahaya lampu ruang tamu. Matanya memandang tepat ke arahku. Sinar matanya seakan-akan merayu-rayu sementara air mata terus mengalir. Pisau kudekatkan pada lehernya dan tangan satu lagi merangkul rambutnya. Dia terus menangis memandangku. Dengan perlahan-lahan, aku mengelar lehernya, lalu, berundur beberapa langkah. Aku perhatikan darah yang mengalir deras dari lehernya. Tubuhnya masih meronta-ronta tanpa matanya beralih daripada aku. Kedengaran bunyi seakan-akan orang dicekik. Aku terus memerhatikan Maya tanpa sebarang emosi terpancar pada wajah.

Semakin lama, tubuhnya semakin melemah. Darah membasahi bajunya dan bajuku. Tidak kurang juga darah yang mengalir ke atas plastik lutsinar yang aku hamparkan. Matanya masih terus memerhatikan aku sambal mengalirkan air mata. Akhirnya, dia mati dalam keadaan mata yang terbuka. Aku tersenyum kerana tugasku sudah separuh selesai. Kudekati tubuhnya lalu menutup matanya. Duct tape di mulutnya kubuka. Juga lilitan pada tangan dan kakinya. Dari beg aku, aku keluarkan satu beg mayat. Tubuh Maya kuangkat dan masukkan kedalam beg mayat.

Tiba-tiba, mata Maya terbeliak kembali. Aku terkejut. Tetapi, setelah aku teringat yang mayat baru mati boleh tergerak secara spontan, aku berjaya tenangkan diri. Zip beg aku tutup. Bajuku yang penuh dengan darah dilucutkan dan ditempatkan di tengah-tengah plastik lutsinar itu, lalu dilipat serta digulungkan dengan hati-hati agar tidak ada darah yang tertumpah ke atas lantai. Kemudian, aku kemaskan dengan menempelkan duct tape agar tidak ada bahagian yang terbuka. Setelah itu, aku keluarkan sehelai t-shirt dari beg dan memakainya.
Bagasi besar yang kubawa dibaringkan disebelah beg mayat lalu zipnya kubuka. Kuangkat beg mayat yang berisi itu dan memasukkan ke dalam bagasi itu. Lutut Maya aku tekukkan supaya muat ke dalam bagasi. Aku masukkan juga plastik lutsinar itu ke dalam bagasi dan menutup zip. Bagasi itu aku dirikan dan bersiap untuk tinggalkan tempat kejadian tanpa kesan. Sebelum pergi, aku ke bilik Maya dan mematikan lampu biliknya dan setelah itu kembali ke ruang tamu. Beg alatanku digalas manakala bagasi ditarik. Aku menuju pintu depan dan dengan menggunakan kunci yang sempat aku ambil dari kocek baju Maya, aku buka pintu. Sebelum aku tinggalkan apartment Maya, lampu ruang tamu dimatikan. Aku keluar bersama begku dan bagasi tersebut dan mengunci semula pintu apartment Maya lalu menuju ke lif.
Loceng lif berbunyi dan pintu terbuka menandakan aku telah sampai ke ground floor. Dengan tenang, kuaturkan langkah menuju kereta sambil menggalas beg dan menarik bagasi tersebut. Memandangkan waktu itu sudah larut malam, tidak ada jiran-jiran yang berlegar-legar. Semakin kurang saksi, fikirku. Sesampainya di kereta, aku buka bahagian belakang kereta kemudian meletakkan beg alatanku dan bagasi tersebut. Setelah itu, aku tutup kembali dan menuju ke kerusi pemandu, hidupkan enjin kereta dan meluncur pergi dari kawasan apartment Maya. Aku perlu cepat melaksanakan peringkat seterusnya dalam perancangan ini. Malam itu jalan sunyi sepi. Tiada kenderaan yang melewati kiri dan kanan. Sesekali dapat terdengar bunyi lolongan anjing-anjing liar yang berkeliaran sepanjang perjalanan itu.

Perancangan seterusnya adalah untuk menghilangkan mayat Maya tanpa dapat dikesan oleh pihak berkuasa seperti yang terkandung dalam kontrak. Jadi, dari perkiraan aku, tanamkan mayat di tempat yang jauh dari orang ramai sedalam-dalamnya akan dapat menghapuskan jejak aku. Oleh sebab itu, aku putuskan untuk ke tengah-tengah ladang kelapa sawit. Tempat yang menurutku sangat strategic. Jalan di sepanjang lading itu ditelan kegelapan malam yang hanya diterangi pantulan cahaya bulan. Sesekali cahaya bulan dilanda kesamaran akibat ditutupi awan. Aku hanya berbekalkan GPS untuk mencari lokasi yang sesuai.

Setelah tiba di tempat yang aku rasakan sesuai, aku catat koordinatnya. Bagiku, kubur Maya akan menjadi kubur yang tidak bernisan. Tidak bertanda. Jadi, untuk aku mengenangnya, aku simpan koordinat kuburnya. Satu hari nanti, mungkin aku kembali untuk menziarahi Maya, mangsa yang aku jatuh cinta. Aku parkirkan kereta di pinggir jalan, keluar dan menuju ke bahagian belakang kereta. But kereta aku buka, lantas mengambil torchlight dan cangkul. Aku letakkan kedua-duanya di bawah sebelum aku capai bagasi besar lalu keluarkan dari but kereta. Bagasi itu juga diletakkan di bawah, zipnya dibuka dan beg mayat itu dikeluarkan. Kemudian, aku tutup semula zip bagasi dan kembalikan ke dalam but kereta. Aku kunci pintu kereta, memikul cangkul dan beg mayat tersebut dan menuju ke arah dalam lading kelapa sawit jauh dari jalan, bersuluhkan cahaya dari torchlight.

Aku temui lokasi yang agak terpencil. Aku amati dengan teliti lokasi itu walaupun dalam kesamaran malam itu, semua arah seakan kelihatan sama. Beg mayat aku letakan di bawah dan torchlight aku tempatkan di atas seketul batu besar berdekatan situ. Dengan cangkul yang aku bawa, aku mula menggali lubang kubur. Lubang ini harus sangat-sangat dalam untuk mengelakkan bau mayat yang membusuk daripada merebak. Kira-kira sejam lebih menggali, akhirnya selesai peringkat gali lubang. Cangkul aku campakkan ke luar dan aku kemudiannnya memanjat keluar dari lubang itu. Sayup-sayup terdengar bunyi cenngkerik yang memecah kesunyian malam di tengah-tengah ladang itu. Aku melangkah ke arah beg mayat dan memikulnya menuju liang kubur yang telah aku siapkan, kemudian turun kedalamnya bersama beg mayat itu. Aku tempatkan beg mayat di tengah-tengah kubur itu. Sebelum aku keluar, aku lihat sekali lagi wajah anggun Maya. Setelah itu, aku keluar dari liang kubur dan langsung mengambus kubur itu. Begitulah kisah berakhirnya nyawa Cik Maya. Aku benar-benar berharap di situlah pengakhiran kisah. Ternyata aku silap. Tidak menjangkakan apa yang menanti di masa depan.

Setelah selesai mengambus, aku kutip torchlight di atas batu sambil memikul cangkul dan mula melangkah menuju keretaku. Seketika aku henti dan menoleh ke arah kubur Maya. Hanya senyap sunyi diselangi bunyi cengkerik yang mengiringi pemergiannya, fikirku. Aku teruskan langkah ke arah keretaku, membuka but belakang dan meletakkan cangkul serta torchlight ke dalamnya lalu menutup semula. Hidupkan enjin kereta dan kemudiannya meluncur pergi dari tempat itu, pulang. Tugasku sudah selesai sepenuhnya hanya menanti bayarannya besok pagi.

Keesokan paginya, aku didatangi seorang posman yang menghantarkan sebuah bungkusan untuk aku. Ya… Bayaranku sudah dilunasi. Aku terima bungkusan itu, dan menandatangani borang tanda terima. Aku letakkan bungkusan itu di atas meja di ruang tamu rumahku lalu menyalakan televisyen. Ternyata tiada khabar tentang kehilangan Maya. Aku tersenyum puas dengan kesempurnaan kerjaku. Sementara berita beralih ke berita sukan, aku buka bungkusan yang diterima. Kali ini aku dibayarkan dengan berlian yang bernilai kira-kira empat juta. Aku tersenyum puas. Lalu, bangun untuk mandi meneruskan rutin harianku.

Malam itu, aku dikejutkan dengan satu kejadian yang tidak aku jangkakan. Sedang aku lena dalam tidur, aku dikejutkan oleh sesuatu yang kurang masuk akal. Sayup-sayup dalam kesunyian sepertiga malam itu, kedengaran suara tangisan yang sekiranya diamati benar-benar menguntumkan kesayuan dalam hati. Tangisan yang boleh aku katakan tangisan yang meratapi kehilangan. Tapi, aku tidak mengesyaki apa-apa. Pada hematku, mungkin jiranku bergaduh suami isteri. Aku tidak ingin mencampuri urusan keluarga orang lain, jadi aku ambil keputusan untuk tak ambil peduli. Aku pejamkan mata untuk tidur kembali. Tapi, tangisan itu semakin menjadi-jadi. Kerana tidak mahu peduli, aku berbaring mengiring dan menggunakan satu bantal untuk tekupkan telingaku. Aku pun melayari malam itu tanpa peduli sedikitpun tentang tangisan itu. Keesokkan paginya, aku teruskan rutin hidup seperti biasa. Tiada apa yang aneh membuatkan aku semakin yakin bahawa kejadian malam itu bukanlah perkara yang luar dari kebiasaan. Sewaktu aku keluar untuk membeli sarapan, sempat aku berhenti seketika di depan pintu rumah jiranku. Niat dihati membuak-buak ingin menanyakan tentang kejadian semalam, tapi, aku lupakan kerana tak ingin mencampuri urusan keluarga sesiapa.

Malam menjelma lagi. Seperti biasa, sebelum aku melangkah ke alam tidur, aku akan berus gigi terlebih dahulu. Sudah menjadi rutin harianku. Tapi, kali ini berbeza. Sedang aku memberus gigi berhadapan cermin, tiba-tiba seakan-akan ada kelibat yang melintas. Meski aku cuma sempat melihat di sebalik pantulan cermin, kejadian itu cukup mengejutkan diri aku. Mungkin hanya pantulan cahaya. Imajinasi manusia boleh mebuatkan kejadian biasa terlihat luar biasa. Aku abaikan apa yang ternampak, lanjutkan rutin memberus gigi sehingga selesai. Air paip ditutup dan lampu tandas juga dimatikan.

Aku melangkah ke bilik seperti biasa dan bersiap untuk tidur. Lampu bilik telah aku matikan cuma diterangi cahaya kuning dari lampu di atas meja sisi katil. Setelah aku pastikan telah berada dalam posisi yang selesa, aku matikan lampu sisi untuk mula tidur. Sedang aku menuju ke alam mimpi, sekali lagi aku dikejutkan dengan suara tangisan seperti malam sebelumnya. Aku cuba hiraukan tangisan itu, tapi semakin lama semakin kuat dan mendayu-dayu. Kerana tidak tahan lagi aku nyalakan lampu di sisi dan alangkah terkejutnya aku apabila di atas meja itu terdapat gambar Maya yang aku ambil tempoh hari. Jujurnya aku sudah lupa tentang kewujudan gambar ini. Setelah aku laksanakan tugas, aku lupa di mana aku tempatkan gambar ini.

Aku ambil gambar tersebut dan menatapnya dalam kesamaran cahaya lampu sisi. Tiba-tiba, sekali lagi aku dikejutkan oleh suara tangisan sama yang semakin lama semakin kuat. Dan lebih mengejutkan apabila aku kembali menatap gambar Maya, matanya mengalirkan air mata darah. Aku terperanjat. Gambar Maya tercampak ke lantai. Serentak dengan itu juga, aku terdengar bunyi pinggan pecah di dapur. Rasa takut mulai menyelubungi segenap hatiku. Aku terus baring pejamkan mata tanpa mempedulikan apa yang sedang berlaku. Sepanjang malam itu, aku tak boleh tidur kerana diganggu oleh suara tangisan sayu itu.

Keesokkan harinya, aku berasa kurang cergas. Letih. Waktu yang seharusnya aku gunakan untuk berehat telah habis digunakan menghadapi malam yang semakin penuh misteri. Siapa yang sepanjang malam mengganggu dengan tangisan yang begitu sayu itu? Hantu? Ah! Tahyul itu semua. Aku bukanlah seorang yang percayakan tahyul itu semua. Aku bingkas bangun dari katil. Sewaktu ingin melangkah keluar, aku terlihat gambar Maya di lantai. Satu lagi persoalan timbul tentang gambar ini. Bila aku letakkan gambar ini di atas meja? Aku pungut gambar itu dari lantai dan perhatikannya. Normal. Tiada apa-apa yang aneh sedangkan seingat aku semalam, gambar ini mengalirkan air mata darah. Aku letakkan gambar itu di atas meja lalu menuju ke dapur untuk melihat apa yang pecah semalam. Ternyata sebuah piring telah pecah. Aku bersihkan dapur dari serpihan-serpihan piring itu. Berbagai-bagai persoalan singgah di fikiranku, tapi, itu semua aku abaikan. Aku teruskan hidup seperti biasa kerana menganggap kejadian semalam hanyalah satu kebetulan. Tanpa aku sedar, aku sedang melakukan satu kesilapan.

Ya. Kesilapan. Kesilapan kerana terlalu memandang ringan kejadian ini. Kejadian yang sebenarnya hanyalah satu permulaan kepada apa yang bakal menimpa diri aku.
Segalanya bertambah parah pada malam ketiga setelah kematian Maya. Tetapi kali ini tidak seperti malam-malam sebelumnya. Tidak ada tanda-tanda gangguan. Aku tetap berjaga sampai jam 1 pagi. Menunggu tangisan yang sering mengganggu waktu tidurku. Tiada tangisan yang kedengaran. Keletihan yang mulai merajai diriku membuatkan aku tertidur. Tiba-tiba aku terjaga dari tidurku. Tiada tangisan yang mengganggu tidurku cuma kali ini aku terjaga dalam keadaan terikat pada kerusi di ruang tamu apartment Maya. Ya! Ruang tamu apartment Maya. Terikat sama seperti Maya sewaktu aku bunuh tempoh hari. Di depanku terdapat sosok tubuh wanita berbaju korporat yang agak lusuh. Dia duduk di atas lantai sambil lutut ditekukkan ke dada. Kepalanya ditundukkan. Aku terdengar suara tangisan. Tangisan mendayu-dayu seperti beberapa malam sebelum ini. Semakin aku dengar semakin aku yakin suara tangisan itu datangnya dari sosok tubuh di depanku ini. Aku cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri tetapi hanya sia-sia.

“Kenapa awak buat saya macam ni?” tanya wanita itu tanpa mengangkat wajahnya. Sayu-sayu terdengar suara tangisan. Aku terpaku tak mampu mengeluarkan sebarang kata.
“Kenapa awak buat saya macam ni?” tanya dia lagi diiringi tangisan mendayu-dayu. Kesedihan dalam tangisan itu mampu menusuk kalbu sesiapapun yang mendengarnya.
Tiba-tiba dia berdiri perlahan-lahan. Wajahnya masih tertunduk tak kelihatan. Aku semakin berdebar-debar apabila dia mulai melangkah perlahan-lahan kearahku. Membungkuk ke paras mukaku tanpa menujukkan wajahnya.
“KENAPA AWAK BUNUH SAYA?” teriaknya dan serentak itu juga dia mengangkat wajahnya. Alangkah terkejutnya aku kerana dia adalah Maya. Wajahnya sudah mula mereput. Matanya mengalirkan air mata darah. Mulutnya juga mengalirkan darah. Lehernya yang aku kelar tempoh hari masih mengalirkan darah merah pekat.
“Kenapa awak bunuh saya?” tangisnya teresak-esak. Aku pejamkan mata kerana tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Mustahil. Maya sudah mati. MATI! Tapi, siapa didepan aku kini?
Tiba-tiba, bunyi tangisan yang mendayu-dayu itu berhenti digantikan oleh bunyi orang meronta akibat leher terjerut. Bunyi itu semakin jelas berada tepat dihadapanku. Kerana ingin tahu, aku buka mata dan apa yang kelihatan adalah sesuatu yang memeranjatkan. Sesuatu yang tak mungkin aku lupakan. Leher Maya memancutkan darah dan dia bernafas dengan penuh kepayahan. Perlahan-lahan dia menggerakkan tangannya menghampiri leherku. Dalam genggamannya ada pisau yang aku gunakan untuk membunuhnya.
“Awak temankan saya, ya,” katanya diikuti dengan hilai tawa. Dengan sekelip mata, dia membelah leherku.

Aku terbangun saat cahaya matahari sudah memenuhi ruangan bilikku. Lantas, aku meraba-raba leherku. Masih dalam keadaan normal. Seluruh badanku dibasahi keringat. Aku berasa lega kerana itu semua hanyalah mimpi. Pada fikiranku, mungkin aku terbawa-bawa oleh perasaan yang timbul dalam jiwaku sewaktu pertama kali aku lihat wajah Maya. Segalanya sudah berakhir. Maya sudahpun meninggal dunia. Aku sempat toleh ke meja sisi dan melihat foto Maya yang masih berada di situ. Semua dalam keadaan normal. Semua itu hanyalah mimpi.

Sangkaan aku ternyata meleset. Belumpun sempat aku bangkit dari katilku, tiba-tiba dalam sekilas pandang ada kelibat yang melintas laju dari hujung bilik ke hujung satu lagi di depan mataku. Kelibat itu menghilang. Aku semakin tak keruan. Fikiranku menjadi kacau dengan apa yang aku hadapi kini. Rutin seharian semakin terganggu. Untuk seminggu kedepannya, aku sering diganggu dengan penampakan kelibat diikuti mimpi serta suara tangisan di malam hari. Mimpi itu adalah mimpi sama yang kerap berulang kali. Mimpi aku bertemu Maya. Mungkinkah aku sudah menjadi gila? Sepanjang seminggu itu, dua tugasan dikirimkan kepada aku. Kedua-duanya terpaksa aku tolak kerana fikiran aku tak mampu fokus. Maya berada dimana-mana. Aku ambil keputusan untuk bertemu doktor pakar. Aku tidak menceritakan tentang pekerjaanku. Hanya yang aku ceritakan adalah kebiasaan terjaga pada waktu malam dan mimpi ngeri yang sering bertandang. Dari pengamatan doktor, aku mungkin hanya mengalami stress. Doktor memberikan beberapa ubat untuk ‘penyakit’ aku.

Malam itu, sebelum tidur, aku makan ubat seperti yang diarahkan oleh doktor. Seingat aku, kira-kira jam 10 malam, aku sudahpun tertidur. Tapi, kesembuhan yang aku harapkan tak kunjung tiba. Seperti malam kebiasaannya, aku dikejutkan dengan suara tangisan. Kali ni, aku sudah tidak sabar lagi. Kali ni, aku akan berdepan dengan apapun yang menggangguku. Aku pasangkan tekad. Mata kubuka dengan perasaan marah dan langsung cuba bangkit.

Tidak kuduga, seluruh tubuhku menjadi kaku. Aku cuba meronta-ronta tapi hanya sia-sia. Pada masa yang sama, tangisan itu masih berterusan. Kedengarannya begitu hampir dengan diriku. Seperti disebelah aku saja. Aku cuba meronta-ronta sekali lagi tetapi tiada hasil. Yang mampu digerakkan hanyalah kepalaku. Dalam keadaan itu, aku tertoleh-toleh mencari arah tangisan itu. Kekiri, tiada apa yang kelihatan. Kekanan, juga sama. Tangisan itu semakin mendayu-dayu mengisi keheningan malam. Sesiapapun yang mendengarnya, pasti merasai kesayuan yang terpendam dalam tangisan itu. Aku cuba sekali lagi mencari punca tangisan itu. Tiba-tiba, setelah aku menoleh kekiri, Maya sedang berbaring disebelahku. Tubuhnya mengiring menghadap aku. Matanya memandang tepat ke arahku sambil mengalirkan air mata darah.
“Sampai hati awak bunuh saya,” katanya penuh sedu sedan. Jantungku berdegup semakin kencang. Keringat mulai membasahi dahi. Aku cuba meronta-ronta untuk melarikan diri. Tetapi, semua itu hanya sia-sia. Perlahan-lahan Maya bangkit. Dia merangkak di atas tubuhku. Tangannya menghampiri leherku.
“AKU NAK KAU MATI!!”
Aku dikejutkan oleh penggera telefonku. Jam sudahpun menunjukkan pukul 12 tengah hari. Aku bangkit duduk di pinggir katil sambil fikiranku melayang memikirkan kejadian yang menimpa diriku semalam. Adakah itu hanya satu mimpi? Tapi, semuanya terasa benar. Mustahil ia hanya satu igauan yang menghantui tidurku. MUSTAHIL! Hatiku membisikkan yang aku harus lakukan sesuatu tentang hal ini. Aku bertekad untuk mencari kubur Maya dan membakar mayatnya. Mungkin itulah satu-satunya cara semua ini akan berakhir. Aku bingkas bangun dan bersiap.
Aku tiba dilokasi kubur Maya saat hampir senja. Tapi, untuk mengelakkan sebarang kecurigaan, aku terpaksa menanti sehingga tengah malam. Aku tetap berada di dalam kereta. Enjin dimatikan dan tingkap dibuka. Waktu senggang itu, fikiranku menerawang sekali lagi tentang persoalan yang berada dibenakku. Persoalan tentang apa yang telah terjadi. Tercari-cari penjelasan yang pasti akan semua ini. Menjelang malam, tiba-tiba, aku terdengar bunyi tangisan. Aku melihat kerusi belakang menerusi cermin. Tiada apa-apa. Aku menoleh ke kerusi penumpang di sampingku, Maya di situ. YA. MAYA. Disebalik wajahnya yang mengerikan, tersirat kemarahan yang terpendam.
“AKU NAK KAU MATI!!”
Aku terbangun. Mimpi lagi? Hari sudah lewat malam. Jam tanganku menunjukkan waktu 12 tengah malam. Aku perhatikan keadaan sekeliling. Sunyi sepi. Saatnya untuk aku melaksanakan rancanganku. Aku keluar dari kereta dan menuju kebahagian belakang. Aku ambil penyodok, gasolin dan mancis. Kereta aku kuncikan lalu berjalan kaki menuju ke kubur Maya. Setibanya di kubur Maya, gasolin aku letakkan di samping. Mancis dimasukkan ke dalam poket jeans, lalu, mula menggali kubur Maya.

Selesainya membongkar kubur Maya, aku keluar. Penyodok yang masih dalam genggamanku, dicampakkan ke tanah. Gasolin diambil lalu kutuangkan ke atas mayat Maya yang masih berbungkus beg mayat. Aku tidak sanggup untuk membukanya dan melihat keadaan Maya. Bimbang mayatnya hidup semula. Tiba-tiba, dari kejauhan, kelihatan sesosok tubuh berambut panjang dan berbaju putih lusuh sedang merangkak perlahan menuju kearahku. Jantungku mulai berdegup laju dan bertambah kencang apabila sosok itu semakin menghampiri aku. Dengan pantas aku ambil mancis di dalam saku jeans, menyalakannya lalu mencampakkan ke mayat Maya. Kelibat yang aku nampak tadi menghilang. Cuma, kedengaran suara tangisan yang semakin melemah dan lolongan anjing-anjing liar. Lolongan sayu.

Aku berasa lega melihat mayat Maya yang hangus terbakar. Hanya debu-debu yang tinggal. Aku tersenyum. Maya tidak dapat ganggu aku lagi. Semuanya sudah berakhir. Hidupku sudah bebas dari Maya. Kubur Maya kukambus untuk kali kedua. Kira-kira jam 2 pagi, tugasku sudah selesai. Langsung aku bergegas pulang.

Setibanya di depan pintu flatku, kunci di dalam saku dicapai dan pintu kubuka. Aku melangkah masuk ke dalam rumah yang masih bergelap. Tanganku meraba dalam kegelapan mencari suis lampu. Setelah ditemui, suis dipetik dan lampu menyala. Serentak dengan itu juga, pintu tiba-tiba terhempas tertutup. Aku terkejut. Aku memalingkan tubuhku menghadap pintu dan membelakangkan ruang tamu. Aku cuba memulas-mulas tombol pintu tapi pintu seakan-akan terkunci. Tiba-tiba, dari arah ruang tamu, aku terdengar bunyi orang tercekik. Tubuhku dipusingkan menghadap ke arah bunyi itu. Aku menjadi kaku. Tegak berdiri tanpa boleh bergerak. Mataku terpaku pada sosok tubuh yang ada di ruang tamu. Kelibat berambut panjang berbaju lusuh yang kulihat di kubur Maya. Perlahan-lahan dia merangkak ke arahku sementara aku masih kaku berdiri. Jantungku semakin kencang dan keringat mulai mengalir di wajahku.

Mataku hanya mampu memerhatikan kelibat yang semakin menghampiriku. Tangannya mencapai kakiku. Perlahan-lahan dia bangkit berdiri bertongkatkan tubuhku. Kepalanya menghampiri wajahku tetapi wajahnya masih tertunduk diselindungi rambutnya yang panjang mengurai. Perlahan-lahan wajahnya diangkat. Rambut yang menutupi wajah terselak dan menampakkan wajahnya. DIA ADALAH MAYA! Aku terkejut. Seharusnya semua ini sudah berakhir. Seharusnya Maya sudah tidak wujud lagi di muka bumi. Tangannya menghampiri wajahku sambil wajahnya didekatkan ke telingaku. Aku dapat menghidu bau hanyir darah dari dirinya. Lalu, dia berbisik ke telingaku:
“Kau milikku.”
Setelah itu, semuanya menjadi hitam.
Aku terbangun diatas sofa. Kepalaku dipangku diatas riba. Dia masih tertunduk sambil tangannya membelai rambutku. Berhari-hari berlalu tanpa dia pergi meninggalkan diriku. Hidupku seakan berantakkan dihantui kewujudan Maya. Ke mana saja aku pergi, dia pasti ada.
Zakaria,
Aku sudah tidak tahan hidup sebegini. Aku pun tiada sesiapa untuk ceritakan kisah ini melainkan hanya kepada kau. Aku harap kau faham keadaan aku ni. Aku rasa Maya berdendam dan tak akan aman selagi kisahnya tak diceritakan. Tolong sampaikan kisah ni bila waktunya tiba.

Rizal ditemui mati dalam flatnya dengan kesan dikelar di leher menggunakan pisau. Menurut pihak polis, mungkin Rizal mati bunuh diri kerana tak ada tanda-tanda pergelutan. Motif bunuh diri dikatakan berpunca daripada tekanan ataupun penyesalan kerana menurut polis juga mereka menemui pesanan yang tertulis didinding ruang tamu Rizal. Pesanan yang berbunyi: ‘Maya, maafkan aku.’ Tapi, dari pandangan aku sendiri, aku tak pasti benarkah Rizal mati bunuh diri ataupun ‘dibunuh’. Biarlah hal itu kekal sebagai satu misteri. Yang penting, permintaan terakhir Rizal untuk sampaikan kisah ini dipenuhi.

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

30 thoughts on “Maya”

    • apa yg kamu rasa saat membaca kisah ini?seram kn…kmu merasainya . ya ap kamu rasa itulh kisahnya. Sy prcya ia benar

      Reply
  1. perkara terakhir yg dilihat simati itu adalh memori yg tersimpan dlm hatinya,kematian penuh kejam itu membangkitkn dendam …ya btul dendam drpd simati /mngkin qarin ,jin,syaitan yg mmblas dendam krana semenangnya ia mmpu mmbunuh tnpa tngglkn bukti/xlogik d akal.! kecuali 1 kematian ditembak dijantung,memori simati xdpt menyimpan data apa sbnr brlaku dsbbkn jntung gagal fungsi pam darah ke otak

    Reply
  2. Dihantui qarin arwah + halunisasi disbbkan penyesalan yg dh x mampu ditanggung oleh minda si pembunuh… Huishh Agak2 org yg disabitkan membunuh alami x benda ni lam penjara huhu…. Nice story ( x kisah benar@rekaan) …

    Reply
  3. ORANG XDE TELUR JE MAIN BELAKANG2..anak jantan ke?.mak bapak xajar agama ke..MARI DEPAN2..SETTING..
    ..SERONOK SEKEJAP JE TU..INGAT AZAB ….

    Reply
  4. teringta kisah pembunuh upahan profesional dlm cter Mikhail coretan RAM.

    ujung2 si Mikhail jatuh cinta ngn sasaran dia sendiri… huhu.

    well, cter ni mmg terbaikkkkkkkkk 10/10 sgtttttttttt

    Reply

Leave a Comment