Mayang Sari (Teman Tari Si Puteri)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Sudah lama hati aku terdetik untuk mengongsikan pengalaman mistik yang pernah terjadi didalam kehidupan aku seharian. Aku bukanlah sejak kecil terbuka hijab, semuanya terjadi bila aku seringkali didampingi makhluk yang tak terlihat. Salah satunya adalah yang bakal aku ceritakan sebentar lagi.

Datang sendiri tidak dicari,
Teman menari dimalam hari,
Inang dan dayang turut merhati,
Tidak terlawan titah sang puteri.

Indah terlihat sebalik tari,
Lenggok gemalai dari sang puteri,
Kisahku ini untuk dikongsi,
Ini realiti bukanlah mimpi.

Bila malam menjengah masanya tiba, rambutku yang panjang disanggul rapi. Kuselitkan sepit bunga ke celahan simpul. Alis dilukis, tangan galak menghias wajah. Selendang kuning melilit dipinggang, hujungnya disimpul pada jari manis. Ibarat penari istana mempersiapkan diri untuk menyembahkan tari.

Seperti malam-malam sebelumnya, inang mengiring si puteri kemari. Untuk menjemput aku menjadi teman dia menari. Mayang Sari nama si puteri. Sekalipun tidak pernah terdengar suara dari mulutnya. Apa yang dititahkan inanglah perantaranya. Jangan dibantah peritlah jawabnya.

Hampir setiap malam aku didatangi Puteri Mayang Sari dan dayang-dayangnya. Waktu itu aku masih dibangku sekolah menengah. Tidakku pasti apa puncanya dia kemari. Kadang-kadang abangku ada bertanya, siapakah yang ada bersama aku didalam bilik kerana dari luar dia mendengar seakan-akan bilik aku penuh dengan manusia. Along pula ketika itu tiada dirumah kerana melanjutkan pelajaran di IPT.

Disebabkan rumah ini rumah flat yang hanya mempunyai dua bilik, abang akan tidur diruang tamu. Abah dan mak pula dibilik yang lagi satu. Bilik aku dikongsi bersama along. Tapi disebabkan along sedang belajar, jadi aku hanya berteman sekiranya along bercuti. Selebihnya aku keseorangan. Aku sendiri tidak sedar sejak bila aku mula didampingi oleh makhluk-makhluk ghaib ini.

Setiap malam Puteri Mayang Sari akan datang mengajak aku menari bersamanya. Jika ditolak pasti bisa satu badan dibuatnya. Setiap pagi jugalah mak akan menjenguk aku didalam bilik sebelum dia berangkat ketempat kerja. Selalunya aku akan tertidur dengan selendang yang masih berikat dipinggang dan jari. Puas mak abah mencari punca tapi mereka juga buntu apa yang menyebabkan perkara ini berlaku kepadaku.

Waktu tidur aku juga sudah bertukar. Malam adalah siang, dan siang adalah malam. Pada suatu hari aku bermalam dirumah maklong, kakak mak. Maklong sudah sedia maklum dengan keadaan aku. Aku cuba melelapkan mata tapi tetap tidak mahu lena. Lagi-lagi hujan lebat mencurah-curah ditambah dengan guruh berdentuman diluar. Tiba-tiba angin dingin lalu menepis pipiku, aku menoleh dia sudah ada disisi katil. Si inang datang dengan muka yang sangat marah mengatakan aku mungkir janji untuk menari setiap malam bersama puteri.

Puteri Mayang Sari aku dengar mengongoi dengan nada yang sayu di depan bilik. Serentak dengan itu bulu roma seluruh tubuh aku meremang. Bunyinya seperti perempuan merintih sedih yang teramat, sayu mendayu-dayu dan menyeramkan. Hanya belakangnya yang terlihat diinderaku. Puteri Mayang Sari yang berbaju songket kuning diraja seperti puteri raja dizaman dahulu kala.

Seluruh badan aku menggigil ketakutan, inang dan beberapa orang dayang memandang aku seperti pesalah dengan mata mencerun. Dengan sendirinya air mataku mengalir seiring tangisan Puteri Mayang Sari. Sedih, sayu dan takut menyelubungi diriku. Tanpa berlengah aku berlari masuk ke bilik maklong disebelah. Maklong tersedar dan dapat mengagak kelakuan aku.

Maklong menyuruh aku tidur disebelahnya. Segera aku baring. Pintu bilik maklong yang separuh terbuka membolehkan aku melihat ‘mereka’ yang masih berada diluar. Aku palingkan badan membelakangi pintu. Dari ekor mata aku melihat selendang kuning yang bersinar-sinar milik Puteri Mayang Sari meleret masuk ke dalam bilik maklong berhenti betul-betul dibelakang aku. Aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Tangisan sayu Puteri Mayang Sari berlarutan dan berhenti bila azan subuh berkumandang.

Esoknya aku menelefon mak untuk menjemput aku pulang. Aku ceritakan apa yang terjadi. Kebetulan saudara jauh mak ada datang menziarah. Aku panggil dia sebagai Mak Uda. Sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam rumah, dia kata ada sesuatu milik ‘seseorang’.

Tahulah kami puncanya dari dulang tembaga sebesar meja yang pernah diberi oleh majikan abah dahulu. Bekas majikan abah merupakan seorang yang kaya dan berpangkat, selalunya orang kaya gemar mengumpul barang-barang antik. Mungkin tidak sedar salah satunya mempunyai penunggu lalu diberi pada abah.

Mak Uda yang ada sedikit kebolehan mengubat orang cuba membantu. Ketika Mak Uda menjenguk ke dalam bilik tidur aku, dia lihat ada seorang nenek tua yang berkedut seribu, badannya bongkok sedang mencangkung diatas katilku menyeringai melihat Mak Uda. Aku tahu itulah inang ketua dayang yang selalu menjadi perantara aku dan puteri. Kata Mak Uda lagi rumah aku penuh dengan kaum kerabat si puteri.

Hampir sejam Mak Uda berinteraksi dengan Puteri Mayang Sari, kalau dilihat dari mata kasar seolah-olah Mak Uda bercakap seorang diri. Kata si puteri dia tiada tempat untuk pergi dan dia sudah jatuh sayang pada aku. Seronok mempunyai teman untuk menemaninya menari.

Mak Uda memaksa Puteri Mayang Sari membawa pergi kaum kerabatnya keluar dari rumah aku dan jangan lagi menganggu aku. Pada mulanya Puteri Mayang Sari berkeras tidak mahu tapi akur setelah diugut akan dibuang dulang tembaganya.

Kusangka segalanya telah berakhir, ternyata aku salah. Malam itu saat semuanya sudah tidur, rasa seram sejuk membuat aku tidak selesa. Aku pandang keluar pintu bilik yang sememangnya tidak kututup kerana senang jika berlaku apa-apa. Air liur kesat kutelan, susuk tubuh seorang perempuan berdiri tegak dihadapan pintu bilikku. Hanya bahagian pinggang kebawah saja terlihat. Dan dia sedang berdiri menghadap aku yang berbaring dikatil.

Jantung berdegup kencang, rasa takut menyelebungi. Berpeluh dahi dan tangan menahan debar. Sunyi dan sepi, satu bunyi pun tiada. Abang pula belum pulang dari berjumpa dengan kawannya. Aku nak kebilik mak abah tapi masalahnya aku harus melewati ‘dia’. Aku gagahkan jua kaki berlari ke bilik mak abah. Dalam kalut kedengaran suara lunak dan lembut keluar dari mulut Puteri Mayang Sari. Selunak manapun suaranya tetap menyeramkan bagi aku yang dalam ketakutan. Langkah terpaku betul-betul disebelah Puteri Mayang Sari.

“Apa kita sudah tidak boleh bersahabat seperti dahulu? Kemarilah turuti beta menari diatas pentas berbunga seperti dahulu. Marilah…” seperti memujuk-mujuk agar aku mengikutinya. Aku pekakkan telinga, langkah yang berat aku paksa juga menapak. Takut kalau aku terkhayal dan menurutnya ke alam sebelah sana.

Aku beristigfar berkali-kali dan berlari ke bilik mak abah. Segera aku peluk mak yang sudah tersedar dek kerana pintu biliknya aku buka secara tiba-tiba. Dapat aku lihat susuk tubuh Puteri Mayang Sari makin menjauh dan menghilang dalam gelap malam berserta tangisan sayu.

Esoknya Mak Uda datang semula setelah ditelefon mak dan diceritakan apa yang terjadi semalam. Sekali lagi Mak Uda berinteraksi dengan Puteri Mayang Sari tapi dengan aku sebagai perantara.

“Kenapa kau datang semula? Kau lupa dengan janji yang kau buat? Aku suruh kau pergi dari sini jangan diganggu budak ni lagi.” kata Mak Uda.
“Beta sayangkan dia, dia sahabat beta. Beta tak sanggup berpisah denganya. Lagipula dulang beta ada disini. Beta suka disini.” Jawab Puteri Mayang Sari masih berdegil.
“Baik, aku suruh pergi cara baik kau datang semula. Aku akan buang dulang kau.” Marah Mak Uda dengan kedegilan Puteri Mayang Sari.

Menurut mak semasa aku menjadi perantara, suara dan lenggok badan aku berubah 360 darjah seperti orang lain. Semasa Mak Uda memagar Puteri Mayang Sari didulang tembaganya aku menangis tidak berhenti. Dulang tembaga dijirus air zam-zam dan dibacakan ayat-ayat suci al-quran. Garam kasar dan lada hitam dicampak beberapa kali pada dulang tembaga. Merintihlah Puteri Mayang Sari kesakitan.

Abah dan suami Mak Uda disuruh untuk membuang dulang tembaga itu ke dalam air yang sentiasa mengalir yakni sungai ataupun lautan. Menjerit-jerit marah aku bila mereka membawa keluar dulang tembaga itu dari rumah. Mak Uda beri aku minum air penawar bila aku sudah semakin sedar.

Sejak dari hari itu tiada lagi Puteri Mayang Sari datang mengajak aku untuk menjadi teman tarinya. Salah satu pengalaman yang paling aku ingat sehingga ke hari ini. Andai diberi peluang dan kesempatan akan aku ceritakan lagi pengalaman misteri dan mistik yang penah aku alami.

Perginya dia berganti-ganti,
Hadirnya pula bersiri-siri,
Ada yang indah ada yang ngeri,
Tidak kuseru datangnya sendiri.

Siangnya dia malamnya kita,
Sesama makhluk berbeza dunia,
Persiap diri zikir dan doa,
Moga dilindungi iman terpelihara.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Inderamaya
Rating Pembaca
[Total: 122 Average: 4.7]

3 thoughts on “Mayang Sari (Teman Tari Si Puteri)”

  1. Itulah bedanya makhluk sisi gelap dgn kita makhluk sisi terang. Walaupun begitu dlm gelapnya mereka masih ada segelintir yg terang hatinya, sebaliknya kita pula lebih ramai gelap hatinya walaupun berada dialam yg terang benderang.

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.