#MEHMET U’MAR – RIWAYAT PENDENDAM SETIA (3/5)

Karya oleh : Mehmet U’mar AbdulAziz

Disunting Oleh : Defend&Dee Edot @ Arkib Angker Negara

Niza hanya menunduk ke bawah seolah fikirannya melayang ke dimensi lain.

“Niza, saya bagitau apa tadi?” Lembut suara kak Dee tetapi dalam ketegasan yang mendalam. “Er..saya tak ingat la kak.” Kawannya yang lain terus memberikan pandangan ke arah Niza. “Niza ada apa-apa bagitau terus pada kak Dee ok, jangan campur aduk kan hal peribadi dalam kerja Niza, ingat kita ni bekerja untuk orang awam, kita mesti bagi khidmat yang terbaik untuk semua.”

“Baiklah kak Dee saya minta maaf.” Niza akui akan kesilapannya ketika waktu briefing sambil mengelamun. Memang dalam fikiran Niza masih lagi terganggu akan misteri kematian kekasihnya dan masih lagi dihantui akan mimpi yang dia alami.

Niza terpaksa mengetepikan dahulu perasaan yang merungsingkan jiwa Niza kerana sebagai seorang jururawat dia wajib memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pesakit-pesakit dalam wad tersebut. Sikap professional dan beretika sememangnya perlu ada jika tiba waktu bekerja.

Tanpa disedari jam tepat menunjukan pukul 11.45 malam. Keadaan sunyi yang amat sepi sudah menjadi lumrah apabila bekerja di waktu malam. Niza membuat rondaan di setiap katil pesakit untuk memastikan semua budak-budak dah tidur dan tanpa ada sebarang masalah.

“Kak Niza!”

Tersentak Niza seketika mendengar seorang budak memanggil namanya dari arah belakang. “Aik kenapa tak tidur lagu ni Ridhuan?”

“Tak ngantuk lagi la kak, lagipon kawan saya tak balik lagi, dia duk teman saya sembang kejap kat tingkap ni.” Niza memandang ke sebelah kanan katil Ridhuan yang mempunyai tingkap, tapi langsung tak ada sebarang kelibat manusia. Kerana mana mungkin ada pelawat dalam waktu begini.

“Adik merepek je ye, mana ada sapa pon kat tingkap tu dik, perasaan adik ja rasanya tu.” Senyuman terpaksa diukir pada bibir Niza walaupun Niza telah mula terasa seram. “Ada lah kak, dia cakap nama dia Adam pastu dia cakap dia kenal akak, tu.. dia siap kirim salam lagi kat akak tu.” Niza menoleh kembali ke arah tingkap dan serta merta mengintai dari ke luar tingkap kerana apa yang didakwa oleh adik Ridhuan kali ini memang benar-benar membuatkan Niza semakin gelisah.

“Sudah-sudah! Adik tidur jer ok jangan nak mengarut dah.” Kali ini terpaksa Niza bertegas mengarahkan untuk Ridhuan tidur dan tergesa-gesa kembali ke kaunter jururawat bersama rakanya yang lain.

“Kamu kenapa Niza, gelisah je kak Dee tengok.” Mana tidaknya kak Dee tak perasan, wajah Niza waktu ini berpeluh dan pucat seolah terserempak dengan hantu.

“Tak ada apa la kak.”

“Niza apa-apa pon kalau kita ternampak ke buat tak tahu je yer, kami dah biasa dah dengan wad ni.” Menyampuk pula cik Liza yang berada di kiri kak Dee. Niza hanya mengangguk tanda faham dan masih lagi memikirkan apa yang adik Ridhuan tadi katakan.

Masa berganti masa tidak sedar jam telah menunjukkan angka 2 pagi. Kelihatan wajah rakan-rakanya menunjukan tanda-tanda mengantuk. Niza masih lagi tertanya-tanya dibenak fikiranya mengenai apa yang dikatakan oleh adik Ridhuan tadi.

“Niza, dari tadi saya tengok awak tak cakap banyak, termenung je, kenapa ni Niza? Ada yang tak kena ke?” Persoalan yang di tanya puan Ain itu menyentap lamunan Niza seketika. “Kak Ain budak Ridhuan tu dia memang boleh nampak ke benda halus?” Pertanyaan Niza itu terus diberikan pandangan yang menghairankan oleh rakan-rakanya yang lain.

“Kenapa awak tiba-tiba sebut pasal nama budak tu Niza?” Ternyata pertanyaan Cik Ayu pula menunjukan tanda tidak senang akan persoalan Niza.

“Setahu saya budak yang nama Ridhuan tu meninggal bulan lepas sebab denggi.” Kata-kata kak Dee itu membuatkan Niza semakin gelisah dan tidak senang duk. Dia kembali menuju ke katil budak Ridhuan yang ditegur tadi, ternyata hanya nama Ridhuan sahaja yang masih tertulis di paparan nama katil pesakit, orangnya memang tiada.

Niza semakin keliru atas apa yang jadi pada dia. Terus dia berlari ke arah kaunter tempat rakan-rakanya bersembang tadi.

“Awak kenapa pergi sana Niza? Tengok apa?”

Niza semakin menunjukan tanda gelisah dengan apa yang terjadi kepada dia. Seolah dia tidak percaya yang adik Ridhuan memang tiada.

Tapi siapa yang menegurnya tadi? Kerunsingan jelas terukir di wajah Niza membuatkan rakan-rakannya tertanya-tanya apa yang telah terjadi.

“Awak okey tak ni Niza? Kenapa pucat je muka ni?” Tanya kak Dee. Kegelisahan Niza memang tidak dapat lagi dibendung ketika ini dan fikiran terus terganggu. Dengan suasana malam yang dingin membuatkan diri Niza semakin tidak senang duduk

“Saya nak ke tandas.” Itu sahaja yang terluah dari mulut Niza.

“Saya temankan awak ye Niza.” Ayu menawarkan diri.

Langkah kaki keluar ke pintu wad kanak-kanak terasa meremang seluruh badan Niza. Tiba-tiba..

“Psst..psst..”

“Ayu awak dengar …”

Belum sempat Niza menghabiskan perkataannya Ayu menarik tangan rakannya itu kembali ke wad semula. Baru selangkah nak berpatah semula ke wad. Niza terpandang di atas siling…


“Mama…abah… masa bila sampai rumah ni? Tak bagitau Niza pon nak datang.”

“Mama kenapa senyap je ni? Mama Abah okey tak ni? Kenapa habis luka badan Mama dengan Abah ni?”

“Heehhee…”

“Sapa tu?!”

“Aku lah..kau tak kenal ke?”

“Sapa!”

“Aku lah yang ada selalu dengan kau..aku akan kenang setiap bait perjanjian kau dengan aku hahaha”

“Cilaka kau Adam! pergi..pergi…”

“Hahahahh.”


“Niza…Niza… bangun-bangun.”

Perlahan-lahan kelopak mata dibuka, semua rakan satu wad ada di depan mata. “Apa dah jadi kat saya ni?”

Jam menunjukan pukul 5 lebih di tangan kak Dee. “Kamu pengsan tadi Niza masa balik dari tandas dengan Ayu, dah 2 jam kamu pengsan Niza, minggu ni kalau kamu tak boleh nak kerja amik la MC berehat dulu ye. Nanti kalau kamu tak sihat macam mana kamu nak tumpukan sepenuhnya kerja kamu.”

Leteran secara spontan dari kak Dee cuma membuatkan Niza terdiam sehingga lah dia pulang dari kerja.

9 pagi ketika esoknya…

Tidak pernah dalam hidupnya Niza mengalami kerungsingan yang begitu hebat sekali. Muka semakin kusam, makan semakin berkurangan, berat badan kian lama kian susut. Setelah pulang dari kerja, tidak lain tidak bukan Niza terus terbaring di atas tilam tanpa membersihkan diri dahulu. Pening kepalanya memikirkan apa telah terjadi pada dirinya sehingga terus di ganggu sehingga sekarang.

“Ting.”

“Niza minggu ni kamu amik MC yer, saya dah bagitau doktor tadi pasal kes kamu. Kalau boleh kamu balik la kampung, berubat cara kampung ye sebab sakit kamu ni bukan sakit biasa” -Kak Dee.

“Thanks kak Dee.”

Memang di hati Niza membuak rasa untuk pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak setelah malam tadi. Ketika pengsan, Niza ada termimpikan yang tidak baik mengenai mama dan abahnya.

“Salam abah..mama abah sehat ke? Petang ni Niza nak balik kampung.”

Sepanjang dalam perjalanan pulang dengan bas, fikiran Niza tidak tenang dan terasa gelisah sekali seakan ada perkara yang tidak baik bakal berlaku. Seumur hidupnya tidak pernah terasa seperti apa yang Niza alami sekarang.

“Maaf. Makcik nak tanya, adik dari mana ye?” Lamunan Niza terhenti dan lantas wajahnya berkalih ke arah kanan suara yang menegurnya. “Kenapa ye makcik?”

“Makcik tengok kamu dari tadi duduk diam jer..muka pon pucat, kamu tak sihat ke?” Soal makcik yang berada di sebelah kanan tempat duduk Niza.

“Tak ada apa la makcik. Saya okey je.”

“Makcik tengok ada yang tak kena dengan kamu ni nak, makcik rasa elok kamu berubat cara kampung sebab lain macam je makcik tengok kamu dari tadi.”

Niza hanya memberikan senyuman suram tanpa banyak bicara. Lagi dilayan lagi serabut otaknya, tidur adalah lebih baik sementara menuggu bas sampai ke destinasi di kampung.

Setelah 2 hari berada di sisi keluarga, tanpa sepatah kata serta bicara yang keluar dari mulut Niza. Tidak seperti kebiasan. Perbuatan Niza itu disedari abah dan mamanya.”Niza kamu okey tak ni? Dah dua hari semenjak kamu balik rumah jarang bercakap, makan pun tak banyak, abah faham kalau kamu masih lagi bersedih atas kematian Hafiz, tapi kamu kena redha sayang, kita yang masih hidup mesti kena teruskan kehidupan seperti biasa.”

Ketika perbualan ini, abah dan mama serta Niza berada di meja makan untuk santapan malam.

“Yela Niza, betul kata abah kamu tu, jangan la bersedih sangat sampai kehidupan kamu terjejas, nanti kamu tak sihat mama abah jugak yang risau.”

Niza masih lagi dalam keadaan termenung sementara rezeki di depan matanya tidak langsung terusik. Air mata berjujuran jatuh secara tiba-tiba membuatkan Niza berlari ke dalam bilik kerana tidak sanggup mendengar leteran yang panjang oleh mama dan abahnya.

Bumm!!

Bunyi hentakan kuat Niza menutup pintu biliknya sehinggakan mama dan abahnya meluru lari ke arah bilik Niza.

“Niza..Niza..kenapa buat macam ni, tak kesian ke kat mama dengan abah sayang? Mama bukanya marah tapi nak bagi kamu semangat sayang.”

Tuk..tuk..tukk..

Ketukan pintu oleh mama dan abah tidak langsung dihiraukan oleh Niza. Setelah lima minit bergelumang dengan perasaan sedih dan tertekan. Air mata tidak dapat lagi dihalang mengalir di pipi Niza bagaikan air sungai yang jernih mengalir deras.

Tiada lagi kedengaran mama dan abah Niza mengetuk pintu bilik untuk menenangkan Niza. Dengan tiba-tiba….

Langsir tingkap bagaikan ditiup oleh angin yang deras sedangkan tingkap tidak pula dibuka. Perasaan Niza digeruni oleh deruan angin yang entah datangnya dari mana menusup laju ke bahagian kaki. Niza terbungkam, kaku seolah m**i nyawa dicabut.

Mata semakin saat semakin kabur.


“Abangg Hafiz..bawak mengucap abang..kenapa boleh jadi macam ni?”

Niza kembali dibawa oleh sesuatu ke tempat Hafiz kemalangan jalanraya.

“Abang..jangan tinggalkan sayang..abanggggg!!!”

Niza terhenti meraung seketika apabila matanya tertancap susuk tubuh seseorang yang semakin mendekat dan sedang menuju ke arah kawasan kemalangan.

“Encik cepat encik tolong rakan saya..dia kemalangan ni encik..”

Dalam kesamaran gelap bertemankan lampu jalan dikawasan kemalangan. Tiba-tiba susuk tubuh yang kelihatan seolah pemuda itu hilang sekelip mata dan…

“Baru puas hati aku, inilah balasanya terhadap kau Niza. Inilah balasanya kau yang telah memungkiri janji!”

Suara yang amat jelas menusuk dari telinga hingga ke hati, Niza kaget dan amat kenal dengan suara itu. Niza menoleh kebelakang.

“Hihihihi”

Kelihatan dua susuk tubuh pula kali ini, seorang seperti Adam dan satu lagi makhluk yang berbulu lebat berdiri disebelah kiri Adam.

“Cilaka kau Adam!! Pergi…pergiiiiii!!!!”

“Hahahahahaha!!”

Penglihatan Niza kembali gelap, hanya telinganya sahaja semakin lama semakin kendengaran jelas seseorang sedang mengalunkan kalimah suci Al-Quran yang membuatkan badan Niza semakin lama semakin panas seperti dipanggang api yang marak.

Mata dibuka, kelihatan seseorang Ustaz yang sedang membaca ayat suci Al-Quran. Kelihatan jua susuk tubuh mama dan abah Niza disamping mereka ada seseorang wanita bertudung labuh.

Tahu lah Niza bahawa segala anggota tubuhnya bukan lagi dikawal sendiri serta kudratnya hilang diganti dengan sesuatu kuasa yang lain.

Cuma dapat melihat dan mendengar sahaja akan suara orang lain dan dirinya sendiri.

“Panas lah bodoh!!! Berhenti baca tu berenti!! Garau suaranya Niza memecah hening malam di rumah seseorang.

“Lebih baik kau keluar dari tubuh perempuan ini sekarang!” Nada tegas seorang ustaz melawan makhluk yang sedang bermaharajalela di tubuh Niza ketika ini.

“Hahahha aku tak mau!”

“Siapa yang hantar kau? Cakap!”

Ketegasan ustaz yang sedang merawat sambil memicit ibu kaki kiri Niza sehingga membuatkan suara yang garau dari mulut Niza itu semakin lunak dan menyeramkan!.

“Sakit lah bangang! Sakit!”

“Aku boleh lepaskan kau asalkan kau keluar dari tubuh badan perempuan ini!”

“Aku tak mau! Aku tak mau!”

“Baiklah, aku beri kau dua pilihan. Satu, masuk islam atau kau ku b***h!”

Dengan tidak semena-mena, tubuh Niza terkulai layu, keadaan menjadi tenang seketika pada waktu ini. Tiba-tiba..

Tubuh Niza terbangun dengan sendirinya, menunjukan pula kekuda seolah langkah pembukaan silat, lagaknya seperti sang pendekar yang telah bersedia menerkam musuh dihadapan.

“Siapa kau”

“Aku adalah musuh kepada musuh tuan aku! Hahaha.”

Pada ketika ini berlaku gegaran yang luar biasa pada dinding dan tingkap rumah ustaz, jam di dinding pula menunjukan tepat jam 12 malam. Kelihatan ustaz mula berlutut ke bawah seolah ada suatu kuasa yang menghempap di belakangnya pada ketika ini.

Abah Niza di belakang ustaz mahu melangkah membantu memapah ustaz.

“Azman! Berundur!”

Abah kepada Niza iaitu Azman tidak dapat membuat apa-apa untuk membantu ustaz tersebut. “Azman, kamu dan yang lain berzikir sahaja laailaahillallah sementara saya cuba ikhtiar cara yang lain.”

“Baik lah ustaz Ariff.”

Arahan di terima dan di ikut dengan serta merta oleh Azman (Abah Niza), Aminah (Mama Niza) dan Siti Khadijah (isteri Ustaz Ariff).

“Kau jangan mencabar wahai iblis laknatullah!”

Ibarat berlaku jual beli antara Ustaz Ariff yang mana makhluk yang merasuk Niza ketika ini semakin rancak menunjukan pencak silatnya

“Kalau kau sedia menjual, aku sedia membeli.” Dengan lafaz tauhid dua kalimah syahadah, berisyaratkan kaki kanan Ustaz bersilang dari kiri ke kanan seolah membentuk satu halangan maka ustaz Ariff mula menunjukan tarian pencak silat seolah dari tanah jawa.

Semakin rancak tarian pencak silat oleh mereka, ustaz Ariff hanya menunjuk kan syarat tangan kanannya seolah memukul di bahu kanan Niza yang kerasukan. Tersembam Niza di atas lantai papan rumahnya ustaz Ariff dan terus tidak dapat bergerak walaupun seinci tubuh sekali pun ketika ini.

“Masuk islam atau m**i!”

Ketegasan Ustaz Ariff semakin menggerunkan mahkluk yang merasuki Niza.

“Tolong jangan b***h aku, aku tak boleh masuk islam nanti tuan aku akan b***h aku.”

Rayuan mula kedengaran beserta tangisan yang sendu ditunjukan oleh makhluk yang merasuk Niza.

“Wahai makhluk tuhan, masuklah Islam nescaya kamu akan dilindungi oleh Allah dan tuan kamu tidak akan dapat berbuat apa-apa terhadap mu tanpa keizinan Allah SWT.”

Kelihatan ustaz Ariff mula melonggarkan pertahanan diri bagi memujuk makhluk yang sedang berada di dalam tubuh Niza. Ustaz melangkah setapak menghampiri Niza yang sedang sendu seperti anak kecil.

Tiba-tiba wajah Niza mendongak dan melihat tajam terus ke wajah Ustaz Ariff. Maka mengalir d***h yang banyak dari mulut ustaz Ariff seolah dicengkam dari dalam tubuhnya.

“Hahahahaha….manusia bodoh! Cukup senang diperdayakan. Cukup senang berubah hati, aku akan terus beraja di hati yang penuh dengan keraguan, penuh dengan hasad dengki antara manusia-manusia yang jijik! Hahahah.”

Tanpa sebarang kata, itu adalah syarat untuk membuatkan Ustaz Ariff bertindak dengan menamatkan serta-merta riwayat jin kafir yang sedang merasuki Niza.

Tangan kanan diangkat tinggi, tanpa soal bicara dengan lafaz dua kalimah Syahadah dari mulut dalam keadaan terketar-ketar, Ustaz Ariff terus menurunkan tangan dengan laju menghala di leher Niza seolah memancung leher makhluk tersebut seperti sang algojo.

Niza tersembam sekali lagi, menggelupur seolah ayam yang telah putus urat merikhnya. Dan dalam 2 minit sahaja seluruh tubuh Niza kaku tanpa pergerakan.

“Azman, angkat anak kamu bawa ke bilik bersama isteri saya lekas, saya ada urusan lagi yang belum diselesaikan.”

“Baik lah ustaz.” Azman mendukung Niza serta meletakkan tubuh yang longlai tanpa sedar itu ke atas katil milik ustaz Ariff dan juga Siti Khadijah.

“Azman mari sini kejap.”

Ustaz memanggil abah Niza menuju semula ke ruang tamu tempat Niza menerima rawatan sebentar tadi.

“Kenapa Ustaz?”

“Azman, apa yang saya nak buat ini kamu jangan kecoh ataupun tegur, hanya jawab apa yang saya tanya sahaja. Faham Azman?”

“Faham ustaz.”

“Baiklah sekarang kamu pergi ambir wudhuk untuk solat syukur.”

“Baik ustaz.”

Setelah 20 minit mendirikan solat syukur dan bertafakur, ustaz Ariff menyuruh abah Niza supaya jangan lekang dari berzikir mengingati Allah.

“Ingat Azman apa yang saya buat ini jangan ditegur, kamu teruskan berzikir ya”

Abah Niza hanya mengangguk dan meneruskan zikrullah dengan tenang, manakala dalam masa yang sama kelihatan seolah ustaz Ariff membacakan doa sesuatu sambil menundukan wajahnya kearah sejadah.

Dengan secara tiba-tiba…

“Wahai mahkluk Allah, aku tahu ini semua berpunca dari kau, dan aku tahu engkau sedang memerhatikan aku pada ketika ini.”

Dari keadaan yang sangat tenang, tanpa angin tanpa ribut, dengan tiba-tiba angin malam menderu dari arah luar rumah sehingga membuatkan tingkap dan pintu rumah ustaz Ariff terbuka dan tertutup dengan kuat.

“Ustaz, kenapa ni ustaz, apa yang tengah berlaku ni?”

“Diam wahai sahabatku, ini adalah perhitungan yang terakhir dari saya untuk dia.”

Abah Niza terdiam serta memerhatikan keadaan sekeliling ruang tamu yang kelihatan sangat riuh rendah, beserta bunyian suara burung gagak yang sangat banyak di sesekeliling rumah ustaz Ariff.

“Jikalau kau berhajat berhadapan dengan ku, sila kan wahai hamba Allah, aku menanti dengan penuh hati yang terbuka”

Setelah kata-kata itu dilontarkan oleh ustaz Ariff maka sekepulan asap muncul secara tiba-tiba dari tingkap menuju ke hadapan ustaz Ariff dan juga Azman.

“Tolong jangan apa-apa kan aku, aku cuma menjalankan tugas aku sahaja.”

Asap yang berkepul-kepul tadi dengan serta merta membentuk satu wajah yang tidak dikenali oleh ustaz Ariff.

“Cerita kan kepada aku wahai ahli sihir, siapakah gerangan kamu dan siapakah yang mengupah kamu!.” Tegas ustaz Ariff terhadap makhluk yang terbentuk di depannya.

“Aku adalah tok pawang dari perkampungan orang asli. Ada seorang pemuda yang berhajat kepadaku untuk melunaskan dendamnya, aku cuma mengikut kehendaknya kerana bayaranya agak lumayan. Hanya ini sahajalah rezeki yang aku dapat dan aku tidak boleh menolaknya”

“Tahukah kamu yang perbuatan kamu ini akan mengancam nyawa orang lain?!”

“Aku tahu tapi aku tidak berniat sampai mengambil nyawa seseorang. Tapi aku terpaksa, jika sekiranya aku menolak aku tidak akan mendapat hasil yang lumayan. Tolonglah jangan apa-apa kan aku, aku cuma mencari rezeki.”

Ustaz Ariff kelihatan teramat geram dengan kenyataan makhluk tersebut. “Masih ada banyak lagi kau boleh mencari rezeki dengan baik, kenapa sampai begini sekali, kau tidak ada hak untuk mengambilnyawa manusia sesuka hati!”

“Aku tahu, tapi maafkanlah aku, tolong jangan apa-apa kan aku.” Rayu si makhluk yang mengaku pawang orang asli itu.

Ustaz Ariff terdiam seketika. “Aku percaya, kau telah menyebabkan kematian seorang lelaki bukan!”

“Aku hanya menjalankan kerja aku dan aku tidak boleh berhenti sekerat jalan, tolonglah jangan apa-apa kan aku.”

“Kau hanya mencari nahas!” Ustaz Ariff menhentak kedua tangan di lantai kemudian membacakan sesuatu ayat dari Al-quran sehingga membuatkan makhluk dihadapanya itu meraung kesakitan. Bergegar tingkap rumahnya pada ketika itu.

“Tolong, tolong jangan apa-apa kan aku, aku hanya menurut perintah pemuda itu, tolong! Aku sanggup menurut perintah kau pula wahai tuan!”

“Ciss bedebah! Kau tak perlu menghambakan diri dengan makhluk tuhan. Kau hanya perlu menyembah tuhan yang satu. Dia tuhan dan tuan yang sebenar, bukannya aku!”

“Kalau begitu aku ingin menebus kesalahan ku, bantulah aku sahabat.”

Lagi sekali ustaz Ariff terdiam sebentar dan melihat kepada Azman dan memalingkan semula wajahnya ke arah tok pawang. “Kamu ingin memeluk agama islam?”

“Bantulah aku sahabat jikalau itu dapat menghapuskan segala dosa kesilapan aku.”

Seakan merayu suara tok pawang yang masih lagi menjelma di hadapan ustaz Ariff. “Baik lah, aku harap kerelaan mu ini bukan dari paksaan ku, aku ingin tahu adakah kamu ikhlas memeluk agama islam wahai makhluk Allah?”

“Aku ikhlas dan tiada paksaan dari mu sahabat.”

“Sila ikut apa yang aku tuturkan.” Tiba-tiba suasana kembali tenang dan sunyi selepas ustaz Ariff mengajarkan kepada tok pawang tersebut untuk menucap dua kalimah Syahadah. Tiada lagi kicauan burung gagak hitam, tiada lagi gegaran dinding dan tingkap yang berlaku seperti sebelumnya. Keadaan hening dan tenang sememangnya sangat sesuai pada tengah malam waktu itu.

“Alhamdulillah Azman, semuanya sudah selesai, tapi kamu kena berjaga-berjaga juga dengan keadaan anak kamu memandangkan dia dah pernah dirasuk jin, jadi kemungkinan diri dia ada ruang atau lubang-lubang yang dah diketahui para jin untuk merasuki balik anak kamu, lebih elok kalau kamu ajarkan anak kamu ayat pendinding diri untuk menghalang dari dirinya dirasuk.

“Baiklah ustaz, saya akan dengar segala nasihat ustaz, hari dah lewat malam dah ni, izinkan saya ustaz pulang bersama anak dan isteri saya.”

hantar kisah anda: fiksyenshasha.com/submit.

Azstrange89
Rating Pembaca
[Total: 1 Average: 5]

5 comments

  1. my best facts,bila saya dengar cerita seram.yg betul betul seram.mata saya akan automatik berkaca dan jatuhla air mata.dan benda itu berlaku sekarang.ternyata cerita ni sunggu seram dan best.haa gittew susun ayatnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.