Meninggal Dunia-melihat kematian

Kalau orang tak nampak, orang akan kata kita mengarut. Jarang ada nak percaya. Tapi menyakini sesuatu yang ghaib itu perlu. Tanpa kita sedari semua manusia mempunyai deria ke -enam. Cuma ia jelas atau tidak sahaja, dan tingkat deria ke -enam itu melalui beberapa peringkat, iaitu hanya boleh merasa, boleh mendengar dan boleh melihat. Kadang-kadang boleh melihat pun melalui beberapa fasa. Boleh melihat secara terus, atau melaui mata batin, atau cuma sekali imbas, melalui ekor mata dan sebagainya. Boleh melihat juga mungkin kerana ada khadam, atau didampingi makhluk alam sana ataupun memang boleh melihat atas izin Allah…

Aku tak boleh tahu atau melihat siapa yang akan menemui kematian, tetapi aku boleh melihat sesiapa yang sudah ajal. Betul, sesiapa yang sudah meninggal, maka terputuslah urusan dunia ke atasnya. Tetapi apa-apa juga boleh berlaku atas izin Allah. Dipertunjukkan sesuatu yang ghaib, untuk disampaikan agar menjadi pengajaran dan pedoman kepada manusia lainnya.

Aku Lana.
Kali terakhir aku menziarahi jenazah apabila arwah nenek aku meninggal. Selepas itu aku tak pernah ziarah mana-mana rumah yang ada meninggal. Dahulu, mak ajak aku terpaksa ikut. Mau kena pelangkung. Mak paling tak suka perangai yang tak pandai hidup berjiran. Tapi itu hal paling rumit untuk aku, untuk orang lain mungkin tak sebab jenazah tinggallah jenazah, hanya jasad yang akan disemadikan. Tapi untuk aku yang mampu melihat, istiqhfar berulangkali sampai berpeluh. Aku bukan takut, sebab ia hanya tinggal roh, tapi aku insaf..insaf atas diri sendiri..takut bila ia terjadi atas diri sendiri.

Cerita ini berlaku lama dahulu. Emak ni semangat kejiranan dia kuat. Sesiapa yang perlukan bantuan dia akan sampai dahulu tak kira kenduri kendara, kematian, perkhawinan. Dan anak-anaknya akan diseret sama.
“Nanti ko kahwin, meninggal takda sapa nak datang.” Itulah ayatnya.
Cerita di kampung memang cepatlah tersebar, sesiapa yang sakit, kahwin, bercinta cintun pun cepat saja tahu. Jadi tersebar satu pakcik ni,Pak Mad di masukkan ke hospital sebab sakit tenat.Dekat nazak,sampai berita dia dah meninggal. Orang kampung pun sedia untuk menyambut jenazah..Kudin, berlari anak mendapatkan orang kampung. Masa tu belum ada aplikasi whatsaap, kalau adapun belum meluas seperti sekarang. Kudin mengah. Turun naik nafasnya.

“Ha, mengapa Kudin?” Pak Imam Long, abang kepada mak aku bertanya. Dia siap mengerah anak-anak buahnya menyiapkan papan keranda. Renik peluh di dahi diseka.
“Pak Mad…”bicaranya terhenti.
“Ha, kenapa dengan arwah.dah sampai ke jenazahnya.?” Tujah Pak Imam Long.
“Tak, belum..belum sampai lagi.” laju ayat Kudin
“Kenapa pulak belum sampai? dah lepas waktu zuhur ni, menghampiri waktu asar. Lambat lagi la nak kebumi ni.” Keluh Pak Imam Long
“Pak Mad…Pak Mad tak jadi meninggal.” bisik Kudin perlahan. Takut orang dengar.
“Ha..? apa kau merepek ni Kudin. Tadi kan dah kata meninggal?” Garang suara Pak Imam Long. Dia fikir Kudin bergurau.

“Betul pak imam,,Pak Mad tak jadi meninggal.” Orang-orang Pak Imam Long melongo, kedengaran berbisik-bisik. Pak Imam Long menegur marah. Jangan sampai benda-benda ni tersebar, takut jatuh fitnah.
Berlegar-legar berita Pak Mad meninggal kemudian hidup semula. Dua, tiga,kali keempat baru dia benar-benar meninggal. Jenazahnya di bawa pulang ketika menghampiri maghrib. Jadi malam itu jenazah bermalam di rumah mereka. Kebiasaan di sini, akan ada malam berjaga-jaga. Jiran tertangga akan datang. Yang perempuan membantu di dapur, yang mengaji datang mengaji quran. Itulah kebiasaannya.

Malam tu emak, dipanggil untuk buat kuih penyaram. Sedap kuih emak, ngam dengan rasa dan lemaknya. Tentu saja emak ajak aku dan kak long. Mak ni, jiwa dia macam kak long, tak pandai takut. Malam tu kami menyusur jalan denai. Rumah arwah Pak Mad cuma berhadapan jalan dengan kami, cuma rumahnya tunggal. Tiada rumah lain. Satu-satunya di tengah-tengah kebun kelapa. Lorong ke rumahnya pulak gelap. Halaman luas tetapi tiada cahaya bulan. Langit pulak gelap tiada bintang. Masa ini aku nampak mak macam gelisah.

“Laju, jangan toleh kiri kanan.” arah mak tegas. Laju kak long membututi langkah mak yang cuma berkain batik, berbaju opah, kain tudung atas kepala. Tapi aku ni degil. Mata tetap melilau kiri kanan. Satu susuk tubuh aku nampak terhendap-hendap di sebalik rimbunan pokok kelapa. Sebab gelap, tak jelas wajahnya. Bila tulis cerita ni, baru aku ingat aku sudah boleh melihat sisi ghaib cuma tidak sejelas sekarang. Susuk tubuh itu berhenti dan memandang tepat ke arah aku. Aku ternganga. Mukanya persis..serta merta bulu roma ku mencanak naik. Apabila aku toleh kembali kelibat itu hilang. Tapi batang leher ku di belakang sejuk. Makin berderau darahku. Aku tak berani pandang belakang.
Hmmm…suara seakan menderam tepat di belakang telinga. Cepat-cepat aku mengikuti langkah kak long dan emak.

Kami sampai, mataku memerhati rumah arwah Pak Mad. Luas rumahni. Anjungnya besar, halamannya luas. Kiri kanan pokok kelapa merimbun segar. Selalu aku nampak waktu siang, rumahni cantik, antik..rumah kayu yang besar dan antik. Cuma malam tu, aku rasa seram. Suasana yang kelam tu menambah perasaan seram. Aku yang seram sendii agaknya. Beberapa pemuda asyik bersembang di bawah kolong rumah. Halaman cuma disinari oleh jamung pelita buatan sendiri. Sampai di atas, mak mulakan tugas membuat kuih. Kak long ikut kumpulan mengaji. Aku jadi pembantu mak. Dapurnya luas, tetapi ada satu pintu yang terbuka luas di belakang rumah. Ada pangkin untuk golongan wanita menyuci pinggan mangkuk. Dari pintu tu memang jelas terlihat kebun kelapa di belakang. Seram siot, tak tahu macam mana nak gambarkan. Aku memang tak lari dari sisi emak.
Dari pintu terngaga luas tu, memang terlihat kelibat terintai-intai. Aku sangkah jiran-jiran yang datang melawat. Baju hitam, seluar panjang melepasi lutut. Dia terintai-intai dari balik reban ayam. Bila mata kami bertemu pandang aku cepat-cepat tunduk memandang lantai.
Tiba-tiba riuh dari bawah, beberapa pemuda lari naik atas anjung rumah. Riuh sebentar. Mak yang mengadun kuih terhenti.

“Dia ada di bawah..ada di bawah kolong.” Satu pemuda tercungap berkata.
“Siapa.. Aku lempang kau cakap sembarang.” Marah satu pakcik yang agak berusia.
“Tu di bawah..dia ada di bawah..” jarinya menunding ke bawah, sesekali menunding ke dalam, menunjuk jenazah di ruangan tengah.
“Balik Runi, aku lempang nanti.” Arah pakcik tu. Runi terjun ke bawah, lari lintang pukang membelah malam. Laju.
Masa ni mak mengadun kuih serba tak jadi. Tak pernah tak jadi kuih mak. Kali ni macam kena sumpah. Adunan jadi lembik, keras..adjust lagi. Berpeluh-peluh mak. Tak pernah tengok mak macamni.

Pandanganku m**i di satu sudut, di tepi jenazah. Atas tu ada tingkap. Dia berdiri di situ. Nafasku macam terhenti. Susuk tubuh yang aku nampak terintai-intai tadi berdiri sambil memandang jenazah. Kelihatan sedih. Lama dia berdiri di situ sambil memerhati kumpulan membaca Al Quran. Memerhati, orang melihat jenazah. Paksu, adik bongsu emak, acah-acah berani menyingkap kain pelitup muka jenazah. Bila tersingkap, mata jenazah buntang terbuka. Perlahan-lahan Paksu tutup mata jenazah, kunun berani. Tapi matanya tak terkatup. Paksu tarik semula kain pelitup. Aku rasa nak tergelak. Acah-acah berani lah lagi.
Tengah ralat melihat mak mengadun kuih yang tak jadi-jadi,
Dommmmmm……atap rumah berdetum macam ada benda jatuh. Terangkat p******g mak. Cepat-cepat dia berdiri.

Masa ni aku lihat mak macam ketakutan. Tak pernah mak begini, selalu dia hati kering. Rupanya buah kelapa jatuh atas atap. Suspen. Tapi mak rasa tak sedap hati. Dia berhenti mengadun kuih. Dia kata akan sambung esok. Malam tu, kuih tak selesai diadun. Mak ajak kami balik. Takut pulak selusur jalan pulang dalam gelap, mujur ada anak muda mak panggil Rolan teman kami keluar.
Masa nak hantar kami balik, Rolan cerita pasal keriuhan di bawah rumah. ‘Pak Mad’ ikut sekali duduk rewang sambil memerhati mereka berbual. Dua, tiga kali ‘dia ‘ round keliling rumah. Seram sejuk mak. Aku pun terasa seramnya. Dalam perjalanan balik tu, aku memang terasa ada ikut di belakang. Cuma tak berani menoleh. Tengkuk rasa sejuk. Bunyi rrrrrrrrr…. halus terdengar di cuping telinga.
Rolan hantar kami sampai kaki tangga. Anjing kebun ayah menderam marah, gelisah. Matanya tepat melihat belakangku. Aduhai.

Apabila sampai atas rumah, perlahan perasaan seram kami hilang. Muka mak beransur pulih. Tapi sebenarnya benda tak habis di situ. Dua tiga hari jugak la ‘dia’ berlegar di kawasan rumah aku. Sesekali diselang bau busuk. Di dapur tu ada tingkap,’dia’ selalu melihat ke atas arah tingkap dan aku mengintai dari balik lubang dinding kayu. Sesekali mengetuk pintu dapur. Atas sebab apa ‘dia’ ikut sampai rumah, aku tak tahu. Mungkin sebab dia tahu aku nampak ‘dia’. Cerita tu akhirnya berlalu.

Hampir dengan kematian Pak Mad, ada kisah hampir serupa. Makcik ni nazak.Terbujur kaku atas tilam. Ustaz Hairi dengan Pak Imam Long melawat Mak Na. Walaupun nazak, dia masih belum menemui ajalnya. Ada khabar dia memutuskan nafas, tetapi dadanya kembali berombak lemah. Ramai yang datang menziarahi, ramai jugak yang membacakan Al quran. Dia masih begitu. M**i tapi hidup, hidup tapi m**i, begitulah keadaanya. Masa ni, mak tak pergi. Cuma ayah dan abang saja. Berita nazak sampai ke pengetahuan mak, tapi mak tak pergi. Sebab waktu sihatnya,  dia banyak aniaya mak, tak termasuk sihir-sihir yang dihantar.

“Susahni ustaz, selagi tak dilepaskan apa yang patut dia susah nak ‘pergi” Cetus Pak Imam Long penuh bimbang. Makin teruk Mak Na terlantar. Tubuhnya kering tinggal tulang. Sesekali nafasnya terhela berat, tersekat-sekat.
“Ada sesiapa lagi ka yang tak datang pak imam, maksud saya,ada sesiapa ka yang pernah bergaduh dengan dia sampai hari ini belum berbaik? Macam-macam sebab dia tak boleh ‘pergi’ni.” Pak Imam Long diam.Dia teringat mak.
“Kalau ada,boleh panggil dia datang,untuk memudahkan dia ‘pergi’.”
“Iya ustaz,in Sya Allah,saya usaha.”

Malam tu aku ingat, malam ramadhan, Pak Imam Long datang ke rumah. Perlahan dia mencicip kopi O panas.

“Neng, datang la. Lupakan perkara lepas.” panggilan Pak Imam Long untuk mak, adik perempuannya. Aku mencuri dengar dari daun pintu bilik. Sibuk.
“Aku tak berdendam apa-apa long,cuma aku tak nak pergi. Cukup la ayah durang yang pergi.”
“Tapi neng,..”
“Dia tak dapat ‘pergi bukan sebab aku long, dia tersekat antara alam kematian dan dunia long, dia kena minta ampun dengan Allah. Tuhan maha kuasa. Long tahu kan apa yang dia buat yang dia amalkan?” Pak Imam Long mengangguk kepala.

“Aku tak pergi pun takpa long, aku maafkan dari sini, lillahi Taala, aku dah maafkan dia. Sampaikan la pada dia.”
Selepas Pak Imam Long pergi, mak mencapai sejadah,selesai solat lama dia berteleku atas sejadah. Malam tu dia baca surah Yassin berulangkali. Aku yang ada di situ rasa hening. Keadaan sunyi, hanya terdengar lantunan suara mak mengaji. Tak semena-mena daun tingkap terbuka sendiri. Angin menerobos masuk. Aku bingkas bangun nak menutup daun tingkap.Tingkap ni menghala tangga depan.Mataku pegun melihat satu batang tubuh berdiri tegak memandang beranda atas.Mak makin kuat melantun ayat suci. Terhentak-hentak daun tingkap terhempas sendiri..

“Mak..” Panggilku. Peluh dingin merenik di dahi. Mak behenti membaca, menyudahkan bacaannya. Dia bingkas bangun.
“Tutup cepat tingkap tu.” Dengan perasaan takut,aku cepat mengunci daun tingkap.Emak suruh kak long tutup semua tingkap dan pintu. Kemudian kami berkumpul di ruang tengah.Ayah dan abang masih belum pulang, masih berada di rumah Mak Nah.
Jelas bunyi seretan dari luar dinding, berkeliling setiap penjuru rumah. Berdetum atas atap zink. Kriuk-kriuk berbunyi macam dipijak. Masa ni achik dan kak ipar aku hampir menangis.Kedengaran bunyi macam tulang-tulang yang patah.Kruukkk..krukkkk.

Pintu depan di ketuk bertalu. Aku bergegas nak buka pintu tapi mak tegah. Kalau ayah mesti dia bersuara. Aku duduk diam di situ. Perlahan mengesot tepi dinding. Dinding papan kan, ada lubang-lubang kecil boleh mengintai keluar. Ya Allah, dia berdiri di situ, di beranda atas depan pintu depan. Lama begitu, sampai benda tu beransur pergi. Sedar-sedar malam makin mendekati subuh, kak long menapak perlahan ke dapur. Juadah sahur perlu di sediakan. Di dapur, kak long teriak kecil melihat kepala kucing hitam tepat memandangnya. Hanya kepala yang kelihatan di sebalik lubang kecil dekat atap. Kucing tu perhati saja kak long buat kerja, tidak berganjak walaupun di halau. Bila kak long cerita dengan kak ipar.

“Mana ada tempat kucing tu berpijak, kosong…dinding ni kosong.” melongo kak long. Betul memang tiada tempat untuk kucing tu berpaut ka berpijak. Esok awal pagi ayah datang bagitau Mak Nah dah meninggal.
Semalam kecoh kat rumah Mak Nah, dia sakaratulmaut tapi susah nak menghempuskan nafas. Sampai la ada satu orang berdiri di sisinya berbisik. Atap atas di buka kecil. Tidak berapa lama dalam kepayahan, nafasnya tersentak berat. Dan dia telah pergi.

Kemana roh selepas kematian?..orang-orang tua kata, mereka masih ada di situ hari pertama sampai hari ke seratus. Mengarut .Aku pun tak tahu. Tapi saat jenazah baru meninggal, aku selalu nampak ‘mereka’ di sisi jenazah mereka sendiri. Ada yang menangis. Ada yang tersenyum, ada yang meraung memanggil-manggil. Allahulam.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cinta

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.