MIKAYLA, ANTA PERMANA

#CikEdot – MIKAYLA, ANTA PERMANA…

24.03.2019

Di ruangan tamu rumah.

“Awak masih tak nampak lagi ke apa yang jadi? Atau awak sengaja buat-buat tak tahu?”

“Awak cakap apa ni bang? Saya perasan, sejak seminggu dua ni awak asyik nak marah-marah je. Lagi-lagi pada Mikayla. Kenapa?”

“Azyan… Betul awak tak perasankan perubahan yang berlaku dalam rumah ni?”

“Perubahan? Apa maksud abang?”

“Awak tak perasan ke sejak Mikayla ada, macam-macam yang jadi. Entah-entah, mata awak ni pun dah ditutup oleh budak tu sampaikan awak tak nampak benda yang bukan-bukan jadi kat dalam rumah ni.”

“Saya tak faham maksud abang…”

“Awak bukan tak faham Azyan tapi sengaja awak tidakkan!”

“Tak..tak.. Benda yang bukan-bukan macam mana yang awak maksudkan ni?”

“Azyan.. Kita dah tinggal dekat rumah ni dah hampir 3 tahun tau. Selama ni, hidup kita elok je takda gangguan apa-apa. Tapi sejak budak tu jejak je kaki dalam rumah ni 6 bulan lepas, semuanya serba tak kena. Saya rasa awak pun dah kena tempiasnya sampai awak buta untuk sedar semuanya.”

Pelipisku berkerut. Kali ini aku bertambah runsing kerana masih gagal memahami maksud suamiku, Hazri.

“Apa yang Mikayla buat? Saya rasa elok je rumah ni, malah kehadiran dia menambahkan lagi keceriaan dalam rumah kita. Saya tak faham kenapa abang perlu cakap macam ni..”

“Sah! Memang sah awak dah terkena ‘tulah’ budak sial tu. Entah apa bahana yang dia bawa masuk, dengan-dengan awak pun taksub dengan dia sampai dah tak dengar langsung cakap saya. Hendak atau tidak, saya nak pulangkan budak tu semula ke Rumah Bakti!”

“Pulangkan? Tidak bang..tidak! Jangan usik anak kita! Jangan abang nak pisahkan saya dengan Mikayla!”

“Anak kita? Azyan, buka mata awak! Buka minda awak tu! Dia bukan anak kita! Dia anak sial! Pembawa sial!”

“Cukup bang! Cukup! Jangan awak hina MIKAYLA!”


CAHAYA MIKAYLA – AZYAN

AKU DAN SUAMIKU sudah melayari alam rumahtangga hampir 3 tahun. Hubungan yang dibina atas dasar cinta ini aku anggap tidak cukup sempurna walaupun aku dilimpahi dengan kebahagiaan dan kemewahan harta.

Cahayamata.. Iya, kerana satu asbab inilah membuatkan aku merasa kekurangan dalam perkahwinan kami. Sudah pelbagai usaha yang kami lakukan termasuk berjumpa dengan pakar perubatan malah hingga membawa ke rawatan tradisional, namun ia masih belum lagi berhasil.

Kosong. Bagaimana kosongnya isi rumah ini begitu jugalah kekosongan yang melanda jiwaku. Aku sering menangis, meratapi nasib sehingga aku merasakan aku ini wanita yang tidak sempurna seperti wanita-wanita lain. Punya rahim tetapi tidak mampu melahirkan zuriat.

Malah kesedihanku semakin menjeruk hati tatkala aku dihimpit dengan tekanan demi tekanan dari orang sekeliling yang silih berganti. Seringkali aku dilemparkan dengan kata-kata perlian yang berbentuk hinaan dari teman-temanku sendiri walau dalam nada gurauan…

“Kau dah kahwin bertahun-tahun tapi takda anak. Kau merancang ke? Ataupun sebenarnya kau ada masalah dengan rahim kau?”

“Kau dah check dengan doktor tak? Aku bukan apa… Kot-kot kau ni mandul ke. Hahaha..”

“Kau tak risau ke Hazri cari perempuan lain Zyan? Kau tahu, aku pernah dengar orang tua-tua cakap kalau perempuan tak boleh beranak ni lebih baik bela lembulah, ada jugak hasilnya. Jarang lembu betina mandul tau! Hehehe..”

Allah..Allah..

Pilunya hatiku bagai disiat-siat tatkala kata-kata itu keluar dari mulut teman-teman sepejabat. Malah ada di antara mereka merupakan teman rapatku sendiri. Bukan sehari dua kenal, akrab seperti saudara kandung. Tetapi, itulah…

Aku tertanya pada diri. Tidak punya hatikah mereka? Walhal mereka juga wanita yang mana sepatutnya lebih memahami akan perasaan wanita lain. Sampainya hati.. Pilu, terhiris jiwa aku yang sememangnya sudah rapuh ini.

Disebabkan aku tidak sanggup lagi mendengar ejekan dan kata-kata jelek daripada mereka, akhirnya aku nekad untuk berhenti kerja. Aku mahu lari dari tekanan yang mengusutkan otak. Namun, langkahku ternyata silap!

Kusangkakan panas hingga kepetang, rupanya hujan di tengahari. Keputusanku untuk berhenti kerja lebih memakan diri! Aku mengheret diriku sendiri ke lembah kehanyutan..

Aku dilanda kesunyian yang sangat teruk. Rumah besar ini menjadi tembok sangkar yang mengurung diri. Makananku adalah tangisan. Aku mengongoi persis anak kecil. Aku menjadi sangat sensitif waima untuk perkara yang sangat remeh. Aku lebih banyak termenung dan bersedih hampir setiap masa.

Sementelah, Hazri yang sering pulang kerja lewat membuatkan aku rasa sangat tersisih dan semakin menyendiri. Aku rasa terabai. Aku yang dahulunya periang, menjadi sangat pendiam. Bercakap bila aku rasa mahu bercakap sahaja, selebihnya diam.

Aku tidak keluar rumah langsung. Aku lebih selesa bergelap dan berkurung di dalam bilik. Aku tidak mahu bertemu dengan sesiapa waima keluargaku sendiri. Bagiku mereka semua adalah racun tuba. Ya, itu yang aku tanamkan dalam benakku.

Aku berhenti melakukan kesemua hobiku. Aku sudah tidak suka lagi apa-apa perkara yang dahulunya selalu membuatkan aku gembira. Pokoknya, aku benci semua perkara termasuklah diri aku sendiri.

Kemuncaknya, aku sudah mula mendengar suara bisikan-bisikan dan melihat bayang-bayang hitam di sekelilingku. Mereka sangat ekstrim..

Sehinggalah suatu hari, tanpa sedar, aku m******r pergelangan tanganku. Ya, aku mahu b***h diri! Seperti mana yang dibisikkan dan disuruh oleh suara-suara itu. Mereka adalah penyorak tegar!

Mujur, dengan izin Allah hari itu Hazri pulang awal. Dia menjumpai aku di dalam bilik, terjelepuk layu di atas lantai dengan d***h yang masih mengalir dari luka torehanku. Cepat-cepat dia membawa aku ke hospital mendapatkan rawatan. Kata doktor, jika telat mungkin nyawa aku sudah habis.

Kronologi dari perlakuan, emosi dan perubahan mendadak sikapku akhirnya doktor menyimpulkan bahawa aku menghidapi tekanan yang melampau. Aku didiagnosis sebagai pesakit MDD. Kemurungan yang melanda memakan diri dan hampir meragut nyawaku sendiri.

Bermula dari detik itu, aku diberikan rawatan dan ubat-ubatan di samping kata-kata motivasi dan nasihat untuk membangkitkan semangatku kembali. Ternyata, usaha mereka untuk membantuku berhasil dengan jayanya.


Beberapa bulan berlalu.

Suatu hari, semasa sesi bersama Dr. Fairuz Hanania..

“Puan Azyan, saya nampak Puan sudah semakin baik dan lebih positif. Emosi puan juga semakin stabil. Betul ke apa yang saya cakap ni? Sama tak dengan apa yang Puan rasa sendiri?”

“Ya doktor. Saya akui, saya sudah semakin baik. Doktor tahu tak, saya dah lakukan kesemua hobi saya semula lagi-lagi membaca novel. Hazri pun dah banyak luangkan masa dengan saya. Kami menonton wayang dan bercuti bersama.”

“Alhamdulillah.. Syukur. Puan, begini… saya ada satu cadangan. Cuma saya tak pasti kalau Puan suka dengan apa yang mahu saya nyatakan ini.”

“Apa dia doktor?”

“Puan Azyan tak mahu ambil anak angkat?”

“Ya Allah doktor, saya memang nak sangat! Saya dah fikirkan soal ni sejak dari haritu lagi. Hazri pun dah setuju.”

“Baguslah kalau macam tu. Saya harap, impian Puan akan tercapai. Ini, nombor telefon yang Puan boleh hubungi. Puan boleh berhubung dengan penyelia Rumah Bakti ni. Beliau kenalan saya. Insyaallah dia boleh bantu apa yang patut.”

“Alhamdulillah. Terima kasih doktor!”


Di Rumah Bakti itu, aku bertemu dengan seorang anak kecil. Rambutnya ikal, hitam. Matanya bulat bercahaya. Senyumannya manis bak gula. Didakapannya ada seekor anak patung beruang berona coklat lembut. Aku melihat, sekejap-sekejap dia mencium anak patung itu.

“Hello bebear, siapa nama tuan awak yang comel ni?” Usikku padanya dengan soalan yang sengaja aku ajukan pada anak patung itu.

Dia tersenyum. Ada lesung pipit membuah di pipi kanannya.

“Saya… Mikayla.”

“Sedapnya nama…. Mikayla, sudi tak kalau Mikayla hidup bersama aunty? Jadi anak aunty? Dan panggil aunty, Mama….” Ujarku lembut sambil mengusap-usap rambut ikal miliknya.

Dia merenungku dalam. Anak matanya hidup, mengembang sempurna. Seperti tersenyum, matanya bercahaya. Dia memandang Puan Normawani – Penyelia Rumah bakti yang berdiri di sebelahnya. Aku nampak Puan Normawani mengangguk. Kemudian Mikayla kembali memandangku dan dia mengangguk.

Saat itu, aku rasa itulah senyuman yang paling lebar yang pernah aku lakarkan pada wajahku. Anggukan Mikayla tadi merupakan hadiah yang paling bermakna dalam hidupku. Syukur.. Terima kasih Allah.

Dan, impianku benar-benar tercapai.

Mikayla… Cahaya hati Mama.


BUDAK PELIK – HAZRI

4 Bulan lepas.

SUDAH HAMPIR 2 bulan rumah ini menerima kehadiran Mikayla. Anak kecil yang baru berusia 5 tahun ini benar-benar sudah memikat hati isteriku. Aku perasan, sejak hadirnya dia, Azyan tampak ceria. Malah isteriku sering tersenyum dan tertawa. Aku tahu Azyan sedang bahagia.

Aku? Pada aku rasa itu biasa-biasa sahaja. Nak kata terlalu teruja, tidak juga. Nak kata tidak suka, tidaklah pula. Menjadi Papa adalah satu keinginanku namun menjadi papa kepada anak yang bukan terlahir dari benihku bukanlah satu pilihan. Tetapi aku bersyukur jika ini jalan yang terbaik asalkan Azyan gembira.

Cuma….

Entahlah. Sukar aku nak cakap. Apa yang aku perasan, budak perempuan ni pelik perlakuannya. Sejak hari pertama, dia jejak kaki ke dalam rumah ni, aku sering memerhatikan gerak gerinya. Apa yang pasti, dia selalu bercakap sendirian!

Pernah, pada hari ke 15 dia menjadi ‘anakku’.

Malam itu, aku yang terjaga pada jam 1 pagi, terasa kering tekak. Lantas aku bangkit untuk ke dapur yang berada di ruangan bawah. Ketika aku melewati biliknya, aku terdengar dia sedang bercakap dan ketawa.

Aku jadi pelik, lalu aku melekapkan cuping telinga pada hamparan pintu biliknya. Sah, memang sah. Aku dengar dengan jelas dia sedang bercakap-cakap, seolah-olah sedang berborak dengan seseorang. Perlahan, aku memulas tombol pintu.

Lampu tidur di atas meja sisi katilnya sudah cukup menerangi ruangan itu. Aku pempan saat melihat dia sedang bersila di atas lantai, bukan berbaring di atas katil. Pelipisku berkerut.

“Mikayla… Kenapa tak tidur lagi?”

Diam. Dia menunduk wajah.

“Mikayla… Dengar tak papa tanya ni?”

Dia mengangguk, mengangkat wajah.

“Saya temankan Nara papa… Dia kata dia tak boleh tidur.”

Aku terkedu. Nara? Siapa Nara? Tidak semena, bulu tengkuk menegak.

“Dah, pergi naik atas katil, tidur. Dah lewat ni..”

“Baik papa..”

Arghhhh… Itu belum apa-apa lagi. Kejadian itu tidak terhenti di situ. Ia hanya salam perkenalan kepada kepelikan budak itu. Apa yang jadi seterusnya lebih luar biasa bagi aku. Budak ini siuman atau tidak? Itulah pertanyaan yang silih berganti bermain di kotak minda.


Pernah satu malam, aku sedang membancuh susu untuk Azyan. Usai siap, aku berpaling melangkah membawa gelas berisi susu ingin menuju ke bilik kami di tingkat atas.

“Papa..”

Prangggg!!

Gelas di tanganku jatuh berderai di atas lantai. Aku mengusap dada, terperanjat. Aku menoleh. Wajah Mikayla aku pandang. Dia memanggilku dari arah belakang. Soalnya, bila dia ada di dapur bersamaku??

“Mikayla buat apa dekat sini? Kenapa tak tidur lagi?” Pelipisku berkerut, amarah menjentik hati.

“Mikayla saja nak temankan Papa. Mikayla tengok Papa bancuh susu untuk Mama sorang-sorang. Papa tak takut ke?” Dia senyum…

“Dah pergi naik!” jeritku, cuak.


Suatu petang di hujung minggu..

Aku nampak Mikayla begitu sibuk dengan lukisannya. Azyan pula baru sahaja beli set lukisan dan bahan warna pelbagai jenis untuknya. Nampak Mikayla begitu teruja melukis. Yang hairannya dia hanya menggunakan dua jenis warna kreyon sahaja ; hitam dan merah.

“Mikayla lukis apa tu?”

Aku nampak ada 5 figura yang dilukisnya.

“Mikayla lukis…. Nara, Mikayla, Mama, papa dengan…”

“Dengan siapa?”

Mikayla diam kemudian menjungkit bahunya. Dan lagi satu, Nara?

“Siapa Nara?”

Dia diam tidak berkutik sebelum menghadiahkan senyuman kepadaku. Mata hitamnya mengembang…

4 bulan berlalu..

Sejak hari itu, setiap malam tidurku tidak lena. Aku sering diperdengar dengan kekekan tawa Mikayla. Bunyi orang berlari dan bayangan yang mundar mandir di hadapan bilik. Dinding bilikku diketuk tidak henti. Hatiku menjadi tidak tenteram malah rasa takut sudah mulai membenih.

Yang peliknya, Azyan langsung tidak melalui apa yang aku kena. Dia seolah-olah dibodohkan dengan wajah polos Mikayla. Semua kataku, dia langsung tidak percaya.

Pada aku, ini semua kerana Mikayla! Pasti budak itu budak sial! Menyusahkan betul. Aku harus pulangkan dia ke Rumah Bakti! Aku dah tak tahan lagi dengan semua gangguan ini.


28.03.2019

Rumah Bakti.

“Maafkan saya Puan Azyan kerana terpaksa meminta Puan hadir kesini bersama Mikayla. Ada sesuatu yang mahu saya bincangkan.”

“Tak mengapa Puan. Saya tahu, ini semua ada kaitan dengan suami saya bukan? Dia ada datang kemari ya?”

Puan Normawani mengangguk. Wajahnya kelihatan sugul.

“Puan, benarkah Mikayla mendatangkan masalah pada Puan dan suami?”

“Tidak! Tidak sama sekali Puan. Saya sangat sayangkan Mikayla. Dia hadir sebagai penyeri hati saya, penyeri rumah saya.”

“Tapi, Encik Hazri kata… Mikayla anak sial. Saya…saya…” Puan Normawani menunduk pandang.

“Mikayla bukan anak sial! Jangan ambil kira kata-kata Hazri. Saya yang menjaga Mikayla. Dia anak yang sangat baik. Malah dia juga menjaga saya..”

“Menjaga Puan? Maksud puan?”

“Mikayla anak yang sangat baik. Dia matang, tidak selari dengan usianya yang baru 5 tahun. Dia sering berada di sisi saya, menceriakan saya sehingga saya lupa dengan penyakit saya. Saya tidak pernah lagi dilanda kesedihan sejak dia ada.. Cuma, sekarang ni saya agak terkilan. Saya tak sangka Hazri berniat nak pisahkan saya dengan Mikayla. Saya tak sanggup!”

“Sulit bagi saya untuk menyelesaikan permasalahan antara Puan Azyan dan Encik Hazri. Saya tidak mahu Mikayla menjadi mangsa keadaan. Jika berterusan, saya mahu memgambil Mikayla semula..”

“Saya faham Puan, tapi saya merayu jangan ambil semula Mikayla dari saya… Tolonglah…”

Puan Normawani terdiam.

“Mikayla…. Kemari sekejap.” Panggil Puan Normawani kepada Mikayla yang sedang ralit melukis di tengah ruangan itu.

Kemudian, Mikayla datang mendekat bersama buku lukisannya.

“Mikayla sedang melukis ya? Mikayla lukis apa tu?”

“Saya lukis gambar Mama, Papa, Nara dengan perempuan tu…”

Wajahku dan wajah Puan Normawani ikut berkerut sama.


Bagi Puan Normawani sendiri, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena. Dia tahu Mikayla anak yang baik namun dia juga tahu Mikayla merupakan anak istimewa. Dia perlu mencari tahu…


Lukisan pertama;

Mikayla melukis seorang lelaki yang sedang membancuh susu. Mikayla memegang anak patung beruang, berdiri di sudut memerhatikan lelaki itu.

“Lelaki ni siapa?” Ujar Puan Normawani.

“Itu Papa… Papa buat susu untuk Mama, tapi Papa letak ubat dalam susu Mama.. Dah lama Papa buat macam tu, sejak Mama mula kahwin dengan Papa..”

Aku ternganga. Pelipisku berkerut. Ubat? Ubat apa!? – Azyan.

Lukisan kedua;

Mikayla melukis seorang anak kecil yang sedang meniarap. Di sisinya ada anak patung beruang.

“Ini siapa?”

“Ini Mikayla lah.. Yang ini Nara. Mikayla teman Nara borak.”

“Nara?”

“Ya..nama anak patung beruang ni Nara.. Kami selalu cakap pasal Papa…”

“Pasal Papa? Cakap apa?” Ujar Puan Normawani.

Mikayla hanya terdiam. Dia memandang wajah Azyan. Matanya sayu…

Lukisan ketiga;

Ada seorang lelaki yang memegang cangkul di tepi sebuah rumah.

“Lelaki ini Papa ke?” Tanya Puan Normawani.

“Haah… Papa.”

“Papa buat apa tu?”

“Malam tu, Mama dah tidur. Papa keluar, bawa cangkul. Papa korek tanah dan tanam kain kuning. Dalam kain tu macam ada isi, tapi Mikayla tak tahu isi apa. Esoknya, Papa pergi kerja Mikayla korek balik. Nara suruh Mikayla buang kain tu. Mikayla buang dalam tong sampah luar rumah.”

Kain kuning? Aku termengkelan. – Azyan.

Lukisan keempat;

Seorang lelaki sedang memegang telefon bimbit. Dia berbual di luar rumah. Ada seorang wanita berambut panjang juga dilukis di dalam lukisan itu.

“Yang ini, Mikayla lukis siapa pula?”

“Lelaki ni Papalah… Papa tengah cakap dalam telefon.”

“Habis tu, perempuan ini siapa pula?”

“Inilah perempuan yang Papa tengah cakap dalam telefon. Perempuan tu jahat…

“Jahat? Kenapa Mikayla kata perempuan tu jahat?”

“Dia yang suruh Papa letak ubat dalam susu Mama. Dia yang suruh Papa tanam kain kuning.. Dulu masa Mama sakit, Papa balik lewat sebab Papa dengan dia. Masa Mama nak b***h diri, Mama k***r tangan tu, Papa bawa Mama pergi hospital. Perempuan tu marah Papa. Dia cakap kenapa tak biarkan Mama m**i je.. ”


Bagai belati yang merobek dasar hati, aku bagaikan terpukul dengan semua ini.

Tak mungkin Mikayla boleh tahu pasal aku sakit dan cuba b***h diri! Mikayla belum wujud lagi ketika itu malah perihal itu langsung tidak pernah aku ceritakan pada dia.

Dan cerita-cerita di sebalik lukisan itu benar-benar memeranjatkan aku. Pelbagai emosi bergumpal di hati dan mindaku. Sumpah, aku keliru.

Saat itu, aku tidak mampu bertahan lagi. Berhambur tangisanku. Hatiku terasa amat pedih…

Mikayla meluru kepadaku lantas memelukku erat. Dia berbisik kepadaku…

“Mama…jangan nangis ya. Mikayla ada.. Mikayla sayangkan Mama..”

Aku mengangguk dalam sedu sedan sambil membalas erat pelukan anak kecil itu.


USAI PERTEMUAN aku bersama Puan Normawani di Rumah Bakti tempoh hari, aku terus ke sebuah pusat rawatan islam bertemu Ustaz Syah untuk meleraikan segala kekeliruan. Di sini aku mendapat jawapan..

Ujar beliau,

Hazri sudah terkena ilmu penunduk dan pematah nafsu oleh seorang wanita. Makanya, dia tidak punya keinginan untuk melakukan hubungan intim bersamaku. Bila difikirkan semula, iya.. Hazri sangat jarang menyentuhku. Dua tiga bulan, sekali sahaja.

Barang yang Hazri tanam di tepi rumah itu adalah perumah bagi makhluk halus atau khadam yang didatangi untuk menggangguku. Dia dan wanita itu mendapatkannya dari seorang bomoh asli. Mereka mahu aku sakit semula. Dengan erti kata lain, dia mahu aku GILA.

Selepas selesai urusanku bersama ustaz itu, aku ke klinik pula. Ubat yang Mikayla ambil dan sorokkan dari Hazri itu aku berikan kepada doktor. Aku tanyakan, apa jenis ubat ini dan untuk apa kegunaannya.

Kata doktor, nama ubat itu adalah Noriday. Ia sejenis ubat perancang kehamilan. Nah, baru aku teringat, patutlah setiap malam Hazri akan buatkan aku susu, rupanya dia campurkan ubat itu kedalamnya. Dia tidak mahu aku mengandung.

Kemudian, satu persatu peristiwa menerjah kotak minda. Baru kini aku perasan. Beberapa bulan lepas, Hazri sibuk benar mahukan aku membuat wasiat harta dan insuran nyawa. Dia minta aku meletakkan penama untuk segala aset milikku termasuk rumah, kereta dan tanah keatas namanya.

Ketika aku sakit dahulu, tanpa aku sedari rupanya dia juga telah memindahkan kesemua wang simpanan aku ke dalam akaunnya. Aku langsung tidak sedar akan kehilangan kad bank itu kerana ia disimpan di dalam laci. Mujur aku masih punya kad bank untuk simpanan lain.

Setelah disiasat, baru aku tahu rupanya dia dan wanita itu sudah lama bercinta. Malah, aku berkahwin dengan Hazri juga di atas ‘restunya’. Mereka awal-awal lagi sudah membuat perancangan. Mahu mengikis segala harta milikku sementelah aku ini merupakan anak tunggal kepada ibu bapaku. Sebahagian harta mereka sudah diserahkan kepadaku.

Licik! Ya mereka memang licik mengenakan aku. Rupanya, segala rasa cinta Hazri padaku adalah palsu! Yang terbaru, aku dapat tahu mereka juga sudah menikah di sempadan. Dan wanita itu sedang hamil!


Setelah melakukan perhitungan, membongkar segala kerja terkutuknya, aku meminta Hazri melepaskanku. Walaupun dia tampak terperanjat dengan semua pembongkaranku, dia masih bersikap ego untuk melepaskanku.

Oleh itu, aku telah memfailkan penceraian di makhkamah. Aku juga mengugutnya untuk melaporkan kepada pihak polis bahawa dia telah mencuri kesemua wang simpananku ketika aku tidak sihat. Malah, bapaku juga memberi amaran kepadanya untuk memulangkan setiap sen wangku yang dicuri.

Kereta yang dipandunya aku ambil balik. Itu hak aku. Rumah yang didudukinya bersama wanita itu aku minta dikosongkan kerana itu rumah milikku yang konon dikatanya diberi sewa kepada orang selama ini. Celaka, aku ditipunya hidup-hidup.


Setahun kemudian…

AKU KINI bahagia dengan caraku bersama Mikayla di sisi. Kata Puan Normawani, Mikayla anak istimewa. Matanya tidak berhijab…

Kini aku mengerti, apa keistimewaannya. Bila kami keluar bersama, jika dia terlihat sesuatu di luar kebatasan penglihatanku, dialah yang akan memberitahu itu dan ini.

Malah, jika makan di restoran, andai pemilik restoran itu menggunakan ilmu hitam dan punya khadam, Mikayla akan cepat-cepat beritahu dan kami akan beredar dari situ.

Belum lagi dia memberitahu orang itu dan ini punya saka yang menempel, disihir dan diganggu makhluk halus. Setiapkali aku diberitahu tentang itu oleh Mikayla, aku akan berusaha menyatakan kepada orang tersebut. Pelbagai reaksi yang aku terima. Ada yang terkejut, ada yang percaya dan ada juga yang marah.

Alhamdulillah, kini aku rasa lebih tenang. Selain mendekatkan diri dengan Tuhan, aku juga merasa bahagia yang teramat. Buat masa ini, aku tidak berniat untuk mencari pengganti Hazri. Aku lebih menumpukan perhatianku kepada perniagaan yang baru aku bina dan kepada cahaya mataku, Mikayla…

“Mama… Mikayla sayangkan Mama. Cinta Mikayla pada Mama, anta permana… hingga ke akhir hayat…”

-TAMAT-

“Anta Permana” diambil daripada perkataan Melayu klasik yang membawa makna tidak terkira atau infiniti.

CikEdot

Follow Whatsapp FS KLIK SINI

Rating Pembaca
[Total: 4 Average: 5]

15 thoughts on “MIKAYLA, ANTA PERMANA”

  1. rasa terpanggil nk komen kt sini. Situasi kta sama, masih belum dikurniakan rezeki utk ada zuriat sendiri. tengah baca mengalir air mata terkenangkan nasib sendiri. puan bertuah ditemukan dgn anak cilik sebijak Mikayla. Semoga bertemu dgn jodoh yg lebih baik InsyaAllah.

    Reply
  2. Best citer ni. Saya dari brunei ni pun kagum dgn citer ni. Kalau storylines ni di hantar kat pengarah filem ke apa, mesti best. Cerita ini dilakonkan. Bagi ke skrip ke shafiq or syamsul yusoff.. 🥰🥰

    Reply

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.