Mistik Ramadhan

Aku Lana.

Selamat berpuasa para pembaca. Dua minggu sebelum raya aku ingin tutup dengan cerita pengalaman pada bulan ramadhan…
Kita percaya kalau bulan ramadhan, syaitan iblis akan diikat. Persoalannya, semua kah? Bagaimana dengan jin-jin islam dan kafir. Roh-roh yang gentayangan? Kadang-kadang dunia gelap sukar ditafsirkan dengan akal logik. Di antara alam nyata dan ghaib banyak cerita yang sukar dicerna dengan akal sihat…

Cari duit poket untuk syawal, aku ikut kakak ipar bekerja di dewan makan sebuah sekolah berasrama. Hanya 15 minit dari rumah kalau memandu. Sekolah ni baru dibina, berdekatan dengan Politeknik dan Ums. Boleh tahan keluasan dengan pokok-pokok masih agak tebal di belakang. Dahulunya ia adalah hutan tanpa diteroka.
Kami ada shift. Bujang selalunya kena waktu malam dan subuh. Manakala yang sudah berkhawin selalu dapat shift siang.

Masa tu aku drive kenari abang untuk berganti shift dengan kakak ipar. Pulang nanti kak ipar pulak ganti bawak kereta. Selepas waktu berbuka aku gerak untuk masuk kerja shift malam sehingga subuh. Lagu blackpink rancak bermain di corong speaker kereta. Sedap aihh, rancak bunyinya, sampai bahu ikut hinjut sama. Aku kuatkan volume. Masa ni aku pun rancak nyanyi melalak dalam kereta. Lalu depan masjid ,orang sedang jemaah taraweh, aku dalam kereta melalak. Sedang melalak tu, ekor matanya ku menangkap satu sosok tubuh di seat belakang. Gurb….aku menelan liur. Nyanyian ku jadi slow kemudian berhenti.

Tiba-tiba lagu blackpink tadi tersekat lalu bertukar suara lantunan ayat al Quran mengaji. Masa ni, aku rasa aku pun pucat. Dari cermin tengah tu aku lihat seorang perempuan duduk diam sambil memandang ke hadapan tanpa wajah. Selendang terlilit di kepala, dengan tubuhnya tersarung baju kurung berbunga-bunga. Aku terkejut, sebab selamani aku sentiasa fikir takkan nampak makhluk-makhluk halus ni pada bulan puasa.
Dia hilang pada masa aku sampai satu bukit. Bukit ni tak tinggi, tapi selalu menjadi persinggahan ‘mereka’. Kalau sampai bukit ni, kadang-kadang ada yang melambai, kadang-kadang ada yang tumpang, kadang-kadang yang tumpang dari luar mesti akan turun sini. ‘Mereka’ hidup berkelompok dan bermasyarakat di sini.

Sebenarnya dia tak suka aku melalak dengan sound berbunyi kuat lagi-lagi semasa jemaah solat taraweh. Dia ikut aku dari masjid lagi. Setepek kena tegur oleh jin islam. Dari situ aku tahu kalau mereka ni masih ada walaupun bulan puasa.

Aku nak cerita pengalaman aku bekerja sambilan di dewan makan sekolah berasrama ni. Dewan ni besar. Boleh memuatkan hingga seribu pelajar dalam satu masa. Dapur pulak terbahagi kepada beberapa bahagian. Tapi memang luas. Shift malam ni staffnya tak ramai. Ada enam orang. Aku dan Ayu,abang Uti tukang masak kami, Naim dan Duan, dan pakcik macho kami gelar.

Malam pertama saja ada sesi suai kenal. Aku duduk rehat di bilik rehat untuk staff wanita. Sunyi. kalau malam memang sunyi, sebab kalau selesai buat kerja, sementara tunggu waktu sahur kami akan ambil masa untuk rehat. Aku rehat sendiri di situ, Ayu masih bergayut dengan tunangnya.
Dari tingkap laju satu kelibat lalu. Tiba-tiba bulu romaku mencanak naik. Aku terasa satu kehadiran asing di belakang tubuh. Tepat di tepi cuping telinga, ada suara berbisik menderu. Tiba-tiba, barang-barang staff dari loker bertaburan keluar seperti dihambur. Telekung dan sejadah staff habis terhambur dari lipatan. Tubuhku terasa di tolak kuat dari bilik..
“Dummmmm……” pintu terhempas kuat. Cermin tingkap macam di tutup terbuka, tertutup rapat selepas itu.
‘Apakah…? aku tercengang. Bila aku toleh ke tepi, Abang Uti melongo melihat aku dengan senduk besar di tangan.

‘Opocot..’ Abang Uti ni pun. Aihh..tiba-tiba datang tanpa bunyi.

Abang Uti ni suka perhati aku. Kadang-kadang aku dengar dia berbual sendiri di luar. Kadang-kadang sambil masak dia akan bercakap. Entah dengan siapa, sebab stesen kerja kami terpisah oleh beberapa ruang. Hanya suara boleh terdengar.

“Hmm..nanti lah kau makan..jangan kacau ini dulu. Basi jaga kau. Budak-budak belum makan lagi.” Dia bercakap sambil menuang makanan dalam tray makanan student.Aku pegun.Sebab satu tubuh tinggi berdiri di sisinya. Bukan staff.tapi makhluk yang bukan dari alam kita. Abang Uti pandang aku,dia pun pandang aku.

“Ada tambahan makanan lagi ka abang Uti”. Gagap aku,sambil menundukkan pandangan.Kedua-duanya memandang tepat ke arah ku.Aku hulur tray buffet minta tambahan makanan.Abang Uti tersenyum,sambil berbisik.
“Lana nampak kan? abang Uti dari awal lagi tahu Lana boleh nampak. Tapi jangan risau,yang ni biasa datang minta makanan.” Aku melongo. Abang uti pun boleh nampak ka? Dia mengangguk sambil sengih.
Sejak itu, aku sentiasa nampak ‘mereka’ di sisi abg Uti minta makanan.Kadang-kadang abang Uti tak peduli. Kadang-kadang ‘mereka’ usik abang Uti, hidupkan air sinki. Memang teriak la abg Uti kena usik. Dengan aku,’mereka tak usik’ sebab abang Uti dah bagi amaran awal-awal.Mereka suka aura aku katanya, sebab muka aku serupa dengan adik ‘mereka’.Adui..

Satu malam abang Uti arahkan aku ambil ayam dan daging dalam peti sejuk. Stesen peti sejuk ni jauh sikit ke belakang , dan ada ruang yang luas untuk simpan peti-peti sejuk. Ada lebih kurang enam atau tujuh peti sejuk masa tu. Masuk ke ruangan itu, aku sudah rasa ada angin sejuk menerpa. Rupanya ada satu peti sejuk terbuka. Alahai suspen sendiri. Angin sejuk tu dari peti sejuk yang terbuka. Siapa la yang lalai tak tutup peti ais ni. Tutup peti sejuk tu, satu pintu peti sejuk lagi terbuka. Aku fikir mungkin ada peti sejuk yang tak tertutup rapat.

Aku beranjak menutup peti sejuk yang satu lagi. Tiba-tiba semua pintu peti sejuk terbuka tertutup sendiri. Berdetum pintunya terbuka dan terhempas. Ada lebih kurang 15 minit berlalu,lampu kalimantang di ruangan sekejap malap, sekejap terang. Keadaan reda selepas 15 minit. Aku masih berdiri kejung di situ. Entah kenapa kakiku melangkah ke sudut peti sejuk paling hujung. Tanganku menggapai pintu peti sejuk yang terbuka ingin menutup. Masa tu, aku terpandang satu batang tubuh wanita berdiri di tepi peti sejuk. Matanya tepat memandang aku. Aku pegun. Wajahnya pucat. Memakai baju gaun putih, macam gaun pengantin tu. Ada crown kecil atas kepala dengan selendang nipis. Rambutnya hitam melepasi bahu, agak curl. Begitulah gambarannya. Nak kata dia cantik, cantiklah untuk bangsa mereka. Kadang-kadang mukanya boleh jadi ngeri kalau dia marah. Aku pura-pura tak nampak. Ambil ayam dan daging yang abang Uti nak, dengan segera aku tinggalkan ruangan. Cepat-cepat aku pergi tempat abang Uti.

” Apa yang lambatnya tadi Lana,” Tanya abang Uti. Aku menggeleng kepala. Matanya mengerling ke belakangku. Sudah,,benda tu mesti dah tau, mesti ikut aku,Aku mengeluh. Abang Uti pandang aku.
“Dia tahu Lana nampak. Dia Puteri, tinggal di belakang sana. Memang selalu ke sini. Situ memang tempat dia. Maaf abg Uti tak bagitau, lupa Lana boleh nampak.” Aku pusing belakang. Dan Puteri berdiri tepat di belakangku. Dia senyum. Tapi itulah, senyum peliklah. Tau tak, macam mana manispun mereka rasa senyuman mereka, tetap rasa ganjil.

Lepas tu abang Uti beritahu aku, mula-mula Puteri tak suka aku, malah dia tak suka sesiapa yang dia rasa lebih cantik dari dia. Dia selalu rasa dia lebih cantik dari sesiapa. Tapi memang dia cantik pun, untuk bangsa mereka. Sejak dari itu memang Puteri selalu memunculkan diri sebelah aku. kadang-kadang dia usik Ayu sebab Ayu ni penakut.

Puteri tinggal di kawasan belakang sekolah yang belum diteroka. Belakang tu masih hutan sehingga hari ini. Dahulu tapak sekolah ini la tempat tinggalnya. Apabila ,sekolah dibina mereka berpindah ke belakang. Hari-hari dia akan berjalan berkeliling kawasan dewan. Dia tidak baik, tidak jugak jahat. Jadi selama dia ikut aku, aku sentiasa berhati-hati.

Entah kenapa satu malam dia marah betul. Dari satu ruangan ke satu ruangan lampu terpadam. Ayu berlari ke dalam dewan makan. Semua berkumpul di situ, Termasuk abang Uti. Kami duduk di satu meja panjang. Malam tu abang Uti masak bubur kacang untuk sahur pelajar. Puteri berdiri sambil berjalan berkeliling meja tempat kami duduk. Dia suruh kami makan bubur kacang yang abang Uti buat. Masa ni hanya aku dan abang Uti yang dengar. Mulutnya menyeringai memandang setiap satu staff. Tapi aura negatif masa tu sangat terasa. Ayu mula menangis. Dia ni memang penakut sikit. Sebenarnya bubur kacang itu sudah dijamah oleh Puteri. Kalau dihidang kepada pelajar pun, bubur kacang itu akan cepat basi. Sebab itu, kalau makanan yang baru kita masak cepat basi, tandanya sudah dijamah oleh jin.

Abang Uti menyedok bubur kacang ke dalam mangkuk,dan dicicipnya sedikit, bagi mewakili semua staff. Aku tak tahulah apa rasanya.Apabila melihat itu Puteri ketawa mengilai nyaring. Di susuli oleh suara mengekek ketawa di atas tv dewan. Satu tubuh kecil comel bertenggek atas tv memandang kami. Dari hujung ke hujung dewan itu boleh terdengar suaranya. Ayu terus memeluk aku.
Rupanya dia marah staff lelaki mencarut. Dan dia tak suka kawasan dewan ni kotor. Sebab ini dulu adalah kawasannya. Bubur kacang itu sudahnya dibuang sahaja dan digantikan dengan menu lain.

Tubuh kecil atas tv., dia ni gadis kecil yang suka dengan bos bujang kami. Kemana pun bos pergi dia akan ikut. Duduk di meja dia ikut, duduk di ofis dia ikut sampai satu masa abang Uti tegur bos suruh mandi, gadis kecil itu suka bau bos aku yang tak mandi.Lama aku nak faham.Aku sangkah mandi biasa-biasa tu.Rupanya mandi yang satu lagi .Mandi selepas kita berhadas tu. Gadis kecil ni suka duduk atas tv sambil hayun-hayun kaki, kadang-kadang suka tukar channel tv, suka kuatkan perlahankan volume tv.

Shift malam ni akan bertukar dengan staff shift subuh. Jadi kami akan balik waktu Subuh. Masa ni kami akan dihantar oleh driver bos. Tahulah berjaga sepanjang malam, kelopak mata pun mula memberat. Di tambah dengan kepenatan yang mula menjalar seluruh badan. Tengah menyandar di seat belakang, mataku menangkap pemandangan indah. Dari jauh lagi aku lihat satu kelompok berbaju putih kesemuanya, duduk di serambi depan simpang masuk satu kampung. Mereka duduk seperti sedang mengaji. Putih bersih semua muka mereka, memakai baju alah-alah jubah. Sayup-sayup dengar suara mereka seperti berzanji merdu.Terang benderang kawasan itu. Aku takjub.

“Ayu, kau nampak ka, situ simpang?. ada kenduri atau bersahur ramai-ramai mungkin Ayu. Lawa-lawa oi..” Aku usik Ayu yang terpisat-pisat bangkit. Tertidur rupanya. Saja aku kenan-kenan kan dia, sebab taste dia ni yang ustaz-ustaz. Matanya bulat melihat arah yang aku tunjuk. Sekilas dia mengalihkan pandangan ke arah ku .Bergetar suaranya. Dah sudah..,aku salah pandang lagi.
“Mana ada orang. Tempat tu mana ada orang. Gelap.” Bila aku toleh kembali. Orang-orang berjubah putih tadi tiada, Senyap, gelap. Dah, sudah aku penat. Malas aku nak fikir. Manusia ke bukan. Ayu tak kesudah gigilnya sampai aku kena hantar dia balik, berlari ketakutan,, kedebub jatuh atas jambatan sebab takut, Aduhai.
Banyak yang aku sembang dengan Puteri. Sebab dia akan ikut aku kemana-mana. Banyak cerita pasal keluarganya. Dia tidak jugak baik dengan aku, tidak jugak jahat dengan aku. Kalau dia nampak aku melawa sikit, dia tak suka. Ibu bapanya adalah ketua kaum mereka untuk kawasan mereka. Kira dari kawasan hadapan sekolah sampai jauh ke belakang kawasan hutan adalah dalam jagaan ayahnya. Kira dia adalah tuan puteri, sebab itu dia agak berlagak dan bongkak sikit macam tuan-tuan puteri dalam cerita sebenar.

Jadi kawasan sekolah ni seolah kawasan bermainnya. Dapat gaji saja aku berhenti, selepas itu aku tak lagi jumpa Puteri. Korang yang masih kerja atau sekolah sana pernah nampak tak.? Sini juga aku jumpa satu lelaki yang telah terkorban kerana terbakar ketika di kebun.’Dia’ jumpa abang Uti meminta makanan. Aku ralat nak cerita pasal ‘dia’, biarlah menjadi rahsia.

Dapat gaji saja esoknya nak raya, aku ikut kak ipar cari baju raya kedai tempat adik dia kerja. Ada jualan untuk clear stock sebab kedainya akan ditamatkan perkhidmatan selepas itu. Sampai situ, ada beberapa pemuda berjubah putih melihat-lihat keadaan. Mungkin pelanggan. Kak ipar berbual dengan adiknya. Dari bicara adikknya, kedai mereka di hantar sesuatu sehingga tidak laku.Kerana itu mereka menjemput beberapa ustaz untuk melihat dan merawat kedai.

Masa ni aku rasa, separuh diriku rasa suka melihat ustaz-ustaz yang bermuka bersih. Separuh lagi diriku rasa marah yang membuak-buak. Mereka menyembur satu cairan di setiap sudut. Air Yassin. Tiba-tiba salah seorang dari mereka yang melihat aku dari tadi,menyemprot air yassin ke arah ku. Masa tu muka ku merah padam. Dalam diriku timbul kemarahan teramat sangat . Mataku tajam melihat pemuda itu yang hanya tersenyum sambil menunduk. Tangannya masih ligat menyembur sekeliling.Diriku seolah di kuasai sesuatu,aku bukan diriku. Aku meluru keluar sambil menjeling tajam kepada pemuda yang masih tersenyum memandang sipi ke arahku. Rupanya, lepas itu ustaz-ustaz itu cerita dengan kak ipar aku, ada satu sosok seakan lelaki mengekori belakang aku selama aku berada di dalam kedai. Pemuda itu tadi dari awal lagi sudah nampak. Sebab itu dia sembur air yassin ke arahku. Dia tahu yang marah itu bukan aku, tapi tubuh asing yang ada di belakangku..Aiii.

Mungkin ceritaku kali ini agak kurang seram. Ia cuma beberapa pengalaman semasa bulan ramadhan. Semoga ibadah kita pada bulan ramadhan diterima oleh Allah. Selamat berpuasa,dan selamat hari raya pembaca.

Hantar kisah anda : fiksyenshasha.com/submit

Cinta

1 thought on “Mistik Ramadhan”

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.