– SAMPUL SURAT BIRU –
DIRIMU KU ANGGAP API, UNTUK MENGHANGATKAN TUBUH KU BUKAN MEMBAKAR DIRIKU!
DIRIMU KU ANGGAP AIR, UNTUK MENYEJUKKAN TUBUH KU BUKAN MELEMASKAN AKU!
– CEMPAKA BIRU
“Hmmm… Surat keenam.”
Hakeemi mengeluh. Satu sampul surat berwarna biru direnungnya. Namun dia hanya mampu merenung surat tersebut kerana buntu mencari identiti sipemberi surat biru itu. Petang semalam dia telah mendapat sepucuk surat itu dari seseorang yang tidak dikenali, yang menggelarkan dirinya sebagai Cempaka Biru. Malahan surat-surat bersampul biru itu langsung tidak berstem dan beralamatkan rumahnya, kosong sahaja. Namun didalamnya tertulis kata-kata yang mempunyai maksud tersirat walaupun hanya beberapa baris ayat sahaja. Tidak pasti adakah kata-kata itu sememangnya ditujukan untuknya? Sepucuk surat bersampul biru terletak elok didalam peti post dihadapan rumahnya setiap kali apabila dia pulang dari tempat kerja.
“Ah! Serius gila! Bersurat pulak! Kalau nak berkenalan pun datanglah rumah. Ini tidak, bersurat bagai. Dia ingat ini zaman 90an ke? Orang dah pakai email, whatsApp, facebook. Baru keluar dari gua agaknya!” Gumam Hakeemi sambil matanya tidak beralih dari terus memandang surat berwarna biru yang terletak di atas meja.
“Siapakah kau Cempaka Biru? Nama macam zaman 50an. Klasik sungguh nama pena dia.” Bisiknya sambil ketawa sinis. Difikirannya mula melayang sambil melakar wajah si Cempaka Biru.
Itu adalah surat biru keenam yang diterimanya pada petang semalam. Minggu lepas dia telah pun mendapat surat biru kelima dari si Cempaka Biru itu ketika pulang dari kerja. Kemudian surat-surat bersampul biru yang tersimpan elok didalam laci dihadapannya terus dibuka. Keenam-enam surat itu diletakkan diatas meja mengikut susunan. Dari surat biru pertama yang diterimanya sebulan yang lalu hinggalah surat biru yang keenam yang baru diterimanya pada petang semalam. Kesemua surat-surat itu direnung lagi. Cuba untuk memahami bait-bait ayat yang tertulis didalamnya dan mengenali si pemberi surat-surat biru itu.
Didalam surat biru pertama itu bertulis….
SAKITNYA AKU KERANA MERINDUI MU. DERITANYA AKU KERANA MENYINTAI MU. PERLUKAH AKU TERUS SAKIT DAN DERITA SETELAH APA YANG DIRIMU LAKUKAN PADAKU? ADILKAH?
– CEMPAKA BIRU
Surat kedua bertulis….
JIWAKU KEKOSONGAN. KOSONG KERANA MERINDUIMU. HATIKU BENAR-BENAR MERONTA! LEPASKAN AKU!
-CEMPAKA BIRU
Surat ketiga bertulis….
BAWA AKU BERSAMA MU. SELAMATKAN AKU DARI KEBINASAAN DUNIA. KAU DAN AKU SAMA, SEORANG PENDOSA…
-CEMPAKA BIRU
Surat keempat bertulis….
JIWAKU DIRASUK OLEH SEMANGAT MU. JANGAN SESEKALI MENJAHANAMKAN AKU. JANGAN SESEKALI TINGGALKAN AKU. JANGAN SESEKALI LUPAKAN AKU. JANGAN!
-CEMPAKA BIRU
Surat kelima bertulis….
AKU MENANTI TERLALU LAMA. MENDAKAP HANGAT TUBUH MU. SAMPAI AKHIR NANTI KITA AKAN BERTEMU. UNTUK BERSATU…
-CEMPAKA BIRU
“Kenapa aku yang kau pilih. Kenapa aku jadi sasaran kau. Siapa kau!” Desis Hakeemi geram. Keenam-enam surat biru itu direnung tajam.
Walaupun ayat-ayat yang tertulis didalamnya ringkas dan pendek, namun apabila saat dia membaca setiap baris pada ayat-ayat itu bagaikan satu magnet. Seperti ada daya tarikan yang kuat. Sukar untuk matanya lepas dari pandangan apabila melihat surat-surat bersampul biru itu. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Sejujurnya sehingga kini dia masih tidak tahu siapa yang menulis dan memberi surat-surat biru itu kepadanya. Enam pucuk surat biru itu benar-benar membingungkannya.
“Kau benar-benar ingin menduga aku. Perlukah aku melayan semua kegilaan ini? Perlukah?” Dengusannya menghangatkan suasana hening pada malam itu. Cuba untuk mempersoalkan kewajarannya melayan si pemberi surat-surat tersebut.
“Ah! Lantaklah! Malas aku nak layan!”
Lalu kesemua surat-surat biru itu diletakkan di atas meja begitu sahaja. Dia mula mengubah persepsinya terhadap Cempaka Biru. Kemungkinan hanya gurauan daripada rakan-rakan. Ataupun hanya sekadar gurauan dari budak-budak nakal dikawasan perumahannya. Entahlah, mungkin?
Akhirnya kesemua surat-surat biru itu terbiar sepi tanpa sekelumit pandangan darinya.
…………………………………………
Keesokkannya….
Hakeemi terpaksa mengambil cuti sakit. Entah kenapa malam tadi badannya benar-benar terasa sakit. Matanya sukar untuk dilelapkan. Dua biji panadol sudah ditelan, namun sakit-sakit disetiap sendi dan tubuh badannya langsung tidak berkurangan.
Malam tadi, malam semalam dan juga malam-malam yang lepas, dia sentiasa merasakan ada seseorang berada didalam biliknya. Berdiri statik dimuka pintu sambil memerhatikannya dengan agak lama. Hakeemi tidak pasti samada itu adalah mimpi ataupun realiti. Mungkin juga kesilapan pandangan mata apabila melihat didalam gelap. Namun, diabaikan sahaja.
Bukan itu sahaja, dadanya terasa semakin sesak! Sukar untuknya bernafas. Dia dapat merasakan dadanya seperti dihimpap sesuatu. Sesuatu yang besar dan berat! Sudah agak lama dia berkeadaan begitu. Sungguh! Ia benar-benar merimas dan menyakitkannya. Saat kesakitan itu datang, mahu sahaja dia menjerit sekuat hati. Sakit zahir dan batinnya bagai dihentak dengan batang beluti! Bagai dihenyak dengan belantan!
Tengah hari ini dia bercadang hendak keluar. Perutnya mula terasa lapar. Sejak dari pagi lagi dia belum menjamah sebarang makanan. Jam sudah mengenjak ke pukul 12.00 tengah hari. Sedangkan awal pagi tadi semasa hendak ke klinik panel untuk mengambil cuti sakit, dia langsung terlupa untuk membeli sarapan. Itupun kerana melayan sakit kepala dek kerana tidak cukup tidur. Justeru itu memandangkan tuntutan perut dan keinginan tekaknya perlu dipenuhi, Hakeemi terpaksa beralah. Beralah dengan keinginan nafsu kelaparannya. Lalu dengan segera dia menuju ke arah motosikal Yamaha LC yang terletak dihadapan rumahnya.
Baru sahaja hendak menghidupkan enjin motosikal, dia terlihat ada sepucuk surat bersampul biru berada didalam peti post bersebelahan pagar rumahnya. Kebetulan pintu kecil peti post itu terbuka, kerana itu ia dapat dilihat dari luar.
“Pasti ini surat biru yang ketujuh.” Hakeemi meneka.
Tanpa berlengah dia terus turun dari motosikalnya. Dengan segera sampul surat berwarna biru itu diambil lalu terus dibaca. Hakeemi mengerut dahi, ada reaksi terkejut dari riak wajahnya. Tampak jelas ekspresi tidak menyenangkan hadir dalam surat biru itu.
HADIRNYA SURAT KETUJUH PETANDA AKU SEMAKIN HAMPIR PADAMU. SAMBUNG KEMBALI SEMANGAT MU. JANGAN DIBIAR DIRIMU DIBAWA PERGI.
TUNGGU AKU MALAM INI. AKU AKAN BAWA BUKTIKAN…
-CEMPAKA BIRU
“Apa ni? Seram pulak baca surat ni? Bila masa surat ini dihantar? Malam tadi? Pagi tadi? Kau nak hantar surat-surat ni sampai sepuluh pun, aku perduli apa? Kau nak bawa aku kemana?” Hakeemi semakin hilang sabar, walaupun sememangnya dia menduga pasti akan ada surat susulan yang lain. Tetapi sabar manusia ada batasnya. Sehinggakan bertalu-talu persoalan diminda menyerangnya.
“Pagi tadi pergi klinik, tak perasan pulak aku surat tu ada atau tidak. Budak-budak dajal ni nak kena sekeh agaknya! Aku yang akan bawa korang kebalai polis!” Ngomelnya sendirian.
Tiba-tiba….
“Woi! Nak kemana?”
Kedengaran suara seseorang menyergahnya dari dalam rumah. Hakeemi menoleh.
“Kau Wahab. Kau tak kerja ke?” Hakeemi membalas semula kata-kata Wahab dengan soalan.
“Kerja. Minggu ni kan aku masuk petang. Masuk pukul 3 petang, balik pukul 11.00 malam. Kau lupa ya.” jelas Wahab.
“Aku lupalah. Banyak masalah yang berlaku pada aku baru-baru ni. Susah nak ingat banyak perkara.” Hakeemi cuba menjelaskan keadaannya pada Wahab. Mengharapkan agar rakan serumahnya itu memahami situasinya.
Wahab hanya mampu tersenyum. Sempat mengerling kearah sampul biru yang dipegang Hakeemi.
“Surat lagi?”
“Entahlah. Tak tahu siapa yang bagi. Ini surat yang ketujuh ni. Kau rasa aku ada peminat ke?” jelas Hakeemi bernada dengan agak perlahan sambil terselit soalan beku dimindanya.
“Pontianak kut peminat kau.” Wahab cuba bergurau dengan Hakeemi walaupun dalam nada bersahaja.
“Pontianak? Agak-agaklah kau ni. Tak kan pontianak!” Hakeemi mulai cuak dengan jawapan yang diberi Wahab.
“Aku gurau sajalah!”
Wahab ketawa. Ternyata gurauannya berjaya menakutkan Hakeemi. Lalu terus masuk ke dalam rumah kemudian terlihat Wahab sedang membuat panggilan dari telefon bimbitnya. Namun Hakeemi hanya memerhati dari luar rumah.
……………………………………
Jam menunjukkan kepukul 10.00 malam. Kedengaran bunyi jam berdetak mengira setiap minit. Hakeemi hanya melihat ketujuh-tujuh surat dihadapannya yang sudah dibuka dan tersusun kemas dihadapannya mengikut turutan. Kali ini dia benar-benar berasa hairan. Surat pertama hingga surat keenam tulisannya adalah sama. Manakala surat ketujuh tulisannya berlainan dari surat-surat yang lain. Kenapa?
“Mushkil aku!”
Namun dia masih merenung dan menunggu. Melihat apa yang bakal menjelma dihadapannya. Itulah yang tertulis pada surat biru yang ketujuh itu, TUNGGU. Tetapi siapa dan apa yang ditunggunya? Malam ini dia bercadang untuk tidak melelapkan mata. Untuk melihat sendiri siapa yang telah memberi ketujuh-tujuh surat bersampul biru. Hasratnya membuat perhitungan terakhir!
Matanya mulai layu. Dia cuba untuk menahan rasa ngantuknya. Malam ini dia bertekad untuk menahan dirinya dari tertidur. Kerana itu duduk dikerusi lebih baik dari baring di atas tilam empuknya.
Hakeemi bersandar dikerusi. Melihat satu persatu surat-surat biru itu lagi. Mungkinkah akan ada surat susulan yang akan diterimanya lagi? Hakeemi menanti dengan penuh debar. Menunggu apakah bentuk mahkluk yang akan menjelma dihadapannya nanti.
Jam masih berdetak. Menunjuk ke angka 12.00 tengah malam. Ini bermakna sudah dua jam dia hanya duduk dan menunggu. Lalu Hakeemi bingkas bangun. Menahan rasa amarah. Terasa dirinya dipermainkan. Hakeemi seakan terlupa pada tekad dan perhitungan terakhir seperti yang dijanjikannya pada dua jam yang lalu.
“Aku betul-betul diperdaya! Kenapa aku begitu bodoh! Percaya sangat!”
Lalu lampu bilik ditutup dan dia terus baring diatas tilam sehingga terlelap.
………………………………………….
Krrekkk……
Kedengaran bunyi seseorang membuka pintu biliknya. Hakeemi tersedar. Namun dia tidak terus bangun. Dia mula memicing telinga. Cuba mendengar suasana suram itu didalam gelap biliknya. Kemudian dia terdengar derapan tapak kaki seseorang berjalan kearahnya. Berjalan perlahan, lagak seperti seorang pencuri. Terdengar surat-surat yang diletakkan diatas meja seperti diusik oleh seseorang. Kemudian terdengar pula derapan tapak kaki itu melangkah beberapa tapak ke belakang. Dengan perlahan Hakeemi cuba membuka matanya untuk melihat, siapakah itu. Namun pandangannya terhalang dengan suasana gelap didalam biliknya. Dia dapat melihat susuk seseorang sedang berdiri dimuka pintu. Sambil posisi susuk tubuh itu sedang mengadapnya. Hakeemi cuba bangun tetapi sekali lagi dadanya terasa sakit. Berat. Dadanya terasa sesak! Sukar untuknya bernafas!
“Ah,sudah! Sakitnya!” Hakeemi mengerang kesakitan. Sesekali menghembus nafas melalui mulutnya.
Kali ini kesakitan yang dirasainya tidak sama seperti malam semalam, malam kelmarin dan malam-malam yang sebelumnya. Kesakitan didadanya sungguh kuat sehingga berpeluh-peluh Hakeemi cuba menahan kesakitan itu. Semakin cuba untuk dia bangun, semakin sesak nafasnya. Tercungap-cungap Hakeemi menahan lelah. Hakeemi menarik nafas sedalam-dalamnya, lalu menghembus melalui mulutnya lagi. Cuba untuk bangun kembali. Sesekali matanya sempat mengerling kearah susuk yang berdiri dimuka pintu. Ya, susuk tubuh seseorang itu masih ada. Langsung tidak berganjak dari kedudukannya. Tetap statik! Seolah-olah sedang ralit menyaksikan Hakeemi dalam resah kesakitan. Namun dalam beberapa minit itu setelah merasakan keadaan dirinya semakin baik, tanpa membuang masa dia terus bangun lalu membuka lampu biliknya.
Hakeemi terkejut! Susuk yang sedang berada dihadapannya itu adalah rakan serumahnya….
“Kau Wahab?”
Sambil memegang surat-surat bersampul biru milik Hakeemi. Matanya tepat merenung tajam kearah Hakeemi. Hakeemi tergamam melihat perlakuan Wahab. Benar! Dia sungguh-sungguh terkejut dan tidak menyangka!
Kemudian Wahab terus keluar sambil membawa surat-surat bersampul biru itu tanpa sedikit menoleh ke arah Hakeemi.
“Wahab!”
Hakeemi menjerit memanggil Wahab sambil meluru keluar dari biliknya. Terkocoh-kocoh dia pergi untuk mendapatkan Wahab yang kelihatan duduk termenung diatas kerusi di ruang tamu.
“Kau ke yang tulis surat-surat tu!!? Kau sengajakan? Kawan apa kau ni?” Tengking Hakeemi kepada Wahab. Sehingga bergema suasana didalam rumah mereka diawal pagi.
Namun Wahab hanya diam. Tidak berkutik sedikit pun riaksinya apabila menerima tempikkan dari Hakeemi.
“Hhmmm!” Wahab menghela nafas panjang. Cuba mengawal diri. Cuba menebak bisik hati sahabatnya Hakeemi.
Kemudian menunjukkan sesuatu kepada Hakeemi, iaitu telefon bimbit miliknya. Lalu membuka video yang sudah sedia terakam kepada Hakeemi.
…………………………………………
“Kau nampak tak dalam video tu?” Wahab mula bersuara.
Hakeemi melihat rakaman video yang berdurasi tiga minit lebih. Kelihatan dia sedang duduk di atas katil sambil kepala tersengguk-sengguk ke depan dan ke belakang. Terdengar ada beberapa perkataan yang disebut tetapi kurang jelas. Seakan meratip sesuatu. Kemudian terlihat Hakeemi terus bangun dari katil lalu duduk dikerusi berhadapan meja tulisnya. Seperti dia sedang menulis sesuatu diatas sehelai kertas lalu kertas itu dimasukkan kedalam sampul surat berwarna biru!
Hakeemi tergamam! Dia menggeleng kepalanya seakan tidak percaya dengan apa yang ditontonnya. Dia sedang melihat dirinya sendiri! Dirinya sendiri!
“Kau yang rakam semua ni? Bila kau rakam?”
“Semenjak kau sakit. Semenjak kau tak dapat terima hakikat sebuah kehilangan, setelah kehilangan isteri, anak kau dan kedua ibu bapa kau yang terlibat dalam kemalangan setahun lalu. Semenjak kau sudah hilang segala keyakinan dalam hidup kau. Semenjak itulah.”
Berat untuk Wahab menceritakan kebenaran kepada sahabatnya itu.
“Berdiri di pintu setiap malam untuk melihat keadaan kau dan yang kau sangka mahkluk itu adalah aku. Aku! Sengaja aku rakam untuk membuktikan pada kau, bahawa kau sedang sakit. Kau perlu dirawat. Sebab itu aku cuba call kawan aku doktor Shahrul siang tadi. Aku takut sakit kau akan memudaratkan kau dan aku juga takut kau hanyut dengan halusinasi kau! Jangan takut untuk berusaha. Allah ada! Aku juga ada! InsyaAllah, aku dan doktor Shahrul akan bantu kau!”
Wahab berdiri dihadapan Hakeemi sambil memegang bahunya. Hakeemi terpempan mendengar sebuah kebenaran. Sebuah hakikat. Hampir sahaja dia hendak jatuh terduduk. Namun dapat ditahan dirinya.
“Gilakah aku…?” bisiknya.
“Sudah setahun kau mengalaminya. Aku ingatkan itu hanya tekanan yang biasa kau alami. Rupanya aku silap. Semakin aku biarkan, semakin menjadi-jadi sakit kau. Jadi aku tak boleh biarkan kau sendirian menanggungnya. Izinkan aku bantu. Lagipun sudah berulang kali aku katakan kebenaran pada kau. Tapi kau langsung tak percaya. Kau fikir aku sengaja mereka-reka cerita! Doktor Shahrul sendiri yang menyarankan aku agar rakam tingkah laku kau, untuk dia menilai keadaan kau. Kau masih boleh dirawat lagi. Sebab kau masih lagi boleh melakukan tugas-tugas seharian. Boleh bekerja macam orang lain. Cuma ada masa tertentu yang buat kau ‘hilang’ seketika dari dunia realiti. Kau di diagnosis mengalami gangguan neurotik atau gangguan jiwa. Kau pengidap neurosis! Aku rasa, kau mesti ada rasa sakit dada, sesak nafas atau susah nak tidur malam. Itu adalah tanda-tandanya. Maafkan aku Hakeemi kerena terpaksa berterus terang. Aku terpaksa….” sambung Wahab lagi.
Hakeemi menekup muka. Lalu meraup perlahan wajahnya. Menadah telinganya mendengar sebuah kebenaran dari sahabatnya Wahab.
“Nah ambil semua surat-surat yang kau tulis ni! Semua surat-surat biru ni kau sendiri yang tulis. Ada banyak sebenarnya dalam bekas ni. Sejak kau sakit kau tulis semua tu. Aku tahu itu luahan rasa kehilangan kau. Didalam surat-surat tu kau cuba curahkan perasaan bersalah kau. Lagipun memang sengaja aku sorokkan surat-surat yang lain ni. Cuma tujuh surat biru ni saja aku biarkan untuk kau baca. Untuk kau menilai kembali keadaan kau semasa ‘hilang didunia sebenar’. Dalam video tu pun ada. Kau sendiri yang tulis dan kau juga yang masukkan sendiri dalam peti post. Semua surat kau, aku dah baca. Surat terakhir tu aku yang tulis. Aku gantikan dengan surat sebenar yang kau sendiri tulis. Aku terkejut baca surat terakhir kau tu. Macam ayat nak bunuh diri! Itu yang aku terpaksa pecahkan rahsia ni. Kau baca sendiri apa yang kau tulis ni!” Wahab menghulurkan surat biru terakhir yang telah ditulis sendiri olehnya.
AKU SUDAH PUTUS ASA! BIAR AKU MEMBAWA DIRI! MATI!
IZINKAN AKU MEMBAWA KAU PERGI. MATI BERSAMA, MENINGGALKAN DUKA LARA BERSAMA. BIAR NYAWA DAN JASAD TERPISAH, ESOK KITA PASTI MATI BERSAMA….
-CEMPAKA BIRU
Surat biru terakhir digenggam kemas. Lalu dironyok surat itu sehingga menitis air matanya melihat kebodohan dan kegilaan sendiri.
“Bodohnya aku!” Hakeemi ketawa kecil. Terhinjut-hinjut bahunya menahan tangis.
“Maafkan abang, Cempaka. Abang kalah dengan emosi sendiri. Jiwa abang lemah. Maafkan abang. Maafkan Keemi mak. Maafkan Keemi ayah. Maafkan aku, ya Allah…..”
– tamat –
Hasilkarya- Suhana Mat Lazim
Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit
sedihnye….nice story
Suhana mat lazim.. karya anda terbaik.. 9/10
Sedihnye
β€οΈ
Nice
Tip topp … good karya yg hebatπππππππππππ
kak Nana.. 9/10..terbaik cerita. Next stori kak
Nice π€π»
wow..best..nice
bored…….. 0.1/10
10/10
Terbaikkk
Da baca ke?
#TanyaJe
Hahaha kat mana2 ada je tok ni π
Seram jugak bila bayangkan diri sendiri dpt ayat2 dramatik cmni
Sedih hmmm
Ok suhana, gua suka lu
sedih
mula mula baca macam seram π tapi best 10/10
cerita trbaik
best…camtu rupenye
Sekali diri sendiri yang bermasalah…
Terbaik jalan ceritaππππ
best..
Sedihnye. Syukur ade kawan yg baik yg sudi membantu.
KAW KAW WEIπππ