Sihir dan Rumah Berhantu (Kisah Benar)

Assalam warga Fiksyen Shasha semua. Harini aku rasa terpanggil nak share kisah seram dalam hidup aku, semuanya kisah benar. Basically cerita ni ada 2 bahagian. Bahagian 1 pasal kisah seram sepanjang mak aku kena buatan orang. Bahagian 2 pasal kisah seram rumah yang aku duduk sekarang.

***

BAHAGIAN SATU

Mak aku kena buatan orang masa aku darjah 3. Masa ni rumah kitorang ialah rumah kampung. Sebelah rumah kami betul-betul hutan, ni yang menambahkan keseraman kami secara semulajadi. So 1 hari tu aku tidur rumah sepupu aku. Masa aku balik rumah, adik aku cerita semalam dia dengar aku bagi salam. Aik aku dah pelik. Dia cerita dengar aku bagi salam kat pintu depan, dia ingat aku balik. So dengan lajunya dia bukak pintu, tapi takde orang depan pintu. Adik aku ade 2 orang, sorang tadika sorang 4tahun. Yang bukak pintu yang tadika tu, yang 4tahun tu mengikut je.

Masa tengok takde orang tu, tiba-tiba dengar bunyi kasut kat pintu belakang. Dia ingat aku pegi pintu belakang. Cepat-cepat dia lari bukak pintu belakang still takda orang. Tapi gap masa orang bagi salam dengan bunyi kasut tu cepat, dia tanya aku cepatnya aku lari. Aku ngan mak aku diamkan aje. Benda ni ada berulang lagi lepas tu tapi semua buat tak endah je. Kadang-kadang bunyi orang ketuk pintu malam-malam, ayah aku cakap bunyi cicak. Aku pun abaikan je.

Lepas tu kitorang pindah duduk dengan family pakcik aku sebab mak aku sakit makin teruk. Rumah dulu tu still sewa sebab barang-barang kat situ, cuma kitorang tidur rumah pakcik aku. Satu hari tu kami bertiga adik beradik kena balik rumah sebab nak amik baju. Sampai rumah tu, kitorang decide nak mandi sebab kepanasan kayuh basikal. Ada 1 pintu yang pisahkan hall dengan bilik mandi dan jamban. Bilik mandi pulak asing dengan jamban tapi sebelah-sebelah je.

Masa tengah mandi bertiga tu, tiba-tiba dengar bunyi angin yang kuat kat jamban sebelah. Masing-masing terdiam. Tiba-tiba pintu jamban dihempas buka dengan kuat. Macam ada sesuatu yang keluar. Lepas tu aku terus intai dekat pintu bilik mandi, sebab nak tengok benda apa. Pintu bilik mandi tu zink, memang ada bocor, so boleh nampak luar.

Masa aku intai tu, tak nampak apa-apa, tapi pintu hall pulak tiba-tiba dihempas tutup dengan kuat. Cepat-cepat kitorang keluar, nasib baik pintu hall tu tak terkunci. Sebenarnya aku tau benda tu ialah benda yang orang hantar dekat mak aku. Sebab lepas mak aku sakit macam-macam kejadian seram berlaku.

Mak aku masa ni memang lemah. Bila dia cakap pelik sikit, tone cakap pun lain aku tau tu bukan dia. Ada 1 malam tu, benda tu mencarut marah kat ayah aku. Dia kata ayah aku racun dia. Rupanya ayah aku pergi goreng ikan, pastu dia ada baca-baca dekat ikan tu, then dia campak luar rumah. Benda tu yang makan. Itu yang dia kata ayah aku racun dia. Ayah aku ni pun satu, ilmu apa dia ada, aku tak tahu. Sebab setiap kali dia buat hal yang lebih kurang macam tadi, benda tu akan rasuk mak aku, lepas tu maki-maki ayah aku.

Lepas rumah tu, kitorang sewa pulak rumah yang lebih dekat dengan rumah pakcik aku. senang dia nak monitor mak aku. Rumah ni seketul je dekat tanah tu, kiri kanan depan tanah kosong dengan beberapa batang pokok. Start duduk sini masa aku form 3. Masa tu adik-adik aku dah sekolah, kadang-kadang aku dekat rumah sorang.

Mak aku dekat rumah pakcik aku, ayah aku kerja. Aku perasan ada perempuan lalu tepi tingkap dapur, bila tengok kat pintu takde pulak. Eh, mana pulak dia pergi? Adalah dua, tiga kali macam tu. Ada sekali tu, dalam pukul tiga petang, aku dok berbaring depan tv. Betul-betul sebelah rak tv tu pintu depan. Tiba-tiba grill pintu tu kena goncang kuat. Bunyi pun kuat kau! Aku terkaku tak tahu nak buat apa. Aku tengok gap antara lantai dengan pintu tu, aku nampak macam kaki tapi dalam rupa bayang-bayang. Maknanya bukan kaki manusia. Aku tergamam sampailah benda tu beredar, lepas tu aku sambung tidur. Banyak lagi kejadian seram sebenarnya, tapi tak larat nak cerita satu persatu, plus hantu tu pun tak adalah menjelmakan diri dia. Tapi di bahagian dua kejap lagi, aku janjikan level keseraman yang lebih tinggi berbanding ini.

***

BAHAGIAN DUA

Parents aku bina rumah sendiri di sebuah kampung. Umur aku waktu tu 17 tahun. Masa ni mak aku dah pulih (alhamdulilah). Rumah ni dua tingkat, tapi masa kitorang mula duduk, tingkat atas belum siap sepenuhnya. So kitorang decide untuk biar jer kosong tingkat atas tu.

Tingkat bawah ada dua bilik; satu bilik untuk aku adik-beradik dan satu bilik lagi untuk parents aku.

Ceritanya bermula apabila mak aku decide nak ubatkan adik bongsu aku secara perubatan Islam. Sebab dia selalu nampak benda dan selalu sakit kepala.

Jadi mak aku pun bawalah dia (adik aku) jumpa ustaz ni. Aku ikut sekali masa tu sebab mak aku kata, aku pun sakit. Layankan sajalah. Masa berubat tu, ustaz pun cakaplah, adik aku sakit sebab benda dekat rumah aku tu. Tapi dia tak bagitahu benda apa. Waktu tu benda tu pun tak bagi feedback lagi. Ustaz bagi surah-surah dari Quran yang adik aku kena jadikan amalan dan air tawar untuk mandian. Dia pun ade bagi satu CD ruqyah untuk dipasang dekat tingkat atas rumah aku.

Aku ingat lagi. “Kena pasang kuat-kuat,” pesan ustaz tu. “Buka semua pintu bilik yang ada!” Tambah dia lagi sebelum kitorang pulang ke rumah.

So, balik dari berubat itulah bermula segalanya…

Ayah seorang jer yang berani naik tingkat atas untuk play CD tu. Bila start on je, tak lama lepas tu plug tertutup sendiri. Banyak kali jadi macam tu. Kadang-kadang siap tercabut plug dari soket!Lepas amalkan apa yang ustaz suruh, aku dengan adik aku dah mula nampak apa benda sebenarnya dekat rumah ni. Ada suatu masa tu, lepas adik aku solat, kebetulan ayah baru play CD ruqyah. Adik aku nampak perempuan, berbaju putih, rambut panjang lalu depan pintu bilik menuju ke pintu depan.

Satu hari tu, masa dia tengah baring, datang sorang budak lelaki naik atas katil, baring sebelah dia. Budak tu berumur dalam lingkungan lima tahun, muka dia comel (nasib baik). Bila dia bangun nak tengok betul-betul, tak ada apa-apa pun sebenarnya.

Satu hari yang lain pula, lepas adik aku solat Subuh, dia nampak seorang budak perempuan berusia dalam lingkungan tujuh tahun dan seorang budak lelaki yang sedikit lebih tua (maybe dalam lapan atau senbilan tahun). Dua orang budak ni berlari dari dapur naik tangga menuju ke atas.

Ustaz juga ada nasihatkan supaya pastikan tak ada benda lain tang keluar dari tingkat atas tu. Sebab aku anak sulung, so aku ambil inisiatif pindah bilik atas. Bilik tu aku duduk sorang-sorang. Bila siang aku alami benda yang sama macam adik aku rasa, budak lelaki kecil naik atas katil. Siap bunyi orang lompat dari katil. Aku ade share dengan adik aku, kitorang syak maybe ni budak lelaki yang dalam lingkungan empat atau lima tahun tu.

Kadang-kadang aku tengah main PC, pintu bilik aku orang ketuk. Bila bukak takde orang. Bila malam, aku tak boleh tidur sebab rasa macam ada orang sekeliling aku. Aku dengar bunyi perbualan orang macam satu keluarga tengah berbual; ada suara budak perempuan suara budak lelaki, suara mak dan suara bapak. Bila subuh, suara tu hilang sendiri. Aku selalu dengar bunyi tapak kaki dekat tangga. Bila aku tunggu orang naik, tak ada sesiapa pun sebenarnya.

Satu hari tu, aku solat dekat bilik adik aku. Tepi tempat aku solat tu ada tingkap. Masa aku solat, tiba-tiba hujung mata aku tertangkap sesusuk (macam) lembaga yang terbang dekat luar tingkap tu. Perempuan rambut putih, baju putih, terbang secara menelintang. Dia terbang ulang-alik dekat luar tingkap, tiba-tiba dia berhenti, dia berdiri pandang aku dekat tepi tingkap. Waktu tu memang aku buka langkah seribulah pergi bilik mak aku. Aku pun share dengan adik aku.

Dia cerita, dia pun kena kacau masa solat. Perempuan yang sama, berdiri sebelah adik aku. Bezanya, adik aku siap nampak muka hodoh dan taring dia lagi. Tapi adik aku tak buka langkah seribu (hahaha)!

Bila bagitahu ustaz, dia kata, “biasanya yang rambut putih ni apa ye?”

Mak aih, ustaz ni bergurau pulak. Langsuir beb!

Baiklah,sebenarnya aku dah penat menaip ni. Rasa panjang sangat dah. Sebenarnya ada banyak gangguan lain lagi yang berlaku dekat rumah ni. Yang lebih seram. Benda ni sebenarnya nak berkawan dengan adik aku. Kalau korang nak, nanti aku sambung bahagian yang mendedahkan benda apa sebenarnya yang ada dekat rumah ni.

Terima kasih.

Kongsi kisah anda: fiksyenshasha.com/submit

nora

41 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *